Rabu, November 29, 2006

PARTI LIAR BERHEMAH GJ SELATAN

Bagi menghabiskan bajet 2006, GJ Selatan akan berkumpul dan memeriah parti liar berhemah berikut:

CERITERA BERSAMA KARYAWAN SASTERA SIRI 7/06: SAHRUDDIN MANAS (GENRE TEATER)
pada : 2 Disember 2006 (Sabtu)
masa : 9.00 pagi - 11.00 pagi


PEMENTASAN TEATER MONOLOG
‘JIWA BANGSA’
pada / masa :
- 2 Disember 2006 (Sabtu ) / 8.00 malam
- 3 Disember 2006 (Ahad) / 3.00 petang dan 8.00 malam

tempat :
Balai Seminar DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana, Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Bawa kupon parking. Jika kalian tunggang kuda atau basikal, tidak perlu bayar parking.


Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi:
i. Rusdi Abd. Rahman (07-235 8802)
ii. Mohd. Rizal Mohd. Ali (07-236 8282)

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Photo anak-anak GJ

Selasa, November 28, 2006

TERANG GELAP

"Encik, saya banyak hilang markah di Thermodinamik. Saya dapat "C" sahaja. Susah subjek tu," ujar seorang murid yang duduk di hadapan aku.

"Dalam subjek saya, awak dapat "A-." Kira okay la tu," aku memujuk.

"Encik, saya datang ni ada hajat. Boleh tak, Encik tambah markah saya ke "A." Nanti CGPA saya tidak la teruk sangat," matanya bulat membuat rayuan. Sedaya upaya dia mencomelkan dirinya.

Aku bersandar di kerusi aku. Melihat muka comel itu sambil mencari jawapan yang sesuai.

"Beginilah. Suatu malam awak kehilangan kunci di halaman rumah awak. Suasana di situ amat gelap. Jika awak cari kunci itu di dapur rumah, di situ terang, adakah awak akan jumpa kunci hilang tadi?" Aku berfalsafah.

Dia berfikir sejenak. Matanya tidak bulat lagi.

"Saya faham apa maksud Encik. Kalau begitu terimakasih sahajalah Encik."

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Pusat sumber Zine: Independent Publishing Resource Center
Rekabentuk Bantal Seperti Batu

Isnin, November 27, 2006

BERGAMBAR DI TELUK DANGA

Aku berdiri terlalu hampir dengan subjek aku, Abon dan seorang minah. Peminatnya barangkali.

"Belakang sedikit. Saya mahu gambar kami dari kepala hingga kaki," arah minah itu kepada aku, seorang jurugambar bidan terjun yang kebetulan berdiri di kawasan itu.

"Mula-mula saya ambil gambar dada ke atas, medium close up. Sesuai untuk gambar kenangan sebegini. Kemudian gambar kaki pula. Boleh?" Aku memberi penerangan seperti seorang professional.

Minah itu mengangguk setuju.

Aku mengacu lensa kamera dan tekan punat kamera digital.

1. 2. 3. Klik.

Gambar Abon yang sedang tersengih dan peminatnya yang sedang tersenyum keluar di atas monitor LCD kamera. Medium close up.

Kemudian, aku mengacu lensa kamera ke bawah pula. Aku tekan punat kamera digital.

1. 2. 3. Klik.

Gambar sepasang kaki manusia keluar di atas monitor LCD kamera. Masih lagi medium close up.

"Woit!" Kata minah itu.

"Ha, Ha, Ha." Aku tergelak sendiri kerana aku buat lawak ambiguiti depan seorang pelawak dan peminatnya. Abon juga ketawa.

"Okay. Sekali lagi. Kali ini betul-betul," aku menyejukkan hati minah yang tidak nampak humor dalam jenaka aku.

Khamis, November 23, 2006

THE MAKING OF MALING


Maling the movie
Originally uploaded by Jali.

Tayangan Perdana di Malam Buruh Cinta (Tarikh kena tengok kalendar Jawa dulu)

RAPAT GENG JURNAL SELATAN

RAPAT GJ Selatan akan dibuat ditempat-tempat berikut dengan program-program berikut. Jom.

PROGRAM AKAN DATANG (BULAN NOVEMBER DAN DISEMBER 2006) UNIT SASTERA DAN BAHASA DBP WILAYAH SELATAN. SEBUT NAMA TOK RIMAU GJ, KAU AKAN DAPAT MASUK PERCUMA! SUNGGUH! MAKANAN DISEDIAKAN.


1. Bicara Sastera
Bersama Sasterawan Negara : ‘Proses Berkarya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said’
25 November 2006 (Sabtu), 8.30 pagi - 10.00 pagi di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru.
Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DBP Peringkat Negeri Johor.

2. Dialog Bahasa
‘50 tahun Memartabatkan Bahasa Kebangsaan: Adakah Noktahnya?’
25 November 2006 (Sabtu), 10.00 pagi - 12.30 tengah hari di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru.
Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DBP Peringkat Negeri Johor.
- Ahli Panel:
i. Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 GAPENA.
ii. Dr. Awang Sariyan, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

3. Gema Puisi Bahasa
(Persembahan Deklamasi dan Lagu Puisi bertemakan bahasa. PENAMPILAN KHAS GITAR TONG!)
25 November 2006 (Sabtu), 8.00 malam - 10.30 malam di Teluk Danga, Johor Bahru.
Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DBP Peringkat Negeri Johor.
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Prof. Dr. Awang Sariyan dan Dr. Lim Swee Tin selaku tetamu undangan khas mendeklamasikan puisi.

4. Ceritera Bersama Karyawan Sastera Siri 7 / 06 : Sahruddin Manas (Genre Teater)
2 Disember 2006 (Sabtu), 9.00 pagi - 11.00 pagi,
Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru.
- Siri terakhir program Ceritera Bersama Karyawan Sastera DBPWS 2006.
- Menampilkan Sahruddin Manas, penggiat muda yang aktif dan berpotensi dalam bidang teater di Johor.


5. Pementasan Teater Monolog Edisi 4 / 06 : ‘Jiwa Bangsa’
2 - 3 Disember 2006 (Sabtu - Ahad),
Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru.
Tiga pementasan:- 2 Disember 2006, 8.30 malam.- 3 Disember 2006, 3.00 petang dan 8.30 malam.
Sebarang maklumat lanjut, silalah hubungi:
i. Rusdi Abd. Rahman (07-2358802)
ii. Hasrina Baharum (07-2358545)

SEMUA DIJEMPUT HADIR

Rabu, November 22, 2006

CHAUVINIST

Nak kata sempena Hari Raya, Syawal pun dah habis. Maka ini kisah suatu hari di rumah terbuka menyambut Zulkaedah.

Aku: Di kelas Sarah, nombor satu hingga tiga, semuanya perempuan.

Budak: Di kelas Rais, tempat nombor satu hingga tiga, semuanya lelaki.

Aku: Syabas! Sepatutnya begitulah. Lelaki mesti lebih pandai dari perempuan.

Budak: Bukan begitu Pakcik. Sebenarnya, sekolah saya sekolah lelaki. Yang pandai pun lelaki, yang corot pun lelaki. Tiada perempuan.

Aku: (Dalam hati: Terkena aku ) .

Isnin, November 20, 2006

LAMA TAK MASUK KAMPUNG BARU

Rapat Geng Jurnal, Kampung Baru, diserikan lagi dengan dendangan lagu-lagu secara live.

Untuk epilog lagu Minah Memulas Mesin Masa, Gitar Tong ambil kesempatan kutuk aku. Kutuk dari atas pentas tu. Guna mikrofon lagi. Dia kata aku tak pandai nyanyi.

Disuruh la la la, dibunyinya lal lal lal. Apa boleh buat, mak aku tak pernah diberi peluang nyanyi di kenduri kahwin maka tiada darah seni dalam diri aku.

Dalam aku tak pandai nyanyi ni, Mat Jan mahu aku jadi penyanyi latar lagu rap dia. ND pun paksa aku nyanyi latar untuk lagu Hati Emas.

Inilah yang dikatakan orang oleh orang putih, "bad publicity is still a publicity."

Kalau terus-terusan orang menjemput aku nyanyi, boleh masuk peta pekan Senaiville. Seperti mana Siti mempopularkan Lipispool dan Mawi mempopularkan Kulaifornia.

Malam itu dalam perjalanan dari KL ke Senaiville, hujan selebat-lebatnya. Kenapa entah. Aku salahkan peramal cuaca dalam radio. Cakap itu doa. Jangan ramal yang bukan-bukan.

.......................

KEPUTUSAN RASMI ANUGERAH GENG JURNAL 2006

JURI PERINGKAT PERTAMA: OP, Tokrimau, Rudy, Miecreation, Nettbiru, Mukeh, Basri, Effa dan Mat Jan.

JURI PERINGKAT KEDUA: 1. Rudy Bluehikari (AWET 2001) - KETUA JURI 2. Fajar Seluas angkasa (AWET 2002) 3. Mat Jan (AWET 2003) 4. Sultan Muzaffar (AWET 2004) 5. Tokrimau (AWET 2005)

1) Weblog Baru Terbaik AFRO DAN TAPAI http://afrodantapai.blogspot.com/

2) Entri Terbaik (Kategori: Merangsang Intelek) HAIRIE EUSOFF Boikot Barang yahudi atau Tidak Perlu? - hujah guna Hadis dan Quran http://www.hairieusoff.com/blog/index.php?itemid=27

3) Entri Terbaik (Kategori: Menyentuh Emosi) ATTOCHSMART Mak Pengorbananmu Tetap Kusanjung http://attoch.blogspot.com/2006/03/mak-pengorbananmu-tetap-kusanjung.html#links

4) Entri Terbaik (Katergori: Mencuit Hati) SINAGANAGA http://sinaganaga.blogspot.com/2006/05/suatu-hari-di-lebuhraya-yang-sibuk.html

5) Fotoblog Terbaik UNSUNGHERO http://www.flickr.com/photos/unsunghero/

6) Rekabentuk Terbaik TOPED http://cilopake.s0lidmind.com

7 ) Projek Terbaik (kategori: luar web) Diablog oleh Bukunota a.ka Nazmi

8 ) Projek Terbaik (kategori: dalam web) Lumba Foto oleh Nettbiru

9) Anugerah Khas Juri (Maksimum 3 orang) tiada pemenang

10) Anugerah Weblog Terbaik 2006 (AWET '06) SERA HONEYBIRU http://www.honeybiru.org

11) Anugerah Penghargaan Geng Jurnal
a. Basri http://dugongsenyum.blogspot.com/ (Selaku Presiden Geng Jurnal 2005)
b. OP http://www.kroni.biz/fikirandalamkembara (Orang yang sentiasa menjadi tulang belakang di sebalik aktiviti Geng Jurnal)

Khamis, November 16, 2006

ZINE RAPAT



Sesuai dibaca sebelum tidur.


ZINE RAPAT DIBERI PERCUMA KEPADA SEMUA HADIRIN RAPAT GENG JURNAL 2006



ZINE RAPAT- Hebat, Padat, Sendat. 72 halaman.

::Menarik Di Luar:
-Kulit luar direka khas oleh Sinaganaga.

::Menarik Di Dalam:
-Takwim Senario Blog Malaysia
-Cicak
-Makhluk Halus
-Bukan Buli Balik
-Versi Aku tak Ingin Jadi Tomboy
-Secebis Kisah Budak Hostel
-Aku, Cikgu dan Kucing Gendut
-Satu Hari Di Kenduri Kahwin
-Fly Malam
-Petua Bertandang Ke Rumah Mentua
-Bertengkar Dengan Burung
-Berkorban Demi Cinta
-Lagu Cinta
-Isu Daftar GJ
-Undang-undang Pelacuran dan Sumbang Mahram
-Kisah Penyelenggara Lif yang Kaya Raya
-Nasib Badan
-Minit mesyuarat
-Hadiah
-Kena isi borang ke
-Awas orang garang
-Larian dari rumah
-Forum GJ dicadangksn tutup
-Ribut dalam cawan
-Eksperimentasi kucing punya kutu
-Ponteng dalam tandas
-Keputusan Projek Bancian Blog Malaysia
-Kali pertama jatuh hati
-Temubual Dengan Pemenang AWET 2005

Kepada yang ada halangan untuk pergi RAPAT 2006, boleh menempahnya

Zine RAPAT: RM6
Kos penghantaran Zine: RM4 melalui pos ekspress


a. Bayaran dibuat kepada akaun:
Akaun: Maybank Berhad
No Akaun: 114348127378
Nama Akaun: Noor Hanida binti Shaari

b. Sila scan dan emailkan slip pembayaran anda ke email noo_ha@yahoo.com & opx04@yahoo.com.
c. Sertakan nama penuh dan alamat penghantaran melalui email
(kalau boleh alamat pejabat. kalau alamat rumah pastikan ada orang di rumah pada siang harinya).
d. Beri masa seminggu selepas bayaran untuk penghantaran zine.

KLIK OFFER LAIN.

Selasa, November 14, 2006

MELAMBAI BENDERA

"Kelas Math dibatalkan. Ujian juga dibatalkan," umum Cikgu Zakaria.

"Yahuuuuuuuuu!" kelas kami meledak. Kami fikir kami boleh main bola lebih masa untuk P.J.

"P.J. pun batal juga." ujar Cikgu Zakaria seolah-olah boleh membaca fikiran kami. "Ini arahan dari atas. Kita ada rombongan khas."

Satu sekolah berkumpul di padang perhimpunan. Kami berbaris berdua-dua. Guru-guru kelas mengetuai kelas masing-masing. Kemudian, kami berkawad keluar dari kawasan sekolah. 3 km kami berkawad. Berpeluh ketiak masing-masing.

Kami sampai di jalan besar. Jalan yang JKR labelkan nombor satu. Jalan utama dari Johor Bahru ke Alor Setar. Inilah tulang belakang ekonomi Semenanjung Tanah Melayu. Kami beratur sepanjang jalan itu. Dibekalkan kepada kami bendera Malaysia atas kayu buluh.

Jam 9, tiada apa-apa. Jam 10, tiada apa-apa. Jam 11. Panas terik yang menyegat dan habuk keenderaan lalu lalang buat aku menyumpah-nyumpah. Berbakul-bakul. Kemudian aku dengar siren polis. Ayo! Polis nak tangkap aku?

Cikgu Zakaria pun menjerit, "Lambaikan bendera!" Kami pun melambaikan bendera macam nak tercabut tangan.

Mula-mula aku dengar siren polis melolong. Melintas beberapa motor polis trafik. Kereta polis pun lalu juga. Kemudian lalu beberapa kereta mewah dengan cermin hitam. Aku tidak nampak pemandu mahu pun penumpang.

Habis konvoi itu, lalu pula lori botol oren. Cikgu Zakaria pun menjerit, "Okay. Dah habis. Jom balik."

Kami pun berbaris pulang. Berdua-dua. Ketiak masing-masing jadi hangit. Aku lipat sapu tangan dan selit di antara tengkuk dan kolar baju aku. Cikgu Zakaria melucutkan tali lehernya. Simpan dalam saku kemeja.

Sampai di kelas, Cikgu Zakaria bertanya sinis, "Best tak rombongan khas kita?" Pertanyaan yang tidak perlu dijawab.

Entah siapa di dalam kereta-kereta itu. Aku pun tidak tahu. Sampai sekarang aku tidak tahu. Sungguh.

Khamis, November 09, 2006

WAJAH KESAYANGAN BONDA

Seorang murid datang berjumpa aku dan bertanya, "Perlukah saya meletak gambar atas resume saya? Kawan-kawan lain buat begitu."

Aku pun menjawab seperti orang pandai atau orang yang berlagak pandai, "Tujuan resume adalah untuk meyakinkan majikan bahawa kamu itu perkerja yang berkualiti. Anggaplah resume seperti risalah mempromosi diri kamu. Seperti kertas-kertas iklan yang kamu terima dalam peti surat. Iklan yang mempromosi barangan. Seperti kertas iklan gedung Mahkamah Gajah Bulu dan Gergasi. Kalau tauke-tauke gedung itu letak gambar mereka dalam iklan mereka, laku tak barangan mereka?"

(Aku diam sebentar. Merenung muka dia. Menunggu dia memproses soalan yang aku beri.)

Murid itu membuat kesimpulan, "Tauke-tauke tu letak gambar model untuk mempromosi barang mereka. Maknanya jika muka hensem atau lawa, kita letak dalam resume. Kalau muka kita hodoh, kita tidak perlu letak dalam resume."

Aku sambung lagi, "Tetapi jangan pulak kamu letak gambar Tom Cruise atas resume kamu."

Aku tengok dia diam.

Dengan nada memujuk aku sambung lagi, "Jangan risau. Jurufoto yang baik boleh buat sesiapa pun kelihatan kacak."

Dia balas, "Encik kutuk saya ke? Tak baik Encik kutuk kejadian Tuhan."

Aku diam. Tercari-cari helah bela diri. Tidak jumpa. Aku ambil keputusan untuk senyum kelat sahaja membenarkan tazkirah pendeknya.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Aku ingatkan dia dah mati lemas. Rupanya dia cuma menyelam lama. Aku persembahkan kepada kalian SAHARIL.

Rabu, November 08, 2006

PERMOHONAN JAWATAN

Aku baca surat permohonan jawatan yang dia tulis. Amat meyakinkan. Dari segi format surat dan susunan kata-katanya, penulis ini patut diberi "A" atau lima ketul bintang. Berikut adalah petikan dari surat itu:

Saya menguasai Microsoft Office Word, Powerpoint dan Excel. Selain dari itu saya juga mempunyai kepakaran dalam pembikinan dan rekabentuk laman web.


Biar pun sempurna bahasanya, tiada majikan yang percaya akan isi kandungan surat ini kerana surat ini ditulis dengan pen. Atas kertas bergaris-garis. Tulisan tangan. Bukan bercetak. Mmmm... tidak hairanlah masih ramai lagi graduan yang menganggur.

Seeloknya aku ketuk kepala penulis ini. Biar keluar lima ketul bintang berputar-putar atas kepalanya.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
C-4 or Composition 4

Isnin, November 06, 2006

TOKOH PIDATO

Encik, cadangkan kepada kami pemidato yang encik kagumi? Yang boleh kami contohi.


Kalau murid-murid aku minta contoh, aku akan suruh mereka tengok gusti.

Ahli gusti adalah tokoh pengucapan awam yang boleh dijadikan contoh. Bila mereka bercakap, khalayak pasti bagi tumpuan. Bukan senang nak berucap dengan gagah di tengah gelanggang dalam sebuah stadium, di bawah lampu-lampu limpah, dikelilingi kamera dan ledakan flash, di depan khalayak yang beribu-ribu. Dengan hanya memakai seluar dalam kulit sahaja. Tidak mudah.

Seharusnya sebisa mungkin bagi mereka yang tidak berbakat dalam komunikasi lisan melatih diri dengan melihat contoh-contoh yang terdapat di persekitaran.

Murid-murid aku bertanya lagi untuk penjelasan:-

Boleh Encik cadangkan seluar dalam kulit warna apa yang sesuai?


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
"Ala emak, jam emak dah salah lagi."- Petikan Lagu Kesukaan aku dari Album Demo Gitar Tong. Beli la woi.

Khamis, November 02, 2006

BASIKAL TUA

Basikal Tua


GTB pulang ke Penang, Malaysia, kampungnya. Dia tidak mahu terperangkap di universitasnya di Jogja, Indonesia. Lembaran di bandar universitas itu sunyi amat katanya. Dia tanya aku, mahu ole-ole yang bagaimana? Aku minta basikal kecil.

Aku sudah ada satu basikal kecil buatan Indonesia. Aku beli di Kota Kinabalu. Tetapi aku mahu lagi. Dasar memang tidak pernah puas. Pagi tadi bungkusan ole-ole itu sampai. Rakus aku membuka bungkusan itu.Aku dapat apa yang minta tetapi besi atas sepit udang roda depan basikal itu sudah terpatah.

Aku telefon GTB mengucapkan terimakasih dan Selamat Hari Raya. Aku sangat gembira kerana ada dua basikal. Tapikan, sebenarnya aku syak GTB cuba menunggang basikal itu sebelum mengirimnya kepada aku. Itu pasal besinya patah. Hi hi hi.

Aku kena buat panggilan lagi. Nak minta maaf dengan GTB kerana syak yang bukan-bukan.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
GTB: Gigi Tak Bertatoo (Oasis Jiwa)

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin