Sabtu, Oktober 22, 2022

051 SRIKENDUR IKUT KAYUHAN SRIKANDI


Kalau diikutkan malas, memang aku nak membuta je cuti Sabtu ni. Tapi mengenangkan kecergasan aku yang merudum, aku gagahkan juga latih tubi kayuhan bagi memulihkan kesihatan.

Akak Kau ajak aku menyantuni kayuhan kumpulan Srikandi, sebuah kumpulan basikal peringkat kebangsaan yang diasaskan oleh wanita untuk wanita. Srikanda boleh ikut sebagai peneman tapi tidak boleh mencuri perhatian. Aku akur.

Ada 25 pengayuh semuanya. Aku rasa sangat selesa kayuh dengan makcik dan nyonya. Aku tidak tertekan dengan toxic masculinity. Aku tidak terfikir pun tentang siapa paling jenama, siapa paling podium, dan siapa paling bergaya. Tiada tekanan untuk bersaing.

Aku jadi diri aku, kayuh santai di belakang sekali. Konon-konon sweeper. Aku lupa, aku menumpang sahaja, bukan urusetia. Aku bukan tahu laluan mereka. Bila peloton belakang terlajak sesat, aku ikut menonong. Nasib baik ada urusetia yang sedar ada ahli kurang lantas dicarinya kami.

Perjalanan kami meliputi tanah rata 60km dari Pantai Rambah ke Tanjung Piai, masuk kampung keluar kampung dan pulang. Aku buat pit stop di Kukup untuk qada’ hajat. Pelonton belakang tinggal aku, Akak Kau dan Yani. Aku kurang pasti laluan pulang ke Rambah, lantas aku gunakan Google Map. Aku nampak ada laluan alternatif off road pesisir laut dari Penerok ke Rambah. Apa lagi, kayuh.

Atas Google Map laluan nampak jelas tapi di muka bumi off road denai jomblo single trail dengan belukar semalu tinggi lutut. Toxic masculinity dan ego jantan meresap, pantang berundur.

Jauh juga menempuh belukar sehingga ketemu laluan kerikil lapang. Kata orang kampung situ, laluan tu sudah 2 tahun tak dilalui orang. Sedap aku bersembang dengan orang kampung, henpon pun berbunyi. Aku terlaju dan fokus menempuh belukar sehingga lupa tengok belakang. Akak Kau dan Yani masih di belakang sangkut dalam belukar. 

Laluan tu tegak tidak boleh sesat cuma ada lembu tengah laluan katanya. Dia takut. 

“Lembu je pun,” aku menjawab. 

“Pastikan guna basikal sebagai perisai antara kita dan musuh. Dorong basikal perlahan-lahan. Insyallah lembu itu tidak melawan.”

Alhamdullilah, mereka muncul dari dalam belukar dengan cerita petualangan melepasi lembu. Lembu tu lebih takut kepada mereka dan lari ke arah berlawanan bila dihampiri.

Kayuhan diteruskan hingga sampai ke garis asal, Muzium Bugis Pantai Rambah. Seronok dapat off road. Seronok dapat kenal makcik-makcik Srikandi dan pakcik-pakcik Srikanda. Ada pelbagai basikal termasuk lipat, gravel, mtb, touring dan tandem. Ada juga yang sakit tidak kuat berdiri dan tangan berbalut kerana athritis tapi bila mengayuh mereka gembira.

Melihat mereka memberi aku motivasi untuk kayuh sehingga usia tua. Ha ha ha, macam la sekarang ni muda lagi.


Tiada ulasan:

COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...