Rabu, Mei 31, 2023

063 ULU SEDILI : PERJALANAN KELUAR

Tepat jam 12 kami bertolak pulang. Ya, secara harfiahnya bertolak kerana pemulaan denai pulang ada selut dan basikal perlu didorong.

Kumpulan Air Tawar berkayuh pantas. Entah apa yang dikejar- realiti dan tamadun manusia? Aku biarkan Atoi mengejar mereka. Aku pula berkayuh santai kerana hati keberatan untuk meninggalkan hutan hujan semula jadi ini. 

Derailleur Cikgu Nazri patah di pejalanan lantas dia pomenkan basikal itu menjadi kelajuan tunggal /single speed. Itupun dia masih laju sehingga putus rantai pula. Cikgu Nazri tidak mudah kalah, jika tidak dapat ke Taman Negara dia beralih ke Ulu Sedili. Sekarang rantainya putus, dia tow basikalnya ke luar dari hutan dengan tali sementara isterinya Lia, mengemudi basikal tanpa rantai itu. 

Berdesup juga perginya.

Derailleur Baan,  anak buahnya, pula terpatah. Ini pun sama, berdesup walaupun single chainring. Apalah makanan Geng Air Tawar ni? Kelapa sawit madu barang kali.

Kayuhan pulang lebih laju berbanding kayuhan datang. Mungkin pokok sudah kenal. Aku pikul sendiri beg sepanjang perjalanan. Bukit-bukau masih sama tapi gurauannya tidaklah kasar sangat. 2-3 kali juga aku jatuh kerana kelajuan. Adat la tu. Kemalangan yang paling teruk adalah terlanggar dahan kayu mati dan aku jatuh tergolek ke dalam belukar. Aku bangkit dan mengebas habuk dan terus sambung semula perjalanan.

Setibanya aku di pintu ladang, petugas Bangladesh yang menjaga pintu menyerahkan selipar aku yang tercicir. Alhamdulillah, panjang jodoh aku dengan selipar itu. Dia jumpa di denai katanya.

Tayar basikal Atoi bocor (bocor 4) sebelum masuk ke jalan tar. Bocor lagi, Macam iklan lampin budak dah. Dia segera membaiki tayar dengan tiub rizab yang terakhir dan berkayuh ke arah Surau Sungai Ara yang jaraknya hanya  5 km lagi.

Lengkaplah cerita 3 hari 2 malam apabila kami tiba semula di Surau Sungai Ara, garis penamat. Dan, aku jumpa semula rokok aku. Ia masih ada di atas tembok surau tempat aku tinggalkan. Kalau sekotak rokok itu boleh bercakap, pastinya dia berkata, "Tak ajak."

062 ULU SEDILI: PERKHEMAHAN


6.30 petang kami  sampai di tapak perkhemahan. Setibanya di situ tayar basikal Atoi bocor lagi. Atoi segera menampal (Bocor 2). Lepas tampal bocor lagi.(Bocor 3). Setelah dikaji-kaji baru jumpa punca durinya.

Ketua kumpulan Air Tawar, Cikgu Nazri dan Acai menyambut kami dengan baik. Hari semakin gelap, kami segera mendirikan khemah dan masak untuk makan malam dalam keadaan penat berkayuh. Lepas makan, baru mental dan tubuh kembali segar.

Gen-X membesar ketika Dunhill menaja Piala Malaysia. Pada kami, rokok merupakan gam ikatan silturahim. Malam itu kami berbasa-basi sambil menguaci dan merokok. Sebagai perokok sosial, mungkin aku sebenarnya bukan mengemis rokok tetapi mengemis status sosial. 

Ramai yang tidur awal malam itu, satu-satu mula berdengkur. Perjalanan datang sangat meletihkan. Malam semakin larut. Aku pun masuk khemah dan tidur.

Embun jantan mula menitis di atas dedaunan.

Sebelum Subuh aku dikejutkan oleh suara Dino, geng Seberang Tambak. Awal sungguh dia bangkit memasak mi segera kerana lapar. Selepas sarapan, kumpulan Bukit Hantu dan Geng Seberang Tambak mengikut malim denai, Arep dan Zul hiking mencari air terjun. Kami bergerak menyusur sungai dan kadang-kadang menyeberang. 

Air terjun tidak dijumpai tapi sebagai saguhati Zul membawa pulang lauk makan malam ke tapak perkhemahan. 

Baan teruja melihat lauk yang Zul bawa dan petang itu dia pula pergi mencari lauk dan membawa pulang beberapa kilo lagi. Ahli-ahli perkemahan bergilir-gilir bergambar dengan lauk yang diperolehi seolah-olah kamilah yang mengusahakannya.

Malam itu kami makan sedap. 

Lepas makan, kami berbasa-basi bersembang macam biasa. Arip membawa cerita-cerita misteri jam 12 dan Geng Temasik berkongsi kisah scene basikal Singapura. Nak dijadikan cerita, terbongkar sejarah bahawa aku dan Cikgu Nazri pernah tinggal di Blok C, Flat Bukit Chagar. Bukan itu sahaja, dia juga suka makan soto arwah mentua aku di Blok A. 

Cuma, tempatnya sama tetapi masanya berbeza. Waktu Cikgu Nazri masuk Flat Bukit Chagar, aku sudah bermusafir menuntut ilmu di negeri orang putih.

Bila malam semakin larut, tinggal 2-3 orang sahaja yang larat bercengkang mata. Aku mendengar perbualan dari atas hammock hingga tertidur.

Pagi hari terakhir kami bersarapan dan berkemas.



Selasa, Mei 30, 2023

061 HUTAN ULU SEDILI : PERJALANAN MASUK

Aku tertinggal sekotak rokok atas tembok Surau Sungai Ara, tempat kami parkir kereta dan mengemas-ngemas basikal. Di sinilah garis permulaan kayuhan perkhemahan basikal ke Ulu Sedili selama 3 hari 2 malam. 

Kayuhan kali ini dianjurkan oleh kumpulan Basikal Lasak Air Tawar. Selain dari kami, geng lain yang turut serta adalah Geng Tiram dan Geng Seberang Tambak. Kekuatan kami berjumlah 16 pengayuh.

Aku ini bukanlah perokok tegar. Aku hanya perokok sosial yang merancang menggunakan rokok sebagai alat pencetus "brotherhood" di kalangan geng-geng yang bakal dikenali. Sekarang rokok aku sudah tercicir menjadikan markah abang besar turun beberapa tangga. 

Petualangan Ulu Sedili merupakan pelan C. Pelan A asalnya mahu ke Taman Negara sebelum Ramadan tetapi hujan lebat turun di Selatan Malaysia hingga bah tempat yang di tuju. Pelan B pula menuju tempat yang sama tetapi pada hari lain. Malangnya, sehari sebelum hari bahagia, kami mendapat  berita permit hutan tidak lulus kerana tempat dituju masih rosak belum dipulih akibat banjir yang lepas. 

Apa pun, tidak guna mengenang rokok yang kehilangan itu. Orang lain masalahnya lebih parah dari keciciran rokok. Contohnya, tayar basikal Atoi bocor sebelum kayuhan bermula (Bocor 1).

Kehilangan dan penemuan menawarkan pandangan tentang sifat sementara kehidupan, pentingnya penghargaan dan rasa syukur, serta perlunya ketahanan dan kemampuan beradaptasi dalam menghadapi perubahan dan kesulitan. Pengajaran ini mendorong kita untuk merangkumi perubahan dan menghargai momen sekarang, dengan memahami bahawa tiada apa yang kekal statik selamanya. (Apa yang aku merepek ni? Perenggan ini aku minta ChatGPT sunting sebab jari aku dah penat menaip.)

Tidak mahu mengalah, Cikgu Nazri merancang Pelan C ke Hutan Simpan Ulu Sedili pula. Geng Air Tawar, Tiram dan Seberang Tambak berlepas seawal jam 9 pagi tetapi kami dari kumpulan basikal Bukit Hantu berlepas jam 2 petang kerana ada ahli kami yang mengikuti peperiksaan penting pada paginya.

Kumpulan Bukit Hantu terdiri dari aku, Akak Kau, Atoi, dan Dura The Explorer.

Satu perkara yang aku belajar tentang perkhemahan berbasikal ke dalam belantara adalah barang mesti diikat kemas ke basikal atau badan. Masing-masing memikul beban 10-20 kg bekalan dan pekakasan. Jangan ada digantung-gantung bergoyang-goyang macam tanglung. Denai hutan kasar bergerutu, berlopak, bersemak-samun dan berbukit bukau. Barang sangat mudah tercicir apabila basikal bergegar. Dalam perjalanan pergi aku tercicir dan kehilangan selipar sepasang dan dalam perjalanan pulang pula aku kehilangan lampu basikal. Jodoh tidak panjang.

Biar hilang dunia, jangan hilang sabar. Di atas jalan tar di kampus, 25 km boleh dihabiskan dalam masa sejam. Di atas denai tanah ladang dan hutan, 25 km ini memakan masa 4 jam. Yang melambatkan perjalanan adalah denai yang barai dan kadang-kadang berlumpur. Jika salah pijak, kaki terjelus sampai ke betis. Apabila menyeberang sungai atau pya, penunggang perlu turun mendorong basikal. Basikal pastinya akan bergelumang dengan lumpur. Kayuhan yang awalnya lancar akan mula merisaukan apabila rantai berbunyi kasar menandakan ada lumpur di celah-celahnya.

Mental kami koyak sedikit dalam perjalanan ke tapak perkhemahan kerana kami masuk kepala denai lewat tanpa malim. Malim denai sudah pergi awal bersama kumpulan utama. Mereka ada memasang penanda tetapi jarak satu tanda ke satu tanda lain agak jauh sehingga menimbulkan kesangsian. Dalam perjalanan, kami kurang berhenti makan atau berfoto-fotoan kerana sasaran kami adalah untuk sampai sebelum gelap.

Peha aku kena tersimpul biawak. Mula-mula sebelah kiri, kemudia kanan dan akhirnya dua-dua sekali gus. Bahu aku sengal memikul beg sambil mengayuh. Atoi yang pernah berkerja sambilan sebagai porter menawarkan diri untuk ganti memikul beg. Awalnya aku tolak kerana ego tetapi akhirnya aku mengalah dan menerima tawaran. Terasa beban hilang dari pundak. Aku mengayuh seperti Son Goku baru mendapat tenaga Super Saiyan. Hamekapeha!

Sekitar jam 6 pm kami terserempak dengan malim denai, Arep dan Zul, sedang menghidupkan unggun di tengah jalan. Mereka menanti kami. Alhamdulillah, lega rasanya bertemu mereka. Rungsing juga kalau-kalau tersesat jalan. Arep dan Zul kata, "Sudah dekat."

Kami teruskan kayuhan.


Rabu, Mei 24, 2023

060 GANU TOUR

Ramai orang bercakap tentang mahu ke sana ke sini, tetapi akhirnya tidak pergi ke mana-mana pun. Aku ada cara tersendiri untuk menjalankan sesuatu hingga berjaya.

Mula-mula, aku menetapkan jumlah peserta minimum untuk sesuatu perjalanan. Jika tempat tersebut mempunyai banyak kemudahan, jumlah peserta minimum adalah 2-3 orang bergantung pada kesulitan, dan untuk tempat-tempat yang terpencil seperti hutan belantara, jumlah peserta minimum adalah 7 orang. Biasanya aku akan berhubungan secara peribadi dengan peserta inti ini untuk mendapatkan komitmen mereka.

Kemudian, aku akan mencadangkan laluan perjalanan kepada kumpulan kecil. Aku akan memberikan peta melalui aplikasi Google Map atau Komoot. Kumpulan kecil ini akan berbincang untuk mencapai kata sepakat mengenai laluan dan jarak.

Setelah itu, aku akan menetapkan jumlah maksimum peserta, iaitu 10 orang untuk laluan yang sibuk dan 14 orang untuk offroad hutan hujan khatulistiwa. Untuk ini, aku akan membuka tawaran di dalam kumpulan Whatsapp basikal. Aku akan mengutip bayaran komitmen. Aku juga akan mengadakan mesyuarat dan mengagihkan tugas kepada setiap individu mengenai apa yang perlu dibawa dan dilakukan. InsyaAllah, petualangan akan menjadi kenyataan.

Dari 28 April hingga 2 Mei 2023, laluan asalnya adalah Marang-Kg. Mangkok-Sungai Payung-Kenyir-Marang, iaitu Ganu Tour. Walaupun perancangan telah dibuat mengenai tempat memulakan perjalanan dan tempat untuk bermalam, aku tetap mengambil kira bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalanku. Kami membawa kemah, dan pilihan terakhir bagi penginapan adalah perkhemahan liar.

Semasa perjalanan ke Marang, kami mendapati Pulau Kekabu di Marang sebagai tempat perkhemahan yang kurang selesa. Oleh itu, kami merujuk Google Map untuk mencari alternatif. Kami menemui Pantai Angin Berbisik di Merchang yang sangat sesuai dan tidak terlalu ramai kerana belum popular. Alhamdulillah, kami tiba di sana pada jam 7.30 malam dan mendapati tempatnya indah dan lengkap dengan kemudahan.

Dalam perancangan kami, kami akan bermalam di House Boat di Kenyir dan esoknya menunggang basikal sejauh 70 km ke Marang untuk menaiki bot ke Pulau Kapas. Terdapat dua perkara yang kami terlepas pandang.

Tidak berbaloi untuk menyewa house boat untuk tempoh penginapan yang singkat. Jika tidak, kami akan berlayar ke tempat-tempat di Tasik Kenyir kerana objektif utama kami adalah berbasikal.

Jarak 70 km dari Kenyir ke Marang agak jauh untuk mengejar bot Pulau Kapas yang berlepas pada pukul 3 petang.

Kami kemudian merujuk Google Map sekali lagi untuk merapatkan jarak perjalanan supaya kami dapat mengejar bot keesokan harinya. Pelan B ialah bermalam di Masjid Kampung Matang, tetapi setibanya di sana, cuaca masih cerah. Jadi, kami memilih Pelan C, iaitu menunggang basikal sehingga waktu Maghrib. Alhamdulillah, kami bertemu dengan Homestay Kak Yah di Kuala Telemong, bersebelahan Masjid Padang Kachong aka Masjid Haji Abdul Rahman Limbong. Tempat ini juga mempunyai sejarah kerana terdapat kubur 12 petani yang ditembak oleh Polis British pada tahun 1928.

Secara umumnya Ganu Tour tidaklah rumit bagi kami. Kecergasan kami berada pada tahap yang cukup, kalau tidak kuat pun. Mental kami juga kuat dan tidak mudah koyak. Banyak ketawa sepanjang kayuhan. Benarlah kata orang, gagal merancang, merancang kegagalan, tetapi sebagai manusia kita hanya boleh merancang. Allah sebaik perancang.

Dalam Ganu Tour, cabaran paling tinggi datang dari gelombang haba. Musim agaknya. Syawal pula mengalami kemalangan kecil dengan terlanggar kereta yang di parkir. Calar sedikit sikunya.  Tetapi, yang paling banyak dugaan adalah Baidura, dompetnya tercicir di Merchang dan kami terpaksa berpatah balik, alarm keretanya buat hal di Merchang, tongkat basikal pula patah di Chenok, dan akhirnya beg pannier Rhinowalknya pecah dalam 10 km sebelum loop selesai. Dia tetap tersenyum dalam tabah.

Tidak semua perkara berada di bawah kawalan kita sepenuhnya. Kita perlu tawakal dan redho dengan takdir yang tersurat untuk kita. Kita perlu jangka akan adanya perubahan  dan menghadapi dugaan yang datang dengan berlapang dada.


COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...