Seorang pakcik sebaya aku berkongsi bahawa dia dahulu kerja TLDM di Woodlands, Singapura. Dia selalu ulang-alik ke Johor Bahru. Kami bernostalgia tentang Johor tua ketika stesen bas berada di Jalan Wong Ah Fook, Haji Wahid masih berniaga mi rebus, dan tempat orang muda melepak adalah Komtar (Kompleks Tun Razak).
Seorang lagi pakcik, baya aku juga, bercerita tentang hidup di perantauan di Batu Pahat, Johor. Hampir-hampir dia berkahwin dengan gadis Batu Pahat namun tiada jodoh.
Ohh mama
saya mahu kahwin
dengan gadis batu pahat
rambut panjang bertahi lalat
(Selingan lagu Blues Gang sebagai latar belakang)
Masih belum melupakan gamaknya. Masih membara ingatan terhadapnya.
Sebelum kembali ke kem, kami singgah warung untuk sarapan. Mana-mana pun kawasan kampung ini, baik gerai berpapan tanda atau tidak, nasi dagang mereka lebih sedap daripada restoran terbaik di Johor Bahru.
Sebut tentang Johor, aku perasan kumpulan Wildboar26 Desaru sudah masuk kem. Mereka ini sebenarnya sedang buat jerayawara papan luncur sempena musim ombak gulung Pantai Timur. Terlanjur sudah hampir, mereka singgahlah di Kluxklex. Kini kuat jugalah ketumbukan wakil Johor di kem ini.
Acara pagi Sabtu bermula dengan saringan perlumbaan Vintage MTB. Litar perlumbaan di dalam kebun sawit sekitar 200 meter. Kumpulan empat pelumba bergilir dilepaskan membuat kayuhan empat pusingan litar. Pelumba terbaik dari saringan akan maju ke peringkat akhir.
Setelah tamat saringan Vintage MTB, dipanggil pula peserta lain untuk acara terbuka kepada semua jenis basikal. Aku pun teruja untuk turut serta. Tidak seperti acara Vintage, kami dilepaskan 10-15 biji basikal sekali gus. Kami berlari meluru ke arah basikal dan mula menekan pedal. Permukaan awal denai litar keras dan sedap melaju. Di tengah-tengah litar ada selut tetapi aku menegak laju. Lumpur merecik mengotori basikal. Ada jurukamera di situ kerana dia meramal aksi hebat di titik itu.
Sedikit di hadapan, denai bertukar menjadi pasir lembut. Tenaga dan kemahiran tambahan diperlukan di bahagian ini. Halangan terakhir denai adalah dua kayu melintang. Jika kau hentak kayu itu dengan halaju tinggi terasa gegar rim basikal. Detik itu membawa ingatan ke MTB Polygon Syncline 5 di rumah. Kalau aku bawa Polygon, dengan geometri dan roda lebarnya pasti mudah dia ratah denai ini.
Aku meneruskan kayuhan memasuki pusingan kedua. Kali ini aku tidak menghampakan jurufoto. Di tompok litar berselut, roda 40mm aku tergelincir membuat aku terhumban. Nasib baik aku sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan sudah biasa jatuh. Aku golekkan badan untuk mengurangkan hentakan. Aku bangun dan tersengih kepada jurufoto, “Dapat?” tanya aku.
Kayuhan diteruskan. Nafas semakin kencang. Detak jantung semakin tinggi. Aku DNF (Did not finish) perlumbaan. Aku simpan tenaga untuk acara petang.
Acara pagi selesai dengan meriah. Tunggu petang pula untuk acara seterusnya.
Panas-panas itu sedap mandi sungai. Aku turun lagi berendam sambil berpaut pada akar pokok. Datang budak lelaki anak siapa entah mandi berhampiran. Umurnya 10 tahun. Dia bertanya, “Abang, air warna hijau atau biru yang dalam?” Sebab dia panggil aku abang, aku layan la dia sembang. Dia bercerita tentang ayahnya tukang gunting, adik-beradiknya berempat, jam Casionya yang ori (copy-ori sebenarnya), dan cita-citanya untuk jadi bos.
Aku naik ke tebing bila Li Zali keluarkan sate ikan. Dia panaskan sate itu dalam kuali dan hidangkan. Dijemput juga kawan-kawan lain. Sedap nanang sate ikan premium ini. Li Zali dapat bekalan dari kilang. Kalian boleh hubungi beliau untuk maklumat lanjut.
Selepas Asar, panggilan untuk peserta lumba Costume dibuat. Masing-masing keluarkan pakaian mereka. Ada berisi, ada yang kurus, ada melencong, ada yang lurus, yang penting semuanya tulus. Antara watak yang terserlah adalah pengantin lelaki, aquaman lengkap dengan kaki itik, nelayan dengan sauk, penari udara, No Face dari Ghibli, dan dinosaur berbulu (ada tiga ekor, dua hijau satu merah).
Suasana jadi meriah bila peserta terkial-kial mengayuh keliling litar dengan busana yang tidak mesra basikal. Masalah aku adalah ekor kontot Kotaksaurus tersangkut di pelana. Berulang kali aku terpaksa tepis dengan tangan. Litar dirumitkan lagi dengan cabaran melontar bola ping-pong ke dalam botol sebelum meneruskan kayuhan. Penonton bersorak-sorai. Dan riuhnya tepukan.
Dalam perlumbaan itu aku dapat nombor satu. Ya, nombor satu dari belakang.
Acara disambung dengan pusingan akhir Vintage MTB. Pemenangnya seorang bomba kalau tidak salah aku. Dia bawa pulang piala utama. Lepas lumba, semua turun mandi sungai sekali lagi. Aku dan Akak Kau mandi sungai sambil basuh lumpur di basikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan