Khamis, Oktober 29, 2026

107 MAKAN DALAM HUTAN

Kalau 40 orang pergi bikecamping, ada dua pilihan untuk urusan memasak. Pertama, masak rewang satu hidangan secara beramai-ramai. Cara ini lebih menjimatkan kos kerana bahan mentah boleh dibeli secara pukal. Kerja memasak dan peralatan juga boleh dikongsi. Paling penting, aktiviti ini mengeratkan hubungan sesama peserta. Cuma, kita perlukan periuk besar, dapur yang sesuai dan pembahagian tugas yang adil. Jangan sampai dua tiga orang sahaja yang sibuk memasak, yang lain tunggu makan!

Peralatan masak seperti dapur dan periuk besar boleh dibawa menggunakan pengangkutan sokongan seperti motor dengan bakul besar atau kereta pacuan 4 roda, tapi konsep mandiri dan maruah pengayuh terkorban.

Pilihan kedua, setiap orang masak hidangan sendiri. Cara ini lebih bebas kerana masing-masing boleh memilih menu, mengawal saiz hidangan dan memasak mengikut masa dan selera sendiri. Namun, kos bahan api dan peralatan mungkin meningkat kerana banyak perkara perlu dibawa berulang kali. Kawasan memasak juga boleh menjadi sesak, manakala kerja membasuh peralatan dilakukan secara berasingan. Orang yang tidak pandai masak akan telan air liur melihat orang yang pandai masak. 

Pada pendapat aku, cara terbaik ialah gabungkan kedua-duanya. Bahagikan 40 peserta kepada lima kumpulan, lapan orang setiap kumpulan. Setiap kumpulan menyediakan satu hidangan untuk dikongsi bersama. Cara ini lebih praktikal, beban kerja dapat dibahagikan dan semangat kebersamaan tetap terpelihara. Kita datang untuk berbasikal dan berkhemah bersama-sama, konsep mandiri pun masih terjaga. 

Selasa, Oktober 27, 2026

106 BAJET BOCOR LAGI BIKECAMP

Tarikh: 3-4 Oktober 2026

Lokasi: Pulau Mawar, Mersing.

1. Aku dalam proses penyembuhan sakit belakang, maka aku berhati-hati tidak buas sangat bermain. Aku banyak lepak di khemah dan memerhati sahaja. 

2. Sebenarnya Bajet Bocor Lagi (BBL) ini adalah evolusi dari Smol Gath yang dulunya guna slogan Bersekutu Bertambah Lucu. Orang-orang kuatnya masih sama iaitu geng PNWO dan WB26. Serta, komuniti-komuniti basikal berhampiran. Sokongan kolektif basikal Semenanjung hingga ke Singapura sangat padu mencecah 200 peserta.

3. Bentuk permainan dan agenda BBL punya personaliti tersendiri. Antara banyak-banyak, permainan meniti jambatan dengan basikal tandem sangatlah berani. Titi dibuat dari papan dan buluh dalam air laut. Perancangan awalnya, jika basikal jatuh, peserta masuk laut. Namun begitu, air surut masa itu. Peserta jatuh ke selut. Apa pun, tetap meriah. 

4. Pada 3 Oktober aku kayuh Pulau Mawar ke Teluk Buih. Sarapan, dan pulang. Pada 4 Oktober, kayuh Pulau Mawar ke Pasir Lanun. Tidak sangka pula aku boleh habiskan bukit viral Penyabung-Pasir Lanun. 

Sekian laporan. 

Jumaat, Ogos 28, 2026

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026.

Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan. Dari Johor, perjalanan darat memang jauh, tetapi kali ini terasa berbaloi kerana destinasi kami ialah Selatan Thailand yang eksotik, untuk menyertai Bike Culture Yala.

Team Johor kali ini terdiri daripada aku, Akak Kau, Jo dan Asri. Setibanya di Kota Bharu, kami mengambil Li Zali sebagai pemandu arah. Dia memang biasa bermain basikal di Selatan Thailand, jadi kami serahkan sahaja perjalanan kepada orang yang lebih tahu jalan dan tempat.

Kami menyusuri pesisir pantai Narathiwat sambil singgah di beberapa tempat makan yang menarik. Makanan di sini memang salah satu sebab aku suka datang ke Selatan Thailand. Sedap, sederhana dan mesra dompet.

Di Pattani, kami bermalam dua malam di homestay. Hari dihabiskan dengan berkayuh dan menjelajah kawasan sekitar. Sebelum pergi Lim ada berpesan agar menziarahi masjid. Kami akur dengan dakwah itu dan singgah di beberapa masjid yang mempunyai kaitan dengan sejarah dan perkembangan Islam di Patani. Kami juga melihat cara tradisional menghasilkan garam manis di sebuah ladang garam.

Satu lagi tempat yang menarik ialah Patani Art Space. Kebetulan pula ada pameran Kenduri Seni ketika kami sampai. Menarik melihat bagaimana seni hidup dalam suasana masyarakat setempat, tidak terpisah daripada budaya dan kehidupan harian. 

Yang paling memberi kesan kepada aku adalah satu installation berupa binaan berbumbung singgora. Di dalam binaan lebh kurang 9 x 12 kaki ini ada sehelai kain putih tergantung bagai langsir. "Mati" tertulis dalam jawi di atas kain ini. Dinding struktur ini adalah zing-zing bocor seribu lubang peluru. Dikhabarkan kepada aku, ini perlindungan seorang pejuang pemisah yang diserbu dan ditembak soldadu.

Bab sarapan pula memang menarik. Kami tidak mencari tempat yang nampak hebat. Kami ikut pilihan orang tempatan dan bersarapan di gerai-gerai sederhana. Di situlah biasanya makanan yang paling sedap ditemukan.

Bahasa di sini terasa asing walaupun dekat dengan Malaysia. Bahasa Thai digunakan secara meluas, sementara bahasa Melayu Patani pula mempunyai bunyi dan lenggok yang berbeza daripada bahasa Melayu yang biasa aku dengar. Berada di sini membuatkan aku sedar bahawa sempadan negara tidak semestinya memisahkan budaya dan bahasa.

Aku cuba bercakap dengan makcik-makcik yang merebus udang geragau di pinggir jalan. Makcik itu menegur mesra, "Maghi mano, kecek pelek." (Datang dari mana, pelik sekali pertuturan). 

Tiba-tiba teringatkan ayat quran yang sering dicetak atas kad jemputan kahwin:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). " Al-Hujuraat 49:13

Kemudian kami sampai di Yala. Selama dua malam, kami berkhemah di sebuah taman pulau di tengah tasik bandar Yala. Di sinilah berkumpulnya kira-kira 200 peserta, separuh dari Malaysia dan separuh lagi dari Thailand. Ramai juga kawan basikal dari Johor dan negeri-negeri lain di Malaysia yang aku pernah temui di kayuhan lain. Geng Puak Pelampau yang turut serta adalah Faqeh dan Irwan. 

Oleh kerana ada pengayuh dari Thailand dan Malaysia, acara ini dijalankan dengan dwi-bahasa. Li Zali bertindak sebagai juruacara untuk Bahasa Melayu. Kalau dia tidak sibuk mengacara majlis, dia sibuk melawat-lawat khemah macam menteri.

Pelbagai aktiviti kebasikalan dan persembahan diadakan termasuklah kayuhan sekitar bandar Yala. Yang paling menarik perhatian aku ialah persembahan wayang kulit moden. Tradisi lama tetapi dibawa dengan pendekatan yang segar. Aku suka benda-benda begini.

Cuaca di Yala memang bahang. Malam pun tidak banyak membantu. Aku tidur di atas tanah, hanya beralas permaidani, beratapkan langit bersebelah dengan Faqeh. Aku beberapa kali mandi di bilik air lutsinar sementara yang disediakan. Air dari pili mencurah dalam tong. Aku ceduk dan jirus ke badan. Berkali-kali mandi pun masih terasa panas. Kembali ke khemah, badan berpeluh lagi.

Selepas acara, kami bergerak ke Garden Camp di Sukhirin daerah Narathiwat untuk satu malam lagi. Kem ini milik Tek, seorang pengayuh Thailand. Suasananya berbeza, sepi di dalam dusun durian di sempadan hutan simpan. Kami mandi di sungai dan tidur di bangsal yang selesa. Selepas beberapa hari yang agak sibuk, tempat ini terasa tenang dan nyaman. Bunyi unggas dan suasana hutan cukup untuk menenangkan kepala. Di sini aku tidur atas pangkin kayu tetapi lenanya kalah tilam homestay.

Perjalanan ini bukan sekadar tentang kayuhan. Ia tentang kawan-kawan, makanan, tempat baharu dan pengalaman merentas sempadan. Melepasi pemeriksaan kastam dan imigresen agak mencemaskan tetapi makan sedap dan murah. Apa lagi yang hendak dikeluhkan?

Rabu, Jun 24, 2026

104 KEBAS 2

Aku sudah siap mengumpulkan artikel untuk Kebas 2. Setelah semuanya selesai, aku cetak sebanyak 100 naskhah. Rasa puas juga apabila melihat hasil yang selama ini hanya berada dalam fail dan komputer akhirnya menjadi sebuah zine yang boleh dipegang.

Beberapa naskhah sudah terjual. Selebihnya masih tersimpan kemas di dalam kotak.

Di sinilah masalahnya. Aku bukan jurujual yang baik.

Aku boleh menulis, menyunting, mengumpulkan artikel dan mencetak zine. Tetapi apabila sampai kepada bab menjualnya, aku jadi serba salah. Hendak mempromosikan pun rasa kekok. Hendak memujuk orang membeli, jauh sekali.

Akhirnya, 100 naskhah yang aku cetak itu lebih banyak duduk diam di dalam kotak daripada berpindah ke tangan pembaca.

Mungkin begitulah nasib sesuatu yang dibuat kerana minat. Kita ghairah menghasilkan sesuatu, tetapi tidak semestinya pandai menjualnya.


103 BLACK WATER BIKECAMP


Black Water Bikecamp dianjurkan oleh Yem, adik aku sendiri. Aku cuma bantu buatkan poster promosi. Acara kecil-kecilan ini berlangsung sempena Awal Muharam, pada 16 hingga 17 Jun 2026, di Black Water Orchard, sebidang dusun durian di kawasan Air Hitam, Johor.

Kami cuma 15 orang, jadi suasananya memang santai dan mesra. Tidak perlu acara besar-besar. Cukup dengan kawan-kawan, basikal, khemah dan dusun durian.

Kebetulan pula ketika itu musim durian. Memang rezeki kami. Durian gugur, kami kutip dan terus makan. Durian dibawa ke tempat berkumpul untuk dikongsi bersama. Selain makan durian, kami juga masak-masak. Bila sudah berkumpul ramai-ramai, makanan biasa pun terasa lebih sedap.

Sudah tentu, kami tidak hanya duduk di kebun. Kami juga keluar berkayuh dan melawat beberapa tempat di sekitar kawasan tersebut, antaranya Olak Batu, Sungai Biuh, Sawah Sagil dan Tasik Biru.

Dua hari itu berlalu dengan cukup santai. Berkayuh, berkhemah, memasak dan makan durian bersama-sama. Tidak perlu acara yang terlalu besar atau jadual yang terlalu padat.

Kadang-kadang, yang kita perlukan hanyalah sebuah tempat yang tenang, beberapa orang kawan dan basikal untuk membawa kita ke tempat-tempat yang belum pernah kita lihat. Memang seronok dapat berkayuh dan berkhemah bersama kawan-kawan. Lebih-lebih lagi apabila berkhemah di tengah kebun durian pada musim durian. Itu memang bonus.

102 RIMBASIKAL BIKECAMP

Rimbasikal Bikecamp sulung telah berlangsung pada 6 hingga 7 Jun 2026 di Chekgu Mary Campsite.

Perkhemahan menghimpunkan sekitar 120 peserta. Acara ini dianjurkan bersama oleh Bikedaily, Uda Trasher, Wild Boar 26 dan Puak Pelampau.

Aku sendiri ambil tugas sebagai setiausaha, manakala Akak Kau menguruskan bahagian kewangan sebagai bendahari.

Seronok juga apabila dapat beramah mesra dengan kawan-kawan basikal dari pelbagai tempat. Ada yang datang dari jauh, termasuk dari Terengganu dan Kuala Lumpur. Ada juga yang datang dari Singapura, merentas sempadan semata-mata untuk berkhemah dan berbasikal bersama.

Sepanjang dua hari acara berlangsung, pelbagai aktiviti berkaitan perkhemahan dan basikal diadakan. Ada sukaneka, perlumbaan dan persembahan. Namun, aktiviti yang paling mendapat sambutan ialah perlumbaan dengan pakaian beragam atau kostum.

Sebelum acara bermula, aku sebenarnya agak risau. Menguruskan acara yang melibatkan seramai 120 peserta bukan perkara kecil. Macam-macam perkara bermain dalam kepala. Takut ada yang tidak menjadi, takut peserta tidak seronok dan takut usaha kami tidak seperti yang diharapkan.

Namun, semua kerisauan itu perlahan-lahan hilang apabila melihat peserta bergembira. Ada yang ketawa, ada yang bersaing dan ada yang datang berlumba dengan kostum yang lucu-lucu. Itulah sebenarnya yang kami mahu.

Akhirnya, apabila semua orang pulang dengan senyuman, rasa penat pun macam hilang sedikit.

Rimbasikal Bikecamp bukan sekadar acara berbasikal. Ia tentang berkumpul, berkhemah, berkawan dan meraikan budaya basikal dengan cara kami sendiri.

Rabu, Jun 03, 2026

101 YONG & DIJIRUS 2

Aku dan kawan-kawan kembali ke Sungai Yong pada 29 hingga 31 Mei 2026. Padahal, baru bulan lepas, pada 18 April 2026, kami datang ke sini. Seperti yang aku katakan dahulu, setakat dua hari satu malam di dalam hutan memang tidak cukup untuk menyembuhkan diri. Rombongan aku kali ini terdiri daripada 10 orang, semuanya berbasikal.

Setibanya di sana, kami dapati ada lapan orang Renjer Komuniti yang sudah berkhemah di situ. Kami berbasa-basi ala kadar dan mendirikan khemah pada jarak yang selesa. Renjer Komuniti ialah barisan hadapan tempatan yang dilantik oleh kerajaan untuk melindungi khazanah sumber asli dan hidupan liar Malaysia daripada pencerobohan serta pembalakan haram. Mereka terdiri daripada komuniti Orang Asli, veteran tentera dan penduduk setempat. Program ini dijalankan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti.

Dari jauh, aku mengagumi pondok mereka. Tiang-tiangnya dipacak ke bumi sedalam sekaki. Mereka menggantung hammock pada tiang, bukan pada pokok. Pun begitu, hayunan mereka kelihatan teguh dan tidak bergoyang. Esoknya, apabila mereka sudah beredar pulang, aku mengkaji kayu-kayan yang mereka gunakan. Tiang dan gelagar pondok bertemu dalam sambungan tanggam. Patutlah kukuh.

Hutan ini kini milik kumpulan kami. Sunyi dan menenangkan.

Dari sudut psikologi dan sosial, menjaga jarak fizikal membantu mengurangkan tekanan, keresahan dan rasa terancam, sekali gus membolehkan individu berinteraksi dengan lebih tenang dan rasional. Oleh itu, menghormati jarak fizikal bukanlah tanda menjauhkan diri secara sosial, sebaliknya merupakan satu amalan beradab demi keharmonian hidup bermasyarakat.

Sekitar pukul 2 petang, datang kira-kira 15 buah kenderaan pacuan empat roda. Mereka membawa peralatan perkhemahan yang besar dan mewah, siap dengan perabot. Mereka mampu berbuat begitu kerana datang dengan kereta.

Mereka segera membangunkan khemah dan memasang lampu yang menerangi kawasan hutan.

Hutan ini kini milik mereka. Riuh dan kecoh. 

Aku tidak selesa dengan sikap mereka yang meletakkan kereta begitu hampir dengan tempat kami berkhemah. Kereta mereka cuma sedepa dari kami. Dalam hutan yang luas ini, kenapa hendak parkir di situ?

Mors mengangkat khemahnya dan berpindah sedikit lebih dekat dengan sungai. Aku tidak berpindah kerana berhampiran sungai tiada pokok yang sesuai untuk menggantung hayunan. Aku hadapi juga perangai mereka. Mereka membuka meja dan meletakkan dapur memasak begitu hampir denganku.

Aku tiada mood untuk konflik terbuka. Aku cuma membalas dengan menyidai seluar dalam pada tali hayunan, sedepa dari dapur memasak mereka.

Esoknya, mereka berkemas dan pulang lebih awal daripada kami. Mereka meninggalkan sampah di dalam hutan walaupun ada ruang untuk membawanya pulang di dalam kereta mereka. 

Mereka orang berduit, namun duit mereka tidak mampu membeli adab.

Rabu, April 15, 2026

100 Yong dan Dijirus.


Siri filem Young and Dangerous (1996-1998) merupakan himpunan filem tentang kongsi gelap Hong Kong. Ia bukan sekadar kisah samseng semata-mata, sebaliknya ia menggarap naratif kesetiaan dan tekanan untuk menjadi seseorang yang dihormati dalam sistem sosial yang keras dan tidak berbelas kasihan. Watak-watak seperti Chan Ho Nam dan Chicken bukanlah wira sempurna; mereka melakukan kesilapan dan sering terperangkap antara kepentingan persahabatan dan cita-cita peribadi. Siri ini amat popular di Hong Kong dan telah melahirkan sembilan sekuel serta filem spin-off.

Tidak manislah jika aku samakan petualangan baharu aku ini Young and Dangerous kerana kami tidak muda dan tempat yang kami lawati tidaklah bahaya mana. Tajuk yang lebih tepat ialah Yong dan Dijirus kerana nama tempatnya Sungai Yong dan kami basah dijirus hujan.

Begini ceritanya; pada 18-19 April 2026 ada rombongan basikal ke hutan Sungai Yong. Aku, Akak Kau, Yem, Tony dan Dura carpool dengan powil (4WD) sampai tempat letak kereta Taman Eko Rimba Gunung Belumut, Kluang. Dari di situ kami ikut rombongan berbasikal ke tapak perkhemahan hutan Sungai Yong, 80% denai kelapa sawit dan 20% denai hutan. Jalur ke lokasi menawarkan pengalaman lasak sederhana bagi pengembara yang ingin menikmati keindahan alam yang masih terpelihara.

Ini merupakan rombongan bikepacking terbesar yang pernah aku sertai setakat ini, 50 biji basikal semuanya, dan diikuti dengan satu powil milik malim gunung. Ramai yang tidak sabar mahu lari ke hutan setelah enam bulan merayakan aidilfitri dan musim tengkujuh di rumah. Begitu juga aku, kembali ke hutan meredah selut dan bertarung dengan bukit-bukau. Setakat mendorong basikal mendaki, calar di kaki, dan tenda bocor apalah sangat. Nikmat menghirup udara hutan yang segar dan memandang kehijauan dedaunan tidak boleh dinilai dengan wang.

Aliran air Sungai Yong jernih dan persekitarannya hutan tropika yang rimbun dan tenang. Air terjun bertingkatnya mengalir melalui batu-batuan granit ke kolam semula jadi, sesuai untuk mandi-manda ringan, berkelah, dan fotografi alam. Akan ku pahat detik indah bercanda dengan sahabat-sahabat sambil berendam dalam sungai, dan sekali sekala mendung singgah menjirus rintik-rintik gerimis membasahi kami yang sudah sedia lencun. Kami terus nongkrong hingga suria menunjukkan muka. Kemudian, kami menyusuri tebing bebatuan licin Sungai Yong 30 minit untuk bertemu air terjun dua tingkat 90 meter tinggi. Pulang dari air terjun, kami buat aktiviti khemah biasa, memasak dan main air lagi.

Malamnya, aku tidur awal, lena dalam buaian. Esoknya bangun mengeluh, 2 hari 1 malam mana cukup. Bermalas-malasan aku mengemas barang.

Ketika perjalanan pulang, powil malim sangkut di selut. Sepertinya hutan tahu kami masih belum puas bermain. Dalam keadaan getir dan berlumpur, tubuh keringat membasahi bumi itu pun kami masih bergurau, membahan satu sama lain. Hujan lebat membuat suasana lebih dramatik.

Pembelajaran bukan sahaja berlaku di sekolah, di hutan juga banyak pelajaran. Kami belajar cara-cara mengurus risiko, 100 cara-cara yang tidak efektif untuk menaikkan powil keluar dari lumpur dan untuk sentiasa bertenang menghadapi musibah. Satu jam juga kami berusaha mengerjakannya, kemudian kami mengalah.

Powil kena tunggu jentera penyelamat datang untuk menarik dengan kabel winch. 50 basikal gerak dahulu dan selamat pergi dan pulang. Sungai Yong, Hutan Belumut, insya-Allah kita jumpa lagi.

Oleh kerana aku pun pemilik powil, rasa simpati dan empati aku kepada malim pemilik powil sangat tebal. Pemilik powil punya pertalian sengsara yang sama. Kami ini anak tiri kerajaan. 

Dalam satu bulan, powil diesel aku minum kurang 1 liter minyak. Jimatkan? Dia duduk di rumah, tidak merayau ke mana-mana sebab diesel terlalu mahal. Sebelum perang, harganya RM3/liter dan sebulan perang harganya cecah RM6/liter.

Bulan puasa 2026, US dan Israel menyerang Iran. Rantau itu bergolak kerana kejiranan pun main peranan bersengkongkol. Agihan minyak di serata dunia jadi terjejas. Harga minyak melambung, bekalannya tercatu. 

Di Malaysia ini, yang paling terasa adalah dieselians kerana tiada subsidi daripada kerajaan. Dieselians ini dikira anak tiri kerajaan la. Kami difitnah kaya raya (Semoga jadi kebenaran. Amin), maka kami dianggap tidak memerlukan subsidi.

Aku tunggu ada acara basikal hutan, baru powil berbaloi digerakkan. Hari-hari biasa berselimutlah ia di depan rumah. 

Bila pulang dari petualangan, seperti biasa, aku sunting video rakaman cubaan menaikkan powil dari lumpur dan memuat naik ke media sosial. Meletup tular video itu berbanding video-video lain milik aku. Ia banyak mendapat komen. Berbanding Tiktok dan Facebook, netizen di Instagramlah yang paling toksik. Mereka mengecam penggunaan tayar piawai yang belum ditukar ke tayar mesra lumpur hutan. Mereka menggunakan kata kesat seperti "bodoh" dan "baghal." Dulu, semasa tiada sosial media, kebiadapan rakyat ini tersembunyi. Bila sudah ada media sosial, mereka mendedahkan aib keperibadian sendiri dengan penggunaan kata-kata nista.

Aku ulang semula, pembelajaran bukan sahaja berlaku di sekolah, di hutan juga banyak pelajaran. Pelajaran yang dapat daripada kesilapan lebih kekal di ingatan berbanding pelajaran yang dibaca daripada buku. Oleh itu, telan sahajalah kecaman netizen. Tidak luak pun kegembiraan kami. 

Apa agaknya pelajaran lain akan datang.

Selasa, April 14, 2026

99 KEMBALI BERKAYUH



Sudah lama aku tidak berkayuh. Bermula bulan November 2025 hingga Februari 2026, musim hujan mengambil alih rutin harian. Laluan menjadi licin, risiko meningkat, dan pada masa yang sama terdapat larangan masuk ke kawasan hutan. Kesemua faktor ini menjadikan aktiviti berbasikal terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Memasuki bulan Mac dan April, tumpuan pula beralih kepada ibadah puasa dan sambutan Hari Raya. Waktu tenaga dan masa menjadi lebih terhad, dan kayuhan masih belum dapat disambung seperti biasa.

6 bulan berehat. Abang Isa ajak kayuh ke Jeram Rahsia belakang rumah. Aku terus sahut, "Jom!"

Apabila aku akhirnya mula berkayuh semula, perubahan terasa serta-merta. Kecergasan jelas menurun. Nafas menjadi lebih pendek, kaki lebih cepat letih. Bukit-bukit yang pernah aku ratakan dengan yakin tahun lalu kini memaksa aku berhenti dan menolak basikal.

Pokok-pokok sawit belakang rumah seperti mentertawakan aku. Aib siot!

107 MAKAN DALAM HUTAN

Kalau 40 orang pergi bikecamping, ada dua pilihan untuk urusan memasak. Pertama, masak rewang satu hidangan secara beramai-ramai. Cara ini l...