Khamis, Oktober 16, 2025

91 PENINSULAR DIVIDE


 Aku jarang mahu peduli dengan acara perlumbaan basikal, tetapi tahun ini aku berdebar mengikuti perjalanan Peninsular Divide 2025. Kalau larian merentas desa 4 km, setiap sekolah buat. Tercungap tidak lariannya? Namun begitu ini jauh beza. Ini merupakan acara ultracycling merentasi Semenanjung Malaysia yang menguji ketahanan fizikal, mental dan strategi peserta secara mandiri dalam jarak 1500 km. Perlumbaan bermula dari Pengerang, Johor dan tamat di Wang Kelian, Perlis.

Aku menulis ini pada hari ketiga daripada tujuh hari perlumbaan. La Tartaruga dari Itali sedang mendahului, dan 10 km di belakangnya Handika dari Indonesia sedang mengejar. Mereka berada lebih kurang 300 km dari garis penamat.

Bagi aku yang mentah ini, aspek yang paling menonjol dalam Peninsular Divide ialah penggunaan teknologi dan kecekapan pengurusan acara. Sistem penjejakan satelit membolehkan penganjur dan peminat memantau setiap pergerakan peserta secara langsung melalui satu aplikasi telefon.

Aku kagum melihat bagaimana teknologi, termasuk media sosial, menghubungkan semua pemegang taruh dalam satu ekosistem. Namun, aku juga menyedari bahawa tanpa nyala rasa, disiplin, kerja berpasukan dan kesungguhan menjayakan acara, semua sistem itu tidak akan bermakna. Tahniah kepada semua yang terlibat.

Dalam kalangan 39 peserta dari serata dunia, kenalan aku bernama Azfar menjadi lambang kegigihan yang aku tabik. Ini kali pertama dia menyertai Peninsular Divide, dan dia merealisasikan mimpinya setelah merancang serta melalui rejim latihan yang keras. Pernah satu pagi aku terserempak dengannya bersarapan di Senai sedangkan rumahnya di Waha, Kota Tinggi. Kemudian, dia menyambung kayuhan.

Daripada Azfar, aku belajar bahawa keberanian untuk memulakan lebih penting daripada jaminan untuk menang. Dalam dunia yang sering menilai kejayaan berdasarkan pencapaian podium, Azfar mengingatkan aku bahawa mengambil langkah pertama itu adalah kemenangan kecil yang bermakna.

Saat ini, 10 daripada 39 peserta telah terkeluar daripada perlumbaan atas sebab-sebab tertentu.

Sementara itu, Handika, juara bertahan Peninsular Divide, memberi dimensi lain kepada perlumbaan. Dia bukan sahaja berkayuh dengan laju dan konsisten, tetapi yang lebih mengagumkan aku, dia berkayuh sambil berdakwah.

Banyak catatan dan gambar yang dikongsinya di media sosial memaparkan rasa syukur, ketenangan dan tanggungjawab terhadap Pencipta. Dalam dunia yang mudah dipenuhi dengan ego, Handika menunjukkan bahawa mengejar kemenangan tidak harus menafikan kerendahan hati. Dalam satu hantaran di media sosial, dia berkongsi foto suasana di sebuah masjid di Cameron Highlands dengan ungkapan, “Dunia bisa menyusul, santai sahaja.” Semua ini berlaku ketika kedudukannya bersaing sengit dengan seorang pelumba dari Itali.

Aku menghormati semua pelumba, hatta yang sudah terkeluar daripada perlumbaan. Cabaran yang mereka lalui bukan calang-calang.

Pun begitu, tidak terlintas untuk aku menyertai Peninsular Divide. Bukan kerana tua, kerana ada peserta yang 10 tahun lebih tua daripada aku. Bukan juga kerana basikal aku tidak cukup canggih, ada peserta yang menggunakan basikal fixie.

Aku hanya bukan seorang yang kental bersaing dengan orang lain. Cukuplah jika aku hari ini menang mengalahkan aku yang semalam. Itu pun aku kerap kecundang.

Tiada ulasan:

91 PENINSULAR DIVIDE

 Aku jarang mahu peduli dengan acara perlumbaan basikal, tetapi tahun ini aku berdebar mengikuti perjalanan Peninsular Divide 2025. Kalau la...