Rabu, Ogos 30, 2006

HIDUP INI PERLUMBAAN

RTM + Astro vs TV3
Tag team RTM dan Astro berjaya mengalahkan TV3 dalam gusti realiti selebriti bersejarah 28 Ogos 2006. TV3 yang telah membina sebulan hype menuju kepada majlis perkahwinan SitiK, disiarkan secara langsung dari KLCC, ternyata menyiarkan sesuatu yang anti-klimaks. Sopan santun dan protokol dalam majlis perkahwinan tersebut amat membosankan. Pengajaran dari episod ini adalah sesuatu majlis yang tidak dibuat untuk TV tidak sesuai untuk siaran langsung. Kawan aku yang hadir dalam majlis itu pun ada SMS bahawa dia belah dari majlis ketika majlis membelah kek. Jika ada lintas langsung dari Australia di mana janda Datuk K sedang bercuti, mungkin program TV ini boleh diselamatkan.

 RTM dan Astro yang mempertaruhkan ayam tambatan mereka Mawina ternyata lebih menghiburkan dari sudut tarikan emosi. Teka-teki sebab musabab perpisahan mereka sudah lama dimainkan melalui majalah, suratkhabar dan TV. Usaha RTM dan Astro dalam menawarkan jawapan, amat dialu-alukan oleh peminat-peminat TV. Perfect timing. Ada penonton yang menitiskan air mata menonton Program Realiti Mawina. 

Kegagalan RTM mencari penaja untuk ruang iklannya adalah anugerah dalam penyamaran. RTM terpaksa mengisi slot iklan mereka dengan komersial yang tidak komersial seperti promo rancangan-rancangan menarik di RTM. Abaikan helah bela diri ZAM bahawa slot itu bertujuan membakar semangat patriotisme. Kesannya RTM kelihatan tidak kapitalis langsung. Biasanya adalah kapitalis sikit-sikit tapi tak seteruk TV8 (Magnum pun masuk slot iklan). Ini baik kerana RTM kelihatan ikhlas mahu mendamaikan Mawi dan Ina dengan cara menukar pertalian mereka dari bekas tunang kepada rakan seartis. 

 
Rosyam vs Aznil
Aku beri kemenangan kepada Aznil. Walaupun popular melalui lakonan dan jualan biskut Julie, Rosyam masih hingusan dalam mengacara. Pengalaman mengacara Bicara Seni di RTM banyak membantu tetapi tidak cukup kerana kebanyakan tetamunya dalam Bicara Seni memang suka dan rajin bercakap. Lain situasinya menemubual Ina, walaupun sebagai pegawai pemasaran, Ina baru belajar bercakap depan kamera. Rosyam tercari-cari soalan yang sesuai bagi mendapatkan jawapan yang dicari. 

 Aznil pula pandai mempermainkan perasaan penonton melalui kata-katanya. Dia sudah lama berkecimpung dalam mengacara wacana dengan artis-artis pucuk hijau melalui program AF. Dia juga biasa berbual dengan kanak-kanak dalam siri Bersama Aznil. Menemubual Mawi tidak menjadi masalah besar kepada Aznil. 
 
 
Mawi vs Ina
Jangka panjangnya memanglah Mawi dah lama menang. Diakan fenomena tsumawi. Peminatnya sama jumlah dengan nombor telefon bimbit. Punyalah ramai. Lagipun dia yang memutuskan pertunangan. Pasangan bergu ini tidak lagi bermain dalam liga yang sama. Ina kalah kerana disingkir dari gelanggang apabila Mawi masuk Division A. Menjadi lebih kasihan apabila Ina tidak menyalahkan Mawi atas penderitaanya dan menunjukkan bibit pengharapan agar Mawi mengutipnya semula. Dasar perempuan bercinta. Begitulah. Dia sentiasa cari alasan tidak menyalahkan orang yang dikasihi. Dan menyalahkan keadaan. Simpati aku kepada keadaan yang selalu dikambinghitamkan.

Pun begitu, dalam episod Jejak Kasih Mawi dan Ina, Inalah yang paling banyak mengaut hadiah. Ina berjaya meneutralkan kata-kata hina yang dilemparkan kepadanya sebagai seorang pendesak. Ina berjaya mempromosi dirinya sebagai model. Dia juga mempromosi buku cintan-cintunnya dan syarikat tempat dia berkerja. Tidak cukup dengan itu, kesempatan ini diambil untuk melancarkan kerjaya barunya sebagai seorang penyanyi. Boleh tahan juga lagu Penawar Rindu yang dinyanyikan itu. Boleh tahan untuk seorang penyanyi yang baru pertama kali di pentas. Mungkin ini akan memenagkan dia jawatan presiden Kelab Jiwa Luka.

Ina ini bukan Ina lama. Ina baru tiada ulat bulu dikening. Walaupun bercakap dalam pengaruh frasa dari novel-novel cinta Alaf 21, Ina kurang berselindung. 

Lain pula dengan Mawi. Mawi kata Mawi masih Mawi tetapi itu adalah penipuan. Mawi baru tidak sejujur dulu. Tidak sejujur Ina dalam memberi jawapan. Oleh itu jelaslah Mawi kalah dalam pusingan ini. Mawi kelihatan ego tidak mengaku salah, seperti kebanyakan lelaki. Jantan yang sihat. Dia banyak berdolak-dalik menepis soalan atas alasan peribadi. Sehingga ada yang memberi komen, tiada lagi "aura mawi." Yang tinggal hanya "auta mawi."
 
Aku meramalkan, Mawi melindungi ahli keluarganya yang turut terlibat dalam membuat konspirasi untuk memutuskan pertunangan mereka. Mawi pulang dari pertandingan dengan tangan kosong. Peminat-peminat Mawi masih setia walau apa pun orang kata. Saat-saat ia diperlukan, di manakah undi SMS yang boleh memenangkan raja SMS ini?

Mengutip Hadiah saguhati
Jamal Abdillah mengambil ruang ini untuk menjeritkan satu lagu baru. Aku tidak tahu tajuknya.

Isnin, Ogos 28, 2006

DUA LAPAN SIFAR LAPAN SIFAR ENAM

"Cak! Cak! Cak!"

Tegur cicak di lampu. Mulutnya penuh selepas berjaya menangkap kelkatu.

"Mulut penuh jangan bercakap." Aku

"Apa yang Pakcik risaukan?" tanyanya sambil menyungkil gigi dengan sayap kelkatu yang rapuh.

"Aku risaukan kata-kata ku. Semakin lama semakin panjang. Seperti kapalterbang yang perlu berlegar-legar dalam ruang yang berbatu-batu hanya untuk berhenti." Aku.

"Cak! Cak! Cak!"

Risau aku adalah asli tetapi cicak itu menyangka aku menyindirnya yang mula mahu peramah. Dia beredar keluar mengikut celah dinding sambil membiarkan graviti menarik tahi hitam putihnya ke bawah. Nasib baik aku sempat mengelak.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Dugong Merdeka
Proton Merdeka - Cikgu dah tolong saya.

KAMAL DAH PINDAH CIKGU

Aku baru tahu iklan Merdeka Proton itu ada dua. Satu yang pendek dan satu yang panjang. Kesinambungan lebih jelas dalam iklan yang lebih panjang.

Sebelum iklan ini aku tidak pernah kata, "Aku nak tengok iklan yang lebih panjang."

Kadang-kadang guru akan merindui murid-murid mereka. Sungguh. Terlebih-lebih lagi waktu cuti panjang. Atau, bila mereka sudah meninggalkan sekolah.

Aku. Bila rindukan mereka, aku akan lawat blog mereka. Membaca tentang perkembangan mereka. Tetapi aku jarang meninggalkan komen terlebih-lebih lagi ada topik yang tidak sepatutnya dibincangkan antara murid-murid dan guru. Mungkin atas sebab yang sama juga, mereka jarang meninggalkan komen dalam blog aku.

Cepat benar mereka dewasa.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Jee Meerdeka

Jumaat, Ogos 25, 2006

IKLAN MERDEKA

Jika aku buat iklan TV untuk sambut Merdeka, begini rupanya.

Babak 1: Luar asrama sebuah universiti.
Seorang budak lelaki mengalas beg berjalan menuju perhentian bas. Datang kawannya dengan motor baru. Di belakang ada pembonceng, seorang awek.

Penunggang Motor: Enjoy la jali. Loan dah masuk. Sambar motor la Jali.
Pembonceng: Nanti I telefon Farah guna henfon baru I ni. Dia boleh temankan you.
Jali: Aku nak balik kampung la. Korang pergilah.
Motor itu laju meninggalkan Jali dengan asap.

Babak 2: Perhentian bas.
Bas ting-ting South Johore lalu. Jali naik bas. Asap bas tertinggal.

Babak 3: Rumah Jali. Rumah setinggan pinggir bandar.
Jali naik tangga rumah yang tidak bercat terus jumpa mak dia yang sedang memasak nasi.
Jali: Mak, ini duit biasiswa Jali untuk baju sekolah adik.
Mak: Kau simpanlah duit tu. Itu duit untuk kau belajar. Duit nasi lemak ni cukup untuk beli baju sekolah adik engkau. Esok engkau dah kerja, baru bantu mak dan adik.

Babak 4: Jali tolong mak dia bungkus nasi lemak. Nasik masih panas. Wapnya naik ke bumbung. Di sebelah, adik dia sedang mewarna kerja sekolahnya.

Fade to black. Keluar teks: Jiwa Yang Merdeka, Jiwa Yang Membantu. Lawati blog Tok Rimau: tokrimau.blogspot.com.

p.s.
Kalau kalian buat iklan merdeka dalam blog kalian, sila maklumkan aku.



Carta Iklan Merdeka Terbaik 2006

1. Petronas - Abang saya jadi nelayan.
2. Proton - Cikgu sudah tolong saya.
3. TM - Berkerja di rumah

Ini sahaja yang aku ingat.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Iklan Merdeka Petronas
The most popular blogger in the world: Bukti besarnya pasaran China
Iklan Merdeka Leen Mafia

Rabu, Ogos 23, 2006

JUJUR

Ada satu makcik letak bakul berisi karipap dan nasi lemak di depan lif. 100% layan diri. Harga tertulis RM1 untuk sebungkus. Letak duit dalam Tupperware. Bayar dan ambil baki sendiri jika perlu.

Makcik itu tidak kelihatan langsung. Aku cuma andaikan penjual seorang makcik. Begitu percaya dan yakin serta husnuzan sekali makcik itu. Dia percaya manusia ini jujur. Aku tidak seperti makcik itu.

Kita selalu marah-marah. Menteri tidak jujur. Hakim tidak jujur. Polis tidak jujur. Artis tidak jujur. Kroniknya krisis kejujuran dalam negara ini sehingga perlu diwujudkan Pemantau Integriti Kebangsaan.

Sepertinya, mereka ini akan mengambil peluang jika mereka tahu tiada manusia nampak mereka mengambil peluang.

Sebenarnya, ini bukan masalah manusia sekerat di Malaysia. Ini masalah rakyat kesemuanya. Masalah aku dan engkau juga.

Sila jawab soalan-soalan ini dan nyatakan kepada aku sama ada engkau jujur atau tidak.

1. Pukul 4 pagi. Tiada polis. Tiada kereta lain. Lampu merah. Adakah kau akan terus memandu?

2. Pernahkah anda mengelat ketika dalam peperiksaaan?

3. Anda jumpa duit RM50. Apa yang akan anda buat dengan duit itu?

4. Bos anda cuti. Dah seminggu dia sakit. Adakah anda akan berkerja sekeras sepertimana ketika dia berada di pejabat?

5. Pekedai yang menjual barang mahal dan tidak sedap tersalah memulang baki. Terlebih RM0.10. Adakah anda pulangkan?

Jawablah sejujurnya.

Isnin, Ogos 21, 2006

PENYABONG ENDAU



Aku baru balik dari Penyabong, Endau. Bagus untuk memancing, berkelah dan jalan-jalan cari makan. Mesti cuba: Ketupat Daun Palas,Pulut Panggang dan Ketam Goreng Tepung. Fuh!

Tapi awas, atas jalanraya banyak tahi lembu.

Rabu, Ogos 16, 2006

HIJAU HUTAN COKELAT KHAKI

Sarahmon kata sekolahnya akan mengadakan Hari Keusahawanan. Semua murid digalakkan terlibat.

Bagusnya sistem pendidikan sekarang. Anak-anak diajar berniaga dari kecil. Bila dewasa kelak boleh jadi tauke. Mungkin program ini boleh merapatkan jurang kepakaran berniaga antara bangsa-bangsa di Malaysia. Aku dulu tidak diajar berniaga. Mak aku ada jual jajan kecil-kecilan di tingkap rumah tetapi aku yang kebas jajan itu. Dua bungkus sehari. Aku budak anarki agaknya.

