Jarum panjang memotong jarum pendek yang menunjukkan pukul 12. Sekarang sudah masuk tanggal 3 Jun 2023.
3 June 2023 adalah hari basikal sedunia dan aku lihat ramai kawan-kawan memuat naik video dan imej meraikan hari penting ini. Aku pun tidak mahu ketinggalan. Aku guna potongan-potongan video kelana berbasikal bersama rakan-rakan lantas menghasilkan sebuah video pendek pesanan masyarakat Hari Basikal Sedunia. Semua ini dilakukan atas telefon bimbit sahaja.
Ketika Kakak Kau menemui video itu di Instagram, wajahnya menunjukkan ekspresi yang suam-suam kuku. Aku tidak dapat membaca dengan pasti sama ada dia terkesan atau tidak dengan karya aku. Dalam hati, aku berharap agar dia dapat memberikan pandangan yang positif sebab dia juga seorang pengayuh. Malah, dia lebih basikal dari aku.
Petang hari tersebut, dalam Whatsapp Group Basikal ada orang mengucapkan selamat hari jadi kepada Kakak Kau. Alamak! Aku telah terlepas pandang hari penting itu. Biasanya akulah orang pertama yang mengucapkannya.
Tetapi 3 Jun masih berbaki 7 jam lagi.
Dengan tangkas aku cari video kami berdua. Aku cari runut bunyi yang romantik. Aku pilih Untuk Mu Kekasih nyanyian Ebiet G. Ade.
Ingin berjalan berdua denganmu kekasih
Lewati malam setelah usia rinai gerimis
Lelawajar luruh dengan rumput biru
Jemari tangan kita lekat jadi satu
Pipimu memerah hasratku merekah
Kenapakah waktu tertinggal jauh?
Dan aku pesan kek untuk hari tersebut. Setelah makan malam selesai, kami sekeluarga cuci mulut dengan kek. Aku harap hari jadi Kakak Kau merasa istimewa. Aku harap Kakak Kau tidar sedar yang aku ini terlupa.
Dan malam pun terus melebarkan sayapnya. Masa untuk tidur. Lampu pun dipadamkan.
Jarum panjang memotong jarum pendek yang menunjukkan pukul 12. Sekarang sudah masuk tanggal 4 Jun 2023. Dalam gelap malam aku terasa satu cubitan yang kuat di perut. Dan cubitan itu dipulas keras seperti orang memulas punat siaran tv lama era 70-an. Aduh!