Selasa, Ogos 12, 2025

84 ULU KASAR

8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempatnya aman. Pohon hutan hijau merimbun, sungai mengalir tidak  terlalu deras tapi tidak juga lesu. Airnya jernih, tidak semua dalam dan tidak semua cetek. Ada tempat untuk anak-anak bermain dan ada tempat untuk orang dewasa terjun dari ketinggian 10-15 kaki. Ada tempat berbatu-batan dan ada tempat berpasir. Sepatutnya tempat molek sebegini dipanggil Ulu Halus.

Dari Johor Bahru ke Ulu Kasar, Terengganu ambil masa 7 jam perjalanan berkereta. Kami tiba di tapak Gleywak Bikecamp sekitar jam 12 tengah hari. Matahari terpacak di atas kepala dan hawa panas mula  memanggang. Dalam keadaan gerah kami keluarkan basikal dan peralatan khemah. Kami segera mendirikan khemah — kanvas dibentang, pancang dipacak, dan tali flysheet ditarik tegang. Keringat membasahi ketiak, tapi hati berdebar keterujaan kerana ini festival bikecamping kami yang pertama. 

Lebih 200 peserta menghadiri dan kumpulan paling besar datang dari Thailand, sekitar 5o orang.

Petang hari pertama ni santai-santai sahaja. Maka, aku dan Akak Kau ambil keputusan untuk ke Lata Payung untuk ziarah Pok Vic, seorang seniman seni halus yang memberi tempat teduh dan memberi makan kepada kami ketika musafir berbasikal pada 2023. 

Misi Lata Payong kami jelas. 

Tepat pukul 3 petang, kayuhan bermula. Roda mula berpusing meninggalkan tapak kem, menyusuri jalan kampung menuju Kampung Lata Payong, 10 kilometer jauhnya. Angin petang suam-suam menyapa wajah, bunyi tayar bergesel dengan jalan berturap menjadi irama perjalanan. Jalan ke Lata Payong berbukit-bukau manja. Pemandangan hijau ladang kelapa sawit menemani perjalanan.

Pok Vic terperanjat kami tiba-tiba muncul di tapak perkhemahannya. Kami disambut baik dan diberi lawatan keliling kawasan. Dia punya terharu, dia nak bagi lukisan pemandangan Lata Payong kepada aku. Aku bukan tidak sudi terima tapi rasa diri ini tidak layak. 

Banyak prasarana telah ditambah. Makin maju House of Art campsite ini. Sempat juga kami beramah mesra dengan pelawat-pelawat lain yang ada di tapak itu.

5.30 pm rintik hujan mula membasahi bumi. Kami bergegas kayuh pulang ke Ulu Kasar. Kami melihat ke atas, langit petang semakin menggelap dengan awan mendung yang berarak pantas, seperti gerombolan asap yang menyerang. 

Angin bertiup kencang, membawa hujan lebat yang mencucuk-cucuk wajah. 

Kami kini bertarung dengan pendakian bukit, angin kencang dan kedinginan air hujan. Sesekali cahaya kilat menerang langit dan guruh berdentum. Kumpulan budak motor yang berteduh di pondok bas memerhatikan kami menderas lalu. Baju kami basah lencun tapi kami nekad untuk segera pulang ke kem sebelum gelap malam bertandang. Itu misi kami sekarang.

Apa ada hal, ini cuma hujan air. Lainlah kalau yang turun hujan api — itu barulah kami betul-betul cari tempat berteduh. Air dari gunung mencari jalan turun ke sungai menyebabkan beberapa tompok-tompok banjir kilat.  Jalan yang digenangi bah pun kami redah. Ada tempat yang airnya naik hingga 2 kaki. 

Selagi boleh kayuh, kami kayuh.

Tiba-tiba kelihatan dua tiga biji kereta parkir di pinggir jalan. Seorang pemuda berdiri dengan payung di tepi laluan. 

"Ada pokok tumbang menghalang jalan, kami tidak boleh masuk ke kem Gleywak," kata pemuda itu.

"Nanti kami masuk ke dalam dengan basikal dan minta urusetia clearkan jalan," sambut kami.

"Katakan kepada mereka, performers tersangkut di jalan."

"Performers? Penting ni. Kalau kalian tiada sunyi malam ini."

Sekarang kami ada tambahan misi baharu. Rasa macam wira pula.

Kami angkat basikal melepasi pokok yang tumbang melintang jalan. Kami terus mengayuh mengharung hujan dan banjir. Sampai satu tempat, tidak boleh kayuh lagi. Air sudah paras peha. Kami turun dan mendorong basikal.

Kami bertembung dengan kereta yang menuju keluar tapi kami nasihatkan mereka untuk berpatah balik kerana ada pokok melintang jalan. 

Kami jumpa juga urusetia yang bermotor sedang meninjau keadaan, lantas kami laporkan tentang keadaan jalan yang dinaiki air dan sebatang pokok yang tumbang melintang jalan. 

Misi melapor halangan selesai. Tinggal misi pulang lihat khemah kami. Masih berdiri teguh atau sudah roboh ditiup badai? Kami sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

Hujan renyai-renyai apabila kem Gleywak muncul dalam pandangan kami. Air sungai kini tinggi arasnya mencecah jambatan. Airnya keruh mengalir deras tetapi jambatan konkrit untuk menyeberang ke arah kem masih teguh. 

Rasa lega bila melalui pintu  gerbang kem Gleywak yang diperbuat daripada kayu dan papan. Vibe outdoor terserlah dengan estetik alaminya. Aku keluarkan telefon dan tekan butang rekod untuk mengabadikan suasana itu. 

Melalui skrin telefon, kelihatan basikal Akak Kau terhentak bila rodanya menyentuh jambatan konkrit yang basah. Otak aku tidak sempat memproses maklumat bila tiba-tiba roda depan aku terhentak juga dan kaku seperti terhalang sesuatu. Roda belakang pula terangkat menghumban aku jatuh di atas permukaan jambatan yang digenangi air sejengkal.

Tersungkur aku di pintu kem. Skrin pelindung telefon pecah, tangkai meter basikal patah, dan rusuk lebam. Aku menoleh ke arah basikal yang terbaring. Ada batu-batan dan kayu-kayan hanyut di atas jambatan tersorok daripada pandangan dek air keruh. Takdir. 

Tidak penting berapa kali aku jatuh. Yang penting berapa kali aku bangkit dan belajar dari kejatuhan. Sekarang tahulah kita kenapa namanya Ulu Kasar, gurauannya kasar tidak boleh dibawa bincang.  


Tiada ulasan:

84 ULU KASAR

8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempat...