Ahad, Mei 04, 2025

79 Bangga

 


Hari ini agak menggembirakan.


Seorang atendan minyak terlihat basikal di dalam keretaku. Dia terus bertanya, “Abang umur berapa?”


Barangkali dia kagum melihat lelaki berusia masih aktif berbasikal.


“Lebih separuh abad,” jawabku ringkas.


Dia tersenyum lalu berkata, “Di kampung saya, Pakistan, lelaki macam abang tidur sahaja.”


Aku mengerti maksudnya — lelaki seusia ini di tempat asalnya kurang cergas. Sekelumit bangga terasa. Satu bentuk validasi antarabangsa, barangkali.


“Kenapa begitu?” soalku, cuba memancing pujian.


“Err…” Dia terdiam, mungkin kekangan bahasa menyekat kata.


Aku beri salam dan masuk semula ke dalam kereta. Tapi enjin tak mahu hidup. Lampu hanya berkelip-kelip sebelum padam.


“Bateri kong,” bisikku dalam hati. Kadang-kadang kau menang, kadang-kadang kau kalah.


Khamis, Mei 01, 2025

78 JALUR SERI ALAM





Hampir 3 bulan tidak kayuh serius. Bulan puasa berat aku hilang 1 kg. Bulan raya naik 2 kg. Berat sekarang ini terberat seumur hidup aku. Overweight sudah. 

Bila Puak Pelampau ajak kayuh di Seri Alam, aku terus tanya bila. On! Visi aku sekarang mahu kembali ke berat unggul BMI 25.

Langit pagi bermuram. Hujan lebat turun membersih bumi. Kami tangguhkan kayuhan dan berteduh di kedai mamak Al-Safa. Kami sarapan roti telur.

Apabila matahari sudah keluar, kami bertujuh memulakan kayuhan. Mula dari jalan tar menghala ke offroad.

Trek Bandar Seri Alam menyambut kami dengan lanskap yang bertukar-tukar: ladang sawit yang sunyi, dusun getah tua yang berbisik, lorong-lorong sempit berselirat di bawah kanopi hutan sekunder. Laluan ini bukan sekadar fizikal—ia sebuah perjalanan deria dan jiwa.

Sungai kecil melimpah, memaksa kami menunduk hormat pada alirannya, mengharung sejauh 50 meter. Laluan lain sedikit basah tetapi tidaklah becak melampau.

Tiada kumpulan lain. Hanya kami, hutan, dan empat pemancing yang mencuba nasib di tepi tasik. Bukit tinggi tidak kami temui, mungkin laluan manja yang dipilih oleh ketua. 

Cuma, ada satu titik tu leher aku terjerat dek akar liana. Terlentang jatuh tapi tidaklah cedera parah. Calar-calar itu mainan pengayuh basikal hutan. 

Seri Alam bukan sekadar trek MTB, ia menaikkan semula selera kayuh setelah lama bertapa. Sekian, Ulasan ringkas jalur MTB Bandar Seri Alam. 

Kesimpulannya kayuhan masuk 3 jam. Tiba di port rehat jam dua belas—syurga kecil untuk merehat lutut dan bermesyuarat tentang petualangan akan datang. Menyusur keluar ikut laluan berbeza 1 jam. Loop 18km. Letih tapi puas, dan hati penuh syukur. Kami makan tengah hari Nasi Kandar di Al-Safa. Jauh lagi visi aku nak tercapai. 


Khamis, April 24, 2025

Sudah Terlambat

Sudah terlambat

untuk abang mati muda.

Garis di pipi ini

bukan lesung pipit, dik—

ini kedut usia.


Namun

masih terlalu awal

untuk berhenti.

Abang akan

mencari terang

dalam hutan gelita,

mencari tenang

dalam laut gelora.


Di simpang ini—

doakan abang dik

tidur satu pertiga malam

dan bangkit di dua pertiga malam.


Dan bila waktunya sudah masa

abang melangkah ke seberang sana,

biarlah nama ini terus basah dalam doa.

Sabtu, Mac 22, 2025

77 KOLEKSI





“Kalau boleh ambik hari ni.” Itu ayat yang menjerat aku.

Jam 5 petang sebelum berbuka, aku singgah rumah Joren. Joren sedang sibuk berkemas untuk persediaan Hari Raya. 

Katanya lutut sudah longgar dan masa untuk bersara dari mengayuh.

Joren hulur satu bike repair stand, lima beg touring, dan sebiji MTB Dabomb. Sedang aku hadam betapa murah hatinya, dia buat tawaran basikal Pedalasia lengkap dengan touring racks. Dia turunkan dari atas gerobok di bilik dan suruh aku cuba kayuh.

Harga adik beradik, RM1000. Aku cuba berlagak rasional, tapi siapa yang boleh tolak harga durian runtuh rezeki Ramadhan ini? 

Sekarang, aku ada empat biji basikal—dua bergantung di tembok rumah, dua lagi dalam kereta. Akak kau pun ada empat. Jumlahkan semua? Lapan biji.

Sama ada aku seorang aktivis lestari bumi tegar, atau sedang mendaftar masuk ke fasa awal hoarding, itu aku serahkan kepada sejarah untuk menilai. 

Satu perkara aku belajar hari ni—ruang simpanan bukan masalah, selagi kau cukup kreatif untuk menyusun alasan.



Isnin, Februari 10, 2025

76 JAMBORI SARANG MEMERANG



Untuk Otternest MTB Jambori, Akak Kau tidak ikut. Dia baru sahaja menerima suntikan di lutut. Dia tidak boleh terlalu lasak.  

Otternest Camp terletak di Hutan Lipur Gunung Pulai, Pekan Nanas, Johor. Buat julung-julung kalinya syarikat ini jadi penganjur  jambori. Aku sangat teruja sebab Gunung Pulai ini adalah gunung paling dekat dengan rumah aku, 30 minit berkereta sudah sampai.

Perlumbaan di kaki gunung Pulai kali ini lain dari yang lain kerana selain melalui kampung, dusun buah dan ladang kelapa sawit, jalur juga merentasi kawasan hutan dan anak sungai. Siap satu bahagian tu, ada cabaran memanjat lereng dengan tali sambil memikul basikal. Jika Akak Kau ada, mesti aku banyak berhenti untuk tangkap gambar dia berposing. 

Terdapat juga beberapa laluan yang agak curam dan berisiko tinggi. Aku sudah tekan brek tetapi basikal tetap mengelosor ke bawah ditarik graviti. Kalau Akak Kau ikut, pasti dia lewat sebab terpaksa menyorong basikal untuk menuruni cerun.

Seperti biasa, aku tidak menang podium dan cabutan bertuah, tetapi tetap aku gembira. Alhamdulillah, aku berjaya menamatkan 25 km tanpa mengalami kekejangan.  Ini rekod baharu bagi aku.

Sampai di rumah, Akak Kau bertanya, "Macam mana ride tadi?"  

Aku jawab, "Semuanya best, cuma kurang satu."  

"Apa yang kurangnya?"  

"Kurang satu awek cun."  

Pipinya terus memerah. Cinta pun menggebu. 

75 UNDANG-UNDANG BASIKAL SINGAPURA




Aku sangat takjub dengan prasarana jalur basikal Singapura yang tersusun. Namun begitu, tidak kurang rakyat Singapura yang betandang ke Malaysia untuk berbasikal kerana di Kota Singa ianya aktiviti yang terlalu terkawal akan membuat penunggangnya jinak.  

Mungkin undang-undang basikal di Singapura sama sahaja di Malaysia tetapi di Malaysia ia tidak dikuatkuasakan. 

  1. Tidak Dibenarkan Membonceng – Jangan bawa orang lain di atas basikal kecuali basikal direka khas untuk itu (Tandem Bicycle). Di Malaysia, atas BMX pun boleh berdua.

  2. Tangan Sentiasa di Hendal – Pegang hendal dengan kedua-dua tangan kecuali jika memberi isyarat. Kadang-kadang letih juga menongkat tangan di hendel sepanjang masa.

  3. Jangan Guna Telefon Semasa Kayuh – Jangan gunakan telefon atau alat lain yang boleh mengganggu tumpuan semasa berkayuh. Nasib baik aku tidak kena saman menunggang sambil buat pengambaran dengan telefon.

  4. Bilangan pengayuh: Seseorang tidak boleh berkayuh dalam kumpulan lebih daripada 5 basikal di atas jalan raya. Penunggang terpaksa pecah kumpulan bila ramai.

