Jumaat, Februari 23, 2007

KIRI



Judul awal filem ini adalah Bidadari Buta. Kemudian kami tukar ke Dendam Semalam. Lepas tu tukar lagi ke Khadam Dendam. Akhirnya kami ambil keputusan untuk KIRI sahaja. KIRI lebih banyak lapisan maknanya.

Ini versi kontot (4 minit) yang kami hantar ke Hollywood untuk tatapan Spielberg. Sinopsisnya:
An unnamed female character is traumatized at childhood after witnessing the murder of her father, a retiring militant rebel. The murderer is his father's own guerilla leader, Wan Sulong. She then studies her father's war journal and makes it her own. She devotes her life to seek revenge on the murderer. When the time comes, she leaves her house and heads to a border town in search for Wan Sulong... and for vengeance. She finds the man she is looking for. Nevertheless, he is now a pious repentant man.

Versi Penuh (15 minit) akan menjawab persoalan:
1. Apakah hubungan Wan Sulong dengan Rodi?
2. Kenapakah Wan Sulong membunuh Rodi?
3. Bagaimanakah Bidadari menjejak Wan Sulong?
4. Bagaimana Bidadari tahu menggunakan senjata?
5. Di manakah Bidadari mendapat senjata?
6. Apakah tanda yang menunjukkan Bidadari sebagai obses kepada dendam?
7. Bagaimanakah Bidadari menolak pinangan?
8. Apa terjadi kepada Bidadari dan Wan Nordin selepas tembakan?
9. Apakah peranan pemuda gatal dalam filem ini?
10. Kenapa kepala Tok Rimau hampir bocor?

Tempahan untuk DVD versi penuh dibuka sekarang. Anggaran harga RM20. Beli yang ori! Untuk mendapatkan DVD KIRI, sila hantar e-mail dengan tajuk subject: MAAF, TANGAN KIRI. Sertakan nama dan alamat penuh utk tujuan kiriman nanti. Jangan sertakan $ dalam e-mail lagi. Anda akan dihubungi kelak oleh pengedar DVD bertauliah kami. :-) email ke tokrimau{at}gmail.com

Khamis, Februari 15, 2007

TARIKH MATI

Ini adalah latihan yang menakutkan. Andaikan hidup kalian seperti sebuku roti, sekeping lesen memandu atau pelekat cukai jalan. Pastinya, kalian tahu tarikh mati kalian.

Andaikan kalian tahu kalian akan mati pada 31 Disember 2007, apakah yang kalian mesti buat? Nyatakan 10 perkara yang kalian akan lakukan sementara menunggu waktu mati itu. Senaraikan.

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10

Setelah selesai membuat senarai, ambil diari atau planner kalian dan masukkan 10 perkara itu dalam tarikh di mana kalian mahu ianya mula dilakukan. Nyatakan juga deadline tarikh siap setiap perkara itu.

Selamat mencuba.

....................

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Bagaimana anda hidup jika anda tahu bagaimana anda mati?
Joni mahu bikin filem?

Rabu, Februari 14, 2007

ORANG BODOH DENGAN HADIAH

Kerajaan semalam mengumumkan menarik balik peraduan cabutan bertuah ‘Jom Tukar dan Menang’ yang menawarkan hadiah kereta Perodua MyVi bernilai RM50,000 kepada pemenang bertuah yang menukar kad pengenalan lama kepada MyKad.

Seorang menteri dipetik sebagai berkata:
“Jadi, semuanya nak tukar (MyKad) kena bagi upah pula, buat cabutan bertuah, baru orang ramai datang. Itu ‘rubbish’ (mengarut). Adalah BODOH untuk menawarkan sesuatu seperti itu kepada rakyat Malaysia untuk menukar MyKad... ia sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka berbuat demikian."

Masih dalam semangat persaingan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) diarah menghentikan Peraduan Tekan, Hantar dan Menang yang menyediakan ganjaran wang tunai kepada perakam gambar pesalah trafik sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.

Soalan Kefahaman:
1. Siapakah yang dikatakan bodoh dalam kenyataan menteri terbabit?
2. Kenapakah kebodohan itu tidak terserlah sebelum akhbar Mi-Telo menjadikannya sebagai agenda?

Sesiapa yang berjaya menjawab soalan di atas dengan tepat akan diberi rasuah berbentuk sebuah kapal perang jenis pengangkut kapal terbang. Penyertaan terbuka untuk semua rakyat Malaysia yang punya MyKad.

.............................

Nota:
Terima kasih kepada mereka yang mengucapkan takziah dan mendoakan kesejahteraan arwah.

Isnin, Februari 12, 2007

NENEK PERGI

Satu senja seekor pocong telah masuk ke rumah emak. Dia meloncat-loncat diruang tamu.

Nenek bingkas bangun mencapai penyapu. Diserangnya pocong itu dengan penyapu.

"Syaitan! Pergi engkau dari sini. Pergi!" marah nenek.

Bila usia menjangkau senja, nenek sekejap di rumah Pak Long. Sekejap di rumah Pak Ngah. Sekejap di rumah emak. Sabtu lepas aku ingin menziarah nenek di rumah Pak Long. Di depan rumah Pak Long ada kereta baru, Mazda RX merah. Ada artis menyorokkan kereta di rumah Pak Long. Takut peminat serbu bila tahu dia ada di rumah.

"Kereta baru ke Pak Long?" aku bergurau.

Pak Long serius. Dia lihat muka aku sayu.

"Nenek sudah tidak ada. Dia dah pergi," Pak Long memberi maklum dengan nada sebak.

Innalillahiwainnalillahirajiun. Aku pun jadi sebak. Menurut Pak Long aku lambat 5 minit.

Jika pocong itu datang lagi ke rumah emak, siapa yang akan menghalaunya? Aku kena belajar jadi berani macam nenek.


.....................................

Al Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Rabu, Februari 07, 2007

DEBAT

Kami bertujuh berdebat dalam van. Van produksi meluncur masuk kawasan kampung untuk lokasi yang berikutnya. Mauduk debat kami, "Perempuan suka lelaki tua atau muda?"

Orang Tua: Orang muda macam kalian tidak mungkin dapat. Kalian tiada kereta macam kami yang tua. Kami sudah ada steady income. Kami boleh beli hadiah macaam-macam. Kalian mahu sms dia pun susah, kredit habis.

Orang Muda: Saya pun akan tua juga nanti tapi encik tidak mungkin akan jadi muda. Ha! Ha! Ha!

Orang Tua: Okay la. Kalian menang.

Bidadari jadi rimas. Dia seorang sahaja dalam van itu yang tiada halkum. Tiada siapa yang mahu berbual pasal kasut atau pusat membeli belah.

Aku jeling cermin pandang belakang. Bidadari sedang pejam mata. Tentu dia sedang berdoa agar prop pistol mainan itu menjadi pistol betul. Boleh dia tembak kami semua.

Jumaat, Februari 02, 2007

KEDAI KAYU


Untuk projek filem Bidadari Buta, aku perlukan sebuah kedai papan untuk "rustic look." Suasana lama yang mengimbau kepada suatu lokasi yang tidak moden.

Aku tanya kepada Lek Bun di mana ada kedai papan.

Lek Bun: Batu 30 ada kedai papan.

Aku: Tadi saya lalu tidak nampak kedai papan pun.

Lek Bun: Ada. Sebelum simpang ke (Kampung) Seri Bunian tu. Kau nak beli simen pun ada jual kat situ.

Aku: Aduh Lek Bun. Maksud saya kedai yang diperbuat dari papan la Lek Bun. Saya cari kedai kayu. Bukan kedai yang jual papan. Itu kedai construction materials.

Lek Bun: Ha! Ha! Ha! Engkau yang cakap tak jelas.

Saksikan belakang tabir pengambaran BIDADARI BUTA: Hari 1. Fotografi oleh Lan Rasso.

Rabu, Januari 31, 2007

KUALA LUMPUR PENIPU

Hisyam berasal dari Pulau Semporna di Sabah. Kau dapat mengagak dari intonasi suaranya bila dia berbicara.

Sutradara: Orang kampung kamu hisap rokok Sempurna?
Hisyam: Kami hisap Dunhill. Dunhill seludup dari Indon.

Pun begitu, dari tulisan aku, kalian tidak boleh mengagak dia dari Sabah kerana aku tidak menulis secara fonetik. Jika Hisyam tidak pergi ke Universiti Selatan, dia tidak keluar dari Sabah.

Hisyam adalah salah seorang kru filem Maling. Dia berkeras mahu ikut kami ke Kuala Lumpur untuk majlis anugerah walaupun kad jemputan untuk masuk ke dewan anugerah itu tidak mencukupi untuk membawa terlalu ramai kru. Kami bawa juga Hisyam ke Kuala Lumpur. Jika dia tidak ikut pengambaran projek Maling, dia tidak keluar dari Johor.

Hisyam: Ini pertama kali aku keluar dari negeri J.B.
Kami: Negeri J.B.?! Ha! Ha! Ha! (Riuh satu van ketawa)

Sepanjang ronda-ronda Kuala Lumpur, kawan-kawan ghairah menjadi pemandu pelancong kepada Hisyam. Kami tunjukkan Tabung Haji, Institut Jantung Negara, Mall Mega, Masjid Negara dan juga Angkasapuri. Dan KLCC juga.

Hisyam dan Sutradara beratur di Food Court Signature, KLCC, tingkat 3 bawah panggung, untuk membeli makanan. Juruwang menghulurkan nasi ayam yang dipesan dan menunjukkan harga makanan pada LCD mesin wang. RM8.00.

Hisyam: Babi! (Carut spontan terpancul kerana terperanjat dengan harga makanan itu yang mahal relatif.)
Juruwang: (Terpinga-pinga dan mula mahu marah. Dia tidak dapat mengagak bahawa Hisyam dari Semporna, Sabah.)
Sutradara: Hisyam, babi tidak dijual disini. (Sutradara cover line)

Dalam perjalanan pulang dari KLCC ke negeri J.B., Hisyam dan Kahar duduk di kerusi paling belakang dalam van.

Hisyam: Harga baju itu mahal. (Bercerita tentang baju yang mereka lihat di KLCC)
Kahar: Mana kamu tahu?
Hisyam: Aku rasa kainnya. Nipis.
Kahar: Dia bukan jual baju. Dia jual Brand.
Hisyam: Kuala Lumpur Penipu!
Kami: Ha! Ha! Ha! Kuala Lumpur penipu! (Serentak).

Ada tidak ada, selain melihat artis-artis terkinja-kinja dalam seluar ketat mereka, telatah murid-murid aku inilah hadiah saguhati yang aku bawa pulang dari Kuala Lumpur.

Isnin, Januari 29, 2007

SEQUEL MALING

Tidak terpilih untuk menang dalam apa-apa kategori AFP06 ( Anugerah Filem Pendek 2006) tidak menggentas kreativiti kami. Dan jika kami diberi peluang untuk hantar entri lagi, kami akan hantar jenis kerja yang sama. Kami tidak akan tunduk kepada kejumudan dan kesederhanaan. Kami akan teruskan dengan plot penuh darah, penuh aksi dan penuh emosi. Kami akan terus kritikal dan terus kontroversi. Filem filsuf untuk orang yang berfikir dan suka makan nasi lemak.

Oleh itu, untuk kalian, eksklusif sneak preview sinopsis sequel fiksyen kami:

MALING 2
Maling 2 bermula dengan babak sebuah set pengambaran kempen anti merokok (kerana rokok boleh menyebabkan kereta meletup.) Tiba-tiba datang sekumpulan orang awam diketuai oleh seorang Pak Haji. Mereka memukul krew pengambaran. Mereka taji kaw-kaw punya. Pak Haji memaki ketua krew, "Kepala hotak kau. Rokok menyebabkan kanser, bukan kereta terbakar. Bodoh!"

Ambulan pun datang. Sebelum ambulan datang, Pak Haji dan kumpulannya itu beredar dari tempat kejadian sebab mereka mahu pukul pencuri hasil karya orang pula. Maling seni namanya tu.

p.s.
1. Baca Akhbar Metro 29 Jan 2007: kontroversi Alt+F4 (pemenang hadiah AFP06) didakwa mencuri hasil kerja orang lain.
2. Maling adalah perkataan Jawa/Banjar bermakna "Pencuri."
3. Orang yang buat skrip "Kita selalu begini, kenapa tidak begini?" juga akan dikeroyok oleh Pak Haji dan kawan-kawannya. Jangan ingat kalian terlepas dalam Maling II ni.

Isnin, Januari 22, 2007

BAJU YANG HODOH


Flood: Waiting
Originally uploaded by ProjectRasso Fotoblog.

Pagi itu, sebelum rombongan bertolak, Faruk tanya aku sama ada aku nak t-shirt percuma. Itu t-shirt hari keluarga jabatan tahun lepas. T-shirt itu warna oren dengan logo warna-warni di dada. Hodoh macam neraka. Aku dengan sombongnya menolak.

Rombongan Khidmat Masyarakat Briged Bencana membantu mangsa banjir pun bertolak ke Parit sulong, Batu Pahat. Banjir masih belum surut di sana. Kami mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak yang tinggal di pusat penempatan mangsa banjir. Selain dari itu, kami mengambil kesempatan menyelami keperitan mangsa-mangsa menempuh dugaan.

Kami ke stesen Dewan Parit Sulong. Untuk ke sana, kami perlu meredah air. Lori disediakan untuk kami ke sana. Dalam jam 3.30 p.m., aku dan kawan-kawan (Termasuk Spyz dan Lan Rasso) terperangkap ketika berteduh. Hujan lebat mencurah-curah. Kami pun lepak menanti hujan berhenti.

Sekonyong- konyong lori tentera yang membawa kami pulang pun sampai. Terpaksa juga kami redah hujan untuk naik lori. Baju basah lencun.

Tersengih-sengih aku jumpa Faruk, "Ada t-shirt lebih tak?"

Foto: Ehsan Lan Rasso.

Khamis, Januari 18, 2007

Coming soon: Bidadari Buta


Bidadari Buta
Originally uploaded by Jali.

Original Photo by Aphrodite.

Selasa, Januari 09, 2007

DEBUT

Saksikan debut Tok Rimau sebagai pelakon iklan khidmat awam bertajuk Maling, sebuah projek pelajar untuk Anugerah Filem Pendek anjuran FINAS dan RTM. Dialog Tok Rimau cuma sepatah, "Nanti!" tetapi kena buat aksi lasak sendiri sebab tiada stunt double.

Tayangan: 11 Januari 2007. Khamis. TV1 3.05 petang. Ulangan 10.30 malam. (Tertakluk kepada perubahan)

Anda boleh mengundi secara SMS memilih entri baik pilihan penonton tapi mesti baca niat, "Sahaja aku mengundi SMS untuk memenangkan Tok Rimau dan kawan-kawan, bukan untuk menang undian SMS bertuah- RM1000. Itu judi bukan undi."

Anda perlu membuat 3 Pilihan Terbaik kategori Khidmat Awam. Taip:AWAM Pilihan No.1 Pilihan No.2Pilihan No.3
CONTOH: AWAM MALING ROKOK KASIH Hantar ke 32770.

Lepas masuk tabloid, Tok masuk RTM. National TV tu geng. Esok lusa, Al Jazeera la pulak. Mmmm... tapi aku tiada Asstro.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR:


zunarbanner

Jumaat, Januari 05, 2007

ANUGERAH FILEM PENDEK

Filem pendek itu semangatnya independent. Semangatnya keghairahan terhadap seni. Bila RTM dan FINAS cuba menganjurkan Anugerah Filem Pendek, usaha ini patut dipuji. Inilah cubaan mereka untuk keluar dari kotak yang selama ini mengekang kreativiti mereka. Malangnya cubaan masih lagi cobaaaan!

RTM. Apalah nak diharap dengan RTM. Rebranding Exercise 10 kali setiap kali bersilih menteri pun, RTM tetap RTM.

Susunan rancangannya pun adalah satu drama. Lain dalam susunan rancangan, lain pula ditayangkan.

Iya iya ooo hari itu mengiklankan dengan gah tayangan entri-entri Anugerah Filem Pendek sepanjang Januari. Entah bila nak tayang, tidak tahu la. Habis dah slot waktu kemuncak disumbat dengan drama didaktik yang tidak henti-henti membebel mesej suci.

Sekali tu jam 3 p.m. masa orang sibuk kerja dan belajar, RTM tayang entri-entri dokumentari untuk Anugerah. Ada hati pula dia nak kaut untung melalui undi SMS. Nak suruh siapa undi filem pendek tu? Makcik kat rumah? Mereka lebih suka menangis mengupas Bawang Merah Bawang Putih.

p.s.
Tapi aku suka untuk memuji RTM juga kerana berjaya keluar dari kotak dalam beberapa keadaan terpencil:
1) Fenomena Seni menjemput Ustaz duduk sebelah orang seni. Panas bontot orang seni. Hampir terbakar kerusi.
2) Agrojurnal. Aku nak jadi petani moden.

Selasa, Januari 02, 2007

MENAMBAH DIAMETER LUBANG HIDUNG SATU HUN

Tit tit tit tot. Bunyi nada SMS.

Tangan kanan pegang telefon, kiri pegang stereng kereta.

"Ini gambar dua ekor hantu mana pulak dalam kat Kosmo ni?"- dari Spyz.

Artikel apa yang penting sangat hingga Spyz hantar SMS ni? Getus (kali pertama aku guna perkataan ini) hati aku.

Aku berhenti sekejap di gerai dan beli akhbar. Aku beli Metro. Memang ada cerita hantu di dalamnya. Cerita Jenglot. Aik... tak mungkin cerita Jenglot pun nak SMS aku.

Aku periksa SMS semula. Oh! Aku silap. Kosmo la, bukan Metro. Inilah akibat 'speed reading' SMS sambil memandu. Oleh itu, jangan tiru aksi ini.

Lepas makan tengahari aku beli Kosmo pula. Fuh! Gambar aku keluar dalam artikel muka 24, bertajuk Blook Bagai Diari Peribadi.

Jika kejantanan lelaki boleh diukur dengan saiz kasutnya, aku berteori, kesohoran manusia boleh diukur dengan saiz gambarnya di akhbar. Saiz gambar Tok Rimau lebih besar dari Nat King Cole, Cicak Man, Amy Search, Salleh Yaacob dan isteri ke-3, dan ketua Kampung Kundang, Abdul Samat Ya'cob. Nama-nama sampingan ini juga keluar gambarnya dalam Kosmo.

Jangan lupa beli Kosmo: Suara Kontemporari. 2 Januari 2007. Akhbar murah, RM1. Bingkaikan.

...............
PERTANDINGAN MONODRAMA NEGERI JOHOR 2007
Anjuran DBP Wilayah Selatan

Dengan kerjasama
Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Johor (JKKW Johor),
Majlis Teater Negeri Johor (MTNJ) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ)

i. Johan: RM3,000.00
ii. Tempat Kedua: RM2,000.00
iii. Tempat Ketiga: RM1,000.00
iv. Tiga (3) Hadiah Sagu Hati: RM500.00
v. Pengarah Terbaik: RM1,000.00
vi. Pelakon Terbaik: RM1,000.00
vii. Skrip Terbaik: RM1,000.00


Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan syarat dan borang penyertaan pertandingan, silalah hubungi:
i. Rusdi Abd. Rahman (no. tel.: 07-235 8802 / e-mel: rar@dbp.gov.my)
ii. Mohd. Rizal Mohd. Ali (no. tel.: 07-236 8282)

Syarat Penyertaan
PERTANDINGAN MONODRAMA NEGERI JOHOR 2007
Anjuran DBP Wilayah Selatan

a) Syarat Umum

i. Penyertaan terbuka kepada kumpulan yang anggotanya terdiri daripada warganegara Malaysia yang bekerja, belajar, atau menetap di negeri Johor.
ii. Peserta daripada setiap kumpulan dikehendaki menyertakan butir-butir lengkap yang disediakan dalam borang penyertaan. Semua butiran dalam borang penyertaan perlu dilengkapkan dan diserahkan kepada urus setia pertandingan sebelum atau pada tarikh yang ditetapkan. Sekiranya butiran yang diberikan palsu, penganjur berhak menolak penyertaan yang dihantar.
iii. Urus setia dan kakitangan pihak penganjur utama (DBPWS) tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.
iv. Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap kelewatan penerimaan borang penyertaan. Pihak penganjur juga tidak bertanggungjawab terhadap kerosakan atau kehilangan borang penyertaan.
v. Penganjur berhak menggunakan nama dan gambar ahli kumpulan untuk tujuan pengiklanan, percetakan dan publisiti tanpa bayaran honorarium.
vi. Penganjur berhak menggunakan skrip pementasan dan apa-apa jua visual rakaman video, foto dan audio kumpulan yang memasuki pertandingan ini untuk diterbitkan atau untuk sebarang tujuan lain.
vii. Skrip dan dialog pelakon hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, kecuali kata pinjaman dalam bahasa lain yang diizinkan oleh pihak penganjur.


b) Syarat Kumpulan
i. Setiap kumpulan mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang serta tidak lebih daripada 10 orang. Jumlah ini merangkumi Pengarah, Pengurus Produksi, Pelakon, Penulis Skrip dan petugas lain yang difikirkan sesuai dalam sesebuah kumpulan. Nama ketua dan anggota kumpulan serta penulis skrip hendaklah diisi dengan lengkap dalam borang penyertaan.
ii. Jumlah pelakon dalam pertandingan ditetapkan hanya SEORANG PELAKON sahaja dalam satu pementasan.
iii. Masa untuk satu pementasan yang ditetapkan antara 30 minit (minima) hingga 45 minit (maksimum) sahaja.
iv. Pihak penganjur pertandingan akan menilai setiap penyertaan dan skrip yang dihantar. Jika terdapat kumpulan yang tidak memenuhi kriteria syarat pertandingan, penyertaan kumpulan akan ditolak.
v. Setiap kumpulan yang menyertai pertandingan ini akan diberikan sebanyak RM500.00 sebagai galakan dan kos perbelanjaan untuk urusan pertandingan.
vi. Pihak penganjur hanya menyediakan tempat dan kemudahan asas pementasan sahaja. Segala urusan teknikal atau apa-apa juga kelengkapan tambahan seperti props dan set pentas atau sebagainya merupakan urusan kumpulan sepenuhnya.
vii. Skrip hendaklah karya asli bukannya skrip adaptasi serta belum pernah dipentaskan sama ada dalam persembahan atau pertandingan lain.
viii. Skrip adalah bebas tetapi dilarang menyentuh perkara-perkara sensitif yang berkaitan perkauman, keselamatan negara, agama, budaya bangsa dan sebagainya di Malaysia.
ix. Setiap penyertaan hendaklah disertakan skrip yang lengkap termasuk sinopsisnya yang ingin dipentaskan serta nama penulis skrip.
x. Kumpulan digalakkan menggunakan nama dalam bahasa Melayu yang bercitrakan budaya bangsa Malaysia untuk nama kumpulan.
xi. Pihak penganjur tidak bertanggungjawab atas segala urusan cuti, pengangkutan dan kos ahli kumpulan untuk menyertai pertandingan ini. Semua urusan tersebut hendaklah diuruskan oleh setiap ahli kumpulan.
xii. Pihak penganjur akan memaklumkan tarikh dan tempat pertandingan kepada semua kumpulan yang terpilih untuk bertanding selewat-lewatnya dua minggu selepas tarikh tutup penyertaan.

Tarikh tutup menghantar penyertaan sebelum atau pada 1 Mac 2007.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Blook: New Medium for Creative Writing- Written by Nurul Halawati Mohamad Azhari and photo by Irwandy.

Selasa, Disember 26, 2006

BAH TERUK

Aku menulis entri ini menggunakan laptop dengan bateri tinggal separuh. Aku gunakan kad 3G untuk terbitkan entri blog ini ke Internet. Teknologi memungkinkan komunikasi ini.

Gerobok tempat aku bertenggek mula kembang dan membengkak permukaannya kerana menyerap air. Apalah hendak diharap sangat dari perabot chipboard murah D.I.Y. dari Giant ini Kini dia mula bergoyang-goyang hilang keseimbangan.

Aku terjaga sekitar jam 4.00 pagi kerana terasa tilam aku basah. Aku sangkakan aku mendapat mimpi basah tetapi ternyata aku salah sangka. Aku memang tidak suka apabila mendapat mimpi basah tetapi tidak ingat langsung butir-butir dalam mimpi itu. Rugi. Apa pun, ini bukan mimpi basah. Tilam aku basah benar-benar oleh air, H20 bercampur lumpur dan sampah. Tilam aku basah kerana air hujan turun tidak henti-henti hingga menyebabkan banjir. Air dari gunung turun dengan banyaknya. Manakala, di baruh pula pasang keling. Sekarang pukul 5.00 pagi, air sudah sampai paras dada.

Aku sepatutnya keluar dari rumah semasa air paras pinggang tadi, tetapi semasa aku mahu keluar dari bilik, aku terampak beberapa kelibat sedang selongkar almari pinggan Correl mak aku. Aku syak itu anak jantan Mak Limah dan kuncu-kuncunya sedang menaguk di air keruh. Dia baru keluar dari Serenti tapi masih tidak hilang giannya. Aku nak lawan tapi takut sebab mereka ramai dan aku seorang. Aku masuk semula dalam bilik dan kunci pintu.

Sekitar 4.30 pagi aku dengar kecoh di ruang tamu. Aku dengar mat gian-mat gian itu menjerit. Mahu kata mereka jumpa emas, bunyi jeritannya macam menakutkan. Aku terdengar juga bunyi debus-debus percik air macam budak-budak main di kolam taman KLCC. Tapi sekejap sahaja bunyinya, kemudian sunyi.

Aku nampak air banjir yang keruh kekuning-kuningan bertukar menjadi merah. Warna itu masuk ikut celah pintu bilik yang berkunci. Aku mahu keluar ikut tingkap tapi tingkap rumah ini kukuh berjeriji besi. Aku panjat gerobok pakaian dan bertenggek di atas. Nasib baik laptop ini ada atas gerobok, boleh aku berkomunikasi dengan dunia meminta pertolongan.

Renyai hujan di luar bergendang atas bumbung zing seperti kumpulan speed metal. Aku bertenggek atas gerobok mengigil-gigil. Apa tidaknya. Sedang aku khusyuk memerhatikan pintu bilik, satu rempuhan yang dasyat memecahkan pintu bilik. Bukan pasukan penyelamat yang masuk tetapi seekor buaya 10 kaki panjang kini terapung di muka pintu. Di mulutnya ada tangan manusia yang masih segar. Bilik aku dah jadi kolam darah.

Kemudian bilik aku menjadi gelap. Aku tidak pasti samada litar terputus di suis utama rumah atau di pencawang TNB kampung aku. Aku tidak nampak buaya itu lagi kerana bilik aku gelap. Namun, aku pasti buaya itu nampak aku kerana skrin laptop ini mengeluarkan cahaya menerangkan muka aku.

Ini pasti buaya Stephen Poo Kee. Di ladangnya di hujung kampung, ada buaya, biawak, kancil, beruang dan musang. Dia bukan tauke zoo tetapi dia pembekal binatang-binatang eksotik untuk restoran-restoran di pekan. Dulu, aku nak melapor kepada polis tetapi Pak Ngah aku menghalang. Nanti siapa nak beli tenggiling-tenggiling yang Pak Ngah tangkap di ladang kelapa sawitnya? Pak Ngah memang usahawan tulin.

Alamak gerobok aku bergoyang lagi. Hampir roboh. Kritikal ni. Bila-bila masa sahaja aku boleh jatuh. Kalau kamu baca blog ini, sila telefon polis, bomba atau apa-apa pasukan penyelamat berdekatan. Minta mereka segera selamatkan aku di alamat...

