Dalam satu bulan, powil (4WD) diesel aku minum kurang 1 liter minyak. Jimatkan? Dia duduk di rumah, tidak merayau ke mana-mana sebab minyak mahal.
Bulan puasa 2026, US dan Israel menyerang Iran. Rantau itu bergolak kerana kejiranan pun main peranan bersengkongkol. Agihan minyak di serata dunia jadi terjejas. Harga minyak melambung, bekalannya tercatu.
Sebelum perang, harganya RM3/liter dan sebulan perang harganya cecah RM6/liter.
Di Malaysia ini, yang paling terasa adalah dieselians kerana tiada subsidi daripada kerajaan. Dieselians ini dikira anak tiri kerajaan la. Kami difitnah kaya raya (Semoga jadi kebenaran. Amin), maka kami dianggap tidak memerlukan subsidi.
Aku tunggu ada acara basikal, baru powil akan digerakkan. Sementara itu, berselimutlah ia di depan rumah.
18-19 April 2026, ada rombongan basikal ke hutan Sungai Yong. Aku, Akak Kau, Yem, Tony dan Dura carpool dengan powil sampai tempat letak kereta Taman Eko Rimba Gunung Belumut. Dari di situ kami ikut rombongan berbasikal ke tapak perkhemahan hutan Sungai Yong, 80% denai kelapa sawit dan 20% denai hutan. Ini rombongan bikepacking terbesar yang pernah aku sertai setakat ini, 50 biji basikal semuanya, dan diikuti dengan satu powil milik malim gunung.
Setelah enam bulan merayakan aidilfitri dan musim tengkujuh di rumah, aku kembali ke hutan meredah selut dan bertarung dengan bukit-bukau. Setakat mendorong basikal mendaki, calar di kaki, dan tenda bocor apalah sangat. Nikmat menghirup udara hutan yang segar dan memandang kehijauan dedaunan tidak boleh dinilai dengan wang.
Aliran air Sungai Yong jernih dan persekitaran hutan tropika yang rimbun dan tenang. Air terjun bertingkatnya mengalir melalui batu-batuan granit ke kolam semula jadi, sesuai untuk mandi-manda ringan, berkelah, dan fotografi alam, manakala laluan denai ke lokasi menawarkan pengalaman lasak sederhana bagi pengembara yang ingin menikmati keindahan alam yang masih terpelihara.
Akan ku pahat detik indah bercanda dengan kawan-kawan sambil berendam dalam sungai, dan turun rintik-rintik gerimis membasahi kami yang sudah sedia lencun. Kami terus nongkrong hingga suria menunjukkan muka. Kemudian, kami menyusuri tebing bebatuan licin Sungai Yong 30 minit untuk bertemu air terjun dua tingkat 90 meter tinggi. Pulang dari air terjun, kami buat aktiviti biasa, memasak dan main air lagi.
Malamnya, aku tidur awal, lena dalam buaian. Esoknya bangun mengeluh, 2 hari 2 malam mana cukup. Bermalas-malasan aku mengemas barang.
Ketika perjalanan pulang, powil malim sangkut di selut. Sepertinya hutan tahu kami masih belum puas bermain. Dalam keadaan getir dan berlumpur, tubuh keringat membasahi bumi itu pun kami masih bergurau, membahan satu sama lain.
Pembelajaran bukan sahaja berlaku di sekolah, di hutan juga banyak pelajaran. Kami belajar cara-cara mengurus risiko, 100 cara-cara yang tidak efektif untuk menaikkan powil dari lumpur dan untuk bertenang menghadapi musibah. 1 jam juga kami berusaha mengerjakannya, kemudian kami mengalah.
Powil kena tunggu jentera penyelamat datang untuk menarik dengan kabel winch. 50 basikal gerak dahulu dan selamat pergi dan pulang. Sungai Yong, Hutan Belumut, insya-Allah kita jumpa lagi.
Bila pulang, aku sunting video rakaman cubaan menaikkan powil dari lumpur dan memuat naik ke media sosial. Berbanding Tiktok dan Facebook, netizen di Instagramlah yang paling toksik. Mereka mengecam penggunaan tayar piawai yang belum ditukar ke tayar mesra lumpur hutan. Mereka menggunakan kata kesat seperti "bodoh" dan "baghal." Dulu, semasa tiada sosial media, kebiadapan rakyat ini tersembunyi. Bila sudah ada media sosial, mereka mendedahkan aib keperibadian sendiri dengan penggunaan kata-kata nista.
Telan sahajalah. Tidak luak pun kegembiraan kami.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan