Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan. Dari Johor, perjalanan darat memang jauh, tetapi kali ini terasa berbaloi kerana destinasi kami ialah Selatan Thailand yang eksotik, untuk menyertai Bike Culture Yala.
Team Johor kali ini terdiri daripada aku, Akak Kau, Jo dan Asri. Setibanya di Kota Bharu, kami mengambil Li Zali sebagai pemandu arah. Dia memang biasa bermain basikal di Selatan Thailand, jadi kami serahkan sahaja perjalanan kepada orang yang lebih tahu jalan dan tempat.
Kami menyusuri pesisir pantai Narathiwat sambil singgah di beberapa tempat makan yang menarik. Makanan di sini memang salah satu sebab aku suka datang ke Selatan Thailand. Sedap, sederhana dan mesra dompet.
Di Pattani, kami bermalam dua malam di homestay. Hari dihabiskan dengan berkayuh dan menjelajah kawasan sekitar. Sebelum pergi Lim ada berpesan agar menziarahi masjid. Kami akur dengan dakwah itu dan singgah di beberapa masjid yang mempunyai kaitan dengan sejarah dan perkembangan Islam di Patani. Kami juga melihat cara tradisional menghasilkan garam manis di sebuah ladang garam.
Satu lagi tempat yang menarik ialah Patani Art Space. Kebetulan pula ada pameran Kenduri Seni ketika kami sampai. Menarik melihat bagaimana seni hidup dalam suasana masyarakat setempat, tidak terpisah daripada budaya dan kehidupan harian.
Yang paling memberi kesan kepada aku adalah satu installation berupa binaan berbumbung singgora. Di dalam binaan lebh kurang 9 x 12 kaki ini ada sehelai kain putih tergantung bagai langsir. "Mati" tertulis dalam jawi di atas kain ini. Dinding struktur ini adalah zing-zing bocor seribu lubang peluru. Dikhabarkan kepada aku, ini perlindungan seorang pejuang pemisah yang diserbu dan ditembak soldadu.
Bab sarapan pula memang menarik. Kami tidak mencari tempat yang nampak hebat. Kami ikut pilihan orang tempatan dan bersarapan di gerai-gerai sederhana. Di situlah biasanya makanan yang paling sedap ditemukan.
Bahasa di sini terasa asing walaupun dekat dengan Malaysia. Bahasa Thai digunakan secara meluas, sementara bahasa Melayu Patani pula mempunyai bunyi dan lenggok yang berbeza daripada bahasa Melayu yang biasa aku dengar. Berada di sini membuatkan aku sedar bahawa sempadan negara tidak semestinya memisahkan budaya dan bahasa.
Aku cuba bercakap dengan makcik-makcik yang merebus udang geragau di pinggir jalan. Makcik itu menegur mesra, "Maghi mano, kecek pelek." (Datang dari mana, pelik sekali pertuturan).
Tiba-tiba teringatkan ayat quran yang sering dicetak atas kad jemputan kahwin:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). " Al-Hujuraat 49:13
Kemudian kami sampai di Yala. Selama dua malam, kami berkhemah di sebuah taman pulau di tengah tasik bandar Yala. Di sinilah berkumpulnya kira-kira 200 peserta, separuh dari Malaysia dan separuh lagi dari Thailand. Ramai juga kawan basikal dari Johor dan negeri-negeri lain di Malaysia yang aku pernah temui di kayuhan lain. Geng Puak Pelampau yang turut serta adalah Faqeh dan Irwan.
Oleh kerana ada pengayuh dari Thailand dan Malaysia, acara ini dijalankan dengan dwi-bahasa. Li Zali bertindak sebagai juruacara untuk Bahasa Melayu. Kalau dia tidak sibuk mengacara majlis, dia sibuk melawat-lawat khemah macam menteri.
Pelbagai aktiviti kebasikalan dan persembahan diadakan termasuklah kayuhan sekitar bandar Yala. Yang paling menarik perhatian aku ialah persembahan wayang kulit moden. Tradisi lama tetapi dibawa dengan pendekatan yang segar. Aku suka benda-benda begini.
Cuaca di Yala memang bahang. Malam pun tidak banyak membantu. Aku tidur di atas tanah, hanya beralas permaidani, beratapkan langit bersebelah dengan Faqeh. Aku beberapa kali mandi di bilik air lutsinar sementara yang disediakan. Air dari pili mencurah dalam tong. Aku ceduk dan jirus ke badan. Berkali-kali mandi pun masih terasa panas. Kembali ke khemah, badan berpeluh lagi.
Selepas acara, kami bergerak ke Garden Camp di Sukhirin daerah Narathiwat untuk satu malam lagi. Kem ini milik Tek, seorang pengayuh Thailand. Suasananya berbeza, sepi di dalam dusun durian di sempadan hutan simpan. Kami mandi di sungai dan tidur di bangsal yang selesa. Selepas beberapa hari yang agak sibuk, tempat ini terasa tenang dan nyaman. Bunyi unggas dan suasana hutan cukup untuk menenangkan kepala. Di sini aku tidur atas pangkin kayu tetapi lenanya kalah tilam homestay.
Perjalanan ini bukan sekadar tentang kayuhan. Ia tentang kawan-kawan, makanan, tempat baharu dan pengalaman merentas sempadan. Melepasi pemeriksaan kastam dan imigresen agak mencemaskan tetapi makan sedap dan murah. Apa lagi yang hendak dikeluhkan?