Kami menunggu kelompok belakang tetapi tidak kunjung tiba. Berleha-leha betul mereka. Maklumlah, tiada apa pun nak kejar. Cut off time pun 3 petang. Sekarang baru jam 1 tengahari. Kami meneruskan kayuhan bersama peloton hadapan yang diketuai oleh Cikgu Nazry sambil tercari-cari tompok rehat kedua. Khabarnya, satu warung tepi jalan di Kampung Simon.
Akhirnya jumpa warung juga itu. Di situ Smolgath menyajikan dua balang air, satu warna hijau dan satu lagi kuning. Dan satu peti ais penuh aiskrim Malaysia. Ini semua masuk dalam pakej yuran. Tapi kalau peserta nak nasi, bayar sendiri.
Aku cedok nasi, asam pedas ikan dan sayur dan tunjuk kepada tauke. Tauke kata RM6. Murah sangat ni, kalah subsidi MyBudi. Kalau di Johor Bahru, lauk segini harga RM15. Aku nak scan bayar guna QR tapi kodnya tersorok belakang plastik jajan tergantung seolah-olah tidak mahu orang membayar lagaknya.
Sebelum makan baca doa dan tangkap foto makanan. Terus aku muat naik ke Instagram. Aku tandakan lokasi warung dan memberikan lima bintang. Kalau kalian mahu cari kedai ini kelak, tersorok di dinding warung tertulis MySepakat Enteprise dan ada bunting Eskim Wawa tergantung di pohon berhampiran. Kalau warung itu masih berniaga, sila sokong. Makanan sedap dan aiskrim mantap. Semua peserta setuju.
Selepas makan Cikgu Nazry memimpin peloton hadapan ke arah kem. Akak Kau ikut sekali. Aku biarkan mereka berlalu kerana mahu menunggu dan berbasa-basi dengan peserta lain. Lagi pun perut aku sedang penuh ni.
Dipendekkan cerita, 1.50 pm sampailah aku ke tempat yang dituju, kem Teratak Pantai Ru namanya. Jumlah kayuhan, 35 km sahaja. Detak jantung masih normal. Kaki tidak kejang. Aku masih hidup. Tidaklah seteruk yang aku sangka.
Kem Teratak Pantai Ru ini bersih, prasarana asas seperti soket, surau dan tandas tersedia. Jika tidak berkhemah, boleh berteduh dalam pondok-pondok yang disediakan. Puak Pelampau pilih satu pondok, empat orang boleh muat tidur dalam pondok dan tiga muat di beranda. Selebihnya pacak khemah belakang pondok.
Melihat keadaan acara, kalau aku datang sehelai sepinggang pun lepas. Semuanya sudah tersedia. Tidak perlu bawa pinggan mangkuk dan segala pekakasan ikhtiar hidup di dalam hutan. Terimakasihlah Smolgath kerana memberi kami bumbung dan lantai. Mewah sungguh dimanjakan sebegini. Orang gasar seperti kami biasa berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi. Qada hajat gali lubang dan bertaharah guna air sungai.
Smolgath2025 menyajikan sukaneka di waktu petang. Sesungguhnya menunggang basikal dan menyertai sukaneka membawa orang dewasa kembali kepada rasa riang yang lama hilang. Bila pasir melekat di kulit dan tawa pecah di pantai, kami lupa seketika tentang kerja, bil, dan segala tanggungjawab orang besar. Saat berlumba siapa kalah dia menang (basikal lambat), memasang tiub basikal, dan balut tembakau, terasa seperti pulang ke zaman kanak-kanak. Bebas, polos, dan berdekah. Dalam detik itu, usia tidak lagi penting; yang tinggal hanyalah keseronokan tulen yang mengikat hati sesama manusia. Bak motto kolektif basikal PNWO - “Bersekutu bertambah lucu.” Pun begitu, aku cuma ambil bahagian sebagai tukang sorak.
Cikgu Nazry podium acara memasang tiub basikal. Acara merebut lontaran hadiah juga dia jaguhnya. Beliau suami isteri menang besar cabutan bertuah dan acara tangkap hadiah. Rezekinya murah hari itu. Aku? “Ala, setakat botol basikal aku ada 20 dalam gerobok,” aku memujuk diri. Orang tua berjiwa kanak-kanak memang senang lengit.
Dahulu aku seorang pemain bola keranjang yang lincah. Memetik bola di udara ini mainan harian aku tetapi semenjak lutut sudah mereput, ada perkara yang di luar jangkauan aku. Setakat meloncat masih boleh tapi mendarat akan terhempas. Sekali peristiwa, aku sudah besedia dengan kuda-kuda untuk menangkap lambungan hadiah. Kebetulan waktu itu satu hadiah berupa lampu kem sebesar penumbuk terbang ke arah aku. Aku yakin ini rezeki aku tetapi hadiah itu bolos antara jari-jari runcing. Aku sepatutnya tangkap pakai gigi tetapi hadiah itu jatuh atas mata kiri. Sekelip mata aku pejam bagi mengelakkan cacat buta. Lampu itu melantun jatuh ke pasir dan disambar oleh Lia (isteri Cikgu Nazry).
Begitulah nasib aku. Redholah dalam rezeki kita, ada rezeki orang. Kalau sudah bukan rezeki, nasi dalam mulut pun boleh jatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan