Rabu, Mei 31, 2023

062 ULU SEDILI: PERKHEMAHAN


6.30 petang kami  sampai di tapak perkhemahan. Setibanya di situ tayar basikal Atoi bocor lagi. Atoi segera menampal (Bocor 2). Lepas tampal bocor lagi.(Bocor 3). Setelah dikaji-kaji baru jumpa punca durinya.

Ketua kumpulan Air Tawar, Cikgu Nazri dan Acai menyambut kami dengan baik. Hari semakin gelap, kami segera mendirikan khemah dan masak untuk makan malam dalam keadaan penat berkayuh. Lepas makan, baru mental dan tubuh kembali segar.

Gen-X membesar ketika Dunhill menaja Piala Malaysia. Pada kami, rokok merupakan gam ikatan silturahim. Malam itu kami berbasa-basi sambil menguaci dan merokok. Sebagai perokok sosial, mungkin aku sebenarnya bukan mengemis rokok tetapi mengemis status sosial. 

Ramai yang tidur awal malam itu, satu-satu mula berdengkur. Perjalanan datang sangat meletihkan. Malam semakin larut. Aku pun masuk khemah dan tidur.

Embun jantan mula menitis di atas dedaunan.

Sebelum Subuh aku dikejutkan oleh suara Dino, geng Seberang Tambak. Awal sungguh dia bangkit memasak mi segera kerana lapar. Selepas sarapan, kumpulan Bukit Hantu dan Geng Seberang Tambak mengikut malim denai, Arep dan Zul hiking mencari air terjun. Kami bergerak menyusur sungai dan kadang-kadang menyeberang. 

Air terjun tidak dijumpai tapi sebagai saguhati Zul membawa pulang lauk makan malam ke tapak perkhemahan. 

Baan teruja melihat lauk yang Zul bawa dan petang itu dia pula pergi mencari lauk dan membawa pulang beberapa kilo lagi. Ahli-ahli perkemahan bergilir-gilir bergambar dengan lauk yang diperolehi seolah-olah kamilah yang mengusahakannya.

Malam itu kami makan sedap. 

Lepas makan, kami berbasa-basi bersembang macam biasa. Arip membawa cerita-cerita misteri jam 12 dan Geng Temasik berkongsi kisah scene basikal Singapura. Nak dijadikan cerita, terbongkar sejarah bahawa aku dan Cikgu Nazri pernah tinggal di Blok C, Flat Bukit Chagar. Bukan itu sahaja, dia juga suka makan soto arwah mentua aku di Blok A. 

Cuma, tempatnya sama tetapi masanya berbeza. Waktu Cikgu Nazri masuk Flat Bukit Chagar, aku sudah bermusafir menuntut ilmu di negeri orang putih.

Bila malam semakin larut, tinggal 2-3 orang sahaja yang larat bercengkang mata. Aku mendengar perbualan dari atas hammock hingga tertidur.

Pagi hari terakhir kami bersarapan dan berkemas.



Tiada ulasan:

COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...