  5. Tertib di jalanraya: Basikal mesti dikayuh dengan tertib dan sentiasa mengutamakan keselamatan orang lain. Sesiapa angkat tayar depan (wheelie) macam sarkas dan yang menunggang lebih 10 km/j di Green Corridor akan disaman. Ya, ada perangkap laju di sana.

Undang-undang ini buat kami sedikit gusar. Kami masih ingat rasa debaran chop passport di imigresen Singapura dan melintas tambak berkayuh ke imigresen Malaysia. Sebaik sahaja lepas imigresen, kami angkat basikal lintas penghadang dan menunggang menyeberang lebuhraya tanpa rasa bersalah demi mengelak pusingan "U" 5 km  jauhnya untuk kembali ke tempat letak kereta. Keliaran ini berlaku kerana sistem laluan jalanraya Malaysia ini terlalu car-centric. Langsung tidak peduli keperluan basikal.

Isnin, Disember 30, 2024

74 SINGAPURA DILANGGAR BASIKAL




Singapura kini bukan Singapura yang aku kenal semasa zaman remaja ku.

Hujung tahun 80an, duit Malaysia dan Singapura hampir sama nilainya. Jika arwah ayah dapat tugas prebet sapu, memandu penumpang dari Johor Bahru ke Singapura, arwah kerap bawa pulang epal dan limau segar. Kadang kala arwah bawa laici dalam tin. Sekali sekala arwah bawa pulang pinggan mangkuk berjenama Arcopal atau Arcoroc untuk emak. Lebar senyuman emak.


Seiring masa berjalan, aku mula peka dengan perkembangan fesyen di Singapura. Maklumlah, sudah remaja. Lagi pun siaran TV Singapura yang sampai ke Johor Bahru sedikit sebanyak mempengaruhi minta. Rakan-rakan yang berpeluang berkerja di Singapura membawa pulang pakaian dan kasut berjenama. Orang Johor Bahrulah paling bergaya berbanding rakyat Malaysia yang lain. Malah, muzik rock dari Singapura pergi Johor Bahru dahulu sebelum dia naik ke Kuala Lumpur.


Seiring masa  berlari, Singapura dan Malaysia sudah jauh berbeza dari sudut nilai matawang. Menggigil tangan ketika menukarkan ringgit dengan dollar Singapura. S$100 dollar singapura kini bernilai RM320. Sudah terang lagi bersuluh, aku tidak perlu membandingkan kekayaan Singapura dengan Malaysia. Semua orang pun tahu. Apa yang tidak semua orang tahu adalah julung-julung kali aku akan masuk ke Singapura dengan berbasikal. 


16 pengayuh semuanya melintasi tambak Johor dan disambut oleh kawan-kawan pengayuh dari Singapura.

Berikut adalah agenda kayuhan kami. Awal pagi Jumaat kami melintas tambak. Kayuh mula dari Woodland mengikuti Coast to Coast Northern Trail menuju timur ke arah Yishun di Tenggara. Kami singgah Punggol Point Park dan Coney Island Park, sebelum terus melalui Pasir Ris Park menuju jeti Pulau Ubin. Kami naik feri dan mendarat di Ubin Village di selatan pulau. Kemudian kami kayuh ke Utara menuju Maman Camping area. Mengadap Pulau Nanas, Jajahan Johor.


Berkhemah satu malam.


Awal pagi esoknya, patah balik ke Pulau Besar Singapura. Kami kayuh sepanjang pesisir pantai Changi hingga jumpa East Coast Park yang panjang. Kami main-main di kawasan tumpuan pelancong Marina Bay sekejap. Kemudian kami kayuh menuju utara di kawasan Rail Corridor, bekas landasan Keretapi Tanah Melayu yang telah dijadikan taman riadah. Lewat petang kami lintas tambak pulang ke Johor.


Secara amnya, 10% kongsi jalan dengan kereta. 90% lagi jalan khas, basikal kongsi dengan penjalan kaki. Aku khabarkan kepada rakan, "aku kagum dengan projek Park Connector Network Singapura yang membolehkan kami bergerak dari satu taman ke satu taman melalui denai khas mesra basikal." Dia balas, "Singapura kecil, boleh la."


Kalau ianya masalah saiz, mari kita lihat kampus-kampus di Malaysia yang sepatutnya menjadi model utopia tanahair. Kita saksikan tidak terbuat oleh kita jalur-jalur yang mesra basikal dan penjalan kaki. Padahal, tidak kurang profesor-profesor yang ke Singapura, Eropah, dan Jepun. Butakah mata mereka tidak nampak teknologi mudah yang membahagiakan yang boleh dibawa pulang? Kalian sabarlah, tunggu aku jadi perdana menteri nanti.

Ahad, Disember 01, 2024

73 SUNGAI TELOR

 

Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava.


Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rata-rata RM60 hingga RM100, penganjur bagi harga rahmah. Ini sudah macam jualan murah mahu tutup niaga. 


Aku terus bayar melalui talian dan hantar butir-butir peribadi. Tidak lama kemudian wakil penganjur buat panggilan, “Encik tahukan ini kayuhan luar jalan dan berbukit-bukau?” tanyanya. 


Barang kali penganjur melihat butiran usia aku yang separuh abad dan meragui kemampuan aku. Aku tidak rasa tercabar dengan andaian itu. Malah, aku sendiri pun ragu dengan kebolehan aku. Sepanjang tahun 2024 aku jarang berkayuh berbanding tahun-tahun sebelumnya. Maka, kecergasan aku tidak membanggakan.


Hari-hari menghampiri Kayuhan Ria Sungai Telor cuaca pula selalu hujan. Maka, kuranglah lagi peluang membuat latihan.


Namun begitu aku jelaskan kepada wakil penganjur bahawa aku sudah biasa main luar jalan. Aku ceritakan pengalaman aku bermain dengan lumpur sebelum ini. Tetapi, jauh di sudut hati aku ada rancangan B. Apa ada hal, jika jasmani aku gagal di denai aku boleh naik lori ayam. 


Lori ayam itu apa? Kepada mereka yang tidak biasa dengan konsep acara kayuhan luar jalan, lori ayam adalah gelaran kepada pengangkutan keluar kecemasan yang disediakan urus setia jika ada kecederaan atau peserta gagal lepas had masa yang ditetapkan. 


Maka, pendaftaran kayuhan ria aku termaktublah walaupun amaran awal sudah diberi.


Malam sebelum hari kayuhan, aku mula memikiran rancangan C. Rancangan C aku adalah batalkan kayuhan. Tidak rugi mana pun sebab yang hangus cuma yuran RM10. Barang kalau harganya murah, orang tidak hargai sangat. Jahat sekali niat itu. 


Sebelum tidur, aku mengharapkan hujan lebat esok pagi agar keputusan batalkan kayuhan atau rancangan C boleh dibuat tanpa rasa bersalah.


Pagi itu cuaca baik. Ayam berkokok bersahutan dan burung-burung bernyanyi riang. 


Aku dengan berat hati mengemas barang basikal dan sumbat dalam kereta untuk menuju ke Kayuhan Ria Sungai Telor.


Separuh perjalanan memandu, aku tersedar aku lupa bawa penyembur menthol untuk otot kejang. Terus aku ramalkan kayuhan hari ini ada cerita ngeri. Untuk berpatah balik ke rumah sudah terlewat, aku teruskan pemanduan menuju Sungai Telor.


Kampung Sungai Telor (Tapak Kota Pekan Tua/ Kota Kara) terletak di tebing Sungai Johor dan jauh dari muara. Dahulu ia pernah menjadi ibu kota pertama Kesultanan Johor Lama yang dipimpin oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II. Ada yang kata peninggalan kota lama masih ada tetapi aku tidak penah melihatnya. 


Aku tiba di kampung itu sekitar 7.30 pagi. Kenalan basikal aku pun ramai yang turut serta dalam acara. Gembira sekali dapat bertemu mereka. Kami bersalaman dan berpelukan di tempat letak kereta di hadapan balai raya kampung.


Aku lihat ramai juga peserta-peserta lain  yang sebaya aku. Malah, aku dapat tahu peserta paling tua adalah 70 tahun. Penganjur tidak beri amaran kepada mereka ke?


Singkat cerita, semboyan kayuhan dibunyikan. 300 peserta mula berkayuh. Kami santai-santai sahaja kerana hari ini tiada menang kalah. Ini bukan pertandingan.


Berbekal air 2 liter, aku berkayuh dengan penuh debar.


2 km pertama sudah disajikan bukit di atas bukit. Tayar aku tidak dapat cengkam tanah kerana denai licin dan basah. Aku ambil keputusan untuk mendorong basikal mendaki bukit. Jimatkan tenaga kerana denai masih panjang.


Jarak antara peserta semakin jauh mengikut kecergasan masing-masing. 


Di kilometer 3, rantai basikal terkeluar dari gigi gear takal. Hati aku berbisik, cerita ngeri sudah bermula. Aku laraskan rantai dan gear. Aku teruskan kayuhan turun naik bukit ladang kelapa sawit. 


Di kilometer 4 terserempak dengan segerombolan peserta yang pecut awal. Mereka datang dari denai lain. Mereka kata mereka tersesat jalan. Kami meneruskan kayuhan. 


Jika turun naik bukit ini berterusan, betis aku akan kejang. Aku tahu tubuh aku. Tanpa disangka, denai bertukar landai pula dan peserta berkayuh menyusur sungai. 


Semalam hujan lebat, maka paras air hampir melimpah ke tebing.


Aku terserempak lagi dengan segerombolan peserta yang sepatutnya sudah jauh ke hadapan. Mereka datang dari arah denai lain. Mereka kata mereka tersesat jalan. 


Kami meneruskan kayuhan mengikut riben penanda denai yang digantung jauh antara satu sama lain.


Tompok plot semakin menaik. Aku tertunggu-tunggu nasib yang bakal menimpa aku. 


Tiba-tiba aku perasan kami berkayuh masuk menyongsang denai yang telah kami lalu tadi. 


Dari jauh aku nampak sekumpulan penunggang berkumpul di satu simpang di puncak bukit. Mereka seolah-olah berbincang dengan urusetia penjaga simpang. Mereka kemudiannya ambil simpang kanan. Aku ikut dari belakang.


Kami kemudianya masuk jalanraya. Jalan ini agak mudah berbanding denai luar jalan. 


Meter aku aku menunjukkan 12 kilometer tetapi aku sudah sampai ke garis penamat. Eh... cepatnya. Peluh pun tak sempat pecah. Botol air aku masih penuh. Tidak luak pun air kerana aku berjimat-jimat untuk bukit-bukit yang diramalkan. Kata kayuhan 20 km, mana perginya 8 kilometer lagi?


Rupanya, semalam hujan sangat lebat di Sungai Telor hingga denai yang dirancang digenangi banjir. Penganjur tidak mahu ambil risiko penunggang basikal lemas atau dimakan buaya maka mereka ubah laluan denai di saat akhir. 


Malam-malam buta dalam hujan, siapalah nak cabut dan alih riben penanda jalan? Itu pasal la banyak kekeliruan di kalangan pengayuh. Ramai yang tersesat. Malah, pihak ada ahli urus setia pun keliru dengan perubahan saat akhir itu.


Jika dilihat peta kawan-kawan di atas Strava, masing-masing bentuknya berbeza. Seolah-olah format Kayuhan Ria ini, pergi ikut sini tapi balik pandai-pandailah.


Aku sudahi kayuhan hari itu dengan makan juadah yang disediakan. Berbaloilah RM10 dapat nasi lauk ayam dan kuih muih. Air balang perasa oren dan anggur. Balik modal.


Aku pun siasat kenapa penganjur memberi amaran kepada aku tentang luar jalan dan bukit bukau? Aku mendapat tahu, rupa-rupanya sebelum aku daftar ada kumpulan basikal atas jalan yang bertanya untuk sertai Kayuhan Ria Sungai Telor. Bila dikatakan ini jalur luar jalan, mereka pun tidak sertai acara. Justeru, bila aku mendaftar, terus diberi amaran awal kerana penganjur menyangka aku juga main basikal jalanan. 


Seperti biasa, acara kayuhan ditutup dengan cabutan bertuah. Nombor aku naik, dapat bakul hamper berisi jajan. Bukan balik modal sahaja ni, untung lagi. 


Anti-klimaks betul cerita kayuhan kali ini. 


Agak-agak kau, keterlaluan tak kalau aku  tuntut RM4 dari pengajur untuk ganti baki 8 km denai yang tidak cukup 20 km?

79 Bangga

  Hari ini agak menggembirakan. Seorang atendan minyak terlihat basikal di dalam keretaku. Dia terus bertanya, “Abang umur berapa?” Bara...