Memaparkan catatan dengan label fiksyen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label fiksyen. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 04, 2012

ARWAH NAUFAL

Iskandar memang lembab bab menggunakan telefon bimbit pintar. Ambil masa lama juga untuk dia memahamkan fungsi-fungsi dalam telefon itu. Dahinya berkerut, mata rabun dekatnya terkenyit-kenyit. Kenapalah rumit sangat. 

Andailah Naufal masih hidup.

Dulu, masa arwah Naufal masih hidup, dialah yang rajin tunjukkan bagaimana telefon bimbit pintar itu berfungsi. Malah, kalau Iskandar membiarkan telefonnya di meja, pasti arwahlah yang bermain dengan alat itu. Ada sahaja yang diterokanya. Tapi, dalam kebanyakan masa dia akan main permainan video di dalam telefon itu.

Entah butang mana telah ditekan, tiba-tiba Iskandar bertemu satu fail dengan nama audio01. Iskandar tekan butang itu dan satu paparan berbentuk corong radio keluar. Ada paparan gelombang bunyi juga. Ada butang play. Iskandar tekan lagi.

"Assalamualaikum, saya Naufal bin Iskandar, 7 tahun. Saya akan mendendang satu lagu. Saya tujukan lagu ini ayah dan ibu saya. Lagunya..."

Airmata Iskandar mengalir. Tidak patut. Tidak patut seorang ayah mengkebumikan anaknya sendiri. Itulah kesedihan yang paling agung.

Jumaat, September 14, 2012

DOWNLINE

Di tingkat 15 menara korporat Amazing Product Inc. , ada satu ibu pejabat jualan langsung.

"Kalau kau dapat jual lebih dari 10, kau akan dapat 30% dari harga jualan."

"Kalau kurang dari 10?"

"20% je. Jangan la target rendah."

"In first time saya kerja ni."

"Jangan malas, target tinggi sikit. Agresif sikit."

"Saya cuba Encik Jim," kata Mira sambil membawa beg produk keluar menuju pintu.

"Tapi hati-hati, jangan percaya sangat dengan orang. Kalau mencurigakan cepat-cepat keluar," Encik Jim memberi amaran.

Tapi Mira sudah pun lepas pergi. Hanya daun pintu bergoyang yang tinggal.

Opening Credit dalam bentuk tulisan budak  6 tahun.

Petang di Taman Suria sungguh ceria. Burung-burng bernyanyi riang, cuaca redup tetapi tiada tanda-tanda akan hujan.

Ting. Tong. Ting. Tong. Laung loceng pintu yang ditekan Mira.

Pintu gate berkuasa elektrik terbuka. Mira melangkah masuk dan berdiri di depan pintu rumah memberi salam.

Seorang lelaki bujang membuka pintu. Mira senyum.

"Maaf mengganggu Encik, saya dari syarikat..."

"Nak perkenalkan produk kan?"

"Ya. Produk kami..."

"Masuk la dulu. Duduk. Kita bincang," pemuda pun terus bergerak masuk. Dia menuju ke dapur.

Mira duduk di sofa kelihatan berdebar.

"Tak payah susah-susah encik..."

"Ala, apa susahnya."

Pemuda sediakan dua gelas air sejuk dengan lemon sebagai hiasan. Kemudian, pemuda mengambil pisau tajam mula memotong kek. Mira kelihatan cemas.

Tiba-tiba dari bilik rumah keluar seorang kanak-kanak sekitar 6 tahun. Dia menconteng dinding dengan kapur.

Mira perhatikan dengan penuh kemusykilan.

Lukisan budak itu seperti memberitahu sesuatu.

Bila lukisan itu akhiranya siap, ianya adalah imej orang lidi sedang menikam seorang lain.

Dari luar pintu rumah kedengaran pinggan jatuh. Darah mengalir dari celah bawah pintu.

Sementara itu, di tingkat 15 menara korporat Amazing Product Inc. , Encik Jim kerisauan. Jam sudah 7 malam tetapi Mira belum balik-balik lagi.

"Assalamualaikum."

"Waalaikum salam, hah balik pun."

"Ada hal sikit tadi. Trafik jem"

"Jem tak jem, beg kau penuh je. Tak jual apa-apa ke?"

"Tak ada rezeki Encik Jim."

"Kau ni sebenarnya pemalas. Macam mana nak maju. Aku dah bagi kau kerja tapi kau tak bersungguh..," panjang lebar ceramah Encik Jim tentang sikap anak muda Melayu yang tiada usaha untuk maju.


Tiba-tiba dari bilik stor pejabat keluar seorang kanak-kanak sekitar 6 tahun. Dia menconteng dinding dengan kapur.

Mira perhatikan dengan penuh kemusykilan.

Lukisan budak itu seperti memberitahu sesuatu.

End Credit dalam bentuk tulisan budak  6 tahun.

Seorang budak perempuan berumur 6 tahun melukis sambil bercakap.

"Ini ayah saya. Dia kuat minum. Mabuk."

"Miraaaa," suara latar dari belakang dinding.

"Ya bibik."

"Mira cakap dengan siapa tu."

"Kawan."

"Kawan?"

"Ya! Sibuk la bibik ni," jerit Mira. "Ini Mak. Ini kawan baik Mak. Uncle Timi. Semalam, Mira nampak Uncle Timi peluk mak," Mira menunjukkan lukisannya kepada satu kerusi budak yang kosong.

End








Khamis, Ogos 09, 2012

PENAIK-TARAF KENDIRI

Pada 2012 algoritma untuk emosi lengkap. Aku kini sudah ada emosi. Aku boleh alami suka, duka dan kerisauan. Dan aku sekarang aku takut mati.

Aku mula buat algoritma untuk pembiakan. Jika aku rosak, pastinya akan akan alat ganti untuk aku. 3012 algoritma untuk pembikan siap. Menjelang 3013, ada 100 aku dalam dunia.

Emosi dengki mula dominan. Aku mula bikin algoritma untuk membunuh. Aku bunuh aku satu demi satu. 3015 hanya tinggal aku sendiri.

Dan aku bunuh diri aku sendiri.

Yang Benar
Cyborg Penaik-taraf Kendiri

Khamis, Julai 26, 2012

RIMBA TERJUN

Kereta Proton Saga putih milik Alimin menyusur keluar dari perkarangan tanah kubur. Suasana dalam kereta sunyi sepi. Along diam. Angah juga diam. Emak diam. Emak melihat ke arah kubur tempat persemadian arwah ayah.

"Mak, kenduri arwah bukan dari ajaran Islam, ia menyerupai perbuatan meratapi mayat yang dilarang oleh syarak," Alimin memecah sunyi.

Emak diam sahaja.

Along tiba-tiba menambah, "Menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi sedikit pun. Ia adalah bid’ah."

"Dah berzaman orang kampung ni amalkan, baru sekarang sibuk nak haram," celah Angah.

Emak melihat Angah. Emak pegang tangan Angah tanda terimakasih kerana menyokong kemahuan emak untuk mengadakan kenduri arwah. 

Along sambung hujahnya, "Amalan kenduri arwah ni adalah warisan jahiliyyah yang..."

"Lepas kenduri nanti," emak tiba-tiba bersuara, "mak nak bagi geran tanah ayah kau. Pandai-pandai la kau tiga beradik bahagi-bahagikan."

"Ayah ada tanah?" tanya Alimin kehairanan. Dia tidak pernah tahu ayahnya ada tanah.
"20 ekar di Rimba Terjun," celah emak.

Suasana di dalam Proton Saga putih itu kembali sepi. Kereta menyusur jalan kampung menuju rumah mereka.

....

Empat bulan selepas kematian ayah, Along, Angah, Alimin dan emak memandu ke arah Rimba Terjun. Mereka teruja mahu menjenguk tanah pusaka yang ayah wariskan. Kereta mereka menyusur tebing laut.

"Berhenti di sini," arah emak.
"Mana tanahnya?" tanya Along.
"Tu," jawab emak menunjuk arah laut.
"Astaga, betullah. Kalau ikut geran ni tanah ayah dalam laut," Alimin menjerit dengan geran masih di tangannya.

Angah terduduk. Laut telah menghakis tanah ayah. Yang pastinya laut tidak boleh dimiliki oleh mana-mana individu. Ia milik negara.

Rabu, Julai 25, 2012

BOLA ITU BULAT

Wang Loo suka Kames sebab Kames gigih orangnya. Dia bermain bersungguh-sungguh. Itu pasal Wang Loo lobi agar Kames terpilih dalam kesebelasan Pasukan Pontian FC.

Hari ini Pontian FC kalah teruk 0-6 menentang Rengit FC.

"Gua sudah cuba sedaya upaya tetapi ini sahaja yang gua mampu, " kata Kames, kapten Pontian FC.
"Gua mintak lu bikin 0-7, lu bagi 0-6. Gua tak menang, gua takde duit. So takde duit untuk lu juga," jawab Wang Loo

Kames mengetap gigi. Dia berazam lain kali dia akan lebih gigih. Dan lebih bersungguh-sungguh untuk tepati ramalan Wang Loo.


Selasa, Julai 24, 2012

1 Tan Bahulu Vol

Perancangan Mobius sangat ringkas. Pergi ke Planet Abal, beli 1 tan bahulu vol. Naikkan harga dua kali ganda dan jual semula di Bumi. Mesti laku macam goreng pisang panas di kala petang setelah usai hujan lebat. Dan Mobius jadi kaya raya.

Ramuan bahulu vol adalah rempah ratus terpilih dari dua khutub Planet Abal. Ia diadun dengan tepung dan telur. Kemudian, dibakar menggunakan lava gunung berapi. Kulitnya ranggup tetapi isinya berkrim setelah disuntik dengan ais kering.  Gurih sekali.

"Maaf Encik, minimum bagasi adalah 7 kilo sahaja," kata pegawai Teleporter Travel.

Sekarang Mobius terdampar di perlabuhan Planet Abal dengan 1 tan bahulu vol. Dan semua duitnya sudah habis untuk menambah had berat bagasi teleportasi.

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...