Buku Kalashnikov terbitan Sol-jah sudah habis dijual. Sumbangan aku kepada buku ini adalah dua cerita BELERANG PERANG dan MENGEJAR PEMBUNUH. Sebenarnya Belerang Perang merupakan prequel, manakala Mengejar Pembunuh adalah sequel kepada filem pendek Kiri yang aku tulis sebelum ini.
Aku terlalu jatuh cinta dengan watak Bidadari Kirina (bukan pelakonnya) dan ingin terus menulis epik perjalanan pertualangannya. Memahami watak ini, dia seorang anak yang periang sehinggalah menerima trauma tatkala menyaksikan sendiri pembunuhan ayahnya, seorang pesara gerila, di tangan Wan Sulong. Dendam semalam Bidadari Kirina tidak padam sehinggalah dia membunuh pembunuh ayahnya. Petualangan dendam bersiri ini berterusan kerana dia kini diburu oleh kaum keluarga arwah Wan Sulong. Sekarang Bidadari ini dalam pelarian.
Filem sudah. Novel pun sudah. Odisi berikutnya adalah grafik novel Kiri pula. Tunggu.
...
Bagi mereka yang tidak ada duit untuk membeli Kalashnikov, atau tidak berkesempatan atau kedekut ya amat untuk membeli buku, terimalah petikan pra-penerbitan Kalashnikov. Gratis.
.....................
BELERANG PERANG1
Suara ungka dan lontong bersahut-sahutan mencari pasangan untuk mengawan menguasai hutan rimba. Bunyi binatang yang memecahkan sunyi rimba itu sudah biasa bagi Rodhi dan Wan Sulong. Sedikit pun tidak mengganggu sesi perkongsian ilmu mereka. Rodhi bersungguh-sungguh menjadi guru dan Wan Sulong bersungguh-sungguh menjadi murid.
Sebelum Rodhi masuk hutan, dia berkerja di lombong arang batu Sungai Lembing. Di situlah dia menimba ilmu menggunakan bahan letupan. Dulu, tugasnya meletupkan bukit membuat terowong bawah tanah untuk laluan pelombong. Sekarang, tugasnya meletupkan jambatan keretapi dan balai polis. Sudah lama Wan Sulong mengecek ilmu membacuh bahan letupan dari Rodhi. Kesempatan ditinggalkan berdua untuk mengawal markas, tidak dilepaskan begitu sahaja. Hendak jadi pejuang, mesti ada ilmu.
“Engkau kena masukkan belerang ke dalam kelongsong ini perlahan-lahan. Jangan sampai ada geseran kuat. Bahaya.”
“Berapa kali engkau nak ulang. Aku faham dah.”
Ahli rejimen yang lain ke Kampung Lanjut untuk memenuhkan hajat Tok Penghulu ingin menjamu mereka makan. Tidak sia-sia mereka menghantar Salman ke Kampung Lanjut untuk program propaganda. Dalam masa satu bulan, massa Kampung Lanjut sudah berlapang dada menerima baik perjuangan mereka. Tok Penghulu berjanji akan memberi sokongan padu. Mereka pun telah bersetuju untuk menukar bekalan makanan dengan hasil hutan. Jika ada maklumat tentang gerakan tentera Inggeris, mereka akan segera memberi maklum.
Tok Penghulu sangat percayakan mereka. Malah, anak gadis Tok Penghulu juga akan dikahwinkan dengan Salman. Kemungkinan besar dia juga bakal mengangkat senjata menjadi serikandi pembela bangsa mengikut suaminya.
“Itu pun Salman dan Kasmon dah pulang,” kata Rodhi kepada Wan Sulong.
“Engkau bawa apa tu?” Tanya Wan Sulong.
“Ubi! Tok Penghulu yang bagi,” Salman menunjukkan guni jerami yang dipikul. Kasmon diam sahaja. Dia memang pendiam.
“Untung juga jadi bakal menantu Tok Penghulu,” gurau Rodhi.
“Esok. Engkau rebuskan untuk kami,” Wan Sulong memberi perintah.
“Kalian bersiaplah. Tok Penghulu menunggu kalian untuk makan kenduri. Kami dah makan awal tadi kerana kami tolong rewang. Lagi pun sekarang giliran kami mengawal markas,” nasihat Salman.
Kasmon masih diam dari tadi. Dia meletakkan guni ubinya sebelah meja kerja Rodhi, tempat bahan letupan dibancuh.
“Jom Sulong. Aku pun dah lapar ni,” ajak Rodhi sambil tangannya mengemas peralatan di atas meja kerja.
“Ayuh!” Wan Sulong menyelitkan pistol di pinggang seluarnya. Mereka berjalan menyusur denai ke arah kampung Lanjut sambil menghisap rokok daun. Sudah tiga jam mereka tidak merokok.
2
Tiada orang di laman rumah Tok Penghulu. Dari celah-celah tingkap kelihatan kelibat manusia. Agak ramai juga tetapi tidak kedengaran pula mereka bertahlil.
“Kenduri apa ni? Macam ada orang mati sahaja senyapnya,” Rodhi berseloroh
“Lain kampung, lain adatnya.”
Wan Sulong dan Rodhi mendaki tangga.
“Assalamulaikum,” Wan Sulong menyapa.
Semua orang di dalam rumah memandang ke muka pintu. Mereka seolah-olah terperanjat melihat Wan Sulong dan Rodhi tercegat di muka pintu.
Wan Sulong dan Rodhi juga terperanjat.
Mata Wan Sulong mengimbas ruang tamu rumah . Tubuh-tubuh sahabatnya yang datang kenduri lebih awal bergelimpangan di lantai. Hidangan kenduri berkecah. Nasi berterabur di lantai. Kuah tumpah di atas tikar. Ada lebih kurang tiga puluh orang berpakaian orang kampung. Kain pelikat. Beberapa orang kampung sedang memapah tubuh-tubuh yang longlai. Ada lebih kurang lima soldadu. Berpakaian seragam tentera Inggeris. Mereka berdiri di depan pintu dapur.
Wan Sulong bingkas mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan membabi buta.
“Undur Rodhi! Kawan-kawan kita diracun!” Jerit Wan Sulong.
Rodhi lari sekuat hati ke arah hutan. Di belakangnya, Wan Sulong mengekori. Wan Sulong cuba menembak ke arah musuh yang mengejar tetapi dia sudah kehabisan peluru. Nasib mereka agak baik bila pokok-pokok hutan melidungi mereka apabila hujan peluru dari musuh menjadi lebat.
3
Rodhi dan Sulong sampai ke markas. Mereka termengah-mengah kepenatan.
“Cepat Salman. Kita mesti tinggalkan tempat ini. Soldadu Inggeris menghampiri kita,” jerit Wan Sulong.
“Kita sudah kena tipu dengan orang kampung. Mereka belot. Orang kita habis diracun,” jelas Rodhi.
Salman mencapai guni ubinya. Kasmon diam sahaja. Dia memang pendiam.
“Tinggalkan ubi itu. Kita bawa senjata sebanyak mana yang kita mampu sahaja,” arah Wan Sulong.
Salman mengeluarkan selaras senapang dari guni ubinya. Jenis yang sama seperti yang dipakai oleh soldadu Inggeris. Dia mengacukan senjatanya ke arah Rodhi. Kasmon pula mengacukan senjatanya kea rah Wan Sulong.
“Campak pistol engkau!”
“Engkau juga Salman?” Wan Sulong melepaskan pistolnya ke tanah. Mukanya penuh hampa.
“Ya Rodhi. Ya Wan Sulong. Aku juga. Meredah hutan dan melaungkan perkataan merdeka tidak mengisi periuk di dapur aku. Mereka sudah menjanjikan aku kerja sebagai kerani di pejabat Estet Tuan Watson.”
“Pembelot!”
“Katalah apa yang kita kalian kata. Sesungguhnya bila kalian mati, kepala kalian bernilai sepuluh ribu.”
“Celaka kau Salman,” marah Rodhi.
Yang pastinya Salman dan Kasmon mengawal keadaan. Senjata di tangan mereka. Pistol Wan Sulong sudah di tanah. Kalau ada di tangan pun tidak berguna kerana sudah kehabisan peluru.
“Kalian ada permintaan sebelum kalian mati?”
“Berikan aku masa untuk menghisap rokok aku yang terakhir.”
“Silakan.”
Rodhi mengeluarkan tembakau dan daun rokok. Perlahan-lahan dia mengapankan tembakau dengan daun rokok. Matanya tajam menenung Salman. Rodhi kemudiannya perlahan-lahan mengeluarkan mancis. Dia menggores mancis dan menyalakan rokoknya. Dihelanya asap rokok dan melepaskannya perlahan. Mancis di tangannya masih menyala.
Rodhi menjeling tong belerang di bawah meja kerjanya. Ada beberapa kelongsong bom separuh siap di dalam tong itu. Rodhi menjentik kayu mancis yang masih menyala ke arah meja kerjanya. Mancis itu mendarat tepat atas timbunan belerang di dalam tong.
Dan. Satu ledakan bebola api yang kuat menggegarkan rimba. Daun-daun pokok gugur terperanjat. Asap kelabu merebak menyelimutkan hijau dedaunan. Seusai ini semua, rimba itu menjadi senyap. Sesunyi kawasan perkuburan
4
Tok Penghulu, tentera Inggeris dan orang-orang kampung sampai ke markas gerila. Mereka mencarinya mengikut arah ledakan. Kedengaran tepuk sayap unggas kembali ke sarang mereka. Mungkin mahu memeriksa telur atau anak mereka. Asap tadi sudah reda.
Seorang soldadu Inggeris memandang ke arah Tok Penghulu, “Tiada bukti Wan Sulong dan Rodhi sudah mati. Tiada hadiah untuk kamu.”
Tok Penghulu hanya bermasam muka. Dahinya berkerut. Lima orang kampung mati dan satu soldadu Inggeris berasal dari India juga mati ditembak. Semuanya angkara Wan Sulong. Dia juga berjaya. Lima belas gerila militan juga mati diracun tetapi matlamat utamanya memerangkap Wan Sulong dan Rodhi tidak tercapai.
Tiada mayat ditemui. Hanya kemburan tanah berlubang, tiga depa lebar, dua depa dalam. Ungka dan lontong kembali bersahut-sahutan memecahkan sunyi rimba. Bunyi mereka mencari pasangan untuk mengawan terus menguasai hutan.
.................
MENGEJAR PEMBUNUH Sotchai nampak pembunuh yang mereka cari berjalan menuju ke stesen bas. Dia segera menelefon sahabatnya yang tiga lagi. Mereka berkumpul semula di pekan. Sotchai memaklumkan bahawa pembunuh itu berbaju kurung kuning, bertudung putih dan membawa beg. Kawan-kawannya tiba agak lewat. Pembunuh itu sudah menaiki bas dan bas itu telah bertolak menuju ke Selatan. Celaka.
“Sotchai, cepat masuk kereta. Kita kejar bas itu.”
Tidak sampai lima minit memandu, mereka sudah nampak bas itu. Bas itu tidak laju. Ia sarat dengan manusia. Penuh macam tin sardin. Dengan segera kereta mereka memintas ke hadapan bas itu. Menyekat perjalanannya.
Sotchai dan kawan-kawannya yang tiga lagi naik ke dalam bas. Penumpang-penumpang yang tadinya bising kerana bas tidak bergerak senyap serta merta apabila melihat pistol di tangan Sotchai dan kawan-kawannya.
Sotchai mengarahkan penumpang yang berdiri mengosongkan bas dengan segera. Seorang demi seorang turun dari bas. Setelah keluar dari bas, mereka terus lari sekuat hati jauh dari bas itu. Pemandu dan konduktor bas juga turut lari.
Tiga suku isi bas telah turun, barulah Sotchai dan kawan-kawanya sedar bahawa pembunuh yang mereka cari telah lolos. Pintu kecemasan di bahagian belakang bas terbuka. Pemburuan mereka menemukan jalan buntu lagi. Licik sungguh pembunuh itu. Celaka.
Sotchai menjerit di pintu kecemasan di belakang bas, “Pengecut!”
Ting! Ting! Ting! Tiba-tiba lonceng bas berbunyi. Sotchai dan kawan-kawannya menoleh ke hadapan bas. Pembunuh yang mereka cari berdiri di sebelah kerusi pemandu. Dia berbaju kurung kuning, bertudung putih dan membawa beg. Dia mengacukan pistol dengan tangan kiri sambil tangan kanannya menekan-nekan punat lonceng bas. Celaka.
Rupanya pembunuh itu sedar dengan kehadiran Sotchai dan kawan-kawannya. Dia turun ikut pintu kecemasan di belakang bas, lari ke hadapan dan naik pula ikut pintu depan.
Bang! Bang! Bang! Bang! Penumpang yang masih berada di dalam bas menjerit-jerit ketakutan bila tembakan mula dilepaskan. Mereka berselindung di belakang kerusi. Kemudian suasana menjadi sunyi. Lima minit kemudia baru mereka berani angkat kepala. Didapati tiga tubuh terkujur di lantai bas. Darah bagai lecak sepenuh lantai bas.
Sotchai juga terbaring tetapi dia belum mati. Belum lagi. Matanya tidak nampak apa-apa. Gelap segelap-gelapnya. Dia merasakan darah keluar memancut dari dadanya walaupun dia sudah menekap dengan tapak tangan. Telinga mendengar sepasang kasut melangkah keluar dari bas. Kemudian enjin kereta berbunyi meninggalkan tempat kejadian. Dia tahu itu kereta kawannya. Pembunuh itu telah mencuri kereta kawannya. Celaka.