Aliran air Sungai Yong jernih dan persekitarannya hutan tropika yang rimbun dan tenang. Air terjun bertingkatnya mengalir melalui batu-batuan granit ke kolam semula jadi, sesuai untuk mandi-manda ringan, berkelah, dan fotografi alam. Akan ku pahat detik indah bercanda dengan sahabat-sahabat sambil berendam dalam sungai, dan sekali sekala mendung singgah menjirus rintik-rintik gerimis membasahi kami yang sudah sedia lencun. Kami terus nongkrong hingga suria menunjukkan muka. Kemudian, kami menyusuri tebing bebatuan licin Sungai Yong 30 minit untuk bertemu air terjun dua tingkat 90 meter tinggi. Pulang dari air terjun, kami buat aktiviti khemah biasa, memasak dan main air lagi.
Malamnya, aku tidur awal, lena dalam buaian. Esoknya bangun mengeluh, 2 hari 1 malam mana cukup. Bermalas-malasan aku mengemas barang.
Ketika perjalanan pulang, powil malim sangkut di selut. Sepertinya hutan tahu kami masih belum puas bermain. Dalam keadaan getir dan berlumpur, tubuh keringat membasahi bumi itu pun kami masih bergurau, membahan satu sama lain. Hujan lebat membuat suasana lebih dramatik.
Pembelajaran bukan sahaja berlaku di sekolah, di hutan juga banyak pelajaran. Kami belajar cara-cara mengurus risiko, 100 cara-cara yang tidak efektif untuk menaikkan powil keluar dari lumpur dan untuk sentiasa bertenang menghadapi musibah. Satu jam juga kami berusaha mengerjakannya, kemudian kami mengalah.
Powil kena tunggu jentera penyelamat datang untuk menarik dengan kabel winch. 50 basikal gerak dahulu dan selamat pergi dan pulang. Sungai Yong, Hutan Belumut, insya-Allah kita jumpa lagi.
Oleh kerana aku pun pemilik powil, rasa simpati dan empati aku kepada malim pemilik powil sangat tebal. Pemilik powil punya pertalian sengsara yang sama. Kami ini anak tiri kerajaan.
Dalam satu bulan, powil diesel aku minum kurang 1 liter minyak. Jimatkan? Dia duduk di rumah, tidak merayau ke mana-mana sebab diesel terlalu mahal. Sebelum perang, harganya RM3/liter dan sebulan perang harganya cecah RM6/liter.
Bulan puasa 2026, US dan Israel menyerang Iran. Rantau itu bergolak kerana kejiranan pun main peranan bersengkongkol. Agihan minyak di serata dunia jadi terjejas. Harga minyak melambung, bekalannya tercatu.
Di Malaysia ini, yang paling terasa adalah dieselians kerana tiada subsidi daripada kerajaan. Dieselians ini dikira anak tiri kerajaan la. Kami difitnah kaya raya (Semoga jadi kebenaran. Amin), maka kami dianggap tidak memerlukan subsidi.
Aku tunggu ada acara basikal hutan, baru powil berbaloi digerakkan. Hari-hari biasa berselimutlah ia di depan rumah.
Bila pulang dari petualangan, seperti biasa, aku sunting video rakaman cubaan menaikkan powil dari lumpur dan memuat naik ke media sosial. Meletup tular video itu berbanding video-video lain milik aku. Ia banyak mendapat komen. Berbanding Tiktok dan Facebook, netizen di Instagramlah yang paling toksik. Mereka mengecam penggunaan tayar piawai yang belum ditukar ke tayar mesra lumpur hutan. Mereka menggunakan kata kesat seperti "bodoh" dan "baghal." Dulu, semasa tiada sosial media, kebiadapan rakyat ini tersembunyi. Bila sudah ada media sosial, mereka mendedahkan aib keperibadian sendiri dengan penggunaan kata-kata nista.
Aku ulang semula, pembelajaran bukan sahaja berlaku di sekolah, di hutan juga banyak pelajaran. Pelajaran yang dapat daripada kesilapan lebih kekal di ingatan berbanding pelajaran yang dibaca daripada buku. Oleh itu, telan sahajalah kecaman netizen. Tidak luak pun kegembiraan kami.
Apa agaknya pelajaran lain akan datang.

