Pernah dengar tentang Gleywak? Dalam bahasa Terengganu, perkataan ini bermaksud berselerak atau bertaburan. Namun bagi penggemar basikal, Gleywak membawa makna yang lebih luas. Ia adalah nama bagi acara berbasikal dan berkhemah yang berlangsung di negeri Terengganu, merangkumi kayuhan santai, muzik akustik, cabutan bertuah dan semangat kekitaan yang luar biasa.
Bayangkan suasana di bawah bulan purnama, khemah didirikan di tepi sungai, bunyi gitar berselang dengan kicau unggas malam. Inilah Gleywak 2.0 yang berlangsung di Ulu Kasar, Setiu, dari 8 hingga 10 Ogos 2025. Ini kali pertama aku menyertai acara berbentuk bikecamping dan touring, dan pengalaman ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam.
Tujuh Perkara Aku Suka Tentang Gleywak 2.0
1. Suasana Kampungan
Di Gleywak, tiada siapa peduli tentang pakaian rasmi. Peserta bebas memilih gaya masing-masing sama ada memakai baju sukan ketat atau baju longgar. Aku paling gembira melihat beberapa peserta santai berlegar-legar dengan kain pelikat. Hos acara pula naik ke pentas dengan kain batik dan semutar, penuh gaya orang kampung Terengganu yang asli tetapi tetap tampak menarik.
Suasana kampung yang mesra ini membuatkan semua peserta terasa seperti sudah lama saling mengenali. Bangunan paling menonjol di kawasan tapak ialah surau papan bertiang tinggi. Ada peserta memilih untuk tidur di bawahnya.
2. Pentas Kayu Buatan Sendiri
Pentas Gleywak sederhana tetapi memaparkan estetik alam semula jadi. Luas pentas sebesar tilam bersaiz king dan tingginya lebih kurang setengah meter. Ia dibina sepenuhnya daripada kayu pokok dan papan, selaras dengan suasana semula jadi sekelilingnya. Walaupun ringkas, rekaannya mempunyai nilai estetika tersendiri. Setiap papan seolah-olah menceritakan kisah tangan yang membinanya dengan penuh kasih dan semangat gotong-royong.
3. Parti Akustik Sampai Pagi
Pada mulanya aku sangka tiada persembahan muzik pada malam itu. Namun sekitar pukul sembilan tiga puluh malam, terdengar bunyi petikan gitar dari pembesar suara. Aku menarik kerusi dan duduk kira-kira enam meter dari pentas. Akak Kau menegur perlahan, “Tak terlalu depan ke ni, bang?” Aku hanya senyum.
Tiga pemuzik berbakat, Ammalbellamy, Mbexfirdaus dan Nursyamamarul, mula memainkan lagu mereka. Suara dan petikan gitar mereka sangat memukau. Penonton bersorak dan ikut menyanyi apabila lagu kegemaran dimainkan.
Sekitar pukul satu pagi, mereka mengumumkan bahawa lagu seterusnya adalah yang terakhir. Namun penonton masih belum mahu beredar. Ramai menarik kerusi mendekati pentas. Lagu demi lagu dimainkan sehingga akhirnya benar-benar berakhir pada pukul dua setengah pagi. Malam itu terasa hangat, bukan sahaja kerana muzik, tetapi kerana keakraban yang terbina.
4. Kayuhan Kampung
Kayuhan di Gleywak bukan semata-mata aktiviti berbasikal. Ia menjadi cara untuk menggerakkan ekonomi penduduk setempat. Sepanjang laluan, peserta berhenti di warung, menikmati lauk pauk tempatan, membeli hasil kraf dan berbual dengan orang kampung. Suasana ini menjadikan kayuhan terasa hidup dan bermakna.
5. Mandi Komunal
Pada awal pagi yang dingin, hanya tiga orang berada di kawasan pancuran terbuka, aku, Lim dan seorang lelaki yang tidak aku kenali. Lelaki itu menegur Lim sambil tersenyum, meminta sedikit sabun. Mereka mula berbual rancak sambil membersihkan diri masing-masing. Tidak lama kemudian, lelaki itu mengucapkan terima kasih dan beredar. Aku bertanya kepada Lim, “Kawan kau ke?” Lim menjawab, “Baru kenal.”
Aku tersenyum melihat bagaimana suasana santai seperti ini boleh menghubungkan orang asing menjadi sahabat dalam masa yang singkat.
6. Sungai Luas
Sungai di kawasan tapak perkhemahan ini menjadi tarikan utama. Bahagian cetek sesuai untuk kanak-kanak bermain air, manakala bahagian dalam pula digemari oleh peserta dewasa. Terdapat juga tebing batu setinggi kira-kira dua puluh kaki yang sering menjadi tempat peserta mencabar diri untuk terjun. Airnya jernih dan sejuk, cukup menyegarkan selepas seharian berpeluh.
Pagi mahu pun petang, sungai ini menjadi tempat berkumpul ramai peserta. Ada yang berendam sambil berbual, ada yang membasuh basikal, dan ada juga yang hanya duduk di batu besar menikmati aliran air. Keakraban tercipta begitu sahaja, dan tawa mereka bergaung di antara pohon rendang di tebing sungai.
7. Lelongan Amal
Setiap hasil jualan daripada lelongan disalurkan untuk membantu madrasah tempatan. Antara barangan yang dilelong termasuk bingkai basikal dan aksesori kayuhan. Suasana lelongan berlangsung dengan penuh semangat. Apa yang membuat acara ini lebih bermakna ialah cara peserta saling menyokong. Tiada siapa datang dengan niat berlumba, sebaliknya semua bersatu atas semangat membantu. Gleywak berjaya menanam rasa tanggungjawab sosial dalam komuniti pengayuh basikal, sesuatu yang jarang berlaku dalam pesta seperti ini.
Gleywak bukan sekadar acara berbasikal. Ia adalah perjalanan jiwa, tempat orang datang untuk mencari ketenangan, membina persahabatan dan merasai semula nilai kehidupan kampung yang makin jarang ditemui. Bila pulang, setiap peserta membawa kenangan yang hangat, seperti bara kecil yang menyala di hati dan sukar dipadamkan.
(Memaksa menulis ketika malas.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan