Isnin, Julai 13, 2009

BENGKEL FILEM PENDEK FINAS


Bengkel filem pendek FINAS berlangsung selama 10 hari. Walaupun, aku sudah menempah untuk masuk bengkel berbulan-bulan lama, aku datang lewat 2 hari kerana berita tentangnya sampai lewat kepada aku.

Banyak yang aku pelajari dari bengkel ini. Tak dapat nak share semua kat sini.

Cikgu Fuad: Terimakasih kerana tunjuk ajar tentang lampu dan kamera.
Cikgu Zaidi: Terimakasih kerana tunjuk ajar tentang sound. Dan rokok sebatang.

1. Ajin DOP: Terimakasih kerana inform aku tentang bengkel. Kalau tak melepas aku. Jangan lupa ajak aku untuk watak penjaga warung.
2. Indra Konti: Terimakasih kerana menunjukkan semuanya boleh jika kita mahu. Aku kagum kesungguhan kau bergerak secara solo di Melaka. Jangan lupa ajak aku untuk filem perang.
3. Fathur Lights: Terimakasih kerana menjadi lawan bertukar sindiran. Gua enjoy. 0-0 okay. Jangan lupa ajak aku jika buat filem Bigfoot.
4. Suhaimi Script/Sound: Terimakasih kerana berkongsi pengalaman. Nanti kita bikin filem sama untuk Efa Razia.
5. Roslan Asst. DOP: Terimakasih. Aku akan ingat, kalau bagi komen jangan lupa bagi cadangan.
6. Yus PM: Terimakasih. Tips tendang terajang industri akan aku jadikan panduan. Tapi masin sikit... ha ha ha.
7. Kzaman Asst Director: Terimakasih. Tips awet muda 3 kali sehari without fail akan diamalkan.
8. Nazri Talent: Terimakasih. Benar, jika kita mahu cerita kita, kita kena buat sendiri. Tak sabar tunggu cerita anda.
9. Ahmad Asst Konti: Terimaksih Ustaz. Nasib baik la ada Ustaz. Kalau tak dah ke laut la budak-budak ni.
10. P-Dik Art: Terimakasih. Cemburu kau boleh jovial sepanjang masa. Dan memang dah lama cari teknik buat darah. Baru sekarang ketemu.
11. Zahrin Director: Terimakasih. Yang penting adalah kerjasama dan kami bagi kerjasama sepenuhnya walaupun cerita kau bukan cup of tea semua orang. Pun begitu, aku belajar duit tidak menjamin kualiti, tetapi kita lebih berpengaruh. Aku ramalkan, antara semua peserta, kau orang pertama yang bakal bikin filem. Selamat maju jaya.

Jumaat, Julai 10, 2009

CAKAP SIANG

Klik foto untuk lihat foto-foto belakang tabir.

Tuan pengarah suka tunjuk kami video-video yang dia pernah shoot. Juga ditunjukkan kepada kami video dia on location filem bapa saudaranya, Prof. Madya RM.

Kami kata, "Mmmm."

Kemudian, atas video itu ada satu imej seorang aktres cantik sebagai subjek tetapi di belakangnya ada seorang kanak-kanak perempuan bergigi besar sedang tersengih macam kerang busuk. Sengih itu sungguh dominan sehingga mencuri perhatian walaupun dia bukan subjek sebenar.

"Poyo betul budak gigi yang enter frame ni," komen pengurus produksi.
"Hoitt! Itu anak aku la," marah tuan pengarah.

Selepas dari itu, jika kami nak kutuk mana-mana watak dalam video yang ditunjukkan, kami tanya dulu, "Ini saudara engkau ke?"

Hi! Hi! Hi!

Khamis, Julai 09, 2009

TANDA-TANDA ORANG DAH KAHWIN



Pembikin filem indie tidak mampu sewa kereta. Semua prop guna barang sendiri.

"Cantik kereta abang," kata aktres muda yang melabuhkan punggung di tempat duduk bahagian pemandu.

"Tengok orang la," kata pemegang boom merangkap tuan punya kereta.

"Ni ada kasut tumit tinggi dan kasut baby ni, siapa punya bang?"

"Oh! Abang jual kasut part time."

"Bukan kasut baru ni bang."

"Oh! Abang jual kasut terpakai. Heh heh."

Tiba-tiba pengarah menyampuk, "Nak merendek, gi balik rumah la. Orang nak shooting ni."


....
Prop: alat-alat yang digunakan dalam lakonan.
Boom: mikrofon yang lekat pada tiang rod untuk menangkap bunyi dalam pengambaran.

 
....
Terimakasih kepada kawan-kawan di Kuala Lumpur terutama Sindiket Sol-jah. Lebih-lebih lagi Vovin dan Pipiyapong yang menyediakan bumbung untuk aku berteduh. Yem Drummer yang tidur di ruang tamu untuk aku tidur dalam bilik. Kawan-kawan yang melayan sembang di kedai kopi, you know who you are.

Isnin, Julai 06, 2009

NGANTUK AMAT


Aku menumpang rumah kawan kerana projek filem pendek di Hulu Klang. Aku tinggalkan beg pakaian dan terus pergi buat pengambaran. Keluar pagi, balik pagi.

Pada, malam pertama balik shooting jam 4 pagi. Malam kedua pula balik shooting jam 6 pagi. Huh! Union marah ni kerja lebih 12 jam. Menyusahkan orang sahaja. Menumpang rumah orang tetapi batang hidung hampir tidak nampak.

Kalau berterusan begini, malam ketiga tumpang beg pakaian di Pudu Raya sahaja agaknya. Sama saja kan?

Ahad, Julai 05, 2009

JANGAN PECAH PERUT


Belanja makananlah yang paling banyak untuk projek filem pendek kami. Pengurus produksi sudah kutip dana pastikan makanan cukup untuk sarapan, makan tengah hari, kudapan petang, makan malam dan mentong lepas tengah malam. Ya, pengambaran meleret hingga 3 pagi.

Pagi-pagi di lokasi, di sebuah rumah setinggan, aku tercari-cari jamban. Yang aku jumpa bilik air untuk basuh kain dan mandi sahaja. Aku tawaf keliling rumah, tidak jumpa juga jambannya. Yang aku jumpa adalah reban ayam dan ampai baju sahaja. Perut dah mengelodak.

Aku ke rumah sebelah. Tebalkan muka dan bertanya kepada seorang nenek yang sedang menumbuk ikan bilis di lesung. Entah masak apa hari ini. Kata nenek itu, jamban ada di depan. Aku pun pergi ke ruang tamu sambil menggaru kepala hairan. Jamban di ruang tamu? Siapalah tukang rumah ini? Pelik betul rekabentuknya. Bulu roma dah naik.

Di ruang tamu tidak aku temui apa yang aku cari. Yang ada adalah cucu nenek sedang menonton TV sambil membelek majalah URTV. Aku tidak boleh maintain macho lagi, lantas aku tanyakan juga lokasi jamban. Dia jawab, "Di depan sana bang." Jari telunjuknya menunjuk sebuah struktur papan buruk dalam lindungan rimbunan pohon pisang di sebelah parit di seberang jalanraya 30 meter dari hadapan rumah itu. Kalau tergesa-gesa sangat untuk ke sana, boleh terlanggar motor gamaknya.

Dua hari di lokasi, aku makan mencubit-cubit. Cukup untuk alas perut sahaja walaupun makanan sedap-sedap. Kata orang, berhenti sebelum kenyang itu afdal.

Khamis, Julai 02, 2009

LAWAK SENIMAN BUJANG LAPUK


Ada orang telefon, tanya sama ada aku sudah berhenti menulis blog. Huh! Aku belum ada niat mahu berhenti. Cuma, aku tidak mahu memaksa diri menulis sedangkan aku tiada bahan yang sesuai untuk ditulis. Takut nanti suatu masa orang petik kata aku untuk thesis mereka:
Menurut Tok Rimau (2009), "aku tak tau nak tulis apa dalam blog aku ni."
Apa pun, sekarang aku sedang mengikuti bengkel filem pendek di Hulu Kelang. Jadinya tulisan aku kali ini akan agak teknikal.

..........

Sebelum pengarah boleh sebut "Action!"  pembantu jurukamera perlu ukur jarak antara pelakon dengan kamera menggunakan pita ukuran. Ini membolehkan jurukamera membuat penalaan lensa yang tepat. Oleh kerana kami tidak punya pelakon, aku jadi stand in.

Pembantu jurukamera pun tarik pita dari kamera sampai kepada aku dan jerit kepada jurukamera, "Lapan Kaki!"

"Wow! Panjangnya," komen tukang konti. "Tersepit dengan clapper board nanti."


.
.
.
.
.
.
.

Mmmm. Aku dah kata, benda ni teknikal. Susah nak faham. Aku malas nak teruskan. Penat kalian baca je nanti.

Isnin, Jun 22, 2009

NOTTINGHAM


Anak saudara aku telefon.

"Orang sekarang belajar di University of Nottingham," dia bercerita.
"Wahhhhh! Tahniah!"
"Terimakasih."
"Musim apa kat sana? Musim salji ke, bunga ke, luruh ke?"
"Mmm... Musim durian."
"Apa?"
"University of Nottingham, kampus Semenyih la."
"Oh."

Bilalah, IPT Malaysia mahu buka cawangan ke luar negara. Kalau buat cawangan di Sweden, cantik gak. Boleh aku melaram dengan Winter Coat. Kalau di Uganda, tak mahu la.

Ahad, Jun 21, 2009

PANDUAN JADI WAKIL MEMINANG BAGI PIHAK LELAKI


Yana & Lan engagement
Originally uploaded by sabariah.noor.


Bukan nak tunjuk handal tetapi cuma nak memastikan sebuah majlis yang cantik dari sudut visual, adab dan seni katanya. E-mel 12 rangkap pantun yang bakal digunakan kepada pihak wanita agar ianya bukan kejutan. Biar mereka sedia jawapan. Bila sulaman kata-kata prosa dan pantun itu lebih macam duet berbanding saingan, majlis akan lebih berseri.


1. Kenalkan Diri
Sebiji kuini setangkai pauh
Dibeli orang dari Dengkil
Rombongan ini datangnya jauh
Saya diminta menjadi wakil

Sutera cina dilukis orang
Dilukis cantik dengan dakwat
Laut Cina kami seberang
Sampai di sini membawa hajat

2. Bertanya status
Sudah lama langsatnya condong,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
baru sekarang diizinkan Allah.

Besi sauh ditarik nyonya
Ditarik mari bersama kawan
Sebelum jauh, saya bertanya
Bunga di taman sudah bertuan?

3. Nyatakan hajat
Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis, dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Anak murid rajin bertanya
Guru pula memberi jawapan
Kalau sugguh belum berpunya
Jika sudi hendak berbesan

4. Cadangan/ Usul
Beratur landak mencari makan
Pohon pegaga di depan pintu
Masjid hendak kami dirikan
Dua keluarga hendak disatu

Susun di dinding kertas kajang
Kajang disampul lalu diikat
Hendak dirunding tidak panjang
Elok disimpul lalu diikat

5. Penutup
Orang membelat di tepi pantai,
banyak dapat ikan tembakul.
Yang kami hajat sudah tercapai,
Yang kami doakan sudah terkabul.

Renang lentang renang tiarap
Terbang menyusur terbang naik
Kita berdoa kita berharap
Mulanya baik akhirnya pun baik

6. Terimakasih
Tenang-tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke hulu
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik sebut dahulu

Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti
Jika ada silap dan salah
Jangan disimpan di dalam hati

Kalian boleh gunakan pantun-pantun di atas. Bukan aku cipta asli pun. Kereta German Engineering pun orang ubahsuai, inikan pula pantun.

Jumaat, Jun 19, 2009

SIARAN ULANGAN



Esok nak berangkat ke Jelebu untuk meminang si Ghades Chomel untuk Jejaka Korea. Ish. Chomel la sangat. Korea la sangat. Semoga sejarah tidak berulang. Aku rujuk entri blog lama bertarikh 11.9.2002:

..........
Abih Doh Oghe Tino Di Johor
Aku fikir selama ini mak aku bergurau, rupanya dia serius. Biasanya kerja jurucakap ini adalah kerja orang tua. Mungkin pada mak aku, aku ini sudah tua maka terpaksalah aku memikul tanggung jawab sebagai jurucakap rombongan merisik, hantar tanda dan meminang ini.

Sudah habis perempuan di Johor. Baru setahun adik aku merantau di KL, dia sudah terpikat dengan jururawat cek mek molek dari Pasir Putih, Kelantan. Ikan di laut asam di darat, bertemu juga dalam kuali. Kami sekeluarga, 2 kereta 1 van, terus hantar rombongan memetik bunga di taman. tanggungjawab besar jatuh atas batu gemala patik. Che Pipah yang turut serta dalam rombongan itu memberi aku gred C untuk persembahan yang lemah. Pengalaman aku bersyarah depan ratusan murid dan ibubapa selama ini tidak boleh digunapakai dalam situasi ini. Aku ingatkan aku cuma jadi drebar untuk keluarga aku tetapi aku tiba-tiba naik pangkat jadi jurucakap. Punca utamanya adalah aku tidak tahu fakta penting seperti jumlah hantaran, tempoh pertunangan dan aku selama ini tidak ambil peduli apakah yang atas dulang tembaga yang kami bawa. Aku cuma tahu ada coklat dalam salah satu dulang kami kerana aku ada curi sikit. Aku boleh ikut strategi ucapan menteri merasmikan majlis. Aku boleh cakap berputar-putar tanpa isi tetapi aku rasa saudara mara pihak perempuan, termasuk neneknya, akan keliru. Aku cakap direct to the point ikut laras mesyuarat rasmi. Semua ilmu dari buku-buku pantun dan peribahasa aku semua sangkut dalam otak tidak mahu keluar. Wakil pihak perempuan adalah kakak sulung tunang adik aku. Aku bagi dia B- dari segi persembahannya. Dia dipilih kerana dia pandai cakap (Orang prempuan memang selalu berlatih bercakap ) dan dia boleh kecek luar. Biasanya majlis macam ini ditangani oleh orang tua sudah bercucu. Bahasa mereka lebih halus dan adat pun mereka tahu benar.

Walaupun begitu, aku ghairah menunggu peluang seperti ini lagi. Jika aku diberi peluang lagi, aku akan buat persediaan mantap dengan kajiselidik lagi. Aku akan datang bermadah dan berpantun dan jika perlu, aku sediakan satu multimedia presentation sekali. Kalau ada sesiapa memerlukan jurucakap untuk rombongan meminang bolehlah bagitahu aku.
----------------------------------------------------
p.s.
1. Minta maaf kepada Yadziz dan Aidil kerana aku gagal singgah tempat kalian. Jadual terlalu ketat.
2. Aku rasa kelakar. Aku nampak tanda ini di pusat belibelah Rantau Panjang: "Baju orang TINO."
3. Network selalu down. Aku tidak dapat update.

Khamis, Jun 18, 2009

TINGGAL SEBUMBUNG


She drives me crazy. Like no one else. She drives me crazy. And I cant help myself. Bunyi irama dering dari Fine Young Cannibals. Nama Rima keluar di paparan.

Ajan: Hello you.
Rima: Hello. You buat apa?
Ajan: Tak ada apa-apa. Berangan je.
Rima: I ada tak dalam angan-angan you?
Ajan: Ada. Kita tinggal sebumbung. You masak untuk I.
Rima: Bestnya.
Ajan: Ya. You jadi orang gaji I.
Rima: Jahat!

Rabu, Jun 17, 2009

BARING SAMA TINGGI


Kalau aku beli sekarang, aku boleh dapat diskaun. Begitulah tawaran yang dibuat oleh jurujual yang menjaga satu stesen jamah produk di Hypermarket Giant.

"Binamon nak Calciyum."
"Bukan sedap pun."
"Binamon nak tinggi."

Jurujual mula tersenyum. Budak dah masuk perangkap. Aku balas senyuman jurujual dengan sengih.

"Calciyum ni produk tenusu. Dari susu lembu. Lembu tak tinggi pun."

Jurujual tidak senyum lagi. Baru aku perasan bahawa dengan kasut tumit tingginya, tingginya cuma paras ketiak aku sahaja. Yang menjadi lebih ironi, dia memakai t-shirt promosi bertulis: Ask me about how to be taller. Sudahlah jika mahu masuk askar tidak lepas, jadi jurujual pun dihina. Mungkin dia terasa hati bila aku terlepas cakap.

"Nak juga. Binamon nak tinggi."
"Nanti kita pergi sebelah sana. Ada Calcifah."
"Apa tu?"
"Calcifah tu produk susu zirafah. Baru boleh tinggi."
"Euwwww!"


Nota Kaki:
By mid 2007 Calciyum, a cultured dairy product, was facing challenging times until they came up with a new approach. Unlike the rest of the competitors which only concentrated on mothers, Calciyum campaign team focused on ‘Calciyum kids have the height advantage’. They more than doubled their monthly sales volume within 6 months and gained a 10% value share in the Cultured Dairy Products Category. The campaign won 2008 Bronze Effie Awards, awards that honour achievement in meeting and exceeding marketing communications objectives, with a focus on effective campaigns.

Selasa, Jun 16, 2009

BORIA DECEPTICON


Kelmarin aku isi minyak di Petronas. Nampak t-shirt Transformer hitam harga RM9.90. Sambar.

Semalam aku mengenakan busana t-shirt Transformer hitam itu untuk ke Giant Hypermarket. Bergaya sungguh. Sampai Giant aku jumpa lebih 20 lelaki memakai baju yang sama. Semua sengeh-sengeh. Kenapa Petronas jual baju kepada mereka juga? Hampeh!

Kalau aku pakai baju High School Musical The Movie lebih bergaya agaknya.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Bagi galakkan kepada blog baru ni: SEKON

Ahad, Jun 14, 2009

LAPAN BIJI BUKAN LAPAN ULAS


Mak telefon suruh balik Kulai. Mak dan abah bawa balik durian dari kebun di Air Hitam. Sebagai anak yang baik dan tidak engkar, aku pun hidupkan kereta dan berdesup ke Kulai.

Sebenarnya aku malu-malu nak makan durian kebun abah ni. Al maklumlah, bila waktu meracun, membaja dan menebas, batang hidung aku tidak nampak.

Aku makan dalam lapan biji durian sahaja. Cukuplah. Sekadar ambil hati orang tua. Tak makan nanti, dia kecil hati pula.

Jumaat, Jun 12, 2009

LAMA TAK CERITA PASAL AFIMON KAN


Afimon memang tangan gatal. Ada je yang dia gode. Penat aku larang,

"Jangan pegang laptop, nanti meletup!"
"Jangan pegang remote, nanti meletup!"
"Jangan pegang DVD, nanti meletup!"
"Jangan pegang henpon, nanti meletup!"

Secara psikologinya aku marah ikut bahasa dia. Hari-hari dia layan Ultraman. Dia faham apa itu meletup.

Satu hari, aku tanya, "Apa pasal Afi tak mau tidur ni?"
Afimon jawab, "Nanti meletup."

Psikologi la sangat.

Selasa, Jun 09, 2009

MELAYU KALAU MABUK, BURUK

Eh, abang ni Jason Mraz ke?- tanya seorang pelancong Sweden.

"Makan pagi jam 8.30, makan malam jam 7.00," kata Ah Chong chalet masa menyerahkan kunci bilik kepada aku. Aku buat muka curiga. Apa tidak curiganya, ini chalet Cina, restoran Cina. Halal ke?

"Lu jangan risau. Tidak ada babi. Ditanggung halal punya," Ah Chong chalet meyakinkan.

"Tidak ada tampal sijil halal pun," balas aku.

"Restoran Melayu pun tidak ada sijil halal ma. Tidak boleh dapat sijil kalau jual alkohol," jelas Ah Chong.

Di pulau bebas duti, harga setin bir sama dengan setin air gas biasa. Dan sangat laris. Tentunya berniaga bir lebih lumayan. Jarang peniaga mahu lepaskan peluang mendapat untung. Lagi pun mengikut undang-undang Malaysia, tidak salah orang Islam jual arak dan menghidang arak. Kalau salah, dah lama penuh lokap dengan pramugari MAS. Kan?

Sedap maaaa! Sepanjang aku di pulau, aku belasah Chinese Food (Urban sikit bunyinya kalau tulis dalam Bahasa Inggeris) yang ditanggung halal. Ditanggung halal oleh Ah Chong.

Isnin, Jun 08, 2009

KARGO

KONGO LINE FOR CARGO

Masa di jeti Mersing, ketika menunggu feri ke Tioman, rokok aku tinggal 7 batang sahaja. Aku tidak beli kotak rokok baru. Aku fikir, bila bekalan rokok habis, aku akan hirup udara segar dari laut sebagai pengganti. Begitu cekal sekali semangat aku membuang tabiat buruk ini.

Di Tioman, jika aku tidak snokeling (Apa perkataan Melayunya? Sno-keling?) atau bina istana pasir di pantai, aku akan lepak di jeti Kampung Salang sambil memerhatikan ikan-ikan mencari makan di dalam air laut yang bening. Sehari sekali, kapal kargo kayu akan membunyikan semboyan beberapa kali sebelum merapat dan menambat tali di jeti. Beberapa wakil peniaga yang berniaga sepanjang pantai akan berkumpul di jeti. Mereka membuat barisan di tangga jeti bagi memudahkan proses memunggah barang. Barang akan bergerak dari satu manusia ke satu manusia sehingga diletak di atas lantai jeti. Sesudah usai gotong royong itu, baru masing-masing memilih barang sendiri untuk di sorong ke kedai. Kos kargo dari darat membuat barangan di Tioman harganya lebih mahal dari tanah besar. Contohnya air tin berharga RM2 - RM3 di sini.

Pun begitu, ada juga yang murah. Seperti zon bebas cukai yang lain, Tioman juga padang arak dan rokok. Bukan padang jarak padang tekukur. 20 batang rokok di Tioman sama harganya dengan 14 batang di tanah besar. Untung 6 batang tu. Kalau aku tak beli rokok barang sekarton, rugi la kan?

Ahad, Jun 07, 2009

OMBAK & PANTAI

Sinopsis: Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai dan jika tidak pulang dengan ikan, jangan salahkan angin dan ombak. Angin dan badai tidak pernahnya betul kepada nakhoda yang tidak tahu arah pelabuhan. Sesungguhnya di air tenang semua orang boleh mengaku nakhoda, sedangkan nakhoda sebenar ujiannya di dalam gelora. 

Inilah filem aku paling seni. Penuh pergerakan dan dinamik. Ia adalah sebuah filem anti-naratif yang akan membuat engkau berkata, "syukurlah ia sebuah filem pendek."


Jumaat, Jun 05, 2009

TIDAK BERTAJUK

 
Dia: Pergi pulau dengan sape?
Aku: Ade le.

Isnin, Jun 01, 2009

PANGGILAN PULAU

 
 Ini kali ke empat kot aku ke Tioman. Korang jaga la Internet baik-baik sepeninggalan aku ni.

84 ULU KASAR

8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempat...