Selepas mandi, kami pun berkayuh ke warung Sungai Musuh untuk sarapan. Tidak jauh, 100 m sahaja. Usai makan ada orang mengumumkan makanan sudah dibayar. Botak belanja. Semoga beliau murah rezeki. Amin.
Aku dan Akak Kau mengambil kesempatan uji tunggang basikal tandem Cikgu. Kini aku faham apa yang Cikgu maksudkan perlu ada kerjasama dan kepercayaan antara penunggang belakang dan hadapan. Aku sebagai pengayuh depan dengan yakinnya mengemudi tetapi Akak Kau menjerit-jerit takut jatuh. Apa yang berlaku adalah penunggang belakang hanya pegang handle kaku keras. Dia jadi panik bila basikal maju di luar kawalannya.
Aku perhatikan isteri Cikgu kadang-kadang bertenggek sahaja di belakang tanpa kakinya menekan pedal. Dia pasrah kepada arah tujuan Cikgu. Dia di belakang main telefon.
Pagi pun masih muda. Kami pun merayau dari Sungai Musuh sampai ke Lubuk Sepang. Pergi-balik sekitar 8 km.
Antara Lotus Seaview Resort dan Lubuk Sepang ada kebun kelapa dan padang lalang. Inilah 1 km paling cantik untuk berfoto di daerah ini.
Condongkan telefon 80-70 darjah ke arah kau dengan penalaan kamera 0.5. Kau rekod sambil maju ke hadapan dengan basikal. Hasilnya, satu halwa mata di mana di bahagian atas skrin pokok-pokok kelapa berlatar langit biru seperti tiang menara datang ke arah penonton dan di bahagian bawah skrin penonton dibawa meluru ke kaki langit melalui jalan berturap sempit dengan lalang menghijau kiri dan kanan. Bila kau putar semula video, warnanya seolah-olah adegan sinema anime.
Dalam suasana pemandangan kayangan ini roda belakang basikal tandem Cikgu bocor tercucuk tulang ikan. Cikgu mengeluh tetapi dengan bingkasnya menukar tiub. Tidak sia-sia jadi juara podium sukaneka tukar tiub.
Kami kembali ke kem dan mula berkemas.
Baan datang dengan basikal, pulang dengan kereta. Aku titipkan beg dengannya untuk dibawa ke Penawar (garis akhir) agar aku dapat kayuh ringan.
Sekitar 11.00 pagi aku meminta diri untuk pulang. Ini lebih awal berbanding dengan kumpulan lain. Aku pun salam keliling dengan peserta-peserta yang masih ada dan memberi alasan esok kerja, baju belum gosok. Sebenarnya kami mahu elakkan panas tengah hari. Aku minta maaf atas gurau senda dan kekasaran jika ada.
Akhirnya, aku dapat bercakap dengan Ali, orang kuat Smolgath2025. Aku ucapkan tahniah atas acara yang lazat ini. Aku nyatakan yang aku sangat suka konsep dan logo Smolgath. Logo tahun 2023- memerang merokok, 2024- kera hantu merokok, dan 2025- ayam merokok. Semoga kita dapat bertemu lagi di Smolgath2026 dengan binatang merokok yang lain. Amin.
Peloton pulang diketuai oleh Megat. Bersama Megat ada Aku, Akak Kau, Yem, Kamal, Coxi, Botak dan Perak. 7 orang jumlahnya. Peta pulangnya begini, Pengerang-Punggai-Batu Layar-Bandar Penawar.
Sebenarnya jalur ini tidak asing bagi aku. 2021 dahulu, aku rajin main di sini. Masa itu aku tidak kenal mana-mana kolektif basikal. Aku, Akak Kau dan Yem datang sini dan berkhemah di Tok Isa Campsite, Punggai. Kemudian kami terokai kawasan sini ke utara sampai Tanjung Balau dan ke selatan sampai Sungai Rengit. Yem kata kembali ke sini macam balik kampung. Dia bernostalgia tentang keindahan jalur ladang kelapa dan padang lalang. Aku pula terkenang keperitan kayuhan lampau.
Pernah sekali, kami kayuh hingga 60 km pergi-pulang, Punggai – Batu Layar. Separuh mati dipanggang matahari. Hari ini mengulang lagi jalur yang hampir sama satu hala. Jantung aku bergendang laju.
Sampai di jalur lawa, ada dua kanak-kanak, 12-13 tahun mungkin, mengejar dari belakang dengan skuter elektrik. Budak itu bertanya kepada Yem, “Abang-abang ni Tour de Langkawi ke?” Yem ketawa sambil menafikan. Budak itu buat pusingan U patah balik kehampaan.
Kami meneruskan kayuhan.
Kami berhenti minum kopi di Batu Layar sebelum meneruskan perjalanan. Kami berleha-leha di kawasan perkelahan kemudian belok masuk jalan besar. Di jalan besar sekejap sahaja Megat dan Yem hilang kerana berlumba. Kamal ganti jadi ketua. Aku dan Akak Kau mengekor dari belakang.
Matahari tegak 90 darjah dengan umbun-umbun.
Kami berhenti rehat lagi di atas bukit tertinggi jalur pulang berhampiran simpang Desaru Coast. Tidak disangka, seorang pengayuh tunggal peloton belakang berjaya mengejar kami. Mamat ni jantung piston ke apa?
Setibanya dia di atas bukit tempat kami berehat, segera kami meneruskan perjalanan. Sampai di bulatan Masjid Bandar Penawar, Megat belanja kami cendol. Kami ramai-ramai mendoakan kemurahan rezeki Megat. Budak jual cendol pun turut mengaminkan.
Jumlah kayuhan pulang, 24 km sahaja. Detak jantung masih normal. Kaki tidak kejang. Aku masih hidup. Rasanya aku mampu lanjutkan kayuh sampai senja. Berbeza sangat dengan prestasi lemah ketika mula-mula main basikal dahulu. Mungkin kini aku sudah pandai berunding dengan bukit dan boleh bergurau dengan matahari. Alah bisa tegal biasa.
1.35 pm kami sampai di garis penamat. Beg semua Baan telah tinggalkan dalam kereta. Selepas meyangkut basikal ke kereta, aku, Akak Kau dan Yem pun berangkat pulang.
Aku pasang Klasik FM. Lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) – Sudirman berkumandang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan