Memaparkan catatan dengan label Certot Mesin Masa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Certot Mesin Masa. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 23, 2008

CERTOT CINTA KERA 2

Ida perlu menunggu 27 tahun untuk mendengar pengakuan dari aku. Pengakuan itu merungkai misteri yang tersimpul lama. Sebenarnya, tidak misteri sangat pun. Masing-masing sudah tahu apa yang terbuku di hati dulu lagi. Cuma, kata-kata itu tidak pernah terungkap. Tiada yang berani memulakan.

"Awak sepatutnya luahkan dulu lagi. Saya perempuan, takkan saya nak mula dulu," kata Ida.

Dalam masa 27 tahun macam-macam berlaku. Perempuan datang. Perempuan pergi. Hati terluka. Hati meluka. Cinta-cinta bertunas dan kemudiannya mati diinjak-injak. Aku kira pengalaman dia juga sama. Sehinggalah masing-masing ketemu jodohnya.

"Awak menyesal?"

"Tidak."

"Kenapa?"

"Andai kata kita meluahkan perasaan masing-masing dulu, kemungkinan besar kita akan berpacaran dan kemudian ada yang terluka."

"Ya. Betul kata awak. Lebih baik perasaan yang naive itu tidak ternoda. Kita simpan sahaja bawa mati."

Kemudiannya kami berbasa basi bertanya khabar. Bertanya tentang kerja. Tentang kesihatan. Tentang ibubapa. Dan kadang-kadang ketawa kepada peristiwa lucu dulu bagaimana perasaan itu pernah diterjemahkan kepada perbuatan-perbuatan kecil yang tidak jelas. Kami dua orang yang kalah menulis sejarah seadil mungkin.

"Kirim salam kepada hubby awak."

"Kirim salam kepada wife awak."

Kami pun mengorak langkah pulang ke arah yang bertentangan. Yang jatuh hati dulu adalah kami yang remaja ketika darah masih panas. Bukan kami yang sekarang ini.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Certot Cinta Kera 1

Khamis, Jun 21, 2007

CERTOT CINTA KERA




Ida jiran sebelah rumah. Dia dan aku selalu tunggu bas sekolah yang sama.

"Dia kirim salam kat awak," kata Ida mengambil peranan sebagai posto.

Orang Melayu katanya berlapik. Sejak dari kecil lagi, malu nak meluahkan isi hati secara terus terang. Takut jatuh air muka.

"Waalaikumsalam."

Semua remaja faham "kirim salam" dari orang berlainan jantina yang engkau tidak pernah bersembang, walau seharian dalam bas sekolah yang sama, bermakna dia sudah jatuh hati. Pengirim mahu hubungan yang serius. Satu hubungan yang melibatkan engkau kena beli kad setiap 14 Februari.

"Siapa yang bagi salam?" aku tanya Ida.

Ida pun memberi deskripsi budak perempuan yang juga melanggan bas sekolah yang sama dengan kami tetapi dari kejiranan yang lain.

Perbualan itu berhenti di situ. Aku tidak menunjukkan minat.

Kalaulah dia tahu, sebenarnya setiap kali Ida di ampaian menyidai kain, aku mengendap di balik langsir. Tidak berani. Hatta untuk menyampaikan salam.

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...