[Fade to black]

.............
Nota: Sebenarnya penulis dalam keadaan dukacita bila bah di Johor amat teruk. 65000 orang yang menjadi mangsa. Untuk meluahkan kesedihannya, dia menulis fiksyen ini. Sementara menunggu orang yang menamakan hurricane di U.S sebagai Katrina dan taufan di Filipina sebagai Durian mendapat ilham sambil membelek Buku Nama-nama Anak, penulis menamakan banjir besar ini sebagai BAH TERUK. Semoga kita semua lulus ujian yang satu ini.

(Sumbangan dan bantuan : sila salurkan melalui PBSM, MERCY, Yayasan Salam atau Tabung Mangsa Banjir TV3)

Khamis, Disember 21, 2006

DISEMBER HAMPIR HABIS





KLIK GAMBAR UNTUK MAKLUMAT LANJUT

Rabu, Disember 20, 2006

PIALA MONSUN

Aku nampak dua lelaki muda berdiri di kaki lima jambatan yang merentas Sungai Senaiville. Mereka memerhatikan air sungai yang melimpah menenggelamkan rumah-rumah sekitar akibat marathon hujan 48 jam. Mereka kelihatan tidak sedih. Mereka ketawa-ketawa sambil tangan menunjuk-nunjuk kawasan yang tenggelam. Mungkin mereka bukan orang tempatan. Ini kali pertama mereka melihat banjir. Mungkin.

Wiper aku menari ke kiri dan ke kanan menepis hujan renyai-renyai. Perjalanan aku amat membosankan kerana sekejap laju sekejap sesak. Ada bahagian-bahagian jalan yang tenggelam dek monsun.

Aku biarkan kereta di hadapan aku bergerak jauh ke hadapan. Ini memberi kereta aku ruang kelegaan untuk menderas. Aku tekan minyak. Vrooom!

Tayar aku ligat melanggar lecak. Swosshhhh!

Aku tidak melihat belakang. Aku cuma dengar suara mereka menjerit, "Hoiiiiiiii!" Hujan bertambah lebat untuk anak-anak
muda itu.

p.s.
Aku tidak bangga dengan tindakan aku.

.....................................

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Ramalan Cuaca 7 Hari Johor Bahru

......................................

KAJIAN
Saudara Tok Rimau,
Saya mendapat contact anda menerusi Syed Syahrul. Maaf kerana mengganggu. Saya ialah pelajar sarjana dari Universiti Malaya, dan saya ingin meminta pertolongan sedikit atas kajian saya dalam thesis yang bertajuk " Mampukah blog menjadi kaedah efektif untuk mendemokrasikan Malaysia?"

Kajian ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu temuramah dengan blogger dan satu tinjauan bagi semua pembaca blog & pengendali blog dari Malaysia. Bolehkah anda tolong isikan tinjauan tersebut, dan sebarkan tinjauan ini di dalam blog anda?

Publisiti ini adalah untuk tujuan akademik saja =). Oleh sebab saya memperhatikan bahawa komuniti blog dalam Bahasa Malaysia jauh lebih besar daripada komuniti blog Inggeris, kajian saya tentu lebih bermakna jika saya mendapat data dari komuniti tersebut. Dengan profil yang hebat dan keaktifan anda dalam komuniti blog Melayu, saya yakin bahawa anda dapat membantu kajian saya untuk mencapai responden yang ramai.

URL untuk tinjauan ini adalah berikut: http://www.my3q.com/home2/121/junetan/malaysianblogbm2.phtml . Senarai soalan itu mengambil masa 5-10minit untuk menjawab.

Ribuan terima kasih saya ucapkan, dan saya menantikan balasan anda.


Yang benar,
June Tan
p/s. Blog saya tentang kajian ini di http://blogger-research.blogspot.com .

Okay, kawan-kawan. Sila jawab:
Soal Selidik Tentang Blog

Sabtu, Disember 16, 2006

PRODUKSI GERILA

"Silence on the set!" jerkah tuan pengarah.

Semua senyap.

Dia tidak jerit "lights" dan "camera" sebab benda itu pun tugas dia sendiri juga. Dalam produksi ala gerila, semua kena serba boleh. Pengarah kena tahu banyak. Multitasking.

Aku? Aku jadi penata seni merangkap tukang pegang papan tepuk (Clapboard).

"Action!" jerit Tuan Pengarah lagi.

Dua pelakon sedang duduk sederet atas sofa rendah. Lutut memuncak ke atas. Konon-kononnya mereka menanti giliran untuk ditemuduga. Tuan pengarah tekun menonton layar kamera.

"Aku memang pencinta wanita. Namun ku bukan buaya," tiba-tiba telefon bimbit pelakon wanita berlagu.

"Cut! Cut!" jerit Tuan Pengarah.

"Simpan la telefon tu dulu. Tengah shooting ni," marah Tuan Pengarah.

Pipi pelakon wanita berbaju kurung itu memerah malu. Pelakon wanita itu pantas membisukan telefonnya dan meletakkan telefon itu di atas lutut.

Graviti pun menjalankan tugasnya seperti biasa, menarik objek ke bawah. Telefon itu melurut turun dari puncak lutut masuk ke dalam baju kurung ke pangkal paha.

"Simpan kat situ je telefon? Kalau macam ini aku pun nak jadi telefon," kata pengarah.

Pipi pelakon perempuan bertambah merah.

"Kah! Kah! Kah!" Semua kru pun ketawa terbahak-bahak.

"Silence on the set!" jerkah tuan pengarah.

p.s.
Jangan tanya aku samada telefon ditala ke getar (vibrate) atau tidak.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Malaysia 2006/7: First Time Filmmakers

Khamis, Disember 14, 2006

CELORENG

Aku balik kampung semalam. Aku buka gerobok lama, gerobok pakaian seragam abah sebelum dia pencen.

"Mak baru kemas tu Ngah. Jangan kembur," mak bagi amaran.

"Nanti orang kemas balik la."

Mak bersandar di muka pintu. Dia nak pastikan aku kemas gerobok itu semula.

"Kan dah dapat," aku mengeluarkan baju celoreng abah dari gerobok. Ada pangkat lagi. Staf Sarjan. Aku acukan kepada badan. Mmm... nampak segak. Kawan-kawan bola-bola api cat (paintball) aku pasti cemburu.

Aku cuba seluar pula. Ketat. Tidak boleh pakai. Kalau paksa pakai juga, boleh koyak kelengkang. Seronok la musuh membedek ke arah bontot aku nanti. Simpan balik seluar itu.

"Engkau nak buat apa dengan celoreng abah kau tu Ngah?" tanya mak.

"Orang nak pergi perang la mak."

"Kau jangan main perang kat kebun durian, nanti dituduhnya kau nak hidupkan Al Maunah pulak."

"Kebun kelapa sawit la mak," kata aku sambil memperagakan baju celoreng depan cermin macam budak dapat baju raya.

...................................................
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Orang yang cantik baca blook Masuk Barisan. Orang yang baca blook Masuk Barisan adalah orang cantik.

Harga RM23 (Termasuk upah posto)- Untuk tempahan sila hantar SMS ke 012-736 7772. Sementara stok masih ada.


Tiada kena mengena dengan Barisan Alternatif dan Barisan Nasional.

Isnin, Disember 11, 2006

AGI HIDUP AGI MERABAN

Nyamuk-nyamuk yang kehausan bukan masalah kami lagi apabila pertempuran sudah bermula. Mungkin, darah kami pun tidak lazat lagi kerana sudah bercampur adrenalin yang berlebihan.

"Cover aku!" arah sarjan kepada aku.

Aku pun bangun dari tempat persembunyian dan memuntahkan peluru ke arah gerila yang bersembunyi di balik pokok-pokok kelapa sawit.

Rattt tat tat tat tat!

Musuh kami bijak. Mereka terus bersembunyi membiarkan pokok kelapa sawit menerima tembakan.

Rattt tat tat tat!

Sarjan berlari terbongkok-bongkok dan terus bergolek ke belakang balak tumbang. Terus dia meniarap mengintai musuh.
.
.
.

Seperti biasa, Tok Rimau bertambah kacak bila memakai topeng sambil membuat aksi Satria Baja Hitam.
.
.
.
.

"Aduh! Aduh! Arghhhhhh!"

"Jan! Kena tembak ke Jan?" aku melaung.

"Arghhh! Semut api! Semut Api!" Sarjan mengelupur di tempat persembunyiannya.

"Ha! Ha! Ha!" Aku tertawa terbahak-bahak. Aku mula leka.

Dush! Dush! Dush! Peluru turun macam hujan.

"Aduh!" Leher aku dilanggar sebutir. Tepat pada urat mareh. Lebam lovebite ni tahan seminggu.

Main paintball dua jam. Bayar RM53. Pulang dengan baju penuh berlumpur dan badan lebam-lebam macam membela pelesit.

Khamis, Disember 07, 2006

CUKAI

Engkau sedang memandu di satu kawasan yang engkau tidak biasa. Tiba-tiba, engkau perhatikan tiang-tiang lampu bertambah banyak berbaris menghiasi jalanraya. Tiang-tiang itu berbeza dari tiang-tiang lain kerana ianya lebih cantik dan berkerawang.

Engkau tidak perlu jadi psikik, engkau tahu ibu pejabat Pihak Berkuasa Tempatan atau Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah adalah berdekatan. Bangunan itu pastinya tersergam hebat, bercat indah dan mempunyai taman yang cantik. Engkau pun jadi sakit hati kerana engkau tahu ke mana perginya duit cukai pintu yang engkau bayar setiap tahun.

84 ULU KASAR

8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempat...