Isnin, Jun 30, 2008

GURU YANG TERHARU

Engkau juga pasti akan terharu melihat benih yang engkau semai tumbuh menjadi pokok. Lantas menunjang dan merendang memberi redup kepada ramai. Bunganya sedap mata memandang. Buahnya manis dan mengenyangkan.

2006


2008





LAWATAN SAMBIL BELAJAR
English Language Camp at SMK Rinting. 28 June 2008. (Photos by Lan Rasso)

Khamis, Jun 26, 2008

WATAK-WATAK SAMPINGAN




Memanglah pelakon utama dalam filem Mengait Bintang adalah Nabil Raja Lawak tetapi siapalah dia tanpa pelakon sampingan dan mereka di belakang tabir?

Tayangan Filem Pendek MENGAIT BINTANG
Jun 27, 2008. Friday. 8pm. Lokasi Rumah PENA.



Rabu, Jun 25, 2008

TOK PIN DAN KERAJAAN LAUT 1

EXT. DAY. ROCKY BEACH. PULAU BATU HITAM.

PK Jalak menunggu dalam bot. PK Adnan mendahului regu empat kadet lain mendarat. Mereka berjalan tenang dengan muncung Styer masing-masing menghala ke tanah. Tiada ancaman yang jelas kecuali seorang tua berdiri tunggal di atas pulau kecil di bawah kibaran bendera versi Jolly Roger.

PK Adnan: Assalamulaikum. Pakcik buat apa di sini?

Tok Pin: Aku mengisytiharkan kemerdekaan Pulau Batu Hitam. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Pegawai-pegawai kadet memandang sesama sendiri. Tersenyum tidak percaya apa yang mereka dengar.

PK Adnan: Pakcik. Mari ikut kami. Kami bawa pakcik pulang.

Tok Pin: Mahu pulang ke mana? Pulau ini adalah sebahagian daripada aku. Sebahagian daripada Kerajaan Laut. Kerajaan agung yang meliputi 70% bumi ini. Pulau ini milik aku. Kamu juga milik aku. 55% berat kamu datang dari air. Dan aku raja kerajaan laut yang agung.

Pegawai-pegawai kadet memandang sesama sendiri. Tersenyum tidak percaya apa yang mereka dengar.

PK Adnan: Mari ikut kami.

Tok Pin menyeluk ke dalam bag yang melekat di badannya. Dia mengeluarkan sesuatu.

Pegawai-pegawai kadet mengangkat dan mengacu Styer ke arah Tok Pin. Masing-masing resah.

Tok Pin mengeluarkan sebatang bugle. Dia tersengih menyindir. Kemudian dia meniup bugle itu.

Pegawai-pegawai kadet memandang sesama sendiri. Tersenyum tidak percaya apa yang mereka lihat dan dengar.

Bugle itu mendayu-dayu.

Dari permukaan air laut timbul sepuluh susuk lembaga manusia. Mereka bersenjata. Mereka dalam kedudukan posisi mengepung . Mereka kelihatan serius dengan misi mereka.

Jeng Jeng Jenggggggggg!

..............
Nota: Ini petikan lakon layar Filem Kontot TOK PIN DAN KERAJAAN LAUT. Tanpa bercerita lebih panjang, kalian tentu boleh mengagak tema cerita filem ini. Apa yang membuntukan aku sekarang adalah untuk kembangkan plot dan seterusnya mencari penyudah yang sempurna untuknya. Buntu amat! Berasap kepala.

Isnin, Jun 23, 2008

RIMAU KLASIK

Setelah kembali bermain bola keranjang untuk sebulan lama, kemahiran lama aku datang semula. Ketepatan bola masuk ke dalam keranjang bertambah. Punyalah handal, sehingga lawan aku tercongak-congak cara-cara memperlahankan aku.

Sehinggalah pada suatu pagi yang cerah, aku disinggung jatuh ketika membuat lentingan. Aku hilang keseimbangan dan mendarat lutut kanan dulu. Aku bangun, sapu debu-debu yang melekat pada seluar. Terus meloncat-loncat seperti ada spring di bawah kasut.

Jimbo bertanya, "Boleh main lagi ke?"

Aku jawab macam jalak, "Bolehhhh." Gigi diketap menahan sakit.

Pagi itu kami bermain tiga pusingan. Ketiga-tiganya regu aku yang menang.

Pulang ke rumah, aku mula berjalan tempang. Lutut sedikit bengkak. Lutut itu tidak boleh tampung beban berat badan aku. Aku berjalan mengesot. Seminggu berlalu, belum hilang lagi sakitnya. Saham ketampanan aku menjunam jatuh ke paras paling rendah. Aku bukan lagi makhluk paling seksi. Aw! Aw! Aw! Aw! Ih! Ih! Ih!

Siti, perempuan Arab yang berhidung mancung, menyatakan simpati, "You ini sudah tua. Tulang you sudah reput. Kasihan."

Aku menyangkal, "I tidak tua la. I cuma jadi klasik. Macam Coke, I tetap relevan walau dimamah masa. Ha! Ha! Ha!"

Siti mengulang tegas, "Ha! Ha! Ha! Kasihan."


Khamis, Jun 19, 2008

AYAT-AYAT CINTA

"Lu tengok ni kat ruang ulasan blog gua, awek tu panggil gua darling," kata aku mendabik dada.

"Ek eley. Lu tengok la kat blog dia. Dia panggil semua orang darling la," balas Pancho.

"Oh! Penat je gua kembang hidung. Gua ingat dia syok kat gua."

"Perasan tak? Bos pompuan kita pun, selalu panggil kita dear."

"Ayat-ayat cinta semakin murah ."

Selasa, Jun 17, 2008

RASUAH



Di dalam masyarakat, rasuah disemai dalam majlis-majlis sosial. Maka tidak hairanlah rasuah berleluasa. Kita ambil contoh rasuah dalam majlis perkahwinan di Johor.

Pertamanya, engkau dapat lihat penanggah-penanggah mempamerkan duit kertas berlipat origami di dada mereka. Cantik je wang rasuah itu tersemat atas buah dada makcik-makcik. Perlahan-lahan semangat gotong royong mati ditikam dengan dengan semangat kapitalis

Keduanya, pemuda-pemuda yang datang rewang disogok dengan rokok rewang. Sudahlah menggalakkan korupsi, menggalakkan juga tabiat buruk yang boleh menyebabkan barah.

Akhir sekali, pengantin lelaki terpaksa membayar wang untuk melepasi beberapa lapisan hanya untuk duduk di atas pelamin. Ada pintu yang dipenuhi kanak-kanak. Ada pintu yang dipenuhi dewasa dari golongan sanak saudara. Tol yang paling mahal dijaga oleh mak andam. Bak kata orang putih, the king of has to bribe to get his bride.

Masyarakat memulakan institusi kekeluargaan dengan majlis yang dipenuhi dengan rasuah. Rasuah ini dihalalkan dengan alasan sedekah atau hadiah konon. Tetapi sebenarnya ikhlas yang menjauh. Nasib baik masa nak tidur, pengantin tidak perlu bagi rasuah lagi.



..........
JEMPUTAN KE MONODRAMA
Tajuk: JUAL UBAT
arahan dan lakonan Khalid salleh
20 & 21 Jun 2008 8.30 mlm
Tempat: DBP, Larkin Perdana Johor Bahru.

ROTI & KOPI



Tajuk : ROTI & KOPI.
Penulis : Azzam Supardi (featuring Sinaganaga).
Penerbit : Sindiket Sol-Jah.
Saiz : 4.5" x 7.25".
M/surat : 184 m/s.
Terbit : Jun 2008.
Harga : RM20.00 shj. (masa dan jualan adalah terhad)

-------
Untuk beli, hantar emel dgn tajuk TOK RIMAU SURUH BELI ke azzamsupardi[at]yahoo[dot]com

Sabtu, Jun 14, 2008

TENTANG SEBUAH KISAH

Telefon Salleh diam malam itu. Telefonnya tidak pernah sebisu itu. Salleh termenung kerana dia tahu kenapa telefon itu bisu. Aku, Ali dan Ahmad juga tahu.

Suasana riuh rendah sorak penonton perlawanan antara Perancis dan Belanda di restoran tidak sedikit pun memberi kesan kepada Salleh. Salleh terus diam. Dia hanya merenung ruang kosong di udara. Ahh! Parah Salleh ni.

Melihat Salleh diam, kami pun membuat sedikit bising.

"Aku ingat lagi. Hari raya. 3 hari sebelum kami sepatutnya bertunang. I call beberapa kali tapi busy. Tepat jam 7.33 baru dia angkat..." Ali memulakan cerita.

Apabila Ali habis bercerita, kami ketawa berdekah-dekah.

"Semuanya masih jelas dalam ingatan. Hari itu hujan. Aku rempit dari Skudai ke JB untuk jumpa dia..." Ahmad memulakan cerita.

Apabila Ahmad habis bercerita, kami ketawa berdekah-dekah.

"Masih terbayang di mata aku, lampu-lampu sepanjang jalan dari Ipoh ke Kuala Lumpur seolah-olah mengejek aku..." aku memulakan cerita.

Apabila aku habis bercerita, kami ketawa berdekah-dekah.

Salleh tersenyum sikit. Kemudian ia kembali resah. Kau juga mungkin tersenyum mendengar kisah-kisah kami. Meskipun kau tersenyum, namun orang pun tahu, apa isi hati mu tatkala kau lagukan. Lagu mu lagu sedih. Perjalanan hidup mu. Ditinggalkan kekasih. Ditinggalkan kekasih. (Eh lirik Kisah Seorang Biduan oleh Dahlan Zainuddin masuk sini pula.)

"Relaks la Salleh. Dunia belum kiamat. Bunga bukan sekuntum. Seperti kami,akan datang lu tengok hari ni dan lu akan ketawa," Ahmad memberi kesimpulan kepada kisah-kisah yang kami ceriterakan.

Salleh terus diam. Dia hanya merenung ruang kosong di udara. Ahh! Parah Salleh ni.

Jumaat, Jun 13, 2008

MINYAK ULAR

Minyak ular adalah ubat tradisi untuk sakit sendi. Pun begitu, perkataan "Snake Oil" dalam Bahasa Inggeris mempunyai maksud yang menghina. Ia merujuk kepada sesuatu yang palsu dan tidak berkesan tetapi dijaja-jaja sebagai penyelesai masalah. Contoh ayat: Minyak ular tidak boleh menyelesaikan krisis minyak kita.

Sweden menetapkan visi 2020 mereka adalah melepaskan diri dari pergantungan kepada minyak fossil melalui pengunaan tenaga alternatif. Mereka sudah ada kereta dan kereta api yang bergerak menggunakan gas dari tahi lembu. Bagi lembu makan julap dan harga bahan mentah untuk gas pasti terkawal.

Mereka negara maju kata engkau. Mereka boleh la. Mimpi kita, 2020 baru kita maju.

Di Brazil, negara membangun, 9 dari 10 kereta menggunakan alkahol dari tebu. Kereta gasahol pertama mereka berada di jalanraya pada 1978. Justeru, bila harga minyak naik mencecah US$140 per tong pun mereka boleh bersamba.

Kita? Mana perancangan dan tindakan Putrajaya untuk membebaskan kita dari pergantungan ke atas minyak fossil? Mana? Bising-bising pasal minyak dan ekonomi pun tidak guna. Semua menemu jalan buntu. Minyak ular tidak boleh menyelesaikan krisis minyak kita.

Rabu, Jun 11, 2008

RESEPI CENCARU SUMBAT


Atas permintaan ramai, Tok bagi juga resepi rahsia turun temurun ni kepada engkau. Jangan engkau bagi Colonel Saunders pula, nanti dia komersialkan di Amerika. Amerika juga yang kaya. Lepas tu dia serang negara Pak Arab. Kasihan Pak Arab.

Kawan-kawan yang budiman, Tok dapat ilmu mengurut dan membidan melalui mimpi. Ada seorang tua berjanggut putih dan berkuda putih datang turun dari Gunung Ledang datang ajar Tok. Kalau Puteri Gunung Ledang yang datang, seru la juga sesi pembelajaran. Pak Tua itu mengajar membosankan. Untuk hilangkan rasa mengantuk, Tok main sms masa dia mengajar.

Berbalik kepada mauduk kita yang sebenar, Resepi Ikan Cencaru. Buat karangan tidak boleh lari tajuk kata cikgu. Nanti kena tolak markah. Sebenarnya Tok dapat ilmu memasak ini bukanlah sama dengan cara Tok dapat ilmu mengurut dan membidan. Lepas mimpi masuk kuliah Pak Tua, Tok bangun tidur dan pergi dapur. Orang bangun tidur mesti lapar. Tok tengok orang tengah sibuk masak. Jurukamera sedang sibuk ambil gambar untuk segmen resepi untuk majalah. Nampaknya, hari itu makan tengah hari jejak jam 3 petang. Setiap langkah, ambil gambar. Ikan belum siang, snap! Ikan dah siang, snap! Alamat hilang siang jadi malam, menunggu lauk yang tidak masak-masak. Gila lapar.

Sambil Tok merungut lapar dan melayan dangdut dalam perut, Tok tengok la chef masak. Oleh kerana daya pemerhatian dan pengamatan Tok adalah tahap super dan lebih Bio-Zip, maka tahulah Tok cara memasak Cencaru Sumbat. Mula-mula sekali, bahan-bahan yang diperlukan boleh dibeli di pasar dengan harga pasaran. Biasak la.

3 ekor ikan cencaru saiz sejengkal setengah. Jangan suruh adik engkau yang tadika beli. Jengkal dia pendek. Nanti dia beli anak ikan.

Lagi pun, dia bukan tahu bezakan ikan cencaru, kembung, jeket, termenung dan ikan noorkumalasari. Nanti dia salah beli pula. Oh ya! Kalau engkau mahu macho, beli ikan yu. Mmm... tetapi ini resepi cencaru sumbat. Abaikan ikan yu.

4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih dan 2 inci halia (5 cm bagi mereka yang lahir-lahir sahaja sistem dah metrik). Tumbuk bahan-bahan ini guna lesung. Kalau tiada lesung, guna batu giling. Kalau tidak ada batu giling guna pengisar elektrik. Kalau tidak ada juga, gunalah penumbuk taekwondo yang engkau belajar di Ko-Kurikulum tu. Tumbuk hingga lumat. Macho tu.

Kalau rajin, tumbuk dengan 10 biji cili merah. Dan jika malas, tambah sahaja 2 sudu besar cili boh dari paket. Tetapi kalau sakit perut, jangan ngadu kat Tok pula.

Campurkan garam secukup rasa. Kalau mahu lebih adventurous, masukkan Sunquick perasa limau nipis dan mayonaise secukup rasa. Tidak cukup adventurous? Masukkan serbuk kopi dan kayu manis serbuk secukup rasa. Amik engkau! Macho tu.

Masa aku di perantauan dulu, bila tiba giliran aku masak, aku bubuh ikut spontan je. Bahan-bahan yang ada dalam peti ais, aku kocok ikut suka hati. Di Texas susah cari bahan-bahan macam kat Malaysia ni. Jadinya kena kreatif bereksperimen. Selagi bahan itu bahan asas makanan, tidak matinya orang yang makan. Sekali itu, aku masukkan ubat gigi dua camca dalam resepi untuk mengurang asid dalam perut. Untuk pengetahuan, ubat gigi kaya dengan alkali dan garam floride. Lepas makan tidak perlu berus gigi. Jimat masa. Ha! Ha! Ha!

Alamak. Lari tajuk lagi.

Gunakan minyak secukup rasa untuk menggoreng bahan yang engkau sudah tumbuk lumat tadi. Bila bau dah naik kira dah siap la tu. Atau dua tiga orang dah bersin, kira mantap la tu. Angkat masukkan dalam mangkuk.

Kemudian, siang ikan tadi menggunakan pisau Rambo. Walaupun Tok buat kerja perempuan di dapur, kemachoan mesti di jaga. Hiris belah belakang ikan dan sumbat bahan-bahan yang berupa sambal bergoreng tadi. Engkau boleh pilih sama ada mahu goreng atau mahu bakar ikan itu. Kalau ikut Tok, bakar lagi seru. Lebih macho. Kita boleh main dengan api dan bara. Asap banyak. Kita boleh berfantasi tentang kombat. Masak secukup rasa.

Siap! Kalau mahu sedap lagi, sediakan cicah air asam atau kicap berbawang dan cili. Tetapi Tok layan TV masa chef bikin cicah ni. Jadi, tidak boleh kongsi dengan engkau cara-caranya. Pandai-pandai lah.

Bila semua sudah siap, hias ikan itu dengan baringkan dia atas daun salad. Snap. Dia atasnya letak hirisan lemon. Snap. Untuk lebih macho, letak atas daun pisang sahaja. Jangan tunggu sejuk nanti ikan tu dah keras. Elok makan masa panas. Baca doa makan dan baham dengan nasi putih. Fuhhhhhhhhhhhhhhhhh!

Lepas makan jangan lupa, puji chef. Yang, masakan you memang sedap! Marvelous! Dia pun suka hati. Bila chef suka hati, engkau akan dapat extra bonus malam nanti. Yabedabedu!

Selasa, Jun 10, 2008

HAMPIR MASUK MAJALAH


Suruh ikan itu senyum sikit.

Editor majalah Rapi datang. Dia bawa bersama dua wartawan dan seorang jurugambar.

"Aku nak pakai baju apa ni?" tanya aku kepada editor.

"Tolong sikit. Orang nak ambil gambar untuk resepi," kata editor.

"Cheh! Aku ingat nak wawancara dengan aku tadi."

Isnin, Jun 09, 2008

STRATEGI KEJI



Jalak, 27, pemain bola keranjang yang handal. Melihat cara dia bermain, engkau pasti meneka dia sudah mula bermain bola keranjang dari bangku sekolah lagi. Dia lari pantas, melenting tinggi dan melontar bola dengan tepat. Orangnya amat tangkas.

Aku tidak terkejar akan Jalak. Aku sedar diri, aku tidak selincah dulu.

Obiwan, 27 juga, pemain ragbi yang handal. Malah, dia berguru untuk jadi jurulatih ragbi dengan Cobra. Asakan tubuh serta lariannya sangat mantap. Pun begitu, dia tidak selalu dapat main ragbi kerana sukan itu memerlu pemain yang ramai dan padang yang besar serta tiang gol yang tinggi. Justeru, Obiwan belajar main bola keranjang.

Obiwan main bola keranjang macam main ragbi. Menerkam. Menyondol. Menggasak. Sering sahaja buat foul. Ini kesilapan biasa bagi pemain bola keranjang baru. Gelojoh macam pengantin baru.

Kalau main bola keranjang format 3 lawan 3, biasanya kami menggunakan sistem pertahanan seorang jaga seorang (man-to-man), seorang pemain ditugas mengawal seorang pemain lawan. Kalau aku seregu dengan Obiwan untuk menentang regu Jalak, aku akan arahkan Obiwan untuk jaga Jalak.

Jalak akan main kurang pantas, kurang lincah, kurang lenting dan juga kurang tepat. Dia akan lebih berhati-hati. Dia tidak mahu tercedera kerana asakan Obiwan. Hi! Hi! Hi! Keji betul muslihat mainan aku.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
:: Lagi 48 Strategi Keji
:: Black and White Photos of Ruipalha

Sabtu, Jun 07, 2008

Khamis, Jun 05, 2008

AKU NAIK MINYAK

Seperti ada collective conciousness, semua rakyat menuju ke stesen minyak. Aku pun ikut sama.

Datang seorang tua yang bongkok bagai tanda soal tanpa titik. Dia menghampiri kereta aku lantas menghentak pangkal tongkatnya ke jalan raya. Jika tongkatnya itu tanda seruan, pastinya sudah pecah berderai titik tanda baca itu. Tapi tongkatnya bukan tanda baca, ianya adalah kayu sepanjang enam kaki yang penuh sakti.

Keluar asap berkepul. Dari asap berkepul keluar pula seekor kuda putih dewasa berdiri tegap bagai seekor kuda. Memang sah kuda pun.

"Mana kepaknya? Mana tanduknya?" tanya aku mengharapkan seekor unicorn bersayap.

"Ini mimpi genre realism, bukan fantasi," kata Pak Tua. "Engkau tidak perlu bayar cukai jalan dan beli petrol lagi. Esok lusa bila minyak naik lagi, engkau tidak perlu naik minyak kerana engkau tidak memerlukan minyak," seru Pak Tua menambah.

"Aku masih naik minyak. Esok lusa harga barang juga naik. Mereka bukan angkut barang guna kereta kuda. Dan gomen tidak bagi rebet untuk kuda," aku membalas.

Pak Tua masuk ke dalam asap. Kemudian asap itu hilang ditiup angin membawa Pak Tua bersamanya.

Aku nak buat apa dengan kuda ini? Aku bukan pandai tunggang kuda. Nak makan apa kuda ini? Kalau bagi lalang depan laman rumah aku, sakit perut pula dia nanti.

Pon! Ponnnnnnn! Orang belakang hon aku langsung mengejutkan aku dari lelap aku yang sebentar. Aku menguap. Kesat taik mata. Lap air liur basi. Kemudian, aku mengesot ke depan merapatkan baris. Selepas sebuah MPV dan sebuah Mercedes, giliran Kancil aku pula. Di belakang aku ada barisan kereta sekilometer jauh.

Seperti ada collective conciousness, semua bloggers blog pasal harga minyak. Aku pun ikut sama.

Rabu, Jun 04, 2008

AKU LEBIH TAHU

Tujuh tahun aku berblog. Kalau aku bersalin dulu, sudah masuk darjah satu anak aku. Dalam masa tujuh tahun itu, aku lihat blogger datang dan pergi. Aku kaji trend antara isi blog dan avatar (image profile). Avatar adalah wakil visual kepada tuan punya diri. Berikut adalah psikoanalisis personaliti blogger berdasarkan avatarnya.

5 Petua mengenal personaliti blogger melalui avatar:

1. Gambar Diri Sendiri Sedang Posing Maut
+ve: Keyakinan diri yang tinggi. Salah tidak apa, yang penting jawab dengan konfiden. Untung-untung ada orang terpikat.
-ve: Ego nak mampus. Riak ya Rabbi. Hairan dengan kebolehan diri sendiri.

2. Gambar Bunga / Objek Mati
+ve: Seorang yang anggun budi pekerti. Rendah diri.
-ve: Kurang yakin dengan diri sendiri. Siapa la aku ini.

3. Gambar Kartun
+ve: Blogger ini mempunyai deria humor yang tinggi.
-ve: Tidak rasa puas dengan zaman kanak-kanaknya. Mahu hidup seribu tahun lagi. Tua kutuk tak sedar diri.

4. Gambar Diri Sendiri Tanpa Nampak Muka
+ve: Mahu dikenali kerana hasil kerjanya, bukan rupanya. Tidak suka glamer.
-ve: Muka memang tidak ada pakej. Yakin dan percaya bahawa dunia ini syurga untuk orang cantik sahaja.

5. Gambar Bersama Pakwe/Makwe
+ve: Rasa disayangi. Pendiding dari dingorat oleh blogger lain.
-ve: Terlalu bergantung kepada orang tersayang. Macam la dia sorang ada pacar. Kalau orang tersayang cabut lari, blogger ini akan delete blog.

Isnin, Jun 02, 2008

PAGI YANG CERAH

Aku hampir tidak kenal Man bila dia menegur aku di Masjid, selepas usai solat Jumaat. Badan Man sekarang tidak ubah macam ahli gusti. Kenapa boleh jadi begini? Setahu aku Man seorang yang aktif bermain bola keranjang. Aku mula berkawan dengan dia pun kerana sesi bola keranjang setiap pagi Ahad.

Man ajak aku bermain semula. Maka, pagi Ahad berikutnya kasut sukan aku menjenguk dunia setelah hampir tiga tahun bertapa dalam rak kasut. 7.00 pagi. Sebelum sarapan, aku sudah tercongok di gelanggang. Seseorang demi seorang pemain datang. Cukup 10 pemain untuk main gelanggang penuh.

Teknik dan gaya aku masih ada macam biasa. Dribble. No look pass. Lay up. Shooting. Sky hook. Defense. Cuma masalahnya adalah ketepatan lontaran sudah mengurang. Bola keranjang bukan jimnastik di mana gaya dan pakaian ada markah. Ha! ha! ha! Lantaklah. Yang penting adalah peluh keluar macam hujan pagi itu.

Habis sesi aku berlenggeng terbaring melepaskan lelah atas konkrit gelanggang sambil memandang awan berarak melintas langit biru. Titik-titik peluh macam embun di atas tubuh aku yang cokelat. Terasa bibit-bibit sengal mula meraba otot bahu dan pinggang. Peluh meleleh dari badan ke lantai. Buku lali kiri aku yang terseliuh juga mula menyengat. Peluh mula membasahkan lantai konkrit. Kasut aku pula menghadiahkan dendam cagu. No pain, no gain. Terperanjat agaknya tubuh ini bila liang-liang peluh berfungsi. Bintil-bintil peluh membias cahaya mentari membuat tubuh ini berkilat-kilat. Kalau aku istiqamah, tidak lama lagi, abdomen aku akan menampakkan ketak-ketak semula. Seksi tu. (Nota kepada pembaca wanita: Lap air liur selepas selesai baca perenggan ini.)

10 pagi, perut pun dah keroncong campur dangdut. Kami pun ke Restoran Ayub dan mula buat pesanan. Roti keju. Roti bom. Ayam Goreng. Roti Telur. Roti tampal. Roti planta. Roti tisu. Roti sardin. Roti pisang. Ha! Ha! Ha! Masuk kandang kambing, mengembek. Kandang harimau, mengaum. Kandang ahli gusti? Baham je lah. Hilang satu kilo, tambah dua kilo. Dan aku cuci tekak aku dengan milo ais kow-kow dua gelas. (Nota kepada pembaca lelaki: Lap air liur selepas selesai baca perenggan ini.)

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin