Isnin, Jun 18, 2012

PROMETHEUS: SATU FILEM YANG JAHAT

Warning: Spoilers Ahead

Ini filem mesti tonton hanya kerana ianya diarah oleh Ridley Scott, sutradara master yang mengarah Alien (1979) dan Blade Runner (1982). Kedua-duanya sci-fi epik dari segi kesannya kepada budaya.

Tomatometer 73% dan IMDB bagi 7.7, lebih lagi sebab mesti tonton.

Dikatakan Prometheus ini prekuel kepada Alien. Sekurang-kurangnya, kedua-duanya berasal dari cakrawala yang sama. Paling tidak pun, semua watak utama berkerja untuk Weyland-Yutani Corporation.

--> IKLAN: PROJEK FIKSYEN SAINS <---

Untuk melengkapkan satu naratif, mesti ada watak, konflik, klimaks dan resolusi. Dalam Prometheus (2012) watak utamanya adalah Elizabeth Shaw. Cerita ini pasal Elizabeth Shaw, seorang saintis. Motivasi utamanya adalah mahu bertemu The Engineer (pembuat manusia) dan membongkar misteri kewujudan manusia. Konflik berlaku apabila The Engineer mempunyai motif lain. Motif The Engineer adalah menyebarkan sebatian yang boleh mengubah makhluk kepada bentuk lain. Macam tukang masak memasukkan ramuan rahsia kepada masakannya dan tengok apa jadi lepas tu. Setakat maklumat yang ada, sebatian ini akan menghasilkan makhluk yang kuat membunuh.

Bayangkan. Kek cawan yang kau buat datang jumpa kau dan bertanya, kenapa? Dan kau sira dia dengan coklat. Sekarang dia jadi kek cawan coklat. Berhenti bayangkan.

Jika penonton ingin tahu kenapa The Engineer cenderung buat begitu, tiada jawapan diberi. Cuma pembayang dalam prolog awal ditunjukkan sudut pandang The Engineer. Dia minum sebatian dan badannya hancur masuk ke dalam air kemudian membentuk sel baru, kemungkinan besar menjadi manusia. Itu sahaja maklumat yang kita ada.

Elizabeth berkonflik dengan The Engineer. Klimaksnya, The Engineer mati kena makan dengan makhluk yang terhasil berpunca dengan sebatian pengubah DNA. Padan muka. Resolusinya pula adalah Elizabeth menggunakan kapal The Engineer yang lain untuk terbang ke planet asal The Engineer. Elizabeth masih lagi manusia yang mahu membongkar tentang misteri kewujudan manusia.

Kalau watak antagonis adalah binatang buas yang cuma mahu membiak macam Alien (1979), penonton tidak peduli sangat latar belakangnya. Sekarang kita tahu antagonis adalah makhluk yang bijak dari segi teknologi. Kita ingin tahu motif. Dan kenapa motif ini tidak dijawab. Kelopongan dalam naratif ini buat kita rasa kosong. Kosong. Kosong. Kosong... kosong... setiap detik diperhatikan. Kau cari cara putar belitkan. Kau jadikan diriku kosong... kosong. (Hi hi macam mana ada lirik Najwa Latif pulak ni.)

Aku kata filem ini jahat kerana ia buat aku kecewa tidak ada jawapan. Dan aku terpaksa google asal usul alien. Kitaran hidupnya. Dan aku google juga ulasan-ulasan orang lain. Masih lagi aku tak puas hati kerana aku tidak ada jawapan. Oleh kerana sudut pandang filem ini adalah sudut pandang anak kapal Prometheus, maka had itu sahaja yang kita tahu. (Ridley mengelat bagi sudut pandang Engineer dalam prolog).

Maka, jika kita masih peduli, kita perlu ikut Elizabeth Shaw naik kapal asing dan pergi ke planet The Engineer. Mungkin dalam sekuel ada jawapan. Jahat filem ini. Kita mesti tonton sekuel pulak.




Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...