Isnin, Ogos 01, 2022

048 MOJO HILANG

Genap 4 bulan berlalu sejak aku pulih daripada Covid tetapi kecergasan aku masih belum kembali 100%. Walaupun sudah negatif, aku masih demam setiap malam hampir 2 bulan. Tubuh aku terasa sejuk hingga ke tulang sum-sum. Aku mahu tidur dengan kipas speed 1 sahaja, cukup untuk udara bergerak dalam bilik. Kakak kau berpeluh-peluh kepanasan kerana biasanya bilik kami menggunakan kipas speed 3. Sebagai jalan tengah, kami set kipas speed 2 di waktu malam dan aku tidur dalam sleeping bag macam kepompong.

Selera makan aku juga hilang. Aku tidak tahu mahu makan apa. Bukan itu sahaja, aku pun tidak tahu mahu buat apa. Aku tidak rasa mahu tengok TV atau melukis. Aku macam kehilangan qi, cakra, mojo atau nafsu untuk hidup. Berat badan aku susut 5 kilogram. Tulang selangka dan rusuk aku berbonjol timbul. Dan perut aku pula lekuk ke dalam.Watak filem paling sesuai untuk aku sekarang ini adalah menjadi tahanan perang buruh paksa landasan keretapi maut di Burma. Jika berat  aku turun satu kilogram lagi, aku boleh dianggap underweight. Aku sudah tambah lubang untuk talipinggang agar seluar aku tidak longgar. Aku anggarkan, sekarang ini aku cuma ada 40% kecergasan sebelum Covid. 

15 hari selepas Covid, aku ada cuba mengayuh di denai biasa Taman Teratai-Jeram 1 tetapi separuh nyawa aku pergi. Aku ambil keputusan untuk rehat dari berkayuh selama 3 bulan sehingga aku kebah.

Bulan ke-4 baru aku berjinak-jinak semula dengan basikal. Mula-mula aku buat 10km atas jalan tar tanpa tanjakan. Aku ada buat 4km offroad dengan satu bukit tetapi terlalu menyiksakan. Aku suruh kawan-kawan teruskan perjalanan dan aku sendiri ambil jalan pintas untuk pulang. 

Setelah beberapa kali melayan jalan tar, sekali lagi aku cuba offroad panjat bukit. Baru 1km menanjak Bukit Lembu, aku sudah lelah. Aku suruh kawan-kawan teruskan perjalanan dan sendirian, aku patah semula ke pangkal jalan secara downhill.

Aku teruskan latihan 2-3 hari sekali di jalan tar untuk 10km ke 15km. Aku cuba masuk offroad semula, loop Senai-Teratai. 5 bulan lepas, loop ini boleh aku habiskan dalam masa sejam tanpa berhenti tetapi sekarang  semudahnya aku bonk teruk di pertengahan jalan. Aku terpaksa minta rakan kayuhkan basikal untuk menanjak bukit. Namun begitu, perlahan-lahan aku kayuh untuk habiskan loop 15km ini. 

Terbaharu, aku boleh habiskan loop offroad 15 km Senai-Teratai yang berbukit bukau dengan elevation terkumpul 250m. Pun begitu, aku kerap berhenti rehat 5-10 minit di setiap puncak bukit. Dan aku masih belum mampu pergi ke scenic view loop ini, Bukit Hantu. Aku rindu Bukit Hantu tapi aku masih belum larat. 

Dan aku gatal tangan daftar diri untuk Benut Fun Ride, 30 km. 30% offroad pada 27 Ogos 2022 mendatang. Aku ada 3 minggu untuk pulihkan tenaga. Hei! kersani mengalirlah dikau menjadi raksa mengisi belikat punggungku agar aku bisa berdiri tegap dan segak bagaikan laksmana Melayu!




COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...