Khamis, Jun 15, 2023

064 ECZEMA



Kalau betullah kata orang-orang tua bahawa gatal tapak tangan merupakan tanda mahu terima duit, maka kaya rayalah aku. Malangnya mitos belaka dan aku masih seperti aku dulu, belum kaya lagi. Kalau kau tanya aku tentang gatal tapak tangan, jawapan aku tangan itu ada kuman!

Setahun kebelakangan ini, aku mengalami eczema di mana tapak tangan dan kaki dipenuhi bintil dengan cecair jernih. Ianya gatal mengenyam. Kulit mengeras dan mengelupas hingga menghasilkan luka-luka kecil. Luka-luka ini pedih apabila terkena air, garam dan minyak wangi. Kondisi ini pasang surut bergantung kepada ubat yang aku ada. Ketika tahap maksima aku tidak boleh mengenggam dengan kuat hingga menukar gear kereta pun dengan dua tangan. Turun downhill offroad pun pernah terlepas handle basikal. Selain itu, aku terpaksa mandi dengan memakai sarung tangan getah bagi mengelak pedih luka terkena air. 

Ketika tahap minima pula, aku lupa diri dan makan cucur udang dengan kuah kacang. Mendapat!

Apakah punca eczema ini? Puncanya belum difahami sepenuhnya oleh saintis namun begitu mereka menduga puncanya mungkin allergen seperti:

  • sentuhan bahan kimia seperti sabun
  • sentuhan logam terutama nikel
  • makanan kekacang dan seafood
  • kerungsingan
  • keturunan

Kemungkinan lain yang disebut oleh orang tua:

  • aku berhenti hisap rokok
  • vaksin ganggu imuniti
  • pemindahan darah
  • ditegur jin hutan

Orang tua yang menyebut perkara di atas adalah aku sendiri, apabila aku memikir-mikir terlalu jauh tentang penyakit misteri ini. Aku tercari-cari logiknya ketika aku seusia ini dapat penyakit seperti ruam-ruam baby. Mungkin kalian selayaknya panggil aku baby.

Menurut saintis, allergen mencetus gangguan imunologi yang menyebabkan sistem kekebalan tubuh menjadi hiperaktif atau menyerang komponen tubuh sendiri hingga menghasilkan radang. Radang ini memicu pelepasan histamin dalam tubuh. Untuk menenangkan radang ini, doktor memberi aku:

  • Cetrizine HC- pil anti histamin
  • Prednisolone - pil steroid
  • Betamethasone - krim steroid
Dan aku tambah:
  • Bepanthen - krim antiseptik rawat luka
Tidak kurang juga kawan-kawan yang memberi petua dan mencadangkan krim itu dan ini. Maka, banyaklah krim segala macam sekarang dalam laci ubat aku. Belum tentu lagi mana yang mujarab.

Oleh kerana keadaan kesihatan aku yang tidak menentu dan cap jari di tangan aku terhakis, aku tangguhkan dulu mana-mana kayuhan jauh terutama yang melibatkan luar negara. (Perghh sembang macam pelumba professional). Aku kayuh dekat-dekat sahaja. 

Tiada ulasan:

COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...