
Bila aku sebut Superstar, kalian mesti fikirkan Dahlan Zainuddin dari Kisah Seorang Biduan. Kalau popular di Malaysia sahaja, belum super lagi.
Jumaat lepas penonton merusuh di Cathay Butterworth kerana kelewatan tayangan filem Sivaji the Boss. Menurut berita, penonton pecahkan 'display' dan mahu bakar panggung. Semuanya gara-gara naskah filem itu lambat sampai ke panggung. Pun begitu, akhirnya mereka tayangkan juga Sivaji the Boss midnight show pada pukul 3 pagi.
Bayangkan 3 pagi tu! Masa untuk tidur menurut P.Ramlee.
Pada hari pembukaannya di Malaysia, Sivaji mengaut RM1/2 juta. Ini baru superstar. Malah atas poster filem, nama pelakon utama ditulis sebagai SUPERSTAR RAJINIKANTH.
Untuk menjadi superstar seperti Rajinikanth, kau perlu memahami jati dirinya. Koreograf prosedur kau memakai cermin mata hitam. Campak rokok kau ke udara dan tangkap dengan bibir. Gores mancis dengan penuh gaya. Cucuh rokok kau.
Penyampaian kata-kata mestilah tajam dan tegas sambil mengacu ke langit jari telunjuk kanan engkau. Setiap gerakan ini mestilah ditemani bunyi kesan khas, "wooosh!"
Dan, engkau mesti makan, jalan dan joget sebagai hero. Pedulikan jika kau hanya memakai dothi, tidak berspandex seperti superhero barat. Kau mesti pakai dothi seperti seorang hero juga. Bela mereka yang tertindas. Perjuangkan kaum yang lemah. Jadilah seorang dewa dan musuh kepada syaitan.
Akhir kata, aku memetik kata-kata hikmat Rajikanth dalam Padayappa apabila menekankan dia tidak seperti manusia biasa yang tidak super, En vazhi thani vazhi ... tadekkathingey! ( Jalan yang aku lalui adalah jalan yang lain dari yang lain... jangan dihalangi!)