Sarahmon kata sekolah akan menjual kupon-kupon sebagai ganti wang. Kupon-kupon itu boleh digunakan oleh murid-murid untuk membeli barang-barang seperti makanan dalam tin dan makanan dalam plastik.

Pengalaman bangsa Cina dan India Muslim dalam berjual-beli jauh lebih matang berbanding bangsa bumiputera. Kalau ada pun Bumiputera yang jadi jutawan, kebanyakannya bergantung kepada pimpinan dan sokongan dari pemerintah. Justeru, amat penting bagi sekolah melatih pelajar berniaga agar negara dapat melahirkan usahawan tulen. Tidak bergantung sepenuhnya kepada tender dan kontrak pemerintah.

Sarahmon kata murid-murid akan membawa makanan dalam tin dan makanan dalam plastik dari rumah. Murid-murid lain akan membelinya dengan kupon. Keuntungan dari program ini nanti akan digunakan untuk membina astaka di sekolah.

Dalam erti kata lain, murid bagi modal dan untungnya diambil oleh sekolah. Mmm... ini bukan keusahawanan ala kapitalis. Mirip keusahawanan komunis sahaja bagi aku. Aku pun jadi keliru.

Aku bagi Sarahmon sekilo tepung ubi yang aku sangka tepung beras semasa membelinya dari kedai Chee Chap semalam. Sarahmon pergi sekolah membongkok kerana beg sekolahnya ditambah berat sekampit tepung ubi. Dari jauh, sebiji macam komrad.

Selasa, Ogos 15, 2006

HADIAH MISTERI DIMILIKI

Motif pertandingan Ulasan Ayah Kita Bos bukan rahsia lagi. Ia merupakan strategi promosi buku dan usaha memancing puji-pujian untuk Tok dan Naga. Ha! ha! Ha! Lagi pun, ramai pembaca yang sudah mengulas di blog sendiri, apa salahnya memotong dan tampal ke e-mel untuk dikirim kepada kami. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Kami hargai semua ulasan yang dikirim. Kami juga menerima beberapa teguran yang membina untuk bekalan projek buku yang berikutnya. Ya, kami belum serik lagi.

Jika kalian masih mahu mengirim ulasan, dipersilakan, kerana pintu hati kami masih terbuka. Pun begitu, tarikh untuk merebut hadiah misteri sudah mati-1 Ogos 2006. Kejohanan ini formatnya kalah mati. Hanya seorang pemenang sahaja. Kalau kalian mengirim ulasan sekarang, kami anggap sebagai usaha kebajikan bagi membantu kami merancang projek mendatang.

Tentu ada sebilangan kecil yang tertanya-tanya bila nak umum keputusan. Setengah bulan berlalu. Begitu cepat masa berlalu. Siti pun sudah bertunang. Datuk K pun dah nak kahwin. Lagi sekali.

Tanpa berlengah masa. Tanpa menunggu sama ada Nora Danish dapat anak lelaki atau perempuan, kami mengumumkan juara kejohanan Ulasan Ayah Kita Bos adalah ULASAN KELAMBU! - http://kelambu.blogspot.com/ .

(Tepuk tangan dan bersiul dalam nada yang nyaring).

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Ulasan Ayah Kita Bos
Beli Buku Ayah Kita Bos
Beli Buku Ayah Kita Bos dari luar negara


BUKU BARU DALAM RAK AKU
Freakanomics - cadangan Tahrizi

To Digress a Little by Syed Akbar Ali - cadangan Mat Jan
Buku ini memberi kamu latar belakang yang lebih jelas terhadap perbalahan Tun M vs Pak Lah.

Selasa, Ogos 08, 2006

ANGKAT TANGAN (Disenarai pendek untuk tajuk buku kedua)

Tok Rimau: Siapa yang pernah berkerja sebelum ini? Punya pengalaman berkerja. Sila angkat tangan.

Tidak seorang pun murid aku angkat tangan. Mungkin mereka sudah tahu ada soalan lanjutan yang perlu mereka jawab jika mereka angkat tangan. Ada yang tunduk ke bawah mengelak mata bertentangan dengan aku. Mereka tidak cintakan aku lagi.

Tok Rimau: Siapa yang tidak pernah berkerja sebelum ini? Tidak pernah berkerja untuk wang. Sila angkat tangan. (Kepada guru-guru muda: Teknik ini dipanggil jurus terbalikkan soalan.)

Lima orang angkat tangan. Itu pun tidak tinggi. Tidak bersungguh-sungguh. Ini adalah pelajar yang berusaha untuk mengelak soalan lanjutan.

Tok Rimau: Dalam kelas ini ada 50 orang. 5 tidak pernah berkerja. Matematik mudah. Tidak perlu kamilan dan dy/dx. Kesimpulannya, 45 orang pernah berkerja. Mmm,,, tetapi kenapa tidak angkat tangan bila saya tanya tadi?

Tiada jawapan. Senyap. Malaikat lalu seperti biasa. Kuliah aku ini lebuhraya malaikat.

Tok Rimau: Saya seorang psikik. Saya tahu kenapa.

Kepala mendongak. Semua muka memandang kepada aku. Kelopak mata terbuka beberapa darjah dari biasa. Mulut melebar separuh senyum. Pengalaman perguruan aku memberi tahu itu riak muka orang-orang yang berminat untuk terus mendengar.

Tok Rimau: Kamu semua tidak angkat tangan kerana ketiak kamu busuk tidak mampu beli deodoran.

Ha! Ha! Ha! Satu kuliah meledak ketawa. Mereka ketawakan diri sendiri. Ha! Ha! Ha!

Isnin, Ogos 07, 2006

TIANG LICIN

Ada 5 batang tiang kesemuanya. Lebih kurang 15 kaki tinggi setiap satu. Di puncak tiang-tiang itu ada bendera Malaysia.

Aku tidak tahu dari mana mereka dapat tiang-tiang itu. Sepertinya usaha yang hebat telah dijalankan bagi memastikan tiang-tiang itu tercacak megah di tengah-tengah padang.

Aku tidak tahu sama ada gris dilumur pada tiang sebelum dicacakkan atau selepas dicacakkan. Pastinya inilah cabaran yang paling rumit untuk permainan pesta keluarga organisasi aku.

Nama aku terdaftar secara paksa-rela sebagai salah seorang pemanjat tiang licin tetapi aku buat tak endah bila pembesar suara memekik-mekik hingga letih memanggil pemain-pemain untuk bersedia. Aku hanya duduk di bawah khemah sambil menyonyot gula-gula yang dimenangi dalam acara mengutip gula-gula di celah rerumputan padang.

Dari 3 ribu yang datang, tidak seorang pun mahu memanjat tiang-tiang itu. Nampaknya bendera Malaysia bukan upah yang boleh membuat orang menyingsing lengan dan mengotorkan seluar.

Khamis, Ogos 03, 2006

BLOG SEBAGAI MOMOK BARU

"Mana-mana penulis blog, sama ada mereka bergelar Datuk atau tiada Datuk, akan diheret ke mahkamah dan didakwa jika melanggar undang-undang negara sama ada undang-undang jenayah, akta hasutan atau apa saja, kita boleh ambil tindakan"- Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Harian Metro. 3 Ogos 2006.

Dengar tu adik-adik, sama ada Datuk Harimau atau Harimau biasa, tindakan mahkamah boleh diambil jika kita melanggar undang-undang.

Pun begitu, penulis blog diharap tidak melenting dengan kenyataan bapak menteri yang berupa gema dari kenyataan bapak-bapak menteri lain. Di sebalik ancaman, tentu ada peluang. Lihatlah secara positif, sekurang-kurangnya kini jumlah hit kita bertambah sebab orang-orang kementerian aktif memantau blog.


p.s.
Yang Berhormat,
Oleh kerana, saya ini sudah lama menulis blog, maka eloklah saya menangguk di air keruh sementara isu ini sedang hangat. Saya menawarkan khidmat Ceramah dan Latihan Menulis dan Membaca Blog, jika Yang Berhormat mahu melatih orang-orang kementerian memantau blog secara berkesan. Hubungi saya.

Khamis, Julai 27, 2006

LENGGOK

Tidak manis bersesak-sesak lelaki dan wanita. Ruang tangga itu agak sempit untuk kami lalu secara beramai-ramai.

Seorang pemuda berkata, “Ladies first.” Gadis-gadis di situ kelihatan menyimpul senyum mendengar ungkapan yang penuh sopan santun itu. Mereka kelihatan amat gembira.

Sesungguhnya wanita adalah makhluk yang suka mendengar.

Gadis-gadis dalam jeans sendat tanpa ruang udara itu pun menapak anak tangga untuk naik dahulu diikuti oleh pemuda-pemuda yang juga menyimpul senyum.

Lenggok ke kiri. Lenggok ke kanan.
Lenggok ke kiri. Lenggok ke kanan.
Lenggok ke kiri. Lenggok ke kanan.
Lenggok ke kiri. Lenggok ke kanan.
Lenggok ke kiri. Lenggok ke kanan.

Terdengar seorang pemuda berbisik, “Inilah untungnya jika kita bersopan santun di tangga.”

Sesungguhnya lelaki itu makhluk yang suka memandang.


p.s.
Aku? Pandangan pertama itu rezeki. Selebihnya aku meraba-raba. Bukan. Bukan meraba orang tetapi meraba landasan pemegang untuk tangga sambil mendaki dalam keadaan mata aku dipejam. Jangan tidak tahu. Aku ini keramat hidup. Ha! Ha! Ha! Ye ye o je.

Selasa, Julai 25, 2006

ANGKAT TANGAN

Mesyuarat Isnin kami biasanya panjang. Panjangnya mesyuarat kami sehingga nasi ambeng berlauk ayam disediakan depan setiap ahli. Ada kopi panas dalam thermos untuk mengelakkan jadi mengantuk. Air mineral sebotol untuk setiap seorang, jika hilang stamina selepas bertikam lidah.

Aku ada tugas lain. Aku perlu pergi kelas tetapi giliran aku melapor projek aku tidak sampai-sampai. Ahlinya ramai. Seorang demi seorang melapor.

"Kenapa projek kita tidak bergerak. Adakah kita tidak proaktif? Ada masalah duitkah? Money is not an object. Mohon sahaja pasti dapat. Nyatakan berapa diperlukan. Buat kertas kerja dan mintak sahaja." Kata bos memberi motivasi pagi penuh semangat.

Aku angkat tangan tinggi.

"Berapa kamu nak mintak?" Bos.

"Saya cuma nak mintak diri. Saya ada kelas."

"Ha. Ha. Ha. Ha." Mesyuarat bersetuju untuk ketawa.

"Okay. Beri laporan sekarang. Kemudian boleh pergi kelas." Bos.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Halwa mata untuk dimuatturun: Sifoo X-Limit PDF Zine isu 03. 6.54 mb.

Isnin, Julai 24, 2006

KASUT TINGGI

Harimau, kucing dan anjing memancutkan kencing mereka di beberapa tempat sebagai penanda kawasan. Di pangkal pokok, tepi tembok dan tayar kereta. Begitu juga beberapa haiwan lain.

Menurut kawan aku, tidak seperti haiwan, perempuan menanda kawasan mereka agar tidak dicerobohi dengan meninggalkan kasut tinggi mereka dalam kereta suami. Aku nampak sepasang dalam kereta aku dan aku juga nampak sepasang dalam kereta cap bintang kawan aku yang aku tumpang minggu lepas. Aku tidak tipu.

Semalam, semasa membaca muka depan akhbar, aku tertanya-tanya sendiri, "Semasa mereka mula berkencan (dating), Siti tidak nampakkah kasut tinggi dalam kereta Datuk K?"

Khamis, Julai 20, 2006

BERSIHKAN KEBUN

Seekor harimau biasanya menerkam mangsa dari arah belakang. Sasaran utama untuk melumpuhkan mangsa adalah menggigit bahagian tengkuk.

Salah satu petua mengelakkan serangan harimau adalah memakai topeng muka di bahagian belakang kepala. Petua ini adalah mengelirukan harimau yang mencari tengkuk mangsa.

Selamat mencuba.



Terimakasih kepada Najmuddin kerana menunjukkan foto ini.

Isnin, Julai 17, 2006

MATINYA SEORANG BLOGGER

Tok Rimau: Kalau aku mati sekarang, gambar terakhir di fotoblog aku adalah foto aku dengan topeng harimau.
Mat Ketet-Ketet: Okay la tu. Foto itu akan mengingatkan orang terhadap Tok sebagai orang yang suka bergurau.


Jika seorang blogger mati, kawan-kawan Internetnya akan menziarah blognya untuk penghormatan terakhir. Mengucapkan takziah dan berdoa agar roh arwah dicucuri rahmat. Walaupun ucapan-ucapan ini seolah-olah bercakap kepada arwah, hakikat sebenarnya ia adalah peringatan untuk yang hidup.

Ini adalah peringatan untuk kita semua: Kemungkinan besar, nyawa blog kita adalah lebih panjang dari nyawa kita sendiri. Apa-apa yang kita paparkan akan terus bergema di ruang siber walaupun kita telah lama pergi. Menulislah dengan penuh tanggungjawab. Kita tidak mahu kandungan blog kita yang buruk berterusan menghantui kita walaupun kita telah mati. Kalau benda baik yang kita kongsikan, mungkin dapat membantu kita di padang nanti.


Mat Ketet-Ketet: Aku lagi teruk. Gambar terakhir dalam fotoblog aku adalah foto seekor beruk.
Tok Rimau: Okay la tu.Foto itu akan mengingat orang terhadap kau. Ha! Ha! Ha!
Mat Ketet-Ketet: Sadis betul Tok ni!
Tok Rimau: Maafkan aku. Akukan suka bergurau. Amat susah aku melepaskan peluang mengenakan kau. Peluang bukan datang selalu. Ha! Ha! Ha!
Mat Ketet-ketet: Ha! Ha! Ha! Aku faham. Ada ubi ada batas. Ada lori ada bas.

Khamis, Julai 13, 2006

SELIPAR

Aku kenal Cik Nana melalui perjumpaan-perjumpaan Komuniti Geng Jurnal. Boleh dibilang dengan jari-jari sebelah tangan berapa kali kami bersemuka. Tidak banyak. Selebihnya, kami berinteraksi melalui blog, forum dan Yahoo Mesengger. Usianya dalam lingkungan 20an. Hitam manis. Orangnya periang dan full of life.

Tok Rimau: Buat apa engkau nak keluar dengan dia? Dia kasut pun tidak mampu. Tengok gambar kat blog dia. Dia pakai selipar.

Cik Nana: Orang pakai selipar la bagus Tok. Dia pergi masjid. Orang pakai kasut takut masuk masjid. Takut kasut hilang.


Inilah petikan sembang terakhir aku dengan dia. Aku tidak ingat entah bila kami bersembang.

Hari ini, Khamis 13 Julai 2006, dia berangkat pergi. Aku sedih dan sebak. Air bertakung di belakang kelopak mata menunggu masa dijemput graviti. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Semoga dia aman di alam yang lagi satu. Al Fatehah.


CIK NANA DALAM KENANGAN
Blog Cik Nana dengan entri terakhirnya tentang kesakitan yang dialami.
Foto Cik Nana dengan foto terakhirnya bertajuk: Walk Alone.
No wedding but a funeral
Ucapan Takziah di Forum

Isnin, Julai 10, 2006

SEJARAH DIUKIR



Di zaman gelap Eropah dahulu, pihak gereja berdakwah dengan menayangkan drama-drama moraliti. Ada pentas untuk pelakon-pelakon melakonkan watak ahli-ahli syurga bersenang lenang minum air anggur sambil ketawa-ketawa gembira. Dan, ada pentas untuk pelakon-pelakon berlagak macam syaitan mendera ahli-ahli neraka dengan pelbagai penyeksaan.

Kalian teka pentas mana yang lebih ramai penonton? Pastinya pentas neraka. Secara visualnya ia lebih menakjubkan.

Putar punat mesin masa ke 2006.

Mengikut ulang tayang, Mat Razi kelihatan meraba dada (puting?) Zidane sambil merapat ke punggung Zidane. Kemudian mereka kelihatan seperti berjalan sambil berbual-bual bertanyakan khabar, "kau dah minum atau belum?" Tiba-tiba Zidane menghampiri Mat Razi lalu menanduk kuat dada Mat Razi. Mat Razi jatuh terlentang.

Setelah padang menjadi huru-hara beberapa minit, pengadil bersemuka dengan penjaga garisan. Mungkin headphone dan microphone yang dilekatkan di pipi mereka tidak berfungsi untuk perbincangan online. Mereka berbincang selama 1 saat, kemudian pengadil melayangkan kad merah kepada Zidane.

Zidane dengan muka machonya keluar dari padang. Lepas itu, dia tidak masuk padang lagi. Ambil kalung hadiah tempat kedua pun tidak.

Pun begitu harus ditekankan di sini, Perancis kalah bukan sebab Zidane menyondol Mat Razi tetapi sebab Tergezut gagal menendang bola masuk gawang ketika penalti penentuan.

Dalam masa 10 tahun, kita akan lupa siapa-siapa yang menyumbat gol penentuan. Kita juga akan lupakan Toti dan Tergezut. Namun begitu kita akan sentiasa ingat Zidane menyondol Mat Razi seperti mana kita ingat tangan ajaib Maradona dan tendangan Kung Fu Eric Cantona.

Kesimpulannya, masuk bermain di final Piala Dunia sahaja belum cukup, untuk mencatat sejarah, kau mesti lakukan sesuatu yang menakjubkan.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Insiden Sondolan 2:20 saat.
Asal-usul Zidane

Akak! Akak! Akak!

Otak kamu memulas-mulas mahu mengulas! Hadiah bernilai lebih dua ratus ringgit untuk dimenangi!

Rabu, Julai 05, 2006

PENULIS BESAR

Aku separuh berbisik kepada Gitar Tong, "Soalan bodoh adalah soalan yang tidak ditanyakan." Lantas aku bangun menuju ke mikrofon untuk menyekolahkan soalan aku.

Aku ajukan soalan terbuka kepada orang di atas pentas dan di bawah pentas, "Apa bezanya penulis kecil dengan penulis besar." Sebenarnya soalan aku lebih panjang tetapi tidak perlu aku bosankan kalian dengan protokol.

Ini sebahagian jawapan yang diperolehi dari soalan aku yang tidak bodoh itu.

Menurut Dr. Mana,"Hanya dengan membaca karyanya, tanpa melihat namanya, pembaca akan tahu siapa penulisnya. Itu penulis besar."

Aku pamerkan di bawah 3 petikan dari blog-blog berlainan. Dari ayatnya yang beberapa kerat ini sahaja, peminat fanatik blog dapat meneka siapa penulisnya.

1. Aku. Dan. Dirah. Ketawa mengekek. Macam pontianak jumpa paku setengah inci.

2. Mujur orang Malaya yang mayatnya perlu dibakar tidak menggunakan letrik, hanya perlu kayu dan arang.

3. Mujur ada Sharifah sOOfia. Sebagai aktress berbakat besar, dia sepatutnya diberi peluang berlakon lebih banyak drama dan filem.



Penulis besar barangkali.

XLIMIT SIFOO


Tok menyampaikan salam Geng Sifoo

......................................................................................
Salam:

Tinggal lagi SEMINGGU untuk anda menghantarkan sumbangan anda ke
majalah XLimit #03

CEPAT! CEPAT!!

Tajuk/tema untuk isu #03 ialah : “I.S.A = Ikut Suka Aku”.

Ikuti kehendak kreativiti anda, ikuti seni anda. Atau terjahkan minda
kreatif anda ke tahap paling tinggi!

Hantar karya kreativiti anda dalam bentuk Visual Imej (Digital, tradisional) atau penulisan (sajak, puisi, artikel) atau dalam bentuk fotografi (snap! snap!) kepada kami untuk terbitan
isu seterusnya.

Apa-apa pun karya anda tak perlulah terikat sangat pada tajuk (tajuk syarat jer hehhe)...

Tarikh tutup penyumbangan hasil kerja ialah pada Minggu pertama bulan Julai 2006 (tarikh akhir 10 julai 2006).

Berikut adalah saiz ukuran helaian majalah:-
Satu muka - 567 x 567 pixels (20cm x 20cm)
Dua muka - 1134 pixels X 567 pixels (40cm x 20cm)
Semua imej mestilah menggunakan resolusi 72 dpi, RGB atau Grayscale.

Format fail yang boleh diterima adalah seperti berikut:
Imej: .jpg, .tif, .png, .gif, .pdf, .eps
Teks: .doc, .txt, .rtf

Semua hasil kerja mestilah dihantar ke alamat seperti di bawah:
visual imej hasil kerja dan fotografi : xlimit@sifoo.com
Penulisan dan Artikel: 307mags@gmail.com

Sila sertakan nama, nama samaran, laman web dan alamat email.

Untu melihat isu² sebelum ini sila ke : http://xlimit.sifoo.com

Selamat berkarya!
Skuad xlimit

Selasa, Julai 04, 2006

SEHARUM KASTURI

Ingatan aku amat jelas. Waktunya pagi jam 7.30. Tempatnya di pintu pagar Pusat Pengajian Persediaan, ITM. Yang aku tidak ingat adalah siapa dia yang menyapa.

Dia memuji ikhlas, "Wangi kau hari ini. Aku suka bau ini. Mana kau beli pewangi ni?"

Aku diam seribu bahasa. Tidak manis jika aku menjawab jujur, "Bau ini datang dari ketiak aku. Aku pakai haruman ketiak terlebih hari ini."

Kami pun meneruskan perjalanan ke kuliah.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Naga: Seharum Kesturi
Daun: Teknologi Terbaru Kunci Tandas

Isnin, Julai 03, 2006

BALADA MINAH MEMULAS MESIN MASA

Gitar Tong minta aku nyanyi "la la la la" di hujung lagu sampai fade tetapi aku ni pekak irama maka rosak lagu ni. Batal "la la la la."

Oleh kerana aku ni nak juga difeaturekan, maka aku rap la di hujung lagu. Bukan rap pun. Lebih macam membebel. Aku cuba beberapa mood. Akhirnya kami setuju untuk mood kecewa.

Sesiapa yang nak buat kenduri kahwin dalam masa terdekat, bolehlah jemput aku dan Gitar Tong buat persembahan.

p.s:
Lagu ini tidak sesuai untuk RTM.



Dengar lagu nyanyian Gitar Tong.

BALADA MINAH MEMULAS MESIN MASA
Artis: Gitar Tong | Special Feat: Tok Rimau

Matahari pagi pun tidak secerah dulu
Kicau burung pun tidak semerdu dulu
Bunga di taman pun tidak seharum dulu
dulu dulu cerita dulu
Itu cerita dulu, Minah.

Kini abang perut memboroi
kasih sayang peroi hancur
berkeping-keping ia gugur
jatuh berterabur
sepenuh lantai dapur

Kini sunyi sepi di ranjang
tirai malam kian panjang
termenung bosan bersawang
duduk telanjang
lenguh menunggu abang

Minah deras memulas mesin masa
Minah mahu kembalikan zaman muda
ketika daging pejalnya dahaga raba
ketika bonjol-bonjolnya menjolok mata

Kain seela
cukup baju sepasang
Mengikat badan padat
sehabis ketat sendat
Di malam pekat hangat
Minah lemas dipanjat

Adik-adik terkinja bersama kakak
Berudu-berudu berpesta bersama katak
Hembusan nafasnya telah menjadi sesak
kerana keperluan yang makin mendesak

Pucuk hijau pahala tertebas
Dahan kayu iman tercantas
Liar nafsunya terlepas bebas
Justeru itu Minah terbabas
Justeru itu Minah tertumpas

Artis: Gitar Tong
Lirik: Tok Rimau (SX27)
Lagu: Gitar Tong


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Lagi lagu-lagu Gitar Tong

Jumaat, Jun 30, 2006

GELAP-GELITA

Canggih! Sebaik sahaja kalian masuk tandas, sensor atas pintu tandas akan mengesan kehadiran kalian. Secara otomatik lampu tandas menyala. Tidak kira malam atau siang. Bolehlah kalian pilih samada mahu menggunakan urinal, singki atau bilik-bilik jamban.

Banyaknya wang digunakan untuk memertabatkan tandas awam. Malangnya, lampu akan padam setelah 10 saat jika sensor tidak mengesan apa-apa pergerakan dalam tandas.

Lokasinya sensor tunggal adalah di atas pintu utama tandas. Jika kalian berada dalam bilik jamban, kalian berada di luar jangkauan sensor. Setelah 10 saat, bersedia untuk bergelap.

Nasihat aku: Jangan masuk bilik jamban berhampiran dengan pejabat aku pada waktu malam. Jika terdesak, bawa lampu picit atau lakukan urusan kalian di bawah 10 saat.

Rabu, Jun 28, 2006

KESILAPAN BORONG SEMUA

"Ah Chong potong barisan. Oleh itu, Cina potong barisan."

Ini adalah contoh jenis kesilapan hujah dalam katergori "kesilapan borong semua" atau dalam bahasa Inggerisnya: "overgeneralization." (Aku sepatutnya menterjemahkannya kepada "terlalu menjeneralkan?") Satu orang buat jahat. Semua seumpamanya adalah jahat.

"Malaysia ni pekak!" Bentak seorang lelaki Singapura berkopiah dalam pejabat pusat langganan pengguna PLUS. Darah aku mendidih mendengar hujah borong semua lelaki Singapura berkopiah itu.

Aku datang sini untuk beli kad Touch N Go, bukan untuk bertekak. Aku sabar dan terus memasang telinga.

Lelaki Singapura berkopiah itu terus menerus meninggi suara dengan kerani wanita yang melayannya di kaunter. Rungutannya adalah mesin Touch N Go mengenakan caj lebih. Dia tidak puas hati. Dia mahu tuntut wangnya semula. Kerani di kaunter pula terus menerus melayannya lelaki itu dengan nada robot menerangkan prosedur aduan dan siasatan. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Resolusinya, satu cek akan dihantar ke alamat lelaki Singapura berkopiah itu.

Ketika dia berpaling mahu keluar, dia melihat muka aku. Aku senyum dan sapa, "Sabar je la bang." Mukanya nampak kurang marah sedikit. Lantas dia keluar.

Bila giliran aku sampai ke kaunter, aku sapa kerani di kaunter, "Syabas kak! Akak sabar melayan karenah pelanggan." Robot tadi tersenyum.

"Orang macam gitu pun ada."

"Macam-macam orang dalam dunia ni kak." Aku.


Eh! Aku sudah lari topik. Ha! Ha! Ha! Usai sudah aku mempromosi kebaikan aku. Mengurangkan pahala sendiri. Sekarang aku akan teruskan usaha biasa aku meletak kesilapan orang lain bawah kanta pembesar.

Dalam program Fenomena Seni di RTM1, Ako sangat tidak setuju dengan topik malam itu: Artis Malaysia Tidak Bermoral. Ako kata, "tidak semua artis tidak bermoral. Segelintir sahaja yang tidak bermoral."

Ako sambung lagi, "Tidak perlu jadi artis untuk tidak bermoral. Orang berserban pun buat maksiat."

Lihat. Dalam mempertahan serangan yang berbentuk "borong semua", Ako telah menggunakan pertahanan berbentuk "borong semua" juga. Mudahnya kita melakukan kesilapan.

Ini satu e-mel yang aku terima untuk tatapan kalian:

Salamz,
Saya terlambat baca blog tok lately, tidak seperti biasa dimana saya akan baca hari-hari tapi sekarang baca jarang-jarang sebab ada komitmen lain dan internet access berkurangan.

Saya tidak terganggu dengan ngomelan orang-orang Singapura yang komplen tentang siaran WorldCup RTM 1. Sepatutnya mereka menyalahkan saja cable provider dan bukan RTM 1. Saya terima alasan RTM 1 sebab mereka bayar juta-juta untuk kelebihan rakyat mereka, rakyat Singapura harus sedar diri dan meminta pada kerajaan sendiri juga.

Saya rasa kerajaan Singapura, basic channels tidak menyiarkan siaran langsung mungkin sebab adanya cable provider yang monopoli siaran television disana dan untuk memaksimakan keuntungan mereka, mereka tau, peminat-peminat bola akan mengambil package star world sports semata-mata untuk musim world cup. Kerajaan Singapura akan meraih untung dari cable provider jadi kenapa mereka harus belanjakan duit untuk siaran langsung ini sedangkan mereka boleh mendapat untung dari cable provider dari merugikan kerajaan kan?

Tapi, saya sungguh tidak terima komen dari seniman jalanan yang mengatakan, "sepatutnya dr dulu lagi dah buat bende nie, pasal isu taufiq tu aku setuju sgt dgn tok, bukan setakat itu je yg meresap masuk dr selatan nie tok, perangai anak muda byk dipengaruhi dr budaya tak reti menghormati org dari anak muda s'pore. maaf ye tok emo sket."Seniman jalanan boleh emo tapi jangan terlalu emo dan sesuka hati mengata, as in generalising anak muda s'pore tidak reti menghormati orang tua.

Saya rasa terganggu dengan komen sedemikian kerana saya rasa kawan-kawan saya, walaupun bukan separuh dari rakyat S'pura itu tapi kami belum sampai tahap dimana kami mempengaruhi orang luar untuk bertindak kurang ajar dan kami juga reti menghormati orang tua. Jangan katakan kawan-kawan saya sahaja tapi ada juga dimana bila saya keluar dengan bonda saya dan, dia yang sudah tua, adakala diberi tempat duduk oleh budak-budak yang saya sangkakan hopelesskids dengan rambut merah birunya, dengan tindik dihidung dan mulutnya.

Kiranya mereka reti menghormati bonda saya sebagai orang tua, saya yakin begitu juga mereka pada orang lain. Kami juga di Singapura dididik oleh ibu bapa kami untuk menjadi orang yang berguna. Tapi saya selalu memberitahu bonda saya, kesalahan saya adalah pilihan saya bukan silap didiknya. Makanya juga, kesalahan anak-anak muda Malaysia, Singapura, Siam dan dimana-mana adalah pilihan mereka sendiri, ada otak gunakan, bukan semata-mata menerima apa saja yang diinput kedalam kepala otak kita.

Jangan salahkan tingkah laku rakyat kerana dipengaruhi oleh seberang negara. kesalahan tingkah laku akhlak adalah kerana diri sendiri, adalah kerana pilihan sendiri, adalah kerana ada pelbagai rancangan yang kurang bagus yang dapat anak-anak muda zaman kini access dari internet tidak kira dimana jua dan terpengaruh oleh informasi yang boleh didapati secara bebas dimasa ini.

Sekiranya saya mengatakan, orang Malaysia bila diluar negara bersikap lebih terbuka dari westerners itself, dapatkah orang Malaysia terima? Sekiranya saya mengatakan, orang Malaysia didalam negara sendiri pun bersikap terlebih-lebih dari westerners sebab terbawa-bawa oleh perangai ketika diluar negara, dapatkah mereka terima? Sekiranya saya mendedahkan segala keburukan Malaysians, dapat ke seniman jalanan terima bahawasanya bukan sahaja rakyat singapura yang mempengaruhi anak-anak muda Malaysia tapi rakyat lain juga?

Saya masih tidak lupa, dimana kawan saya yang tidak bernikah bebas tinggal dengan kawan lelakinya disebuah apartment di KL dan dia rasa ianya tidak salah kerana pilihannya tersendiri dan saya seorang sahaja kawannya yang dari Singapura, adakah salah saya mempengaruhinya sedemikian sedangkan saya sendiri rasa ia salah pada sisi agama? Atas dasar apa seniman jalanan menyalahkan rakyat singapura atas kekurangan akhlak diantara anak muda rakyat Malaysia? Adakah seniman jalanan punya pengalaman buruk dengan rakyat singapura?

Saya meminta maaf sekiranya ada mungkin ia tidak dapat mengurangkan rasa emosi seniman jalanan tapi jangan generalisekan semua orang sama. Cukuplah sahaja dengan kedua-dua kerajaan yang hingga kehari ini masih bertelagah tentang isu-isu yang sedia ada yang susah untuk mencapai keputusan yang saksama. Jangan kita sesama rakyat, juga menuding jari antara satu sama lain juga. Mungkin kerajaan saya adakala meminta yang lebih-lebih dari kerajaan Malaysia tapi saya sebagai rakyat, tidak pernah meminta lebih dari kawan-kawan saya di Malaysia, saya menghargai persahabatan yang ada, saya hargai adanya Malaysia untuk saya selalu melawat dan bercuti bersama keluarga atau kawan-kawan.

Saya tidak pernah hiraukan kata-kata orang yang Malaysia tidak selamat sebab selalu kena rompak, kes rogol dan bermacam lagi kerana saya tahu bila saya di Malaysia, saya tetap rasa selamat sepertimana saya di Singapura, kerana saya ada kawan-kawan yang sama baik seperti di Singapura, yang akan memastikan keselamatan saya dimana saja saya berada.

-nonamanis-


Setelah menyiapkan entri ini aku terasa panas. Sepanas batu api.

Sabtu, Jun 24, 2006

SENYUMAN DI TANGGA

Aku dapat mesin masa ini dari aku yang masa hadapan. Dia tidak cerita langsung tentang sains dan teknologi di sebalik mesin ini. Kalau dia terangkan pun, mungkin aku tidak faham. Yang pasti ketepatan masa mesin ini amat mengagum. Jika aku tekan 7. 15 pagi. 24 Jun 1985. Mesin masa akan berdesup pantas.

Ringgggggggggggggg! Ringggggggggggggg! Tepat pada masanya seperti
biasa.

Lonceng waktu mula kelas berbunyi. Biasanya junior akan beratur kemas di
hadapan kelas, manakala senior akan bermalas-malas menyeret kaki ke kelas.

Kelas Lina di tingkat bawah. Kelas Syibli di tingkat atas. Kelas mereka
berada dalam blok yang sama.

Syibli akan bergerak perlahan bila memanjat tangga. Matanya akan ke
kelas Lina. Lina akan beratur di hadapan sekali. Matanya ke
tangga.

Syibli memandang Lina dari tangga.

Lina memandang Syibli dari kelasnya.

Mata bertentang mata. Senyum paling manis bertukar tangan.

Setiap pagi. Inilah rutin Syibli dan Lina.

Ali, tukang urut merangkap posmen untuk Syibli juga senyum. Kiah, kawan baik Lina, juga senyum. Mereka berkongsi kebahagiaan Syibli dan Lina.



Untuk Syibli, ini adalah kemuncak cinta. Dalam masa satu tahun, Syibli akan dapat tahu bahawa untuk Lina ini bukan kemuncak cinta. Cinta adalah lebih dari bertukar senyuman. Perempuan memang cepat matang berbanding lelaki.

Jumaat, Jun 23, 2006

CERITA INDIA

Aku bukan nak melambung puji kepada Ghandi. Tetapi inilah yang diceritakan kepada aku:

Seorang penumpang keretapi India terserempak dengan Ghandi di dalam gerabak kelas 3.

Penumpang: Bukankah tuan ini perdana menteri India. Kenapa tuan berada di
kelas 3.

Ghandi: Kerana tiada gerabak kelas 4.


"Dunia ini cukup untuk semua keperluan manusia, tetapi ia tidak pernah cukup untuk seorang manusia yang tamak." - Ghandi


.........................
Jika ada kelapangan, luangkan masa ke:

SAMBUTAN SEDERHANA HARI WEBLOG
Tempat : Pantai Bagan Lalang, Selangor
Tarikh: 24 Jun 2006 (Sabtu)
Masa : 1:30 Petang
Makanan : PotLuck

Maklumat lanjut: Klik Forum.

Rabu, Jun 21, 2006

SPAM DATANG RUMAH

Setiap hari inbox aku kena spam loteri. Menurut spam itu, aku menang loteri cabutan e-mel bertuah di Itali. Aku padam spam itu. Tetapi semalam, buat pertama kali spam loteri datang rumah aku.

Aku tengah berlenggeng atas kerusi duduk berehat selepas pulang dari kerja apabila anak Cina awal duapuluhan memanggil aku dari luar pagar.

Anak Cina: Encik, saya tawaran istimewa. Ini ada cabutan bertuah sempena mempromosi produk baru kami.

Aku berjalan menghampiri pagar. Aku biarkan dia di luar pagar dan aku di dalam.

Anak Cina: Encik buka ini angpow. Tetapi kalau tidak menang jangan marah. Ini cabutan bertuah.

Aku ambil ang pow dan belek. Jenama entah apa-apa entah. Tiada syarat pertandingan. Aku koyak sampul angpow. Dan seperti yang aku dah agak, aku menang sesuatu.

Atas angpow itu ada gambar ketuhar gelombang, pembersih vakum, motorsikal dan kereta pelbagai guna.

Aku tunjukkan kepada anak Cina.

Anak Cina: (Muka terperanjat) Saya tak sangka! Encik banyak bertuah. Encik menang hampir setengah juta. Saya akan dapat komisen RM13,000 dari kemenangan ini. Tahniah encik.

Mengigil-gigil badan dia melakonkan watak seorang jurujual yang terperanjat beruk macam menang loteri. Dia kelihatan amat teruja. Meloncat-loncat suka.

Aku: Okay. Awak tidak perlu puas hati dengan RM13,000. Saya jual angpow ini kepada awak untuk RM1000 sahaja. Awak boleh tuntut setengah juta ini dari syarikat awak.

Anak Cina: Mana boleh encik. Saya pekerja syarikat mana boleh menang.

Aku: Saya tidak mahu ini hadiah. Awak ambil ini angpow.

Anak Cina: Errrr. (Dia ambil angpow)

Aku: (Aku salam tangan dia sambil tersengih sinis.) Tahniah awak menang setengah juta.

Anak Cina itu beredar dari depan rumah aku. Muka dia nampak hampa bercampur keliru.

Jiran-jiran aku yang lagi tadi menonton dari jauh datang menghampiri aku. Seorang India, seorang Cina dan dua Melayu. Aku buka pagar.

Mereka bertanyakan tentang kekecohan tadi. Kami pun bertukar-tukar cerita bagaimana beberapa orang lain yang kami kenal yang telah tertipu dengan teknik jualan yang keji ini. Mereka menang sesuatu hadiah tetapi untuk menuntut hadiah tersebut mereka mesti beli barang yang berganda-ganda mahalnya dari hadiah yang mereka menangi.

Kalau semalam, spam loteri boleh datang rumah, tidak mustahil esok lusa spam porno dengan subjek, "Horny Girls Looking for a Partner" singgah rumah aku pula. Tidak mustahil.

Selasa, Jun 20, 2006

KERTAS WANGI

Jangan main jauh-jauh. Mesin masa ini berkesan dalam kawasan 2 meter radius sahaja. Jika aku meloncat ke hari lain, kalian mungkin ketinggalan. Tinggal dalam 1980an. Berdendang dengan lagu Alleycats.

"Ali, kau dah sampaikan salam aku?" Syibli bertanya.

"Sudah bos. Bila Ali sampaikan salam, dia suka." Kata Ali membahasakan
dirinya Ali.

"Bagus. Apa dia kata lagi?"

"Dia nak bos tulis surat."

Lina mahu hitam putih. Syibli tersenyum.

"Ali, mintak kertas surat kau yang wangi bedak tu."


Ali tukang urut rasmi dorm. Setiap dorm perlu ada satu. Dia ada kertas surat merah jambu dan biru muda yang lembut. Di buju kertas ada kartun binatang bermata besar yang comel.


..............................................
AKAN DATANG . Otak kamu memulas-mulas ingin mengulas. Hadiah bernilai RM200. Hanya kerana kami sayang kamu.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Button Maker dari Itali.

Isnin, Jun 19, 2006

PUNAT-PUNAT MESIN MASA

Aku di hari yang muka datang semalam. Dia bawa mesin masa model baru untuk gantikan yang lama. Mesin lama tu cepat panas. Selalu terbakar fius.

Mesin lama bentuknya macam jam tangan tetapi ada antenna panjang macam telinga arnab. Guna bateri AA dan solar. Yang baru ni lebih padat. Comel bentuknya sebesar rantai kunci penggera kereta.

Aku di hari yang muka menasihatkan aku supaya jangan gunakan mesin masa ini untuk maksiat. Aku angguk. Kemudian aku di hari yang muka hilang. Mungkin kembali ke hadapan dan mungkin juga ke semalam. Mungkin juga dia ada di sini, mengintai apa yang bakal aku buat dengan mesin ini.

Tanpa berlenggah lagi jom aku bawa kalian ke 1985. Hi hi hi. Aku dah lama nak bawa kalian ke sana.

[Aku baca manual mesin masa]

Okay. Siap. Jom.

[Aku melambaikan tangan seperti hos, Jalan-jalan Cari Makan]
...................



1985. Asrama Sekolah Teknik.

Syibli sedang makan bersama rakan-rakan
asrama di dewan apabila gadis itu lalu. Dia berjalan melintasi pintu besar dewan
makan.

Cahaya lembut matahari jatuh ke muka gadis dengan pinafore biru
putih. Angin bertiup-tiup mengerakkan hujung halus rambut pendeknya. Dia
berjalan bersama rakannya sambil ketawa-ketawa kecil penuh keremajaan.


Aku tekan punat fungsi ulang.



Cahaya lembut matahari jatuh ke muka gadis dengan pinafore biru putih. Angin
bertiup-tiup mengerakkan hujung halus rambut pendeknya. Dia berjalan bersama
rakannya sambil ketawa-ketawa kecil penuh keremajaan.


Aku tekan fungsi punat ulang lagi.



Cahaya lembut matahari jatuh ke muka gadis dengan pinafore biru putih. Angin
bertiup-tiup mengerakkan rambut hujung halus pendeknya. Dia berjalan bersama
rakannya sambil ketawa-ketawa kecil penuh keremajaan.


Aku tekan punat "Ulang" mesin masa berkali-kali. Kalian pasti bosan jika aku ceritakan lagi dan lagi.



Syibli tanya tukang urutnya, "Siapa tu Ali?"

Ali berhenti mengunyah ikan
jaket.

Ali kata, "Yang mana satu?"

"Rambut pendek. Pakai cermin
mata. Putih-putih."

"Lina. Classmate Ali. Sebelah dia tu, yang hitam
manis, Kiah."

"Ali, kau kirim salam dengan dia."

"Okay bos."

Syibli tersenyum angau dipanah asmara buat kali pertama. Matanya terus
mengekori Lina hingga hilang dari pandangan.


Aku tekan punat ulang dan gerak perlahan serentak.



Cahaya lembut matahari jatuh ke muka gadis dengan pinafore biru putih. Angin
bertiup-tiup mengerakkan hujung halus rambut pendeknya. Dia berjalan bersama
rakannya sambil ketawa-ketawa kecil penuh keremajaan.

Kemudian. Aku tekan punat "pause."



IKLAN
CERITERA BERSAMA KARYAWAN SASTERA SIRI 5/06:
NAZIM MOHD. SUBARI- GENRE PUISI)
Pengerusi: SM Zakir
pada : 1 Julai 2006 (Sabtu) masa : 9.00 pagi - 10.30 pagi
tempat : Balai Seminar DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana, Johor Bahru.

Khamis, Jun 15, 2006

BOLA ITU PERNIAGAAN

Angin satu badan seluruh rakyat Singapura yang kiasu apabila mendapati saluran RTM menjadi kabur. Bola di padang nampak macam berbalam-balam. Nampaknya mereka kena bayar juga untuk menonton Piala Dunia.

Di Singapura, tiada yang percuma lagi. Ya, di Singapura, tiada siaran langsung Piala Dunia percuma.

Mereka yang kiasu ini mengharap kepada RTM untuk bekalan hiburan Piala Dunia dan drama-drama Melayu seperti Gerak Khas. Tetapi, secara tiba-tiba signal RTM jadi lemah bila musim Pila Dunia sampai.

Mula-mula mereka tuduh Starhub (1) yang menyekat signal dari RTM. Tetapi akhirnya RTM buat makluman, RTM sendiri yang menyekat signal dari sampai ke Singapura.

Padan muka Singapura? Pandainya RTM?

Aku fikir sebaliknya.

RTM perlu mengambil peluang dari situasi ini untuk memberi pendapatan kepada negara. RTM mesti berganjak dari paradigma politik nasionalisma dendam yang sempit kepada kekentalan mental bahawa bola itu perniagaan.

Polisi Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand dalam sebaran media adalah lebih tepat. Mereka biarkan sahaja negara jiran menonton rancangan mereka. Siapa yang untung bila orang Johor, suka sangat dengan Taufik Batisha (Singapore Idol)? Tentunya Singapura.

Secara tidak langsung budaya dan nilai negara mereka meresap ke negara jiran. Meresap banget. Lagu-lagu mereka pun jadi ngetop di negara jiran. Eh... aku terngomong Indonesia pula. Ini banyak sangat nonton TVRI punya pasal.

Kembali kepada isu asal.

Justeru, kalau kita pemurah biarkan Singapura menonton Siaran Langsung Piala Dunia (dan Gerak Khas) secara percuma, eksport dan jualan Power Root Tongkat Ali (2) Malaysia ke Singapura akan meningkat. Harus!

Nota kaki:
1) Starhub: Pembekal siaran berbayar Singapura.
2) Power Root: Penaja Siaran Langsung Piala Dunia untuk RTM.

................
p.s.
Terimaksih kepada Buku Blog Ayah Kita Bos kerana menjadi penaja utama siaran langsung entri Tok Rimau secara percuma 24 jam sehari.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR PERCUMA
Yes, RTM scrambled the telecast
Viewers annoyed over 'shaky' RTM shows

Rabu, Jun 14, 2006

COPA DEL MUNDO

Tok Rimau bersedia dengan kuaci di depan TV jam 3 pagi. Dia sudah kawal mindanya untuk perlawanan tumpuan pagi ini: Brazil lawan Croatia.

6 jam sebelum itu dia main futsal 10 minit di Larkin, depan kilang cokelat Apollo. Main 10 minit, lelahnya macam macam main 90 minit campur masa tambahan sudden death. Tercungap-cungap menagih O2 dan H2O. Tok Rimau berhenti main sejurus berjaya menyumbat 1 gol dengan kaki kirinya.

Bermain dengan pemuda-pemuda dari Gen2club.com buat dia rasa tua. Tua amat. Pun begitu, di gelangang sebelah adalah pemudi-pemudi pasca Gol dan Gincu sedang mengilai-mangilai dan terkedek-kedek dalam t-shirt ketat cuba menonjol bola.

Melantun-lantun, bulat. Hi hi hi. Bolanya.

Ini buat Tok Rimau rasa muda. Muda amat.

(Aku tahu kalian suka halatuju cerita ini tetapi aku terpaksa menghampakan kalian.)

Kembali ke 3 pagi. Mental Tok Rimau sudah bulat, sebulat, bola untuk menonton pemain-pemain hebat dari dunia ketiga beraksi. Wisel permulaan pun berbunyi.

TV mengelecek bantal, tergelincir di liur basi. Suara gegak-gempita dengkur memenuhi ruang. TV terus menyerang. Tok Rimau kecundang.

TV 1 - Tok Rimau 0

Waaa! Waaa! Waaa! (Afimon menangis minta susu.) Sedar-sedar, perlawanan sudah tamat. Statistik perlawanan sedang dipaparkan di kaca TV.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
The best of the web. The oscars of the Internet: Webby Awards.
Monolog bapa yang satu lagi: Bluehikari.

IKLAN INI BERBAYAR (DENGAN AIR LIUR)

Isnin, Jun 12, 2006

HUJAN

Setiap kali hujan, adik jadi resah.

“ Hujan lebat ni. Alihkan kereta ke tempat tinggi.”

Aku alihkan Datsun 120Y (1) karat milik abah ke tanah tinggi. Jika air di sungai pasang dan hujan lebat melebihi 1 jam, air parit besar akan melimpah. Banjir kilat akan melanda.

Jika hujan cepat reda, hanya selipar yang akan hanyut. Jika lambat, bila matahari muncul nanti, kami kena basuh rumah yang dikotori lumpur.

Itu dulu. Masa menetap di rumah setinggan yang dindingnya macam reban ayam. Sekarang emak sudah duduk di lot bucu sebuah rumah teres di kawasan bukit.

Pun begitu, setiap kali hujan, adik masih resah.

“Hujan lebat ni. Sekejap lagi Astro(2) hilang.”



.......................
(1) Datsun 120Y: Sebuah kereta yang bagus enjinnya tetapi badannya senang karat. Biasa digunakan sekitar awal 90an dan sebelumnya sebagai kereta untuk ujian memandu. Abah kerja sambilan sebagai guru. Guru sekolah memandu.
(2) Astro: Khidmat TV satelit berbayar.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Hujan kilat sambar menyambar menghalang kamu menonton El Copa El Mundo? Klik GOLbLOG. Tiada gincu di sini.

Jumaat, Jun 09, 2006

MONOLOG PAGI

Pukul 4 pagi. Waaaa waaa waaaa! Mata pejam tapi suara memekik sampai ke jalan.

"Rindu mama? Papa pun sama."

"Shhhh... diam sayang. Nanti papa buatkan susu."

4 scoop susu tepung. 150 ml air panas + sejuk. Tambah 1 scoop nestum (biar cepat kenyang).

Nyut... nyut... nyut...

Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. Afimon minum juga susu botol itu kerana dia dah lapar sangat.

"Papa tahu tidak sedap. Mama punya lagi sedap."

"Rindu mama? Papa pun sama."



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Katana vs Peluru: Kalah bermaruah.

Khamis, Jun 08, 2006

SLOGAN

Berikut adalah beberapa slogan yang merayu-rayu kepada aku. Padankan slogan-slogan ini dengan jenamanya.

1. Engineered to move the human spirit
2. The Power of Dreams
3. Don't dream it. Drive it!
4. The Ultimate Driving Machine
5. The drive of your life
6. Drive your way
7. Shift
8. The Power to Surprise
9. For Life
10. Moving Forward

Toyota. Volvo. Kia. Nissan.Hyundai. Peugeot. BMW. Jaguar. Honda. Mercedez Benz.

Aku tidak tahu apakah slogan untuk Proton dan Perodua. Mereka ada slogan?

Jenama: Tok Rimau
Slogan: Tok Rimau: Pukul Berapa Datok Harimau?

Slogan untuk sesebuah jenama adalah penghuraian kepada semangat yang di bawa oleh jenama itu. Apa slogan blog anda?

PEKAK

Kami berbual memekik-mekik macam orang sakit telinga. Salah kawan-kawan aku juga yang tidak serik-serik memilih tempat duduk depan speaker.

Dewasa ini banyak restoran menghiburkan pelanggan dengan lagu dari mesin karaoke. Bolehlah pengunjung-pengunjung menikmati makanan berlaukkan alunan lalakan dari karaoke yang berdentam-berdentum.

Nota untuk diri sendiri: Jangan duduk di meja khas untuk orang-orang kurang pendengaran ini lagi.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Tiada karaoke di FOTOWARUNG.

Selasa, Mei 30, 2006

TIDUR

Aku ambil kertas keras yang panjangnya senjengkal. Lebarnya seinci. Aku tuliskan dengan marker, "TOILET PASS."

Ada satu "TOILET PASS" sahaja yang aku sangkutkan di dinding. Maksudnya hanya seorang sahaja yang boleh keluar ke tandas dalam satu-satu masa. Anak murid aku kalau dibiarkan tanpa kawalan mahu mereka keluar berbondong-bondong ke tandas. Entah apa yang digotong royongkan, aku pun tidak mengerti.

Murid aku hantar SMS,

Kata orang, untuk berjaya perlu usaha.
Untuk usaha, perlu cita-cita.
Untuk cita-cita, perlu mimpi.
Untuk mimpi, perlu tidur.
Justeru, tidurlah jika mahu berjaya.

Aku pastikan mereka duduk dalam kelompok 5 orang keliling meja macam kanak-kanak tadika. Jika seorang terlena, semua ditolak satu markah. Dalam banyak masa, aku lihat mereka mengurut-ngurut tengkuk kawan sebelah untuk mengelak kawan itu dari tertidur.

Kelas sebelah. Cikgunya melaporkan kepada aku, seorang muridnya lewat masuk duduk peperiksaan. 15 minit lagi masa hendak tamat, baru dia muncul. Lapornya, dia tertidur dalam tandas. Khabarnya dia bertugas 24 jam sehari sebelumnya.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Zine JURING percuma dari Juara JURING 2.

Isnin, Mei 29, 2006

GADGET UNTUK MOBIL RIMAU

Pro: Ringan, murah, sesuai dengan semua jenis kereta, tidak perlu upah orang untuk pasang
Con: alat jadi hangat setelah digunakan beberapa lama, stesen FM yang dipilih biasanya ada gangguan dari stesen lain. Dalam gelap susah mahu buat penalaan stesen.

Ini bukan MP3 player. Ia adalah MP3 transmitter.

Jenama: V6 (Tidak kreatif langsung)
Jenis alat: MP3 Transmitter
Tugasnya: Menghubungkan USB Drive yang mengandungi mp3 player dengan radio kereta.
Sumber tenaga: Cucuk di lubang pencucuh rokok kereta.
Sumber MP3: USB Drive (Tidak dibekalkan. Beli asing)
Cara menggunakan: Cantumkan USB Drive dengan MP3 Transmitter dan cucuk MP3 Transmitter ke lubang pencucuh rokok. Buat penalaan stesen radio MP3 tranmitter dan Radio kereta agar selari.
Syarikat Pengeluar: Lin Feng, China
Harga: RM86 di Jusco Tebrau City, JB.

Sekarang aku boleh dengar MP3 Gitar Tong berdendang dalam Mobil Rimau.

Khamis, Mei 25, 2006

BATU-BATU BERBONGKAH-BONGKAH

"Dari sudut ini kita boleh melihat buaya. Lihat muncungnya ke atas."

Alih bot.

"Dari sudut ini kita boleh melihat penyu. Ada kepala dan ada cengkerang."

Alih bot lagi.

"Tengok tu. Siapa tidak nampak ikan paus, dah dekat masa untuk mati."

Kami dibawa keliling pulau itu melancong melihat batu-batu berbongkah-bongkah di sepanjang pantai. Ada yang bulat, ada yang kotak. Ada yang panjang, ada yang lonjong. Tidak kurang juga yang bujur-bujur. Agenda ini gagal untuk membuat otak aku tersenyum. Batu-batu itu kelihatan seperti batu-batu depan rumah aku. Cuma besar sedikit.

Rabu, Mei 24, 2006

LONELY PLANET REJECT

PUJI

Jali: Sal, lihat ni gambar yang aku ambil.

Jali menunjukkan LCD Display kepada Sal.

Sal: Oh! Mahu dipuji. Cantiknya kau ambil gambar. Framingnya bagus. Tepat.

Jali: Hampeh! (Dia boleh baca fikiran aku pulak.)

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Pegawai Khalwat, kau boleh jual papan yang kau gergaji tu di ETSY: Your place to buy and sell handmade product.

TEKAK

Cik Ros sakit tekak menjerit-jerit. Hobinya berkaraoke memburukkan keadaan.

India: Mau minum apa?
Cik Ros: Apa elok untuk sakit tekak?
India: Mana saya tahu. Saya tak belajar doktor. Saya belajar teh tarik.
Cik Ros: Hampeh!

Selasa, Mei 23, 2006

DUET SPYZ & RIMAU


Video oleh Op

Untuk persembahan terbaik hanya Attokz, yang menyanyi berdiri belakang tiang, hampir menumpaskan kami. Pun begitu pengalaman juga memberi nilai tambah. Aku dan Spyz berlagu dengan kemaruk penuh semangat. 100% emosi. Jika tidak dibendung, harus kami goyang gerudi malam itu.

Abdullah Jones, mungkinkah kamu tuliskan lirik untuk album sulung kami nanti?

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Awek ini macam patung. Sungguh. Dia juga ke Pangkor.

Ahad, Mei 21, 2006

PROJEK SOTONG KERING

Aku baru pulang dari Projek Sotong Kering di Pulau Pangkor. Objektif tercapai. Kami berjaya tangkap sotong kering gergasi. Tangkap gambar.

Tiada orang lain dah. Kalau tangkap gambar tercangkung-cangkung, tertiarap-tiarap, tertonggeng-tonggeng; Geng Jurnal la tu.

PROMOSI:
Golden Beach Hotel & Resort Pangkor
Booking: Call 05-685 5888 (Cik Ros)

Foto Geng oleh ND


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Laporan Penuh Projek Sotong Kering
Ikan yang bertasbih, "You are the best provider."

Jumaat, Mei 19, 2006

KAPITALIS

"Pertanian adalah perniagaan," jerit slogan itu. Jika petani mahu hasil titik peluh mereka sampai kepada pengguna, mereka mesti berfikir macam saudagar. Kena kira modal, kos dan untung.

Kemudian aku terfikir satu gagasan yang berjela-jela. Penulisan adalah perniagaan. Pendidikan adalah perniagaan. Pembinaan adalah perniagaan. Percintaan adalah perniagaan. Penjagaan anak adalah perniagaan. Perjuangan adalah perniagaan. Penggalian kubur adalah perniagaan. Senarai ini boleh cecah infiniti. Perdana Menteri pun ada selitkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 tentang Malaysia menuju ke arah modal insan (Human Capital). Tentu kelak ada kos insan dan untung insan. Mungkin juga rugi insan.

Kemudian aku teringat arwah Wak Dino yang menjual mi rebus dengan harga RM1 semangkuk di Bukit Chagar. Kalau beli bungkus, arwah akan tambahkan mi dan kuah tetapi harganya tetap sama. Rm1.

Katanya, perniagaan adalah sedekah. Ringkas sekali gagasannya.

Khamis, Mei 18, 2006

MEMERANG

Gambar Hiasan

Mereka berlari dari bawah pelantar Medan Ikan Bakar, menuju ke gigi air Teluk Muruh. Inilah kali pertama aku nampak memerang. Aku tidak pasti bilangannya kerana gelap malam. Lebih kurang 10 ekor. Kemudian mereka berenang ke tengah laut. Hilang dari pandangan.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Dengar Lagu FARAQSTIKA.

Selasa, Mei 16, 2006

SELAMAT HARI GURU

Tip untuk guru: Guna pen dakwat hijau bila menanda latihan untuk tujuan mendidik. Sejuk sikit hati anak murid bila melihat dakwat hijau atas buku.

Juga, terus meneruslah bagi bintang. Bagi satu, dua atau tiga bintang walaupun mereka pelajar dewasa sekali pun. Mahu bagi upah wang kerana jawab betul tidak mampu. Bagi bintang sahajalah. Sesungguhnya, guru kaya dengan bintang.

Untuk menoreh kertas ujian, guna pen merah seperti biasa.

Khamis, Mei 11, 2006

10 PERKARA

10 Perkara yang aku belajar setelah lebih sebulan melancarkan BUKU AYAH KITA BOS. Mungkin kalian yang mahu membukukan blog boleh belajar dari pengalaman ini.

1) Ramai di antara pembeli buku adalah mereka yang telah membaca blog Tok Rimau atau Tok Rimau Naga. Mereka mungkin sudah baca entri kami tetapi masih mahu membacanya dalam bentuk buku.

2) Pembeli buku yang belum pernah baca blog perlu diyakinkan. Mereka perlu dimaklumkan apa itu blog. Kenapa buku AKB begitu begini.

3) Tidak semua orang faham apa yang ingin aku sampaikan. Itu pasal filem-filem rehatkan minda seperti Prof. Razak masih laku. Nota mental: Lain kali tulis di kulit buku, "Buku ini tidak sesuai dijadikan buku teks."

4) Ada pasaran untuk buku blog kerana ada beberapa pembeli yang memberi komen, "Buku macam inilah yang aku cari."

5) Ada orang yang membeli buku kerana menyokong langkah membukukan blog. Bukan kerana tulisan aku atau Naga.

6) Pembeli yang suka dan berpuas hati ada mengirim e-mel dan menulis komen tetapi pembeli yang tidak puas hati masih belum memberi komen.

7) Ada orang bayar duit beratus-ratus tetapi tidak mahukan buku. Langsung. Mungkin orang ini kaya dan selalu pergi haji balik hari.

8) Aku masih belum balik modal tetapi aku tidak serik dan merancang untuk menulis buku blog lagi.

9) Ada orang datang kepada aku mahu aku tulis mengenai pengalaman dia dalam buku blog aku yang akan datang.

10) Aku tidak boleh kaya dengan menjual buku. Aku tidak boleh pergi haji balik hari.

Sesiapa yang belum beli AYAH KITA BOS. Sila BELI.

Isnin, Mei 08, 2006

BILA NAK KHAWIN?

Aku dengar bunyi deringan telefon.

Truttt. Truttt. Trutttt.

Aku mahu jawab tapi aku tidak boleh bangun dari tidur. Kemudian aku dengar suara wanita.

"Hello, hello, hello..." katanya.

Aku cuba mahu menjawab telefon itu tapi tidak mampu. Mata aku masih tertutup. Aku sedar tetapi tidak boleh bangun. Orang tua kata ini rasanya kena hempap hantu. Tahyul betul.

Penerangan saitifiknya begini, otak kanan aku dah mengeliat tetapi otak kiri masih menarik selimut. Agaknya.

Akhirnya aku tersentak. Terus aku capai telefon. Hairan. Tiada "missed call." "Mistered call" lagi la tidak ada. Siapa yang hello hello tadi?

Ahhh... Suara dari TV1 rupanya. Aku tertidur depan Fenomena Seni yang membincangkan, "Patutkah Gossip Diharamkan?" Punyalah bosan interaksi panelis, jemputan dan penonton sehingga aku terlelap.

Jawapan kepada debat mereka mudah. Gossip tu amat disukai oleh pembaca tetapi menjadi tanggungjawab sosial wartawan untuk berpada-padalah. Wartawan bumi bertuah ni kerap sangat bercerita tentang peribadi artis tetapi jarang-jarang nak kupas perjalanan seninya.

Soalan nombor satu adalah bila nak kahwin. Macam mendesak-desak pula artis tu berkahwin segera. Baik surat khabar baik Melodi. Sama sahaja ceritanya. Tidak sah jika tidak tanya soalan itu. Kalau karyawan filem agung Jepun, Akira Kurosawa bangkit dari kubur dan datang ke Malaysia, wartawan akan tanya soalan itu juga, "Bila nak kahwin?" Mahu mati balik orang tua itu.

Aku tutup TV. Tutup otak kanan ku. Tutup otak kiri ku. Sambung tidur semula. Aku termimpi menjelma dari Datok Harimau ke Datok K. Kuat benar pengaruh media.

p.s.
Yang, abang TERmimpi bukan BERmimpi tau.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Dua penulis novel yang aku temui hujung minggu lepas:
Buku Nota & Zaid Akhtar

Ahad, Mei 07, 2006

ROLLERCOASTER

Mak aku pun ada kata, kalau teringin naik kapal terbang mesti belajar rajin-rajin. Boleh sambung belajar ke luar negara.

Aku rasa tercabar lalu belajar rajin-rajin. Besungguh-sungguh aku belajar. Aku tanamkan semangat suatu hari nanti aku akan naik kapal terbang ke Amerika. Sampai sana, aku nak naik rollercoaster.

Akhirnya aku berjaya capai cita-cita aku untuk naik rollercoaster di Los Angeles, Amerika Utara. Syabas. Misi tercapai.

Aku sudah tiada misi lagi. Kemudian aku belajar ala kadar agar dapat naik kapal terbang untuk pulang ke Malaysia untuk bercerita pengalaman aku naik rollercoaster kepada mak.

Bila aku pulang ke Malaysia, aku dapati dah ada rollercoaster di Sunway dan Genting. Penat aja aku jalan jauh-jauh.

Jumaat, Mei 05, 2006

CEWEK INDONESIA

Bonda Shafiya a.ka. Dr. Rosalina ( http://keluargazulkarnain.blogspot.com/ ) adalah satu-satunya cewek Indonesia yang rajin baca blog Malaysia. Mari kita temuramah dia.

1. Kenapa ibu membaca dan menulis blog?

Dulu sekitar tahun 2002, secara tidak sengaja menemukan blog Sera (www.honeybiru.org) dan Rudy Bluehikari. Tertarik dan jadi kecanduan (addicted)untuk terus dan terus membaca kisah hidup mereka. Dari situ lama kelamaan saya berpikir untuk membuat blog sendiri, untuk merekam kejadian dalam kehidupan yang dapat diakses tanpa batas oleh (utamanya) keluarga-- yang kebetulan hidup di beberapa negara-- plus sahabat , teman dan kenalan tentunya.
Setelah beberapa waktu saya jadi aktif dalam membaca dan menulis blog karena dalam membaca / menulis blog kita bisa melihat something that we don't usually see in our everyday lives dan yg paling akhir..blogging dapat merupakan sarana yang mudah untuk menambah
teman.

2. Apakah yang membawa ibu ke blog-blog Malaysia?

Karena awalnya saya kenal apa itu Blog dari Blog seorang Malaysian, yaitu blog Honey Biru milik Sera. Dari situ saya berkunjung ke link-link yang tersedia.

3. Apakah ada perbezaan ketara antara blog Malaysia dan Indonesia?

Dari segi isi daripada tulisan mungkin tidak ada perbedaan yang ketara. Kalau dari segi bahasa ya sudah pasti dong..:-))

4. Apakah titik-titik temu antara blog Malaysia dan Indonesia?

Maaf..saya kurang paham maksud anda

5. Adakah gaya penulisan ibu terkesan oleh pembacaan-pembacaan blog ibu?

Insha Allah tidak. Saya ada gaya penulisan sendiri :-)

6. Bagaimanakah menjadi pembaca blog yang baik?

Agar dapat menjadi pembaca blog yang baik, kita harus dapat mengungkapkan pendapat, menerima pendapat orang lain, menerima perbedaan, dan dapat memahami orang
lain. Apabila ada yang kita rasakan tidak sesuai dengan keyakinan / prinsip kita, dapat saja diutarakan melalui comments system atau Shoutbox tapi tetap dengan cara-cara yang sopan.

7.Cadangkan kepada pembaca blog Malaysia, blog-blog Indonesia yang seru.

Oh...banyak banget blog-blog Indonesia yang seru..

http://pralangga.blogspot.com
http://enda.goblogmedia.com
http://wpram.com
http://marcopunya.blogspot.com
http://www.suamigila.blogspot.com
http://dapurbunda.blogspot.com
http://zidansyifa.blogspot.com
http://keluarganugraha.net/blog
http://serambirumahkita.blogspot.com
http://www.sketsahati.com
http://www.keluargacemara.net/emak

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Bukan Biskut Harimau sahaja yang ada. Naga, Beruang, Dubuk, Dugong, Spyz, Op, Jigo, Mat Jan, Daun dan semua orang boleh jadi biskut. Klik SINI.

Rabu, Mei 03, 2006

DENGAR DENGAR DENGAR

Kekuatannya: Dia pandai bercakap dan dia juga pandai mendengar.
Kelemahannya: Dia suka mendengar percakapannya sendiri. Amat suka.

Dua kekuatan yang membatalkan diri masing-masing.

Ahad, April 30, 2006

KERJA YANG TIDAK SIAP-SIAP

Waktu pejabat sudah habis. Aku bawa pulang seikat kertas untuk aku toreh dengan pen merah. Sebemban beratnya.

Aku letakkan kertas itu di atas lantai apabila usai Berita larut malam di TV. Secangkir kopi di sisi sebagai teman.

Cita-cita aku tinggi untuk mnyiapkan tugas tetapi sudahnya kertas-kertas itu menjadi bantal mengalas mimpiku.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Foto + Puisi

Khamis, April 27, 2006

LAGU JAHANAM

Lagu Jahanam boleh dimuat turun secara PERCUMA dengan cara mencucuk cursor kepada salah satu Host di bawah dan memicit butang kanan tetikus dan pilih "Save Target As" :

Host1: Mygj+Ron97 Penyimpan lagu
Host2: Yunir Penyimpan Lagu

Beri tepukan yang gemuruh kepada penaja-penaja host.

Kita kongsi mencari lirik. Seorang serangkap, lama-lama boleh lengkap.

................


Tajuk: Jahanam (Versi Akustik)
Vokal: Pheja


Weeih semua weh habis
Terung pisang nenas lada
weh habis

Hamba jual dah anda bayar

Jahanam
Habis kerana mu
Jahanam
Habis kerana mu

Kerana mek nak mengaji
ayah pun setuju hati
Jahanam

Dari kelas satu sampai kelas enam
banyak orang cikgu puji kata comel
Periksa nombor satu boleh angkat ibu tangan
Ayah pun atas nafsu duit habis pun hati senang

Masa dalam belajar nampak molek benar
Malam malam menghafal aduh sedap dengar
Makyung wayang gambar dia tak kenal
Tempat suka hilai dia tak mahu benar
Ayah rasa suka bahawa anak rajin
Habis harta benda tiada kerana lain
Setakat timbul ganja anak nampak mereng
Sekolah pun tak berapa duduk gila nak bersaing

Jahanam
Habis kerana mu
Jahanam
Habis kerana mu
Kerana mek nak mengaji
ayah pun setuju hati
Jahanam

Lalu ayah hantar ke universiti
Hawa masuk bandar mula tidak mahu ngaji
Kain tidak mahu pakai dok gila seluar Bobby
style dekat tepi pantai semingu empat lima kali

Sebulan sampai surat mahu nak duit seribu
Dia tulis cakap nak buat beli buku
Ayah memutar ligat mikir sampai seminggu
Sehari sampai gelap jual kerbau tak laku

Salleh rasa nak pergi
nak tengok anak bertuah
Rupa-rupanya tak mengaji
dok ralit hisap dadah
Yang jantan pun ada sekali
tindih tindih atas bawah
tendang kain habis licin
telanjang merah merah

Kenapa mek
mu buat gitu
Yang inilah, ayahmu malu
Kenapa apa mek
mu buat gitu
Yang inilah, ayahmu malu

Salah teka kepada jangka
anak bertuah jadi celaka

Kenapa mek
mu buat gitu




Lain-lain hal:
Jurutera bunyi: Tok Rimau (Tok cuma ketuk-ketuk papan kekunci dan goyang-goyang tetikus sahaja)
Lirik: Unknown
Format: mp3
Saiz: 5.1mb (Sembelit komputer kalian nak download)
Duration: 3.43

.................

Latar Belakang Lagu Jahanam
Pertama kali aku dengar lagu ini adalah ketika berkereta dari Johor ke Perak bersama Pheja. Tahun lepas. Kalau Pheja tidak hisap rokok, dia akan nyanyi lagu ini. Lagu ini adalah lagu tangga kemuncak carta siulan muda-mudi Kelantan suatu masa dahulu. Lagu ini lekat dalam otak Pheja dan berputar-putar dalam mode loop. Aku pun jadi penasaran.

Bulan lepas. Aku dan Pheja masuk hutan berbekalkan Walkman untuk merakam suara. Jika kalian dengar betul-betul, ada bunyi latar cengkerik turut menyumbangkan suara. Kami buat dua versi, versi siput dan versi bertih. Jahanam Akustik perlepasan pertama adalah versi siput untuk mereka yang Bahasa Kelantannya Band 2. Versi Bertih masih dalam studio.

Perisian yang terlibat, yang baru aku terokai, untuk menghasilkan single ini adalah Storm Audio, Audacity, Garage Band dan iTunes.

Sabariah dari Kuala Lumpur menambah:

Oooh, it was a wicked wicked song, i think it was late 70s, it was the rage in Kelantan, spilt over to Terengganu where I lived. If i am not mistaken there were version one and two of the song, the story revolves around Mek Jenab, but i can't remember much of the rest, being the innocent and protected little girl that I was back then.



Jika kalian tahu tentang asal usul lagu ini. Sila kongsi bersama.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Ron97
Yunir

Selasa, April 25, 2006

JAHANAM : SINGLE SULUNG

Maka lengkaplah perjalanan seni aku mahu menolak nama P. Ramlee dari kemuncak tangga seniman-seniman agung negara. Aku dah menulis karangan yang banyak. Menulis puisi pun sudah. Menulis buku pun sudah. Bikin wayang gambar pun sudah. Sama ada bagus atau tidak. Itu tidak penting. Yang penting, aku seniman serba boleh.

Opsss... aku belum menyanyi. Itu sangkaan kalian.

Aku memang tidak pandai menyanyi. Aku buta melodi. Buta tempo. Buta rhythm. Aku tidak tahu mengikut muzik. Kalau aku menyanyi, muziklah yang kena ikut aku.

Tetapi Malaysia boleh! Aku tidak mahu mengalah. Aku baru menubuhkan sebuah band duet. Satu vokalis dan satu jurutera bunyi. Kawan aku menyanyi dan aku tukang buat bunyi latar.

Dia, Pheja dan aku, Rimau. Together, we are Pheja and Rimau. (Ya Jigo, ini Pheja yang jadi bos engkau dulu. Sekarang aku bos dia.) Single sulung kami yang pertama bertajuk JAHANAM.

Jahanam
Habis kerana mu
Kerana mek nak mengaji
Ayah pun setuju hati
Jahanam
Habis kerana mu


Sebenarnya liriknya panjang lagi tapi aku tidak berapa nak pandai alihbahasa dari Bahasa Kelantan ke Bahasa Luar. Lagu ini adalah lagu lama dari Kelantan yang kami beri nafas baru. Di harap peminat-peminat semua terhibur. Semoga menjadi siulan muda-mudi masa kini.

Diedar secara percuma dalam format mp3 via e-mel. Sila hantar e-mel kepada harimauj[at]yahoo[dot]com dengan Subjek: Saya Mahu Lagu JAHANAM jika mahu lagu percuma ini.

Isnin, April 24, 2006

JURUJUAL

Lengan kiri aku menampung punggungnya dan lengan kanan aku pula menahan dadanya. Inilah pertama kali Afimon pergi ke pasar. Datang seorang jurujual susu tepung dalam paket kecil menghampiri aku yang sedang mendokong Afimon.

Bersungguh-sungguh dia memujuk aku. Bersungguh-sungguh pula Afimon ketawa.

Aku pun tidak tahu apa yang jenaka dalam pemujukkan jurujual itu. Mungkin Afimon menyangka jurujual itu mengagah dia.

Jurujual: Susu ini baik untuk otak.

Afimon: Keh! Keh! Keh!

Jurujual: Harganya cuma Rm5 sepaket.

Afimon: Keh! Keh! Keh!

Aku: Anak saya mendapati awak ini seorang yang lucu.

Akhirnya, jurujual itu berhenti menjual kerana dia tidak boleh memujuk dengan serius dalam keadaan setiap ayatnya diketawakan Afimon.

Jumaat, April 21, 2006

MINIT MESYUARAT POST-MORTEM

Dr. Diana membangkitkan isu kualiti makanan hotel yang tidak memuaskan.

Dr. Diana: Inilah pertama kali. Sebelum ini I makan tak pernah tak habis.

Tok Rimau: Doktor, kalau you boleh habiskan makanan buffet itu memang terer la.

Dr. Diana: Oitt! I cakap pasal makanan yang I ambil bawa ke meja sendiri la. Bukan makanan atas meja buffet.

Tok Rimau: Hi! Hi! Hi!

Kadang-kadang mesyuarat kami pun macam mesyuarat di kabinet.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
101 barangan percuma

Khamis, April 20, 2006

Dunia Buku: Ayah Kita Bos

Dari Berita Harian 20/4/2006

BUKU-Blog, Ayah Kita Bos, karya bersama Ghazali Bunari dan Azalan Hussain, menghimpunkan petikan tulisan dalam blog mereka seputar pengalaman hidup dan pandangan kritis terhadap tingkah laku masyarakat dengan nada humor lagi sinis.

Hijau Pucuk Pisang menghimpunkan catatan Sinaganaga mengenai kisah anak setinggan manakala Merah Jambu pula mengenai keluarga Miyuki yang menjadi keluarga angkat di Jepun, mampu menggeletek hati pembaca.

Taring yang ditulis Ghazali Bunari atau lebih dikenali sebagai Tok Rimau, berbentuk kritikan sinis, menceritakan pengalaman di perumahan flat kos rendah dan pandangan sepintas lalu mengenai politik serta sosial manakala Misai pula menampilkan kisah perhubungan bapa-anak dengan menyelitkan unsur psikologi yang menggelikan hati.

Buku setebal 160 halaman dan berharga RM20 senaskhah ini yang turut diwarnai dengan komik romantik komedi pasangan Ajan dan Rima, boleh dibeli dengan melayari harimauj@yahoo.com.
(Ralat. Sebenarnya Layar SINI jika nak beli.)

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Berita Harian Online (Jika kalian tidak beli yang kertas)
Kerusi Berbuku

Rabu, April 19, 2006

TAZKIRAH UNTUK AKU (dan engkau)

Suatu hari dua wali bertemu di tepi sungai.

Wali 1: Aku boleh terbang ke udara dan berjalan atas air. Tunjukkan kebolehan mu.

Wali 2: Kenapa engkau megah dengan kebolehan yang boleh dibuat oleh mana-mana burung dan mana-mana ikan?

Wali 1 menyesal kerana bersikap takbur.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Debat hebat matinya seorang blogger.

Selasa, April 18, 2006

BALASUNGKAWA

Awan-awan hitam mendakap langit tanda berkabung. Deras deru gerimis menghempas-hempas tanah meraung-raung minta dikembalikan wira prolifik berperisai huruf yang pergi.

Jika kalian ke http://sinaganaga.blogspot.com, kalian akan mendapati batu nesan yang terukir di atasnya:


Not Found
The requested URL was not found on this server.



Singanaga 2004-2006

Maka di sini kita bertalkin. Bertahlil. 3 hari. 7 hari. 40 hari. 100 hari. Entahlah. Mereka kata ini semua bidaah. Alahai.

Awan-awan hitam mendakap langit tanda berkabung. Deras deru gerimis menghempas-hempas tanah meraung-raung minta dikembalikan wira prolifik berperisai huruf yang pergi.

PANDAI CAKAP TAMIL

Dr. Azman kata anak jiran dia pandai cakap Tamil. Aku kata ini sudah hebat.

"Dia sekolah Tamil ke?"
"Tak. Dia baru 4 tahun."

"Macam mana dia pandai cakap Tamil?"
"Mak dia India."

"Ayah dia apa? Melayu?"
"Tidak. Ayah dia India juga."

"Kalau mak bapak dia India, maka biasa la dia pandai cakap Tamil."
"Aku tidak cakap pandai cakap Tamil itu luar biasa. Aku cuma buat kenyataan anak jiran aku pandai cakap Tamil."

Terkena aku semalam. Kadang-kadang kita selalu anggap benda yang biasa sebagai hebat jika kita tidak tahu cerita sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, dulu, mereka kata akan membina jambatan sekerat untuk orang bersiar-siar(Scenic Bridge) jika Singapura tidak bersetuju dengan jambatan bengkok mengganti tambak Johor. Hebat tu. Kemudian mereka membatalkan projek membina jambatan bengkok demi mempertahankan maruah negara. Ini lagi hebat.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Motor Kayu yang Hebat

Ahad, April 09, 2006

SUKA DAN DUKA

Sebelum hari kejadian aku gembira riang tidak terhingga. Semua urusan penjualan buku Ayah Kita Bos berjalan lancar. Kawan-kawan ramai datang menyokong. Jualan buku mencapai sasaran yang ditetapkan. Pembeli-pembeli meminta tandatangan aku. Dengan riaknya aku menurunkan tandatangan. Tidak kurang juga yang mahu bergambar dengan aku. Aku megah bergelak-gelak suka.

Siapa tidak gembira dalam keadaan yang sebegini?! Tetapi, nenek aku ada pesan, orang yang suka sangat, akan berduka. Sangat juga. Dalam perjalanan pulang dari K.L. ke J.B., kami sekeluarga bertemu duka.

Usai solat, mama (minah cun yang mengurat aku) bertanya kepada Sabrinamon, “Mana beg mama?” Kedudukan mereka rapat antara satu sama lain di dalam surau sesak di hentian rehat lebuhraya kawasan Machap. Hampir dengan dinding lagi. Tetap orang jahat itu licik mengebas beg tangan minah cun. Pun begitu, sekurang-kurangnya anak-anak kami tidak dicuri sama. Aku memujuk diri sendiri.

Menurut Sabrinamon, orang jahat itu wanita muda berbadan gempal. Mula-mula, dia mengagah-ngagah Afimon. Berlagak keibuan konon. Kemudian, dia menghampiri Sabrinamon. Dia memusingkan tubuh Sabrinamon ke arah mama dan kakaknya yang sedang mendirikan solat. Tanpa Sabrinamon sedar, orang jahat itu mencilok beg tangan mamanya dan menggantikannya dengan telekung surau.

Menurut polis, modus operandi menggantikan objek yang dicuri dengan objek lain amat biasa. Polis juga mengatakan bahawa orang jahat ini beroperasi di kawasan-kawasan rehat sepanjang lebuhraya. Biasa juga. Tumpuan utama dia adalah beg tangan wanita dan kadang-kadang laptop dalam kereta. Puas polis menyamar, masih juga gagal menumpaskan orang jahat. Masa akan menentukan. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. [Jika anda penulis skrip Gerak Khas, cut and paste perenggan ini.]

Kebarangkalian orang kafir dan orang tidak solat menjadi mangsa orang jahat itu amat nipis kerana dia biasa beroperasi dalam surau. Kecewa aku dengan orang jahat yang mencuri dari orang yang sedang sujud dalam rumah suci. Kecewa amat sangat.

Orang jahat, di mana pun engkau berada, aku harap engkau bersuka ria. Riang ria kerana kerana engkau ada telefon bimbit dan jam tangan lebih. Gembira kerana engkau bergaji dua tiga ratus untuk kerja 15 minit. Untuk bonus, engkau juallah kad pengenalan dan lesen bini aku kepada pendatang tanpa izin. Belilah ganja dan todi dengan duit itu dan joli sampai ke subuh. Bawa kereta laju-laju! Bergembiralah! Ketawalah terbahak-bahak. Sukalah engkau sesuka hati engkau!


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Blog Rotikacangmerah
Fotopages Bro Red
Fotopages Sayang Mama
Ulasan Geng Jurnal

Isnin, April 03, 2006

KOBOI BERNIAGA


Gambar oleh Bro Red. Klik la.

Makcik,
Terlebih dahulu saya nak minta maaf dengan Mak Enon, (makcik yang menjual kayu berbagai bentuk sebelah gerai Buku-Blog). Kami akui gerai kami terlalu bising. Begitu ramai orang hingga melimpah masuk ke gerai makcik.

Kalau saya jadi makcik, saya ketuk budak-budak yang bising ni dengan senduk makcik yang berukir indah itu. Kalau saya jadi makcik, saya dah buat laporan polis kerana budak-budak gerai 33 yang mengacau ketenteraman awam.

Tapi saya bukan makcik.

Makcik begitu sporting. Diam sahaja bagai ubi. Makcik ajak saya niaga lagi bulan depan. Makcik jangan lari pula. Jangan tempah gerai nombor lain pula bila saya datang lagi. Kalau saya datang lagi.

Makcik,
rupa makcik mengingatkan saya pada nenek saya sendiri. Dia nasihatkan saya, jangan suka sangat-sangat. Nanti duka sangat-sangat juga. Untuk pengetahuan makcik, untung kami tidaklah juta-juta. Belum boleh tulis buku Rahsia Jutawan Internet lagi. Tetapi, ada orang jahat dah curi beg tangan minah cun yang ngorat saya di lebuhraya. Nanti saya ceritakan. Tunggu ya makcik. Nanti saya cerita pasal relevannya peristiwa satu April itu dengan nasihat nenek saya.


Yang Benar
Koboi Berkaca Mata

.........bersambung

p.s.
Baca Laporan dan Ulasan Pelancaran Buku-Blog Ayah Kita Bos dan Jongkang Jongket di FORUM GENG JURNAL.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
BLOOKER: Makanan lebih enak dari jimak

Sabtu, April 01, 2006

1 APRIL 2006

Mesti pergi Laman Seni KL pada 1 April 2006!
Mesti pergi Laman Seni KL pada 1 April 2006!
Pelancaran Buku Blog. 9 pagi - 5 petang. 1 April 2006*. Sabtu. Gerai 33.
Terkini:
Hari kejadian dah hampir sangat! Mari abang! Mari adik! Mari kakak! datanglah beramai-ramai. Baca pojok M-Star: Dua lagi blook Melayu terbit!

Khamis, Mac 30, 2006

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

Pepatah India mengatakan undang-undang itu seperti kamar gelap. Jika engkau sudah biasa dengan bilik itu, engkau akan tahu selok-belok laluan dalam kamar itu. Jika engkau tidak biasa, selalulah engkau terlanggar tiang atau tersandung bendul. Benjol-benjol jadinya.

Kita. Engkau dan aku. Terima saman majlis bandaran kerana salah letak kereta sahaja sudah mengelabah. Tauke restoran sewenang-wenangnya letak kerusi meja di tempat letak kereta tanpa takut dengan undang-undang. Itu belum cerita jenayah besar seperti membuang bahan berjadual dan memotong balak di hutan simpan. Macam mana mereka boleh terlepas dari undang-undang? Adakah mereka tahu selok-belok laluan dalam kamar gelap itu? Di mana mereka belajar?

Anak saudara aku kata dia tamat belajar undang-undang di Pontian.

"Aku tidak tahu ada sekolah undang-undang di Pontian." Aku

"Ada. Kat Sekolah Memandu Pontian. Undang-undang jalanraya." Dia.

Terkena aku. Mati-mati aku ingat dia sudah boleh jadi majistret tadi.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Seminar Pencinta Buku- Percuma

Rabu, Mac 29, 2006

BLOG DALAM PENDIDIKAN



Tajuk Ceramah: Ada Apa Dengan Blog?
Penceramah: Tok Rimau
Pusat Kegiatan Guru Bandar Pontian
Pontian, Johor.
29 Mac 2006

Sekarang projek Schoolnet sudah dilancarkan, banyaklah blog berkenaan alam pendidikan. Mungkin metodologi pembelajaran boleh menjadi lebih berkesan dan interaktif. Seronok untuk guru dan seronok untuk murid-murid.

Pun begitu, sedikit seruan untuk semua. Prasarana ini sepatutnya memudahkan kerja guru. Bukan menambahkan lagi beban atas bahu mereka.

Ahad, Mac 26, 2006

PELAMPUNG

Baca karangan di bawah dan jawab soalan berikutnya:
Aku nampak pelampung di atas tilam sebelah Afimon. Di sebelah bedak dan bungkusan lampin.

"Nak bawa budak ni pergi piknik ke? Kan kecil lagi budak tu untuk dibawa masuk ke dalam laut."

"Ini petualah. Untuk ibu-ibu yang sakit punggung selepas melahirkan, amalkan duduk atas pelampung," kata minah cun yang mengorat aku. Dia senyum sambil melabuhkan punggungnya di atas pelampung.

"Brilliant! Siapa yang mula terfikir petua ini agaknya? Abang fikir petua ini juga bagus untuk orang yang ada bisul bontot, ada buasir kronik dan sakit pinggang dimamah usia."

"1 April nanti abang nak ke Kuala Lumpur, letak la satu atas seat driver. Pilih pelampung yang ada gambar Pooh the Bear."

Aku menggaru kepala. Menimbang cadangan minah cun yang mengorat aku.

"Malu la. Nanti ditanya polis di road-block. Apa helah bela diri abang?"

"Kuala Lumpur sekarang selalu banjir kilat. Sedia pelampung sebelum hujan." Kata minah cun melengkapkan hujahnya. Dia membetulkan kedudukan lalu mengangkat Afimon ke riba untuk disusukan.

Aku pun masuk ke stor mencari pelampung Pooh the Bear.


Soalan Kefahaman:
Apakah penyakit yang dihidapi oleh Tok Rimau?

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Aku bukan penulis generasi baru dengan angst yang membuak. Mungkin mereka ini iya.
Launching Suarasuara
Venue: Dewan Tun Razak, Putra World Trade Center (PWTC)Date: March 28, 2006
Day: TuesdayTime: 2:30pm
Read more.

84 ULU KASAR

8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempat...