Beberapa kali sudah membuat cubaan berkhemah ke Sungai Lemako, Hutan Endau Rompin, tetapi gagal. Kalau hujan, jalan ke sini bakal hilang dari peta kerana banjir. Sia-sia sahaja dinamakan jalan ini Jalan Kampung Peta. Kerajaan akan menutup hutan dan larangan perjalanan akan diumumkan. Begitulah yang terjadi sebelum ini.
September 2025, cuaca baik berpihak kepada kami pada tarikh ini. Kami berpakat mengenakan baju Melayu ketika berkayuh kerana kebetulan hari itu jatuh pada tarikh Maulud juga. Bajuku berwarna kuning cair dengan sedikit percikan hitam minyak daripada petualangan sebelumnya. Dulu, ini baju raya. Walaupun usianya sudah lama, kualiti jahitan dan kainnya masih utuh kerana ia banyak bersangkut di dalam gerobok. Tiba masanya untuk dibawa berkayuh melihat dunia.
Seramai 37 pengayuh Puak Pelampau berkumpul awal pagi di Masjid Ladang Zamrud, bersiap untuk satu perjalanan yang kelihatan singkat di peta, hanya 25 kilometer. Masing-masing segak berbaju Melayu macam panglima mahu berperang.
Dalam 37 orang ini, ada 4–5 orang yang sudah berkayuh jauh dari Kahang untuk sampai ke Ladang Zamrud. Kental betul mereka berazam menghabiskan 50 kilometer hari itu. Seorang, Megat, tiba di Ladang Zamrud dengan RD barai. Dia bakal meneruskan perjalanan dengan single speed. Kalau aku dalam posisi ini, aku teruskan juga perjalanan, tetapi dengan kereta sahaja.
Perarakan kayuhan bermula melalui jalan dalam pembinaan, debu berterbangan bibawa angin setiap kali berselisih dengan lori hantu. Laluan ini lebar, lurus, rata dan sedang diturap, tetapi teduhan pokok yang jarang membuat kulit terdedah kepada sengatan mentari.
Lalu lintas tidak banyak kerana jalur ini cuma melintasi estet kelapa sawit, hutan rimba, dan di hujungnya kampung orang asli, Kampung Peta. Kami singgah di kantin Ladang Bukit Cantik untuk tambahan tenaga. Sedap makanannya, di pedalaman ini namanya cuma viral dalam kalangan buruh dan musafir yang tersesat.
Selepas memperbaharui doa, kami teruskan kayuhan meninggalkan capaian Internet yang terakhir. Tiada lagi bunyi mesej masuk. Aku tetapkan telefon ke mod penerbangan untuk menjimatkan kuasa bateri.
Sekonyong-konyong pembinaan pun tamat, masuk ke jalan Kampung Peta yang berbukit-bukau seakan tidak berkesudahan. Namun begitu, pokok-pokok hutan tinggi memberi teduhan yang nyaman. Bila pendakian terlalu curam, kami dorong basikal menentang graviti.
Pengayuh mula terpisah dalam kumpulan kecil mengikut kemampuan tenaga masing-masing. Seperti biasa, aku dalam kelompok paling belakang.
Kumpulan belakang ini terdiri daripada pengayuh yang bebannya terlalu berat, basikalnya ada kerosakan, atau orang yang mengawasi detak jantung agar tidak kecundang. Ada juga yang saja-saja santai sebab suka menangkap gambar. Apa pun, kami bukan arnab dan bukan juga kura-kura yang berlumba, kami kedua-duanya sekali—bergerak perlahan dan tidur bila penat.
Begitulah kehidupan, terdapat sahabat yang istiqamah menikmati kelajuan. Kami di kumpulan belakang pula istirehat berleha-leha sepanjang jalur. Kadang-kadang sampai 30 minit berbaring di pinggir jalan sambil bersembang ralit melihat kepulan awan yang berarak dibawa angin di dada langit biru.
Akhirnya kami sampai di pintu hutan. Denai hutan menuntut kudrat tambahan kerana laluannya berbatu-batan longgar. Setiap kali menurun, ada balasan mendaki yang lebih mendongak menunggu. Kami banyak menolak basikal pada jam terakhir ini.
Dalam kilometer terakhir menuju Sungai Lemako, denai terlalu curam untuk ditawan dengan pedal. Jari kelingkingku tersayat ranting kayu dan berdarah ketika laju menurun bukit. Lukanya kecil, tetapi darahnya banyak. Baju Melayu yang kupakai kotor dengan tompokan darah.
Peloton akhir mengambil masa tujuh jam untuk menamatkan jalur 25 km itu. Sungai Lemako menyambut kami dengan gemericik jeramnya. Hilang segala lelah bila kaki terendam di sejuk sungai. Perjalanan singkat di peta merupakan kisah panjang ketahanan diri dan kebersamaan. Dua puluh lima kilometer. Tiga puluh tujuh pengayuh. Tiga hari dua malam kami bercanda di dalam hutan. Kami mandi-manda dan berkhemah.
Kepada orang luar, Puak Pelampau ini kelihatan kasar. Mereka berkayuh masuk hutan bermain dengan lumpur dan bukit. Betullah kasar, tetapi di dalam hati ada taman. Kau kena lihat mereka memasak dan mengisi masa lapang dengan kraftangan. Kadang-kadang mereka mengikat kayu-kayan dengan tali menjadi meja. Lantas, mereka menghias meja itu dengan bunga hutan tiga tangkai dan dedaunan pakis serta palma pelbagai bentuk. Seolah-olah ada sesi makan damai malam itu. Aku perhatikan, ada sesuatu yang kurang. Aku celup dua jari dalam minyak masak dan sapukan pada dedaunan yang menghias meja itu. Dedaun itu kini berkilat, sempurna sangat untuk Instagram.
Kotoran darah dan minyak basikal sebati sudah dengan kain baju Melayuku. Aku gonyoh-gonyoh tidak hilang. Aku campak baju itu ke dalam unggun api. Tamatlah riwayatnya, terima kasih kerana pengalaman. Khidmat terakhirnya adalah menerangkan suasana sesi kongsi cerita keliling unggun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan