Khamis, Januari 21, 2010

NO FREE SEX




Metro dan Kosmo selalu menyerang golongan yang mengunjungi gig sebagai golongan liar. Tetapi kalau dilihat pada poster larangan yang ditampal di dinding dewan persembahan, agak bertamadun juga ideologi dan pegangan mereka.

"No Free Sex? Tiada lagi benda yang percuma dalam dunia ni. Semua kena bayar," komen front man band The Devil Advocate ketika ternampak poster larangan.
"Oitt, No Free Sex tu maksudnya Larangan Sex Bebas bukan Larangan Sex Percuma," balas pemain drum band Bad Better Beasts.
"Ye ke? Ha ha ha. Tulislah No Fornication ke. No Premarital Sex ke."
"Bombastic sangat. Panjang sangat."

Apa pun, acara berlangsung tanpa kejadian yang tidak diingini. Malah banyak band memulakan persembahan dengan memberi salam kepada khalayak.

Rabu, Januari 20, 2010

BUKAN NAK BERNIAGA TAPI NAK MENGGODA



Berikut adalah alihbahasa temubual Tok dengan sebuah zine indie berpangkalan di  Itali.

Q 1: Orang kampung dah sibuk kata Tok sudah kapitalis. Berniaga kain baju macam Hj Bakhil and Co. Apa cerita ni Tok? 
A: Ye ke? Orang kampung ni prihatin la jugak.  Asalnya Tok teringin sangat tee dengan poster Wanted Jesse Labu. Ada dua jenis idea dalam dunia, idea yang dicuri orang dan idea yang kalau bagi free pun orang tak mahu. Dan Tok dah bagi idea ni kepada ramai peniaga t-shirt tapi semua macam buat tak layan.

Kata Mahatma Ghandi, "You must be the change you want to see in the world." Maka Tok pun buat sendiri baju tu. Tapi kalau buat sehelai kosnya tinggi, Tok buat la 10++ helai. Mana la tau ada yang teringin juga bergaya macam Tok. Maka bermulalah bisnes label "10 Tee Rimau."

Q 2: Apa punya niaga la. Bila Tok nak kaya kalau buat 10 helai je?
A: Ini namanya skim lambat kaya. Kerajaan tak larang. Tok nak buat banyak-banyak pun bukan Tok ada modal. Nak gi Bank Pembangunan apply loan, kena buat kertas kerja. Tok tak gemar.

Baju "Saya Sayang Mak Saya" dan "Cap Ayam" adalah t-shirt paling best di Malaysia. Pun begitu bila kau tengok melambak-lambak kat pasar malam, downtown, uptown, oldtown, newtown dan Nilai 3,  baju tu jadi tak best. Dah tak rare. Hilang makna. Tok akan cuba tidak tamak selagi boleh, dan jual 10 helai je. Kadang-kadang ada juga la print sampai 15. Baki tu bagi anak sedara buat dia pakai masa raya. Tak payah Tok bagi duit raya lagi. Yang pasti, yang jual harga biasa cuma 10.

Q 3: Tok design sendiri ke baju-baju ni?
A: Ada la Tok cuba design sendiri tapi Tok punya ilmu photoshop tak berapa nak bagus. Kalau nak tunggu Tok khatam photoshop, 10 tahun lagi pun tak siap-siap projek. Tok berkolobarasi dengan kawan designer lain la. Tok jadi creative director. Dia yang design. Tok arah-arah je. Kerja nak senang je.

Akan datang, kalau ada designer dengan idea bagus jumpa Tok, nak buat baju guna label Tok. Kalau kena dengan falsafah brand 10 Tee Rimau maka Tok on je.

Q 4: Bukan kosong-kosong. Ada falsafah juga ya. Apa falsafah 10 Tee Rimau?
Setakat ini, semua design (Baru dua. ha ha ah. Ketawa dangdut) bertemakan projek seni dan filem yang dekat di hati Tok.

Di China, jika kau melawat kilang sutera, mereka akan tunjukkan kau ulat sutera. Bagaimana nak keluarkan sutera dari ulat. Kemudian bagaimana teliti proses pembikinan kain sutera sehinggalah tips-tips penjagaan kain sutera. Setelah selesai, baru kau dibawa ke kedai kain sutera. Mahal gila babi sutera China ni. Yang ori mesti mahal. Tapi pelancong beli juga sebab mereka tahu makna, nilai dan susah payahnya menghasilkan kain itu.

Kau pernah melawat kilang sutera China? Tak? Tok pun tak pernah. Kawan Tok yang cerita.

Anyway, apa yang penting di sini adalah amat penting sesuatu brand itu punya nilai dan falsafah. Jadi pengguna boleh relate dengan brand itu dari hati ke hati. Jangan jadi macam RTM, penjenamaan semula cuma bermakna tukar logo. Programnya tetap sama.

Q5: Apa pasal Tee Rimau No. 1 dan No. 2 ada topi koboi?
A: Nak buat macam mana, Tok memang gila koboi. Masa kecik-kecik dulu cita-cita nak jadi koboi. Masa umur 10 tahun, Tok kejar biri-biri. Ikat leher dia, dan tambat kat peha. Malangnya budak 10 tahun tak kuat mana dan cuma pakai seluar bola. Sekali dia seret birat terkopek kulit peha Tok. Sampai sekarang ada parut sejengkal kat peha. Nak tengok? (Cheh! Gatal.)

Kat pintu opis Tok ada poster Young Guns, cerita pasal Billy The Kid. Sempat la juga Tok merantau dua tahun kat Texas, semua pekan kat sana pekan koboi. Kat Malaysia ni, Pekan Koboi dah kurang. Tak macam dulu-dulu. Cuma satu je, nenek ada pesan, "Kalau kau nak jadi koboi, jadik la. Jangan kahwin koboi sudah."

Kalau kau tak suka, next time, Tok buat design topi kombat la pulak.

Q6: Sebelum Tee Rimau, dah ramai buat baju ni. Ada yang kaya dan ada yang bankrap. Tok tak takut saingan ke?
Memang la ramai. Tapi yang buat 10 helai je tak ramai. Sebenarnya kalau ramai lagi bagus industri ni. Kita dah tak payah pakai duit. Kita trade je. Sistem barter. Kau pakai baju aku, aku pakai baju kau. Senang kan.


Q7: Inilah, ramai yang terkilan Tee Rimau No. 1 tak ada saiz XXL ke atas. Tok dah diskriminasi terhadap golongan berbadan sedap ni. Komen sikit.
Silap Tok la tu. Tak pandai berniaga. Tak peka. Tok ingat pelanggan Tok awek comel-comel je. Tu buat XS dan S. Alasan bela diri Tok adalah menggalakkan orang menguruskan badan demi untuk memakai Tee Rimau.

Giorgio Armani mensyaratkan BMI pragawati pakaiannya hendaklah melebihi 18. Dia tidak mahu model mati kerana Anorexia Nervosa. Memang ada kes model mati melaparkan diri untuk kurus. Takut tak dapat job.

Ini membuat Tok insaf, tak mahu la ada pelanggan mati kerana nak pakai Tee Rimau. Akan datang, saiz by demand. Tempah dulu. Tok buat baju berdasarkan saiz yang diminta.

....
P.s.
Sebenarnya banyak lagi soalan dari tukang tanya tapi malas la nak paste kat sini. Soalan-soalan sensasi lebih macam soalan Melodi. Bila Tok nak kahwin lagi? Tok pakai botox tak? Sensasi sangat. 

Selasa, Januari 19, 2010

PEMBURU BUAYA DARAT TEE




Rekabentuk Tee Rimau No. 2 di atas 90% siap. Rujuk grafik di atas. Jangka siap 100% bulan Mac. Tempahan dibuka sekarang.

Tee Rimau No. 2 diinspirasikan oleh filem pendek Pemburu Buaya Darat (2009) arahan Toqreemaow. Pemburu Buaya Darat membicangkan isu gender dan dominasi dalam genre mockumentary. Di dalam kemanusiaan itu ada kebinatangan dan di dalam kebinatangan itu ada kemanusiaan. Siapakah yang menakluk siapa?




 Harga adalah RM30 termasuk belanja pos. Jika kalian berminat untuk pre-order sila hantar e-mel ke tokrimau(at)gmail.com dengan tajuk e-mel TEE RIMAU NO. 2- PEMBURU BUAYA DARAT. Nyatakan saiz yang anda mahu. Saya akan balas e-mel kalian dengan menyatakan langkah transaksi seterusnya.

Pembeli akan mendapat video Pemburu Buaya Darat (Percuma). Saya cuma terima pesanan dari 10 pelanggan pertama sahaja*. Siapa cepat, dia dapat. Bukan nak berniaga, cuma nak menggoda. Ahak!

TINGGAL 3 HELAI LAGI. (Updated frequently) 

*(Krew Pemburu Buaya Darat tidak termasuk dalam 10 ini. Harga Krew Rm20.)

API

Budak-budak sekarang tak pernah bakar foto ex-girlfriend. Mereka tekan delete. Habis.

Mereka tak tau perasaan melihat api menari-nari atas foto. Ada tindak balas kimia antara api dan permukaan foto. Dan foto perlahan-lahan bertukar menjadi hitam. Lantas jadi arang.

Rapuh bila dipegang. Hancur bila cuba diselamatkan. Sudah terlambat.

Ahad, Januari 17, 2010

TEE RIMAU NO. 1 - JESSE LABU



"Mahu minum apa Tuan?" - Pelayan kelab (Haji Bakhil)
"Emm.. aa.. Jin and Tonic" - Majistret Labi
"Emm.. aa.. Iblis Tonic" - Doktor Labu

"Iblis Tonic mana ada Tuan" - Pelayan kelab
"Err.. aa.. give me Setan and Tonic" - Doktor Labu
"Setan lagi tak ada Tuan" - Pelayan kelab

(Labu marah) "Err.. now bring me Haji Bakhil and Tonic! Get out, get out!" - Doktor Labu
"Tuan..." - Pelayan kelab

Ladies and gentlemen, batman and ultraman, tukang batu and tukang simen,

Dengan rasa sukacitanya diumumkan bahawa ini adalah koleksi butik Tee Rimau nombor 1. Fesyen ini diberi nama Jesse Labu sempena filem hitam putih Melayu arahan P. Ramlee yang saya paling minat, Labu dan Labi (1962). Filem ini adalah kisah dua pemimpi dan mimpi-mimpi mereka. Saya suka sangat filem ini lebih dari filem-filem P. Ramlee yang lain kerana saya juga pemimpi seperti Labu dan Labi. Mimpi saya adalah mahu jadi designer dengan label yang mantap macam Giorgio Armani.

Buat pengetahuan kalian, t-shirt sulung Tee Rimau ini ada 12 helai. Dan saya akan jual 10 helai sahaja. Amat rare. Amat terhad.

Harga pengenalan selepas diskaun Opening Sale adalah RM30 termasuk belanja pos. Jika kalian berminat sila hantar e-mel ke tokrimau(at)gmail.com dengan tajuk e-mel TEE RIMAU NO. 1- JESSE LABU. Nyatakan saiz yang anda mahu. Saya akan balas e-mel kalian dengan menyatakan langkah transaksi seterusnya.

Bilangan saiz terhad (updated frequently):
1 helai XS : Tinggal 1 helai (Simpanan peribadi)
3 helai S : Tinggal 0 helai (Sold out)
3 helai M : Tinggal 0 helai (Sold out. Saya Pakai M)
3 helai L : Tinggal 0 helai (Sold out)
2 helai XL: Tinggal 0 helai (Sold out)

Tinggal 0 helai lagi for sale, bakinya untuk simpanan peribadi.

Siapa cepat, dia dapat.

Sekian, Terimakasih.




p.s.
Sesiapa yang membeli Tee Rimau, kemudiannya bergambar dengan baju itu lantas e-mel foto kepada saya, maka dia akan dapat diskaun RM2 untuk produk keluaran yang akan datang. Bukti jelas, saya bukan Haji Bakhil & Co. Sayang kamu.

RAKSASA CINTA




Timmy bagi aku lirik lagu. Aku baca. Semua ahli band memandang aku menunggu aku habis membaca.

Aku ketawa sendiri.

"Tok ada idea untuk muzik video ke?" tanya Timmy.

.........
Montel mendekat. Dia memegang tangan aku. Aku sentap tangan aku. Dan melangkah pergi.

Montel mengikut aku dari belakang. Dia mempercepatkan jalannya agar dapat selari dengan aku. Aku menoleh ke arahnya. Aku merapat. Aku tolak dia hingga dia jatuh terduduk ke tanah. Dan aku melangkah pergi.

Montel merayu. Dia melutut. Tangannya memohon. Dalam matanya ada tanda kesal. Dalam matanya ada tanda meminta belas. Bunyi suaranya sedih sekali.

Aku berhenti. Aku lucutkan kasut aku yang sebelah kiri. Aku timang-timang dengan tangan kanan dan aku rejam kasut itu ke arah Montel. Kena tepat atas dahinya. Montel mengaduh sakit.

Aku lihat Montel tidak beranjak walaupun telah dibaling. Dia seakan redho bahawa itu adalah hukuman yang selayaknya untuk dia. Hukuman setimpal kerana meninggalkan aku ketika aku amat memerlukan. Montel kiam di situ.

Aku berjalan menghampiri Montel. Air muka Montel berubah. Seakan-akan ada sinar harapan bahawa kami akan bersama semula. Itu harapan Montel.

Aku berhenti di hadapan raksasa yang pernah aku sayang dengan sepenuh jiwa dan raga. Aku membongkok. Aku kutip semula kasut aku. Dan pakai. Sayang tu, kasut Supra bukan murah. Aku order dari Amerika Syarikat kasut tu.

Kemudian, aku berpaling semula dan beredar meninggalkan Montel.

Aku terus berjalan nekad meninggalkan Montel. Suara Montel kedengaran di belakang mengaum dan meraung meminta aku menerimanya kembali.
.......

"Cerita la Tok. Apa dalam kepala Tok?"

Jumaat, Januari 15, 2010

RAMBANG MATA



Lagu/Lirik/Artist: Young & Dangerous
Sutradara: Toqreemaow
DOP/ Penyunting: Dean Sham
Colorist: Razaisyam Rashid
Penerbit: Pulut Iskandar

Colorist bagi gua empat pilihan warna. Gua kena pilih satu.

Gua minta pendapat Ahmad Gunx. Dia kata, "Aku pilih X. Warna X macam CSI Miami."

Eh! Samalah dengan pilihan gua. Gua memang bagi arahan kepada Colorist untuk warna CSI Miami. Ahmad Gunx macam boleh baca fikiran.

Gua akan pakai helmet bila dekat-dekat dengan Ahmad Gunx.


p.s.
Young n Dangerous akan perform di Embrace Hall, Tampoi Sabtu ni. Sila buat laporan polis segera. Ha! ha! Ha!

Rabu, Januari 13, 2010

RAKYAT BIASA

Lagi 100 meter mahu sampai lampu trafik di simpang empat, aku nampak dua orang polis trafik sedang menjaga simpang. Dalam hati aku terdetik, walaupun lampu berfungsi macam biasa, polis-polis ini rajin berjaga mengawal lalu lintas. Syabas.

Eh, lama pula mereka tahan jalan aku. Lampu hijau dah bertukar tiga kali, aku masih tersadai. Belakang aku banyak kereta lain beratur. Hati mula resah.

Sekonyong-konyong, lalu konvoi polis pengiring dan pembesar negara melintasi simpang. Bila konvoi itu lepas, polis yang berdua pun naik motor mereka dan meninggalkan simpang untuk dijaga oleh lampu trafik.

So much for, "Rakyat diutamakan."

Jumaat, Januari 08, 2010

BERJALAN DI CELAH-CELAH NESAN CONDONG



Pak Long kalau bercerita tentang kawan-kawan baik dia, mesti depan nama ada pangkat arwah. Contohnya, "Arwah Leman Drebar dulu mandu prebet sapu. Selalu sangat Arwah Mak Munah Sanggul naik kereta dia, terus jatuh cinta. Mula-mula, Arwah Talib Sekerap menentang habis. Tapi akhirnya dia redho la juga yang jodoh dia dengan janda tu memang tak ada." Begitulah lebih kurang.

Hari ni seorang lagi kawan Pak Long jadi arwah. Lebai Sanip bekas imam masjid Parit Pakis.Dan,  kalau tak aku yang jadi supir hantar Pak Long menziarah, siapa lagi la yang boleh diharap?

Lepas urusan pengkebumian jenazah selesai, Pak Long arah aku singgah ke rumah Arwah. Tengok-tengok apa yang boleh dibantu untuk kenduri arwah malam ni.

Aku lihat, anak-anak arwah lima beradik sedang bermesyuarat. Agenda utama mesyuarat adalah pembahagian harta pusaka. Arwah Lebai Sanip tu memang banyak banyak tanah, rumit jugalah nak selesaikan urusan pembahagian harta pusaka ni. Sampai bertekak-tekak adik beradik tu.  Sampai ada yang menumbuk-numbuk lantai mahukan "keadilan."

Aku dengar je. Tidak mahu masuk campur. Tapi Pak Long ni celupar sikit. Pak Long meninggikan suara dengan aku tetapi sebenarnya bukan dengan aku yang dia bercakap, "Sebelah kubur Arwah Lebai Sanip tu kosong, setakat lima orang boleh muat. Tak ada pulak yang nak merebut tanah tu."

Malu betul jalan dengan Pak Long ni.

Isnin, Januari 04, 2010

3 MENTALITI DUNIA KE-3

2010 tidak menjanjikan apa-apa. Aku cuma berharap rungutan aku yang bertahun didengar. Aku tulis ikut format Che Det, yang juga kuat merungut.

1. Aku benci bila tauke panggung wayang hidupkan lampu sebelum habis credit roll-up. Lantak la penonton lain nak bangun dan berpusu-pusu keluar, aku masih nak nikmati credit roll-up. Credit roll-up adalah sebahagian dari seni wayang. Penat pembikin filem buat, selalu orang skip. Seperkara lagi, fokus projektor tu peka la sikit. Jangan pasang projektor, kemudian tidur. Pastikan fokus sharp maksimum. Dan... seeloknya tempahan tiket guna telefon tu biar la manusia yang jawab. Mesra la sikit. Kalau kalian benci suara robot tekan 1.

2. Aku benci pembangunan kawasan baru tanpa membina jenjatas bila menyambung ke jalan utama. Setiap kali taman baru dibuka, lampu trafik dipacak bagi memudahkan laluan keluar masuk ke taman baru. Ini akan menyebabkan jalan utama semakin sesak. Contoh: Jalan Pontian sekarang semakin banyak lampu trafik. Perjalanan tersangkut-sangkut. Sepatutnya disyarat developer membina jenjantas setiap kali taman baru di buka supaya aliran lalulintas jalan utama tidak terganggu.

3. Aku benci bila ada orang kata kenaikan harga barang tak membebankan. Rasa nak ludah kaca TV. 2010 ni harga rokok ada lantai minimum dengan alasan nak rakyat jaga kesihatan. Dulu-dulu boleh tahan juga harga naik masa umum Bajet je. Sekarang dah macam durian, tak ikut musim. Nak naik bila-bila je. Dan gula juga naik harga. Penyelesaian yang ditawarkan adalah memujuk peniaga tak naikkan harga kuih dan memujuk pengeluar makanan mengurangkan kandungan gula. Ini samalah kes, roboh papan kat Melaka, papan di Jawa yang di dirikan. Permulaan buruk untuk 2010. Ptuiiii!

Mmm. Amacam? Ada bakat macam Che Det?

Khamis, Disember 31, 2009

SLAPSTICK

Pada malam berinai, Zura tertidur dengan inai penuh di jari. Malam itu, seekor nyamuk dahaga singgah di hidungnya sedang dia bermimpi tentang pelamin dan persandingan. Dalam separuh sedar Zura menepuk nyamuk itu.

Pagi esoknya, seisi rumah mengejek Zura sebagai pengantin hidung belang. Terkial-kial Zura mencari minyak tanah nak hilangkan jingga inai di hidungnya.

Rabu, Disember 30, 2009

IKUT HATI, MATI

Kalau aku ikutkan rasa hati ini, ingin sahaja aku menurut kata hati.

Selasa, Disember 29, 2009

SPACE GAMBUS EXPERIMENT


Pyan Habib bertegas, "Gua persembahkan pemuda harapan bangsa untuk lu orang!"

Baru-baru ni, agensi modeling Kulgai Model Agency menerima tempahan untuk cari model pakaian butik Space Gambus Experiment. Dan cerita ini tergantung di sini. Sila rujuk foto di atas untuk cerita sepenuhnya. (Foto oleh Haneem)

Untuk mereka yang mahu kelainan dalam muzik, sila lawat Space Gambus Experiment. Download sample MP3 di SINI.

p.s.
Buy limited edition standard Space Gambus Experiment CD with special design booklet only for RM20. For every purchase, RM5 will be donate to Tabung Amirul Fakir (TAF). Place your order now by email to kamalsabran@gmail.com.

Selasa, Disember 22, 2009

NINJA BUNNIES


Aku tengah buat konsep untuk muzik video sebuah band metal. Naratif video itu bermula dengan seorang guru silat memberi anugerah kain pengikat kepala bergelar Mata Masa kepada Sang Kerambit. Sesiapa yang memakai mata masa akan dapat melihat bagaimana sesorang itu mati. Ini membuat Bongkok, Abang Bongkok dan murid-murid lain (Ninja Bunnies) cemburu lantas mereka merusuh lalu membunuh Tok Guru. Sebenarnya Tok Guru tahu dia akan mati dibunuh oleh Sang Bongkok. Itu pasal dia bagi kain Mata Masa tu kepada Sang Kerambit. Nak jadikan cerita, awalnya Sang Kerambit menang pergaduhan dan membuat dia jadi tidak yakin akan kebenaran Mata Masa yang meramal kematiannya. Pun begitu, Bongkok mengelat dan berjaya memerangkap Sang Kerambit. Sebelum mati, Sang Kerambit berkata, "Bongkok, kau akan mati dibunuh oleh abang kau sendiri dan..." Bongkok pun bacok kepala Sang Kerambit dengan tukul besi. Kemudian dia menjeling abangnya. Tamat.

Ahad, Disember 20, 2009

TOPI BANDIT


Potret gua dengan topi bandit dirakam oleh Bakri. Potret Bakri terbaik, ada gaya, gua cakap lu. Ikut ramalan gua, suatu hari nanti Bak akan tangkap foto-foto selebriti dan tokoh sahaja. Masa tu orang kaya raya sahaja mampu upah dia. Baik lu upah Bak sekarang sementara lu mampu lagi. Lawat: Bakri Hafiz Hisham Fotoblogging 

Juga, sementara gua masih murah lagi ini, baik lu orang upah gua jadi model.

Isnin, Disember 14, 2009

CAK


Mula-mula sekali nak ucap Selamat Pengantin Baru kepada Rizal dan Zura. Majlis berlangsung di Parit Resik, Semerah. Daerah yang asing bagi aku.

Aku diamanahkan sebagai videographer. Aku memandu untuk sampai ke majlis nikah yang dijadualkan selepas Isyak. Aku ingatkan Semerah berada di kawasan Batu Pahat. Sudah hampir sempadan Batu Pahat-Muar, tidak ada tanda-tanda lokasi bernama Semerah. Aku berhenti di papan tanda Sungai Nibong Baruh dan buat panggilan kepada tuan rumah. Depan lagi katanya.

(Ada sebab kenapa aku ditakdirkan berhenti di papan tanda Sungai Nibong Baruh.)

Hari semakin gelap. Mercu-mercu tanda yang terdapat dalam peta tertera atas kad jemputan tidak kelihatan juga. Maka, aku berhenti dahulu untuk Maghrib di sebuah surau.
"Tumpang tanya bang, di mana simpang ke Parit Resik."
"Tu. Depan tu je. Kat lampu kuning tu."
Nasib baik la aku pilih surau ini untuk berhenti. Patutlah aku ditakdirkan singgah di sini.

Aku mula menyusur masuk jalan kampung menuju destinasi. Jalan semakin gelap dan sempit. Tiada lampu jalan. Di hujung jalan aku nampak papan tanda Semerah Darat. Tersasar lagi ni. Aku buat panggilan lagi. Patah balik, dah telepas katanya.

(Ada sebab kenapa aku ditakdirkan sampai ke Semerah Darat.)

Aku patah balik. Akhirnya sampai juga ke destinasi. Sampai saing-saing dengan Tok Kadi. Macam berjanji la pulak.

Keesokan harinya. Aku ke Parit Resik lagi untuk majlis persandingan pula. Kali ini aku menumpang Bak, jurufoto majlis. Ada kawan bersembang. Tidaklah mengantuk diperjalanan.

Borak punya borak, terlepas simpang masuk Air Hitam-Batu Pahat. Sedar-sedar dah sampai Yong Peng. Nak patah balik, jauh. Lantas, kami buat keputusan untuk ikut jalan alternatif Yong Peng-Parit Sulong untuk ke Parit Resik.

Dipertengahan perjalanan ternampak papan tanda Sungai Nibong Darat. Pasti jalan pintas ni. Kami susuri jalan Sungai Nibong Darat. Terjumpa pula Semerah Darat. Boleh tembus ke sini rupanya. Oleh kerana aku sudah terlajak ke Semerah Darat malam tadi, dengan mudahnya kami menuju ke destinasi seperti yang dirancang.

Tiada kebetulan. Takdir-takdir semalam berlaku kerana Tuhan nak tunjuk aku jalan pintas untuk ke destinasi dari arah yang berlainan. Itu yang nyata di mata. Sebab-sebab lain, hanya Tuhan yang maha mengetahui. Wallahuaalam.

Ahad, Disember 13, 2009

TAK PEDULI


Bagi membasmi budaya rempit, kumpulan punk indie Young And Dangerous memperkenalkan sukan alternatif tidak bermotor, Formula 3 Shopping Cart Racing. Pun begitu, mereka ditahan pihak berkuasa pukul 2 pagi kerana memandu troli tayar gelong. Polis pesan, "Nak rembat troli pun rembat la yang ada sport rim."




p.s.
Foto produksi pembikinan muzik video Tak Peduli dendangan Young and Dangerous oleh kumpulan produksi video Old and Dangerous.

Selasa, Disember 08, 2009

BONGO



Kau boleh lihat orang cacat penglihatan bermain muzik di tepi jalan. Mereka ada bakat bermain muzik. Ada yang main gitar dan ada yang main keyboard.

"Senang main ni. Aku tengok orang buta tepi jalan selamba je main," komen aku.

Baru-baru ini Sindiket Sol-jah beli aset baharu. Bongo. Tetapi semua ahli Sindiket hanya tengok sahaja alat muzik itu. Lantas, aku capai bongo dan kepit celah kelengkang. Aku pun pejam mata macam orang buta, dan mula mengendang bongo. Aku dendang lagu Masih Jelas yang dipopularkan oleh Hafiz AF. Alaa... budak gempal rambut kerinting tu.

Dang, dang, dang, dung, dung, dung, dang, dang, dang.

"Amacam?" tanya aku.

"Kau main bongo memang macam orang kurang upaya. Tapi bukan macam orang buta. Lebih macam orang pekak," komen Naga.

"Cheh!"


p.s.
Pres Ban, band baru Pipi, Vovin dan seorang kawan berambut panjang, merekrut pemain Bongo dari Dewangga Sakti untuk menyelamatkan persembahan.

Jumaat, Disember 04, 2009

HAMPIR MASUK MUKA DEPAN METRO


Gua jumpa grafik ni kat Internet. Siapa tahu baca jawi, tolong bacakan.

Masa Zack call gua, gua tengah lipat kain. Dua bakul dobi banyaknya.
Zack: Bro, kitaorang memerlukan support untuk dokumenkan event 18 haribulan ni. Tok boleh bantu dari segi video?

TokR: Apa berlaku 18 ni? Takde jemputan FB event pun? Cerita la sikit.

Zack: Event di The Roost. Nanti kitaorang akan post kat FB event. Now tengah pre pro. Siap semua flyers akan kitaorang sebarkan. So nak tolong untuk video tak?

TokR: Tok amik video tapi amik sikit-sikit je kot. Tak whole event. Tok nak duduk enjoy the show.

Zack: Orait. Thanks. Nanti biar gua edit video tu. Apa-apa pertolongan kitaorang ucapkan terima kasih sangat-sangat. Nanti kitaorang update lagi.

Satu hari kemudian Zack call lagi. Masa Zack call gua tengah kemas katil, tarik cadar kasik tegang.
Zack: 18 haribulan kensel! Awal Muharram. Will update balik for a new date. Kenapa Tok tak advise kitaorang pasal tarikh tu Awal Muharram? Ke Tok pun tak tau?! Hmmm.

TokR: Tok ingat 18 haribulan tu konsert nasyid sempena Awal Muharram di The Roost. Lu pun cerita tak terang. Tok pun on la.

......
18 Disember 2009 = 1 Muharram1431. Selamat berhijrah ke qada' dan qadar yang lain.

Rabu, Disember 02, 2009


Foto ni ehsan Rozinor. Jangan tanya kenapa ada dua kaler kat gambar ni. Rozinor master filmmaker. Entah filter apa dia guna kat kamera henpon dia, gua pun tak tau. Ini gambar talkshow RUAS (Ruang Seni) di Pasir Gudang tempoh hari. Sebelah kanan sekali tu, tak lain tak bukan, juruacara anda. Kalau tak kenal, memang nak kena jotos. Yang tengah adalah Syed Syahrul, editor zine Sireh dan Cengkeh terpilih. Syed kawan lama gua.

Yang tembam dan botak sebelah kiri tu adalah Jimbo. Namanya harum sampai ke Jakarta. Legenda ni. Nak tahu legenda tak legenda, dia berlakon dalam filem Jepun yang sudah tayang kat German. Respek tak?Tapi ramai orang tak pernah jumpa dia. Macam Puteri Gunung Ledang. Orang sebut-sebut nama, sampai masuk Metro, tapi tak ramai pernah jumpa. Jimbo ni frontman band Hellexist. Entah metal, entah grunge, entah punk- gua pun tak tau. Tak pernah dengar. Kalau translate ke bahasa Melayu bunyinya Neraka Wujud. Itu dah termasuk rukun iman. Percaya kepada Syurga dan Neraka. Entah-entah group Nasyid.

Dengan reputasi hardcore gig organizer, dia memang legenda. Pun begitu, bila jumpa gua, dia rendah diri. Low profile gila. Tak hisap rokok orangnya. Minum arak apa tah lagi. Cakap lemah lembut. Buat lawak selalu. Kalau masuk Raja Lawak, pasti gua vote. Apa pun sebenarnya ini entri terimakasih kat dia kerana taja ruang kat studio fotografi Pohon Minda untuk program RUAS. Untuk berkenalan dengan Jimbo, sila ke blog ULUTIRAM dan jangan lupa hantar gambar pasport dua keping.

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...