Sabtu, Januari 01, 2022

000 Sejarah Aku dan Basikal

 Umur 9 tahun, usia aku ketika itu setahun jagung belum sedekad pun, aku belajar sendiri menunggang basikal guna Raleigh  abah. Pagi-pagi buta aku sorong basikal keliling kampung, kemudian aku beranikan diri mengayuh. Sebelum mak jerit panggil balik makan tengahari, aku dah pandai menunggang.

Apabila aku boleh menunggang, emak sudah boleh suruh aku pergi kedai beli Sanita. Aku pun tak tahu Sanita itu apa sebab pekedai bungkus kemas dengan surat khabar. Yang aku tahu, duit baki aku punya untuk beli jajan.

Jajan dulu-dulu tiada jenama. Aku tidak tahu namanya, kegemaran aku bipang bertih beras. Aku selalu tunjuk dengan mulut je bila beli. Tak perlu sebut.

Eh... Cerita jajan pulak. Lari topik. Kembali kepada cerita basikal.

Abah belikan aku basikal tanpa palang untuk aku kayuh ke sekolah. Orang  sekarang mungkin panggil basikal ini jenis city bike. Feminin sekali basikal itu. Malu juga aku dengan kawan-kawan yang bergaya dengan chopper dan bmx. Untuk nampak ganas, aku ambil spanar cabut mudguard dan bakulnya. Togel basikal itu. Abah marah tapi aku berkeras. Biasa la, anak nombor dua mesti keras hati.

Masa berlalu. Kalau ini sebuah filem, bayangkan kalendar disiat sehelai demi sehelai.

Aku mula beli motor. Jual motor beli kereta second hand. Jual kereta second hand beli kereta Malaysia. Jual kereta Malaysia beli kereta Jepun.

Kalendar terus disiat sehelai demi sehelai dengan pantas.

Suatu hari, 10 tahun dahulu, aku nampak basikal second hand Jepun di jual di Batu Pahat. Aku beli dua tanpa palang jenis mamachari (Mamachari, a slang term literally meaning “mom’s bike,” are Japan’s ubiquitous city bicycles). Sesuailah waktu itu untuk dua anak perempuan aku belajar berbasikal.

Sebulan sahaja kemaruknya. Musim main basikal tak datang-datang. Budak-budak generasi Z mula sibuk main Internet. Basikal-basikal itu mula mengumpul habuk di anjung.

Kaledar disiat-siat sehelai demi sehelai.

2020. Umur aku pun melebihi separuh abad. Covid19 datang. Rakyat jadi gelisah. Musim basikal datang lagi. Kawan-kawan berkayuh bergaya dengan Polygon folding bike, Tokyo Road Bike, Giant MTB, Canyon Gravel, dan lain-lain. Mereka beli basikal  dari toko basikal berhawa dingin. Aku pun teringin juga ikut mereka touring. 

Masalahnya, aku sedia ada dua basikal mamachari Jepun ni. Aku guna untuk pergi kedai runcit. Membazir la kalau aku beli lagi. Masa aku hantar tukar tiub tadi, mekanik kat bengkel basikal kata elok lagi ni. Gear dia pun molek lagi. 

Malu aku tunggang basikal mamachari dengan kawan-kawan. Haruskah aku ambil spanar dan togelkan?


Nov 8, 2020



Tiada ulasan:

72 RANCANGAN B

Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah...