Selasa, Februari 28, 2006

CEMBURU

SMS Message From: Tok Rimau on the road, Tue, 28 Feb 2006 14:07:51 +0800

Aku cemburukan pemandu kereta Merc yang memotong aku. Kemudian, keretanya dilemaskan bah. Dia pula yang cemburukan aku.

Ahad, Februari 26, 2006

TANGGA FLAT BUKIT CHAGAR


Engkau tidak pandai bersiul lalu engkau buat bunyi ciuman yang kuat. Keluar bunyi macam cencurut sedang mengawan. Minah berambut pendek yang engkau sasarkan di tingkat 7 tidak menoleh tapi minah kurus di tingkat 5 yang mendongak.

Engkau buat minah kurus itu berkecil hati bila kau menjerit, "Bukan lu la minah kurus, gua "suit" tingkat 7. Sori la." Minah tingkat 7 masih tidak menoleh.

Tangga flat Bukit Chagar berliku-liku dari tingkat 16 ke tingkat 1. Menembusi lantai-lantai tangga itu adalah saluran paip kecemasan untuk memadam api. Suatu ketika dulu, di setiap tingkat ada peti besi yang memuatkan hos bomba. Sekarang bukan hos sahaja yang ghaib, peti besinya pun sudah ghaib sama. Dinding sepanjang tangga mengingatkan engkau lukisan purba zaman batu. Penuh dengan grafiti. Dari "I love you Ros" kepada "F**k you Ros." Orang Bukit Chagar pandai Bahasa Inggeris.

Bila hujan lebat, tempias akan membuat lantai-lantai tangga itu lecak. Bila cuaca panas pula, engkau akan lihat penghuni flet turun-naik dan kadang kala hanya bersidai ambil angin. Yang muda-muda duduk di tangga bermain gitar atau mengorat minah di tangga blok yang bertentangan.

Splat! Engkau rasakan ada lekit-lekit air ludah atas kepala engkau. Engkau mendongak ke tingkat atas dan menjerit, "Hoi! Celaka! Apa ludah-ludah ni! Berani turun la." Saingan engkau untuk mengorat minah tingkat 7 segera menyembunyikan kepalanya. Siapa mahu mengaku meludah orang?! Sayang graviti hanya menarik jisim ke bawah. Kalau tidak, engkau pasti meludah balas ke atas.

Rabu, Februari 22, 2006

BALIK KE SEKOLAH

LCD Mesin masa: 1984

Nama sedia ada terlalu kasar dan lapuk untuk cerita romantik yang sebegini. Kali ini mungkin Ghazi Syibli Junaidi lebih tepat. Dengan mesranya dipanggil Syibli lebih romantik. Lebih jiwa-jiwa.

Lif hancing rosak seperti biasa. Syibli menuruni tangga flat seawal 6.15 pagi. Dari Bukit Chagar Syibli menuju ke Johor Bahru. Langkah sekata dan pantas. Syibli lintasi landasan-landasan keretapi dalam kawasan stesen terselatan di Malaysia. Sunyi. Keretapi pagi dari utara belum tiba. Dari jauh kelihatan lilin-lilin mat gian di bawah jambatan yang melintasi landasan.

Syibli tembusi pagar dawai yang berkarat kawasan stesen keretapi untuk keluar ke Jalan Tun Razak, jalan utama untuk ke pusat pemeriksaan imigresen bagi kuli-kuli yang berkerja di Singapura. Dia lintasi jalan paling sibuk di Johor Bahru ini dengan mudah kerana kereta-kereta merangkak dalam kesesakan. Biasa. Dia panjat pagar keluli pembahagi jalan setinggi dagu untuk ke seberang dan teruskan perjalanan secara diagnol melintasi kawasan letak kereta Kompleks Tun Razak. Pusat Mat Rock Johor. Dia berhenti bila jumpa jalan Wong Ah Fook, selari dengan sungai Segget.

Syibli menunggu bas Alec nombor 50 di jalan Wong Ah Fook bertentangan dengan pasar besar. Kalau bas itu tidak rosak, ia akan sampai dalam 6.30 pagi. Ada satu sahaja bas 50. Bas itu lalu sejam sekali. Jika bas nombor 50 rosak atau Syibli terlewat, dia akan naik bas 48. Jika naik nombor 50, dia cuma perlu jalan 100 meter ke Sekolah Teknik dari perhentian bas. Jika naik nombor 48, dia terpaksa jalan 1 km lagi dari perhentian bas terhampir dengan sekolah- menembusi hutan kecil belakang Sekolah Tun Fatimah. Kadang-kadang bersaing dengan pelajar-pelajar sekolah jiran menghisap rokok dalam hutan itu. Syibli? Dia tidak hisap rokok. Belum lagi.

Kawan-kawan lain tidak pernah lewat sebab mereka duduk asrama, bangun tidur sahaja mereka sudah sampai di sekolah. Kalau Syibli sampai tepat pada waktunya, Syibli terus berbaris secara berpasangan di kaki lima kelas bersama kawan-kawan lain. Semua mahu ambil kedudukan barisan tepi tingkap jauh dari laluan. Senior-senior akan lalu sambil melagakan bahu mereka kepada mereka yang berbaris di kaki lima. Hebat sangat la tu. Terima sahaja. Cukup baik jika mereka tidak suruh basuh kasut. Itu pasal Syibli tunggu jadi senior baru masuk asrama.

Kalau sampai lewat. Syibli disuruh ronda keliling sekolah sambil mengutip plastik-plastik sampah sarap sebagai upah. Begitulah rutin bosan berkitar-kitar sehingga monyet cinta datang mengayut di tangkai hati. Maka remajalah Syibli.

Isnin, Februari 20, 2006

KELAB ROTI KIRAI

Trett Tutu Tut Trettt Tut Tut. Semboyan SMS berbunyi.

Naga: Aku tengah makan roti kirai. Pengkid depan aku bawa aku awek cantik. Hanya wanita yang faham wanita.

Trett Tutu Tut Trettt Tut Tut. Semboyan SMS berbunyi.

Rimau: Kau ngorat la awek cantik tu. Lihat apa jadi pada pengkid tu.

Trett Tutu Tut Trettt Tut Tut. Semboyan SMS berbunyi.

Naga: Datang pula Mat Salleh bawa 'anak ikan'.

Trett Tutu Tut Trettt Tut Tut. Semboyan SMS berbunyi.

Rimau: Oitt, sejak bila pulak kelab gay ada jual roti kirai?!

Trett Tutu Tut Trettt Tut Tut. Semboyan SMS berbunyi.

Naga: Tak (Bukan kelab gay). Gay yang datang kelab roti kirai.

TERBANG LALAT


Gambar: http://rushdi.fotopages.com/

Suatu senja kami duduk mengeteh di restoran atas pelantar kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang. Kawanlah dengan saudagar minyak wangi jika mahu wangi. Dan kawanlah dengan jurugambar jika mahu gambar sering ditangkap. Tengah minum teh pun mereka petik kamera.

Nikon Hitam: Aku terpegun dengan foto makro mata lalat. Susah hendak tangkap foto sebegitu. Lalatkan terbang-terbang.

Olympus Perak: Kau tangkap lalat tu dengan suratkhabar dulu. Matikan dia. Kemudian baru kau tangkap gambar mata lalat dengan kamera.

Nikon Hitam: Tidak nampak natural la foto lalat mati.

Olympus Perak: Tiada orang tahu beza foto mata lalat mati dan hidup, lalat mati pun buka mata macam lalat hidup.

Topik perbualan sama dengan dua sesi mengeteh sebelum ini. Dedahan cahaya. Sudut gambar. Harga barang kamera. Teknik-teknik mengambil gambar. Selalunya aku hilang dalam hutan teknikal mereka. Yang mana aku tidak tahu, aku reka sendiri.

Rabu, Februari 15, 2006

DUSYUM!

Harga Pakaian RM70
Yuran Keahlian RM20
Yuran Bulanan RM20,

4 tahun lepas lagi, masa di tadika, Sarahmon sudah merengek minta
masuk kelas Tae Kwon Do. Baru sekarang aku daftarkan kerana baru
sekarang aku rajin untuk bangun pagi Ahad hantar dia pergi kelas
pertahanan diri ini. Kelas berjalan dari 8.30 hingga 10.00 pagi. Pada
hari pertama dia belajar tendangan hadapan dan tendangan sisi.

Esoknya, pagi-pagi buta rumah aku dah kecoh. Sebelum subuh dia ketuk pintu bilik aku. Suaranya sayu dalam tangisan buat pengakuan.

"Sarah tertendang kipas meja. Kipas patah."

Dalam nyenyak dia lanyak kipas meja yang terletak setengah meter dari
katil. Setelah bilahnya patah, kipas itu bergegar-gegar bila
dihidupkan. Nasib engkau la kipas.

Bilah kipas meja RM11.

Isnin, Februari 13, 2006

LAICI SINGAPURA

Kecoh dalam media, rambutan Malaysia dieksport sebagai laici Singapura. Ini satu penipuan. Ada yang merasa muka mereka diconteng arang. Cis! Maruah negara tercabar.

Aku tidak hairan tentang hal ini kerana aku tahu ini adalah politik perniagaan import-eksport. Ada kilang mengimport bateri dari China ke Malaysia. Bateri itu dilabel sebagai bateri buatan Malaysia. Kemudian bateri itu dieksport ke Timur Tengah. Berbanggalah Pak Arab membantu sebuah negara Islam yang semakin maju ini.

Apa yang lagi menarik adalah baju buatan tempatan, dilabel sebagai buatan England. Kemudian dipasarkan di Petaling Street. Kemudian, dibeli oleh orang kita ketika melawat Kuala Lumpur. Berbanggalah orang kita memakai baju Made in United Kingdom dari Batu Pahat. Siapa yang hendak kita tipu? Diri sendiri.

Teringat aku masa sekolah dulu, beg dari kain berona hijau milik aku terlukis lambang Nike dengan pen dakwat hitam bermata bola. Bangga? Lebih kepada keliru agaknya kerana di atas beg yang sama ada simbol Adidas, Scorpions dan Alleycats.

Ahad, Februari 12, 2006

PETUA RUMAH TANGGA oleh ALIN (Penulis Tamu)

Kata ustazah mana-mana pun, adalah tanggungjawab suami mendidik isteri.

Semalam, untuk pertama kalinya, sepanjang 5 tahun saya kenal Abang, dia mendidik saya hikmat jurus kartun dan komik. Serta petua, tertib dan pantang larangnya.

Semalam, untuk pertama kalinya, saya bertemu Abang dalam topi gurunya. Dia suka mengajar dan bertukar-tukar pendapat dengan 'pelajar'nya. Dari zaman Gila-Gila hingga zaman Reformasinya, banyak ilmu yang hendak diperturunkan.

Semalam, untuk pertama kalinya, balik dari kerja dan mandi dan solat segala, kami tidak buka langsung TV atau radio tapi duduk bersama di meja makan, mengerjakan tugasan kartun yang di beri oleh Tok Rimau dan Naga... sampai 11.30 malam! Dapur kami adalah studio kartun semalam.

Semalam, untuk pertama kalinya, saya duduk tengok dia melakar kartun dari mula hingga akhir. Sesuka kami menambah watak itu dan ini. Kadang-kadang berselang seli dengan senda dan gurau. Tidak sangka tugasan amal jariah untuk Tok Rimau dan Naga ini bertukar menjadi masa kualiti antara saya dan Abang.

p.s.
Kami adalah pelukis tamu untuk projek terbaru Tok Rimau dan Naga. Tunggu kelahirannya.


..........................

1. AL FADIL Ustaz Naga akan memberi kuliah di Sekolah Al Ikhlas. Tajuk ceramah: Papan Cerita Yang Berbudi Bahasa. Sabtu 18 Februari 2006 Jam 10pg - 5 ptg. Muslimin muslimah dijemput hadir. Hubungi: Elmaaniq 013 3626390. Link.

2. ZUNAR akan menurunkan Hikmat Komik & Kartun Berkualiti di gelanggang silat Sekolah Al-Ikhlas. Ahad 19 Februari 2006 Jam 9 pg - 5 petang. Pengeras: RM20 seorang. Hubungi: Jonos 012-9178770. Link.

3. JURING 2 muncul kembali dengan wasit baru (Mat Jan: Siapa tak kenal Mat Jan?)! Hadiah untuk dimenangi! Lebih hebat! 20% Lebih darah! Blog Juring| Uji Bakat dan Perbincangan |

Jumaat, Februari 10, 2006

Festival Layang-Layang Antarabangsa 2006 Johor



Banner oleh Didiz, Jali tambah teks je.

Adalah dijemput kepada semua warga PHOTOBLOGGERS untuk hadir ke Pesta Layang-layang Antarabangsa 2006 di Pasir Gudang, Johor bermula dari 13hb Febuari hingga 19hb Febuari.

Tarikh Perjumpaan Rasmi: 18 Febuari 2006 (Sabtu)

Tempat: Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang

Agenda: Main layang-layang dan main kamera.

Jika tiada aral, saya akan turut main layang-layang plastik Doraemon saya. Ha ha ha. Jumpa di sana.

Petua Fotografi: Untuk ambil gambar bird eye view tapak pesta, set timer kamera, ikat kamera pada layang-layang dan terbangkan. Dan Klik! Selamat mencuba.


More info:
FOTOPAGES MALAYSIA

Gambar mesyuarat di pondok atas pokok:
CREATIVE DIN
SHARE YANI
RUSHDIDIZ

p/s:
Jawatan Jali dlm kelab: penambah korum meeting.

Khamis, Februari 09, 2006

TABIK


Tabik
Originally uploaded by Jali.

"Naga, kau agak pilot atas kapalterbang tu, nampak tak bila kita tabik dia?"



Aku selalu kata kepada Naga,"Blog lu macam penyakit berjangkit."

*********************************************************
SKETSA SEMALAM oleh SIALINALIN (Penulis Tamu)

Semalam. Balik dari kerja. Aku keluarkan senaskhah kertas berstapler. Dari beg kerja. Aku. Dan kuhulur. Pada suamiku. Yang baru melabohkan punggung. Atas sofa. Mendengus kepenatan.

"Nah, bang. Email Tok Rimau dengan Naga yang abang suruh Alin printkan tu." Aku.

"Mmh. Letak ah dulu atas meja makan. Abang letih sangat hari ni. Abang nak tengok DVD jap." Dia.

Itu. Cara dia 'unwind'. Tonton DVD. Atau. Bola.

Lepas mandi dan solat. Aku terhenyak atas kerusi malas. Di tepi sofa. Buka laptop suamiku. Surf net. Mahsyuk.

Sedar-sedar suamiku dah di meja makan. Lama. Senyap.

"Abang wat apa tu. Kerja ke? Nak guna laptop ke?" Aku.

"Ni katun sapa ni? Hebat2 diorang ni!" Dia.

"Guest cartoonists depa larrr. Ada yg depa buat sendiri." Aku.

Senyap.

Aku. Kembali tatap internet. Mahsyuk. Lama. Senyap.

"Abang wat apa tu. Kerja ke? Nak guna laptop ke?" Aku.

"Tak ah. Tak nak guna. Abang tengah sketch-sketch untuk katun dorang la niii..." Dia.

"Hah???? Betul ke???". Aku. Kegirangan.

Kerana suamiku. AMAT PAYAH nak saja-saja lukis katun. Percuma. Walau puas ku bujuk rayu. Walau untuk AKU.ISTERINYA.

"Hak aa, laaa. Nanti Alin jangan lupa buat sketch-sketch dulu tau. Macam ni haa..". Dia. Bingkas dari meja makan. Dan. Tunjukkan contoh. Sketsanya. Kepadaku.

"ooooo... wow...! okay!" Aku.

Pura-pura kagum. Membelek-belek sketsanya.

Dia. Kembali ke meja makan. Senyap.

Aku. Kembali tatap internet. Mahsyuk.

Dalam hati. Tersenyum-senyum.

Semalam.

........................

Selasa, Februari 07, 2006

DUIT SATU RINGGIT

Turun dari bas sekolah, Sarahmon menangis teresak-esak.

"Duit Sarah hilang."

"Berapa ringgit?"

"Satu Ringgit"

"Cuba cari dalam bilik"

"Hilang masa nak naik bas sekolah tadi."

"Cuba cari dalam bilik."

Teresak-esak masuk bilik. Hilang dari pandangan. Keluar dari bilik teresak-esak.

"Tak ada."

"Cuba cari depan pintu."

"Hilang masa naik bas sekolah tadi."

"Cuba cari depan pintu."

Teresak-esak pergi depan pintu rumah. Tangisan terhenti. Kutip duit satu ringgit dari lantai depan pintu. Berhenti menangis. Senyum. Bercahaya wajahnya.

"Dah jumpa."

"Lain kali hati-hati pegang duit. Pergi masukkan dalam tabung"

Dia tidak tahu. Tadi. Semasa dia masuk bilik, aku keluarkan satu ringgit dari dompet aku. Renyukkan dan campak depan pintu rumah.

Isnin, Februari 06, 2006

BIMBINGAN IBUBAPA

Aku beritahu kepada Sarahmon, filem Rock yang kami tonton itu mengambarkan gaya hidup orang zaman 80-an. Masa aku muda-muda dulu. Tiba-tiba keluar babak burung belatuk mematuk pokok. Sarahmon bertanya, "Masa itu (80-an) ada burung begitu?"

Aku jawab, "Burung belatuk itu sekarang pun ada tapi kat kampung-kampung." Kasihan orang bandar, tidak kenal burung belatuk. Masa aku balik kampung dulu, burung belatuk patuk dinding rumah. Aku pun bertanya pada embah, "Siapa la yang bertukang malam-malam buta ni?"

Mat Jan pula menceritakan pada aku, dia bertanya kepada ayahnya semasa menonton filem P. Ramlee (hitam putih), "Kenapa orang zaman dulu kulit kelabu?" Memanglah amat perlu rating Parental Guidance dalam semua filem agaknya.

COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...