Isnin, Februari 16, 2026

98 ADELA LASAK



Aku masuk acara Adela Lasak di Felda Kledang, Kota Tinggi pada Ahad, 15 Februari 2026. Cuacanya cantik. Mendung tetapi tidak hujan. Redup pada kebanyakan masa. Denainya jinak. Mendaki pun tidak mendongak. Rata pada kebanyakan masa.

Aku tidak jatuh. Aku tidak dikejar anjing. Aman-aman sahaja.

Aku kayuh leha-leha sambil menikmati pemandangan dan suasana. Berhenti sekejap untuk berbasa-basi pengail di tepi sungai.

Ada 10 km sebelum sampai ke garisan penamat. Marshall acara mengejar aku dan kawan-kawan. Dia mengarahkan kami untuk ambil jalan pintas kerana acara cabutan bertuah akan bermula. Kami pun akur.

Akak Kau tidak kayuh bersama. Dia ada urusan. Aku sunyi sikit.

97 KLUXKLEX KALANG RENGAS 4



Malam kedua berlabuh dan harum bau ayam panggang semerbak memenuhi kem. Kami juga dihidangkan dengan nasi goreng. Makan sampai kenyang. Gitar dipetik dan muzik memecah sunyi malam.

Malam ini kelihatan lebih ramai peserta berkumpul depan pentas. Sesekali mereka melaungkan tajuk lagu membuat permintaan. Kebanyakan lagu-lagu yang dimainkan aku tidak hafal. Bukan lagu zaman aku. Aku jerit permintaan Sekuntum Mawar Merah yang dipopularkan Alleycats sempena bulan Februari ini. Boleh la aku nyanyi bersama.

Artis persembahan kelihatan lebih galak di malam kedua. Faktor ramainya jumlah khalayak di hadapan pentas mungkin membawa impak kepada persembahan. Malam juga dihangatkan oleh juruacara yang semakin petah berbicara. Jenaka dan guraunya semakin menjadi.

Mungkin juga khalayak pun sudah semakin akrab selepas acara-acara siang tadi.

Hadiah-hadiah kemenangan disampaikan.

Kumpulan Wildboar26 menang khemah terbaik dengan bentangan kanvas dalam ladang sawit di sebelah litar. Sangat kelak-keluk kem mereka. Ringkas dan praktikal di musim panas ini.

Juara Costume Terbaik jatuh kepada Ali Agung dengan Penari Udara. Idea Penari Udara datang dari boneka angin yang digunakan sebagai penarik perhatian di hadapan banyak kedai perabut dan kedai jual kereta. Kipas dari mesin angin ditiup melalui gelung plastik lembut membuat badan dan tangan boneka melambai-lambai menarik perhatian orang yang lalu-lalang. Menurut Ali Agung, dia jahit sendiri badan boneka itu dari tirai pancuran mandian yang berwarna-warni. Ketika Ali menunggang basikal, dia mesti membongkokkan badan bagi membolehkan penglihatan melalui corong atas boneka. Sangat-sangat lucu dan out of the box ilham penyertaan ini.

Aku? Inside of the box sebab guna Kotaksaurus. Aku dapat nombor dua.

Ingin aku kongsikan petua untuk mereka yang mahu berkecimpung dalam arena sarung/boneka/topeng/costume/cosplay, kalian mesti bikin sendiri topeng dan busananya. Dan pastikan lucu. (Baru tempat kedua sudah memberi petua. Kalau podium pertama, aku buat seminar.)

Kemenangan ini membanggakan dan buat hidung kembang sekejap, tetapi apa yang lebih penting semua yang ambil bahagian bersuka ria. Aku mahu jemput semua pemakai sarung dan topeng ke acara Kawad Raksasa JB Town Festival 2027.

Malam semakin larut, semua hadiah-hadiah cabutan bertuah telah diedarkan. Juruacara panggil 10 orang yang tidak dapat hadiah cabutan untuk ke hadapan. Mereka diraikan juga dengan tepukan penghargaan dan tangkapan foto beramai-ramai. Aku suka bahagian ini. Ia meraikan kehadiran walaupun tidak menang apa-apa. Ini macam penghargaan untuk raja longkang dalam acara bowling. Semua pun kelak-kelik tidak berkira sangat, layan.

Malam ditutup dengan sesi foto beramai-ramai. Ada 50-60 orang semuanya tetapi pengcahayaan tidak mencukupi. Urusetia menyalakan lampu kereta dan menghalakannya ke arah peserta untuk pencahayaan tambahan. Dan dalam kekecohan itu, satu peserta jatuh kerusi. Lucu sekali.

Pagi hari terakhir bermula dengan kayuhan solat subuh ke masjid. Ini diikuti dengan sarapan di Warung Sri Menerong. Li Zali menawarkan basikal mini velo miliknya kepada aku untuk diuji. Aku pula menawarkannya kepada Akak Kau. Kami sebulat suara memuji basikal itu. Pelananya sedap dibontot dan kayuhannya lembut walaupun kerdil. Rasa lemak manis gitu. Kami keracunan. Kalau ada rezeki lebih nanti, aku bela satu.

Pulang dari sarapan, kami pun mula kemaskan khemah. Akak Kau digigit makhluk halus yang diceritakan oleh Li Zali semalam. Ada koloni semut hitam buat sarang di tapak khemah kami. Mereka membuat barisan panjang mencari makan. Kami berhati-hati dengan makhluk halus itu agar tidak terpijak lagi. Usai berkemas, kami asingkan satu persalinan terakhir. Kami terjun sungai buat untuk kali terakhir. Setelah puas, kami pun naik mengeringkan badan.

Kemudian, kami bersalaman mohon pamit dengan baki-baki peserta yang masih di tapak perkhemahan. Aku mohon maaf jika ada apa-apa kesilapan atau berlebihan ketika menang tempat kedua.

Kem ini penuh keriangan dan kegirangan. Aku senang dapat bertemu kawan baharu dan lama dalam komuniti perkhemahan dan kayuhan. Juga, aku banyak belajar tentang kehidupan dan budaya setempat. Aku harap urusetia tidak serik dan akan ulang lagi kem basikal Kluxklex ini di masa hadapan. Jika tidak tahun depan, mungkin bulan depan.

96 KLUXKLEX KALANG RENGAS 3





Subuh hari kedua, aku dan Megat Burung Hantu berkayuh ke masjid Kampung Gunung. Rasa syahdu melihat lampu basikal membelah kabus dan dingin pagi. Usai solat, beberapa jemaah menegur kami. Apabila aku ceritakan bahawa aku ini dari Johor, mereka mencairkan loghat Terengganu mereka dan menyesuaikan diri ikut bahasa sekolah agar aku faham cakap mereka.

Seorang pakcik sebaya aku berkongsi bahawa dia dahulu kerja TLDM di Woodlands, Singapura. Dia selalu ulang-alik ke Johor Bahru. Kami bernostalgia tentang Johor tua ketika stesen bas berada di Jalan Wong Ah Fook, Haji Wahid masih berniaga mi rebus, dan tempat orang muda melepak adalah Komtar (Kompleks Tun Razak).

Seorang lagi pakcik, baya aku juga, bercerita tentang hidup di perantauan di Batu Pahat, Johor. Hampir-hampir dia berkahwin dengan gadis Batu Pahat namun tiada jodoh.

Ohh mama
saya mahu kahwin
dengan gadis batu pahat
rambut panjang bertahi lalat
(Selingan lagu Blues Gang sebagai latar belakang)

Masih belum melupakan gamaknya. Masih membara ingatan terhadapnya.

Sebelum kembali ke kem, kami singgah warung untuk sarapan. Mana-mana pun kawasan kampung ini, baik gerai berpapan tanda atau tidak, nasi dagang mereka lebih sedap daripada restoran terbaik di Johor Bahru.

Sebut tentang Johor, aku perasan kumpulan Wildboar26 Desaru sudah masuk kem. Mereka ini sebenarnya sedang buat jerayawara papan luncur sempena musim ombak gulung Pantai Timur. Terlanjur sudah hampir, mereka singgahlah di Kluxklex. Kini kuat jugalah ketumbukan wakil Johor di kem ini.

Acara pagi Sabtu bermula dengan saringan perlumbaan Vintage MTB. Litar perlumbaan di dalam kebun sawit sekitar 200 meter. Kumpulan empat pelumba bergilir dilepaskan membuat kayuhan empat pusingan litar. Pelumba terbaik dari saringan akan maju ke peringkat akhir.

Setelah tamat saringan Vintage MTB, dipanggil pula peserta lain untuk acara terbuka kepada semua jenis basikal. Aku pun teruja untuk turut serta. Tidak seperti acara Vintage, kami dilepaskan 10-15 biji basikal sekali gus. Kami berlari meluru ke arah basikal dan mula menekan pedal. Permukaan awal denai litar keras dan sedap melaju. Di tengah-tengah litar ada selut tetapi aku menegak laju. Lumpur merecik mengotori basikal. Ada jurukamera di situ kerana dia meramal aksi hebat di titik itu.

Sedikit di hadapan, denai bertukar menjadi pasir lembut. Tenaga dan kemahiran tambahan diperlukan di bahagian ini. Halangan terakhir denai adalah dua kayu melintang. Jika kau hentak kayu itu dengan halaju tinggi terasa gegar rim basikal. Detik itu membawa ingatan ke MTB Polygon Syncline 5 di rumah. Kalau aku bawa Polygon, dengan geometri dan roda lebarnya pasti mudah dia ratah denai ini.

Aku meneruskan kayuhan memasuki pusingan kedua. Kali ini aku tidak menghampakan jurufoto. Di tompok litar berselut, roda 40mm aku tergelincir membuat aku terhumban. Nasib baik aku sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan sudah biasa jatuh. Aku golekkan badan untuk mengurangkan hentakan. Aku bangun dan tersengih kepada jurufoto, “Dapat?” tanya aku.

Kayuhan diteruskan. Nafas semakin kencang. Detak jantung semakin tinggi. Aku DNF (Did not finish) perlumbaan. Aku simpan tenaga untuk acara petang.

Acara pagi selesai dengan meriah. Tunggu petang pula untuk acara seterusnya.

Panas-panas itu sedap mandi sungai. Aku turun lagi berendam sambil berpaut pada akar pokok. Datang budak lelaki anak siapa entah mandi berhampiran. Umurnya 10 tahun. Dia bertanya, “Abang, air warna hijau atau biru yang dalam?” Sebab dia panggil aku abang, aku layan la dia sembang. Dia bercerita tentang ayahnya tukang gunting, adik-beradiknya berempat, jam Casionya yang ori (copy-ori sebenarnya), dan cita-citanya untuk jadi bos.

Aku naik ke tebing bila Li Zali keluarkan sate ikan. Dia panaskan sate itu dalam kuali dan hidangkan. Dijemput juga kawan-kawan lain. Sedap nanang sate ikan premium ini. Li Zali dapat bekalan dari kilang. Kalian boleh hubungi beliau untuk maklumat lanjut.

Selepas Asar, panggilan untuk peserta lumba Costume dibuat. Masing-masing keluarkan pakaian mereka. Ada berisi, ada yang kurus, ada melencong, ada yang lurus, yang penting semuanya tulus. Antara watak yang terserlah adalah pengantin lelaki, aquaman lengkap dengan kaki itik, nelayan dengan sauk, penari udara, No Face dari Ghibli, dan dinosaur berbulu (ada tiga ekor, dua hijau satu merah).

Suasana jadi meriah bila peserta terkial-kial mengayuh keliling litar dengan busana yang tidak mesra basikal. Masalah aku adalah ekor kontot Kotaksaurus tersangkut di pelana. Berulang kali aku terpaksa tepis dengan tangan. Litar dirumitkan lagi dengan cabaran melontar bola ping-pong ke dalam botol sebelum meneruskan kayuhan. Penonton bersorak-sorai. Dan riuhnya tepukan.

Dalam perlumbaan itu aku dapat nombor satu. Ya, nombor satu dari belakang.

Acara disambung dengan pusingan akhir Vintage MTB. Pemenangnya seorang bomba kalau tidak salah aku. Dia bawa pulang piala utama. Lepas lumba, semua turun mandi sungai sekali lagi. Aku dan Akak Kau mandi sungai sambil basuh lumpur di basikal.

95 KLUXKLEX KALANG RENGAS 2



Aku berdua dengan Akak Kau memandu 500 km dari Senai Johor ke Kalang Rengas semata-mata untuk Costume Race. Gila kan?

Tapi ada yang lebih gila. 10 km sebelum sampai ke Kalang Rengas, kami bertemu sekumpulan pengayuh dari Dungun mahu menuju ke tempat yang sama. Dalam pelonton itu ada Megat Burung Hantu, dia mengayuh empat hari empat malam dari Johor Bahru ke Dungun, kemudian sambung ke Kluxklex. Ini lagi gila.

Kami sampai di kem Kalang Rengas sekitar jam 11 pagi. Bendera-bendera kecil melambai-lambai sebagai hiasan. Kain rentang dan bunting Kluxklex terpampang di laluan utama meyambut peserta. Kelihatan juga pentas kecil berdiri berhias kain dan lampu macam tenda pelaminan. Dari kejauhan kelihatan tanda mula dan tamat untuk tapak perlumbaan basikal di kawasan kebun sawit.

Kami disambut ramah oleh petugas. Kami diberi cenderahati pelekat-pelekat Kluxklex dan gelang plastik nombor penyertaan untuk cabutan bertuah. Gelang plastik itu macam gelang pesakit hospital.

Beberapa kelompok khemah sudah sedia berdiri berdasarkan kumpulan basikal peserta. Kumpulan basikal dari Johor tidak kelihatan. Kami dipersilakan masuk kawasan perkhemahan dan memilih tapak.

Kami memilih pacak khemah di sebelah khemah Li Zali. Li Zali ni kawan yang aku kenal semasa perkhemahan basikal di Ulu Kasar tahun 2025. Li Zali pula kenal hampir semua pengayuh tetapi dia tidak terikat keahlian dengan mana-mana puak basikal. Dia bermukim di Kota Bahru tetapi hobinya nomad. Baru seminggu lepas dia berada di Selatan Thailand, sekarang sudah terjonggol di Terengganu. Kerana orangnya rajin bercerita, seperti nomad-nomad lain, maka dia sukarela jadi pemandu pelancong kami. Kami pasrah.

Nasihat Li Zali yang paling awal, “Hati-hati dengan makhluk halus.” Maklumat ini diterima dengan tenang, kerana bagi aku di mana-mana pun boleh ada makhluk halus.

Khemah kami bernaung di bawah rimbun pokok rengas dua pemeluk yang tinggi, setinggi pokok kelapa matang. Di sebelahnya mengalir Sungai Berang yang lebar 50 meter. Alirannya deras tetapi dalamnya cuma sekitar satu meter.

Bila azan berkumandang di tengah hari itu, aku dan Li Zali berkayuh ke Masjid Kampung Gunung untuk solat Jumaat. Tidak jauh pun masjidnya, cuma 600 meter dari khemah kami. Di celah-celah jemaah orang kampung dapat di lihat beberapa susuk peserta perkhemahan. Aku boleh kenal mereka melalui t-shirt dengan cop bertemakan majlis-majlis basikal yang pernah mereka sertai.

Pulang dari solat Jumaat, beberapa orang dari kami berendam di dalam sungai menyejukkan badan. Menurut jadual rasmi sukaneka basikal akan diadakan lewat petang itu. Sukaneka basikal ini biasanya mempertandingkan acara basikal lambat, mengimbang basikal, meloncat palang, dan seumpamanya. Aku dan Akak Kau ambil keputusan untuk tidak menyertai sukaneka kerana kami mahu meneroka kawasan kampung sekitar dengan basikal.

Lingkaran kayuhan kami melibatkan Kampung Gunung – Menerong - Felcra Betong - Belukar Bukit – Peneh - Lubuk Periuk - Kampung Gunung sejauh 30 km. Sepuluh kilometer awal di Menerong tanahnya rata sahaja. Kami menekan pedal secara manja sambil menikmati hijau pokok getah dan kelapa sawit sepanjang jalan. Sesekali terserempak lembu dan kerbau sedang mundar-mandir.

Hentian sasaran utama kami adalah air terjun Belukar Bukit. Ini tempat perkelahan yang cantik menurut khabar di Google Map. Malangnya perjalanan kami disekat oleh pihak tentera. Kawasan hutan Belukar Bukit di tutup untuk latihan ketenteraan. Itulah yang di tulis pada papan tanda yang diletak di tengah jalan masuk. Di sebelah papan tanda ada soldadu berseragam menjaga laluan. Di belakangnya pula ada banyak lori tentera. Suasana ini mengingatkan aku babak klise filem kapal makhluk asing terhempas ke bumi. Pastinya pihak tentera akan tutup kawasan bagi membolehkan penyiasatan dibuat. Yup. Aku banyak sangat tengok VCD.

Kami cuma bermain di kaki Belukar Bukit berhampiran dengan jambatan lintasan Sungai Berang. Kawasan ini popular di kalangan orang tempatan. Ramai warga yang berkelah di sini. Malah ada pemandu-pemandu yang memberanikan diri parkir kereta dalam kawasan pasir sungai sehingga ke bawah jambatan. Sebenarnya jika aku berpelampung dari Belukar Bukit, sungai ini akan membawa aku hanyut ke kem Kalang Rengas. Suatu hari nanti pasti aku akan cuba.

Setelah puas meninjau-ninjau, kami meneruskan kayuhan. Masuk kawasan Lubuk Periuk, laluan mula berbukit sekitar 5%, cukup untuk buat betis megeluh. Kami singgah minum petang di warung tepi jalan. Kami pesan sekeping murtabak daging dan makan berdua. Nyaman sekali dapat menikmati minum petang bersebelahan dengan meja warga tempatan, sekumpulan orang tua di sebelah kanan dan sekumpulan remaja di sebelah kiri. Yang menebar roti pula seorang makcik separuh umur.

Setibanya semula di kem Kalang Rengas, sesi sukaneka sudah selesai. Lewat petang itu kami mandi sungai lagi. Malah, sepanjang aku di sana aku tidak mandi air paip, hanya mandi sungai.

Tiada apa yang menarik untuk diceritakan di malam pertama. Perserta dihidangkan dengan live music, acara pemberian hadiah sukaneka dan beberapa gerai jualan makan minum. Malam itu suam-suam kuku bagi aku. Rasanya macam memandu kereta jauh di gear empat tidak masuk lima.

Apa yang boleh menghidupkan malam itu? Mungkin artis boleh perkenalkan nama Instagram milik sendiri atau Kluxklex dan menggalakkan khalayak membuat permintaan lagu melalui ruangan komen. Tidak secara langsung ini akan memeriahkan engagement sosial media dan peserta boleh saling follow-memfollow peserta lain. Hanya cadangan.

Mungkin salah kami juga. Tindakan kami tidak mengikuti sukaneka menyebabkan rasa akrab itu belum terjalin. Kita tunggu esok pula.

Sebelum tidur, aku tanggal baju kerana kepanasan di dalam hammock. Menjelang tiga pagi aku mula mengelupur. Bukan kerana makhluk halus tetapi kerana suhu kem turun mendadak. Suhu dingin menyegat betis kanan hingga simpul biawak. Meronta-ronta aku di dalam buaian hammock cuba merawat diri. Aku cari kain sarung untuk memanaskan tubuh.

94 KLUXKLEX KALANG RENGAS 1



Apa binatang yang paling berusia?

Jika jawapan kau burung kakak tua, kau bijak. Masa baby lagi dia dah tua. Tetapi itu jawapan teka-teki. Jawapan saintifiknya tidak lain tidak bukan, dinosaur.

Berbanding dengan kawan-kawan basikal yang lain, usia aku ini dalam kategori dinosaur. Maka, sesuai sangat la aku masuk lumba Costume Kluxklex dengan konsep dinosaur.

Sebelum aku bercerita tentang dinosaur dengan panjang lebar, lebih baik aku jelaskan tentang Kluxklex. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, "kelak-keluk" bermaksud lengkungan. Secara kiasan, ia juga merujuk kepada kata sifat selok-belok, liku-liku, atau perihal sesuatu yang tidak lurus. Contoh penggunaannya adalah "kelak-keluk jalan itu" atau "kelak-keluk kehidupan.”

Dan aku tanyakan juga beberapa kenalan Pantai Timur mengenai “kelak-keluk,” pelbagai jawapannya. Ia boleh membawa makna mundar-mandir, ke hulu-ke hilir, tidak sempurna, tidak piawai, tidak kemas, agak kasar, dan bunyi skru longgar. Bahasa itu dinamik sifatnya. Sesuatu perkataan membawa makna yang dipersetujui oleh komuniti yang meggunakannya. Lain tempat, perkataan yang sama boleh membawa maksud berbeza. Juga, seiring beredarnya waktu, perkataan boleh bertukar makna menurut pemahaman generasinya. Aku melihat kelak-keluk dari sudut yang sangat positif. Kelak-keluk bagi aku melawan sifat serius tegak, santai-santai sahaja. Khemah aku pun ala kadar. Ampai tali rapia melintang antara pokok untuk mengering baju basah. Basikal pun marhaen asal boleh gerak. Tidur pun di dalam hammock. Seadanya, tidak perlu lengkap baru mahu gerak.

Namun begitu, sebagai jenama, Kluxklex merupakan sebuah gerakan pencinta basikal dan alam sekitar asal Terengganu. Untuk acara perkhemahan sulungnya penganjur memilih lokasi Kalang Rengas di Jalan Kampung Gunung, Ajil, Terengganu, betul-betul di sebidang tanah di tebing Sungai Berang. Acara ini berlangsung dari 6 hingga 8 Februari 2026. Agenda utama Kluxklex adalah lumba Vintage MTB dan Lumba Costume.

Idea asal busana dinosaur yang aku pakai untuk lumba Costume datang ketika aku dan kawan-kawan bercuti di Pulau Nusa Mulas, Indonesia pada Februari 2025. Nusa Mulas ini sebuah pulau yang cantik tetapi belum membangun sangat. Di sana hanya ada perkampungan nelayan di pesisir pantai, padang rumput dan satu gunung berdiri teguh ditengahnya. Suasana ekologinya persis filem Jurassic Park. “Alangkah indah, kalau kita buat video tentang dinosaur di situ,” kata aku.

Kami pun masuk kedai runcit mengemis kotak terpakai dan beli peralatan seperti pisau dan pita pelekat. Maka jadilah prototaip kepala dinosaur yang pertama yang aku panggil Kotaksaurus. Kami bergambar dan bergurau dengan busana itu sepanjang masa di sana. Sebelum pulang aku hadiahkan ia kepada anak nelayan yang menjadi hos tempat kami menumpang.

Bila Kelab Bandar Kita mengajak aku untuk menyertai Festival Main Boneka Johor Bahru pada Jun 2025, aku mengetuai satu bengkel membikin raksasa daripada kotak bersama kanak-kanak. Dalam kesempatan itu aku bikin lagi kepala Kotaksaurus. Kali ini Kotaksaurus lebih teguh dan punya mata bertenaga bateri yang menyala ketika berarak bersama paluan kompang di jalanraya Johor Bahru. Kami berkawad dan berjoget sepanjang jalan.

Januari 2026, Kelab Bandar Kita menganjurkan Johor Bahru Town Festival. Sekali lagi aku buat perarakan raksasa tetapi kali ini diiringi pancaragam sekolah SIGS. Dalam pesta ini Kotaksaurus bukan sahaja kepala tetapi lengkap dengan badan dan ekor. Aku juga tambah tiga lagi boneka besar lain, dua naga dan satu garuda, yang setiap satunya dikendalikan oleh dua hingga empat pemain (termasuk Akak Kau dan Megat Burung Hantu).

Aku sudah ada "barang" bila siaraya lumba Costume Kluxklex lintas dalam algorithm. Terus aku meloncat daftar diri. Kali ini aku tambah baik Kotaksaurus dengan tambahan sisik kepada kulit, dan aku sembur cat. Sekarang aku ada Kotaksaurus serba hitam versi Venom macam penjahat siri Spiderman. Pun begitu, sifatnya masih kelak-kelik. Tubuhnya hanya berasaskan kotak terpakai dan sambungan satu bahagian ke satu bahagian hanya diikat dengan cable ties.

Akak Kau pula, aku buatkan vest wartawan atau press lengkap dengan topi keledar ketenteraan di medan perang Pelestine. Siap! Kami siaga untuk bertolak.



98 ADELA LASAK

Aku masuk acara Adela Lasak di Felda Kledang, Kota Tinggi pada Ahad, 15 Februari 2026. Cuacanya cantik. Mendung tetapi tidak hujan. Redup pa...