Isnin, Disember 03, 2007

RINDUKAN ANGIN

Di atas hidung Naufal ada plaster melekat melintang. Dia berlagak macho dengan plaster di hidung.

"Konon-konon cool la tu. Baru lepas cedera bergaduh la tu," sindir aku. "Tapi engkau tidak boleh tipu aku. Engkau bukan samseng. Kenapa hidung engkau tu?"

"Segan nak cakap." Naufal.

"Apa la nak segan-segan. Macam baru semalam kenal."

"Ada jerawat besar tumbuh atas hidung Naufal ni."

"Engkau tidak perlu segan. Remaja seperti engkau memang selalu diserang jerawat. Al maklumlah, hormon tidak stabil. Baru kenal cinta. Baru kenal rindu. Engkau pasti rindukan awek engkau? Kan? kan? Sampai tersembul jerawat tu."

"Pandai je baca isi hati orang."

"Aku bukan lahir semalam."

"Agak-agak, dia rindu kepada saya tak?"

"Kalau engkau nak tahu sangat, engkau telefon la dia. Tanya dia, ada jerawat tumbuh atas hidung tak?! Ha! Ha! Ha!."
................

LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Laporan Maskara 5.

Rabu, November 28, 2007

ENGKAU PERLU PIL BIRU

Mungkinkah cinta itu satu penyakit mental? Kita lihat bukti-bukti yang mengaitkan cinta dengan penyakit mental.

mania: buaian mood yang abnormal, senyum sendirian, kembung semangat berlebihan, pembelian hadiah yang mahal, bil telefon meningkat.

depressi: tangisan, cemburu buta, tidak boleh tidur, tidak boleh fokus, tugasan yang tidak sempurna, menjeruk rasa.

obsessive compulsive disorder: asyik periksa friendster, asyik periksa blog untuk kemaskini terbaru, layan lagu-lagu jiwang, bersolek lebih dari biasa sebelum pertemuan.

Menurut Tallis (2005), cinta lelaki lebih berahi berbanding cinta wanita. Wanita memilih pasangan berdasarkan peningkatan status dan kestabilan kewangan. Manakala lelaki pula lebih berkompaskan nafsu. Lelaki mahukan yang seksi dan cantik. Jadinya wanita lebih rasional dan praktikal. Itu kata Tallis la. Bukan aku.

Ustaz ada pesan, nafsu lelaki satu dan nafsu wanita sembilan. Kemungkinan saiz nafsu yang satu itu lebih besar dari sembilan nafsu terkumpul. Agaknya.

Apa pun, setiap penyakit ada ubatnya. Menurut Ibnu Sina (Doktor Iran, 10 masihi) seeloknya orang yang sedang sakit putus cinta itu menyibukkan dirinya dengan urusan yang berat. Beliau mencadangkan pergi memburu. Pergilah memanah rusa, harimau atau pelanduk.

Hmmm.

........
P.S.
Ingat janji temu kita? Jumpa di Rumah Pena untuk Maskara. Pakai blusher pekat okay.

Isnin, November 26, 2007

SOYA DAN SATE

Petua murah rezeki: Jika membeli tiga bungkus air soya dan 30 cucuk sate, pastikan bungkusan air soya dijinjing sebelah kiri dan bungkusan sate pula dijinjing sebelah kanan.

Aku belajar pelajaran yang amat mahal semalam. Di pasar malam, aku letak kedua-dua bungkusan di tangan kiri. Tangan kanan? Aku belek DVD-DVD cetak rompak.

Kemudian aku terus meronda. Dari pangkal pasar malam sampai ke hujung, dan patah balik ke pangkal.

Sebelum masuk kereta untuk pulang, aku dapati air soya sudah berkurangan. Misteri nusantara betul. Asap dari gerai tahu bakar membuat suasana bagai berkabus, menambah misteri kepada nusantara.

Rupanya tiada misteri pun. Cuma lidi-lidi sate sudah mencucuk dan membocorkan plastik air soya. Hmmm... Aku telah menyiram jalanraya sepanjang pasar malam dengan air soya.

Alahai! Terimalah takdir bahawa air soya itu bukan rezeki aku.

.......................
LAWATAN SAMBIL BELAJAR

1. Sol-Jah kulup. Hi hi hi. Gambar Ehsan: MagMyPic.

2. How to Command Respect: Don’t play or fidget with your mobile phone when someone’s talking to you. It shows avoidance... MORE TIPS.

3. Ingat janji kita untuk berkencan di Rumah Pena, 1 Disember 2007 sempena Malam Perempuan-Perempuan Naik Tocang.

Khamis, November 22, 2007

SOTONG GORENG TEPUNG TERAKHIR

Restoran Bintang di tepi Selat Tebrau menjadi saksi. Meja mereka penuh dengan lauk. Ikan tiga rasa. Lala masak sambal. Sotong goreng tepung. Udang goreng mentega. Kailan goreng. Dan laici satu jag. Tetapi itu dua jam yang lepas. Sekarang makanan-makanan itu sudah hampir habis.

Pah suruh Juju habiskan sotong goreng tepung yang terakhir. "Mak I bilang, kalau you habiskan lauk last ni, you akan dapat suami soleh."

Juju pun tersenyum. Dia ambil sotong goreng terakhir tu dan sumbat dalam mulutnya.

"Agaknya, suami soleh akan dapat isteri gemuk," kata Juju sambil mengunyah sotong goreng tepung. "Apa tidaknya, kerja dia asyik menghabiskan sisa makanan."

Meja mereka riuh dengan derai ketawa. Comel betul bila mereka ketawa. Sungguh.


............

This is no street magic, this is Vector Magic.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
1. 250 Public Speaking Tips

2. The Best of 2007 According to Esquire.

3. Books of The Year 2007

Rabu, November 21, 2007

TELEKUNG DI JEMURAN

Adam bukan Ustaz. Pun begitu, bahasa dan adabnya amat terpuji. Dia tidak pernah mencarut babi, sial atau celaka. Pukul perempuan apatah lagi.

Aku mengusik Adam pada suatu petang yang mendung, "Hujan-hujan ni, sejuk-sejuk ni, cepat je engkau nak balik rumah."

Adam senyum sahaja bila kena perli begitu. "Mana pulak balik rumah. Aku ada urusan lain la," kata Adam. "Lagi pun, orang rumah aku basuh telekung hari ini."

Aku ketawa kecil. Adam pun ketawa kecil. Bertamaddun sekali bahasanya.

Dulu. Prof. Elerick pernah berpesan kepada aku, lelaki budiman mesti halus bahasanya. Aku setuju dengan beliau. Mestilah aku setuju sebab beliau yang bagi gred untuk matapelajaran Linguistics kepada aku.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Malam Perempuan-perempuan naik tocang. Sabtu Malam Ahad. 1 Disember 2007.
"I held my father's hand as he died in that hospital room and realized I'd never held his hand before that moment."True stories, told in One Sentence

Selasa, November 20, 2007

PANAS

Panas! Panas! Panas!

Selama tiga jam entri Teori Provokasi disiarkan.

Atas sebab-sebab tertentu entri Teori Provokasi diturunkan.

Ia akan disiarkan semula jika mendapat kelulusan bahagian Keselamatan Dalam Negeri.

Panas! Panas! Panas!

Khamis, November 15, 2007

MASUK SURAT KHABAR

Aku selak suratkhabar muka tujuh. Tajuk atas sekali adalah, "Salam Aidilfitri Dari Perantauan." Beberapa keping gambar pelajar-pelajar Malaysia di luar negara mengenalkan diri masing-masing sambil membuat ucapan Hari Raya. Bangga sekali mereka berada di luar negara.

Aku: Macam mana gambar engkau sesat di sini?

Naufal: Kitaorang pakai baju tebal. Pergi belakang asrama. Waktu malam. Dan snap gambar. Kemudian kitaorang e-mel ke surat khabar. Sangkut kat surat khabar ni. Hi! Hi! Hi!

Aku tenung gambar anak saudara aku yang baru tingkatan dua, posing bersama-sama kawan-kawan dia. Mereka pelajar di sekolah asrama penuh di Pulau Pinang tapi caption gambar tertera,


Kami pelajar dari Universiti Ontahdimano, Hawaii mengucapkan selamat hari raya
kepada Guru-guru Sekolah Menengah Asrama Penuh terutama sekali kepada Tuan
Pengetua, Haji Saari bin Shukri. Dengan pesanan, "Berhati-hati bermain mercun?"

Aku: You beat the system. Congratulations.

Macam-macam cara orang nak masuk surat khabar.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
All that Jazz at the Urban Forest, JB
To do list blog + blook

Selasa, November 13, 2007

MAINAN AFIMON


Kedekutnya papa engkau. Sekali sekala pergi la Toy R Us atau Toy City. Apa ke jadah beli mainan kat Toyogo Plastic Products?

Isnin, November 12, 2007

CARI PENYAKIT

Aku, Gom dan Pyzul menyedut asap keluar masuk kerongkong di beranda. Masing-masing ada kotak sendiri, tidak perlu meminta-minta.

Sidang anti-perokok di dalam rumah melabel kami, Skuad Berani Mati. Rokok menjadi punca banyak penyakit. Label itu kena tepat pada kami.

Orang yang tidak merokok pun akan berisiko jika terdedah kepada asap rokok. Satu doktor berkata, "malah pakaian yang terdedah kepada asap rokok bahaya kepada mereka yang mengidap asma."

Sidang anti-perokok di dalam rumah menyeru kami supaya menghisap rokok dalam keadaan bogel agar pakaian kami tidak berbau asap.

Mmm, idea yang bagus juga itu. Mulai sekarang kami akan berkempen, "Bogel Demi Keselamatan Orang Awam. Katakan YA!" Semoga kalian rasa lebih selamat selepas ini.

...........

LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Best Weblogs 2007



........


Di sebuah kedai buku di Kulai.

Khamis, November 08, 2007

TAYANGAN FILEM




Sempurnalah perjalanan Bumbung Aku Lantai Orang. Dari entri blog ke buku, dan akhirnya ke layar perak.

Tayangan Filem. Rabu. 7 Nov. 2007. Pulai Spring Resort Cineplex.

"Secara fizikalnya, Bumbung Aku Lantai Orang bermakna rumah flat, Flat Bukit Chagar itu sendiri. Subteksnya pula menunjukkan betapa seseorang itu tidak dihargai. Bumbung yang dijunjung adalah lantai yang dipijak-pijak oleh orang."- Tok Rimau

Agenda: Jamuan :: Habuan Gaji :: Tayangan Di Sebalik Tabir :: Tayangan Filem :: Wacana

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Banyak lagi foto skandal artis-artis Malaysia di cineplex oleh Rasso. Klik SINI.
Filem Amir dengan lokasi Flat Bukit Chagar juga. Punggok Rindukan Bulan.

.....................

Hari Raya is about asking for forgiveness and owning your mistakes. I do think, this song can be a good raya song.

Sorry, Blame it on me by Akon
"As life goes on, I’m starting to learn more and more about responsibility. And I realize that everything I do is affecting the people around me. So I want to take this time out to apologize for things that I’ve done, things that haven’t occurred yet, and things that they don’t want to take responsibility for. "

"...Even though the blame's on you, Even though the blame's on you, Even though the blame's on you, I'll take that blame from you"

Selasa, November 06, 2007

AYAH KITA BOS

"Lepas basuh pinggan, ikut Abah pergi masjid," kata Abah separuh memerintah.

Aku memandang kepada Emak. Emak angguk sahaja. Maksudnya emak mahu aku ikut Abah solat subuh ke masjid. Jangan melawan.

Nampaknya, aku kena batalkan niat untuk sambung tarik gebar selepas kenyang bersahur.

Aku bonceng di belakang. Kami tidak pakai helmet. Kopiah sahaja.

Ganjil. Dalam cahaya suram menjelang subuh, aku lihat kubah masjid berada di tanah. Bukan di bumbung masjid. Ajaib.

Abah macam tidak nampak keganjilan itu. Aku cuit bahu dia dan tunjukkan ke arah kubah yang berada di tanah. Mungkin kubah itu tengah sujud fikir aku.

"Kenapa?" tanya Abah.

"Lailatulqadar," kata aku dengan jari masih menunjuk kepada kubah.

"Kepala otak engkau. Berapa lama engkau tak ke masjid?"

Tidak pasal-pasal aku kena marah. Rosak pengalaman suci aku ini.

"Diorang tengah renovate masjid la. Bumbung masjid bocor. Bodoh," sambung Abah memaki lagi.

Kalau emak ada di sini tentu dia angguk sahaja. Terima sahajalah. Jangan melawan. Kadang-kadang Abah lupa yang aku tidak duduk kampung lagi. Aku cuma pulang untuk cuti raya.

Isnin, November 05, 2007

PERCAYA KEPADA NERAKA 4




Kelab Malam itu penuh dengan manusia yang terkinja-kinja. Muzik berdentum-dentam. Berbual pun kena menjerit-jerit.

Mobius menjerit, "Gua malas nak pergi kerja la hari Isnin ni."

Safar yang lebih rasional menjawab, "Nanti bos lu marah."

"Gua boleh beli MC la dari Klinik Raju."

"What the f**k. Klinik Raju jual MC mahal. Kertas naik harga kata dia."

"Habis?"

"Nenek orang tingkat atas rumah gua baru meninggal siang tadi. Lu fotokopi je sijil report kematian dia."

"Cantekkk!"

Asap rokok bagai kabus menjadikan ambien penuh meriah. Macam babak kayangan Jula-juli Bintang Tujuh. Gadis-gadis montok melambai punggung memanggil mereka untuk berdansa. Pastinya bukan ikut irama lagu nasyid yang engkau suka.

Jumaat, November 02, 2007

PANCAROBA

Pada 1923, pendaki gunung Inggeris, George Leigh Mallory, ditanya oleh The New York Times kenapa dia mahu mendaki Gunung Everest, dan jawabnya, "Kerana ia ada di situ." Kata-kata ini dalam versi Inggerisnya, "Because it's there" menjadi terkenal.

Mallory ingin sekali menakluki Everest. Dia ingin sekali mengalahkan Everest dan membuktikan dia boleh. Mallory hilang di Everest setahun kemudian.

Kadang-kadang tidak masuk akal kenapa manusia mahu membuktikan kejuaraannya. Seboleh-bolehnya mahu jadi nombor satu. Dalam kamusnya tidak ada perkataan "menyerah kalah." BUkan sedikit orang yang cedera, kudung dan mati mendaki Everest.

Walaupun aku ini bukan lebai, tetapi ada juga sirah yang aku ingat. Muhammad pernah membiarkan Aishah menang ketika berlumba lari. Mungkin sirah ini tidak berapa releven dengan kes gunung tadi, tetapi itulah yang lebih baik, kalian tahu kalian boleh menang tetapi kalian mengalah.

Memang benarlah kadang-kadang kita punya saku penuh dengan muslihat. Dalam lengan baju ada daun-daun terup yang masih belum digunakan. Kita boleh menang. Usaha tanpa jemu itu bagus tetapi apa erti kepuasan jika yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Adakah trofi yang direbutkan atau ego yang diraikan?

Pada 1999, 75 tahun kemudian, mayat George Mallory ditemui di Everest. Dan anaknya, John Mallory memperkecilkan usaha ayahnya, "pada saya, satu-satunya cara untuk ke puncak adalah pulang dalam keadaan hidup. Kerja ini separuh siap jika engkau tidak pulang ke bawah."


...........
Dan Tuhan lebih mengetahui.
...........


KATA-KATA HIKMAT
"Win as if you were used to, lose as if you enjoyed it for a change."- Ralph Waldo Emerson

“Courage is as often the outcome of despair as of hope; in the one case we have nothing to lose, in the other, everything to gain”- Diane de Pointiers quotes

"Kalahkan diri sendiri dahulu sebelum mengalahkan orang lain." - Tok Rimau

Selasa, Oktober 30, 2007

PENDIDIKAN SENI & VISUAL

Lawatan sambil belajar itu membawa kami ke beberapa galeri sekitar ibukota. Antara kami, akulah yang paling tidak seni. Lalu mereka pun memberi tunjuk ajar.

Rimau, engkau kena lihat mainan kombinasi warna dan depth.
Rimau, engkau kena perhatikan texture dan composition.
Rimau, engkau mesti cari makna yang tersirat sampai dapat.


Aku angguk sahaja. Tidak berani melawan. Guru-guru aku bengkeng orangnya.


(Klik gambar jika kalian mahu praktis ajaran guru-guru aku.)

Isnin, Oktober 29, 2007

NOTA PERIBADI

Terimakasih Naga kerana melukis untuk aku.

Terimaksih En. Azhar & geng kerna memberi komen tentang Universe Konkritjaya.

Terimakasih Pupe kerana memberi bumbung dan lantai.

Terimakasih Naga kerana jadi jurupandu aku untuk Lawatan Sambil Belajar ke galeri-galeri seni.

Terimakasih Jones kerana bayarkan tiket LRT aku.

Terimakasih Spyz kerana mengisi perut aku.

Terimakasih Jigo kerana menunggu aku.

Terimakasih Mie kerana bersalam dengan aku.

Terimakasih Cik Daun kerana hospitaliti Jawa.

Terimakasih Nesloice kerana membelikan buah semangka.

Terimakasih Kak Ya, kerna memberi peluang aku lelap.

Maaf Amyz, Sal, Nida dan Yadziz kerana tidak dapat menunggu kalian.

Tidak terimakasih kepada Datok Batu Lapan Sijangkang. Memanglah menjamu orang kampung itu sedekah dan bagus tetapi menyesakkan jalanraya adalah suatu yang jelek. Tidak semua orang mahu ke rumah Datok. Bukan Datok seorang yang buat Open House. Bila Datok menyusahkan saya, saya rasa mahu menyumpah Datok.

Selasa, Oktober 23, 2007

TALI LEHER

Aku duduk sebelah menyebelah dengan Aim atas sofa. Kami menunggu nama dipanggil untuk sesi temuduga.

Datang calon lain mahu duduk atas sofa juga. Dia menegur kami, "korang dari jabatan yang sama, pakai tali leher pun sama."

Aku melihat tali leher Aim. Aim melihat tali leher aku.

Tanahnya kelabu dan coraknya jalur-jalur diagonal berwarna merah.

"Student aku, Si Nasrah yang hadiahkan tali leher ini kepada aku. Dia kata, dia bagi aku seorang sahaja. Maklumlah, fevret lecturer," kata Aim.

"Dia pun kata benda yang sama masa dia bagi aku tali leher ni," balas aku.

"Ha! Ha! Ha!" ketawa calon yang lagi satu sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa.

Cemburu la tu. Corak tali leher dia tidak diagonal macam kami.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Cheaper replacement for Nuri Helicopter
Kulaifornia World!

Isnin, Oktober 22, 2007

TRAFIK RAYA

Benda paling akhir aku nak dengar setelah satu jam mengesot mengharung kesesakan trafik hari raya adalah komen dari penumpang yang baru terjaga dari tidur:

"Eh! Cepatnya kita sampai."

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Dean Sham The Director
Phu Ying The Muse

Khamis, Oktober 11, 2007

PERCAYA KEPADA NERAKA 3

Ada satu restoran di tepi lebuhraya utara selatan. Di sebelahnya ada stesen minyak. Ramai orang singgah di situ. Makanannya "fit for a king."

Di situlah Mobius duduk. Sendirian selepas terawikh. Melihat orang datang dan pergi.

Menjeruk rasa.

Burger kesukaannya yang dipesan tidak habis di makan. Pahit. Tetapi dia masih duduk tidak beralih. Menyeksa diri dalam neraka buatannya sendiri.

Dia tidak pedulikan orang ke angkasa, ke bulan atau ke bintang.

Di bumi ini pun tidak menang tangan dengan masalah.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Why we curse

Isnin, Oktober 08, 2007

KUBUR KATA MARI

Cari mim wau kaf ra ya.

Hari Raya sudah semakin hampir. Nanti 1 Syawal orang akan berpusu-pusu menziarah kubur. Parking untuk kereta pun susah mahu cari. Kita akan lihat orang berniaga bunga dan air mawar di kawasan kubur. Tidak kurang juga yang mengambil upah membersihkan kubur. Begitulah komersialnya Syawal.

Suatu hari nanti, akan ada pengkalan data yang boleh kalian google. Ada iklan lot kubur yang baik. Mungkin.

Yang jarang pergi akan tercari-cari kubur saudaranya. Masa kebumi dulu, kuburnya paling tepi sekali. Sekarang jirannya sudah banyak. Nombor kuburnya tiada yang catat pula. Tercari-cari. Terjenguk-jenguk. Terselak-selak kain pembungkus nesan. Tulisan jawi pula semuanya. Merangkak-merangkak membaca.

Cari mim wau kaf ra ya.

Ahad, Oktober 07, 2007

ANAK RUSA

Anak rusa nani
baru kembang ekor
Apa salah kami
Lalu tidak tegur?

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Malaysian Politicians Say the Darndest Things by Amir Muhammad
Why Men Marry Bitches by Sherry Argov

Khamis, Oktober 04, 2007

SCREENING

Amir dan 3 orang botak.
Foto: Ehsan Lan Rasso

Film Screening and Dialogue Session
The Years of Living Vicariously by Amir Muhammad
2.30 pm - 5.00 pm, 3 Oct. 2007
Dewan Seminar, Level 4, D07,
UTM, Skudai.

Petikan dari filem yang samar-samar ingatan aku:
[Loghat Indon]
Yang bagus sekali, tidak pernah dilahirkan.
Yang bagus, dilahirkan dan mati semasa kecil.
Yang jelik sekali, dilahirkan dan hidup sampai ke tua.
Tidak mati-mati.
[/Loghat Indon]



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Mak bapak suka sangat ambil gambar anak dan upload ke Web. Terlalu banyak foto bayi hingga kita boleh mual. Tapi yang ini lain. Kau tengok foto ni, dan engkau mungkin rasa nak segera kahwin dan nak anak cepat. Comelnya.

Rabu, Oktober 03, 2007

PERCAYA KEPADA NERAKA 2

"Engkau jangan main tuduh-tuduh sesuka hati engkau. Aku tidak ada pada malam itu. Aku ada alibi," kata syaitan mempertahankan diri. "Pada malam itu, seperti malam-malam Ramadhan yang lain, aku dipasung. Jangan engkau tuduh aku yang menghasut."

Mobius melihat sekeliling. Semua bukti menunding kepadanya. Dia kehabisan alasan.

Dia tidak boleh mempersalahkan sesiapa melainkan dirinya sendiri. Dosa malam itu adalah dosanya sendiri. Pada malam yang satu itu, dia kalah dengan nafsu.

Hanya rahmat Tuhan sahaja yang boleh menyelamatkan dia sekarang.

Selasa, Oktober 02, 2007

PERCAYA KEPADA NERAKA

"Kesengsaraan akan membuahkan hasil seni yang agung. Itu kata engkau dahulu. Nah! Ambil ini azab sengsara yang tidak terkira," malaikat yang bengis melibas cemetinya.

Kulit Mobius terbuka. Saraf-sarafnya menjadi paip untuk lahar mengalir. Seluruh tubuhnya memanas. Darahnya melampaui tahap didih. Menggelegak menjadi wap. Tubuhnya meronta-ronta mengikut arahan azab sengsara.

"Mana magnum opus engkau? Syairkanlah!" malaikat menempelak.

Bercakap pun tidak mungkin. Inikan pula mahu bersyair.

Lidah Mobius sudah hitam hangus. Melepuh-lepuh. Dulu lidah itu mengucap benda-benda haram. Dulu lidah itu menjamah benda-benda haram.

Mobius mengharapkan dia segera mati tetapi mana mungkin orang yang kembali hidup mati semula. Harapan akhirnya adalah rahmat dari Tuhan yang maha pengampun lagi mengasihi.

Isnin, Oktober 01, 2007

BARING DEPAN TV

Sabrinamon baring depan TV. Dia menonton kartun pada jam 10 malam.

"Asyik-asyik kartun! Bagi mama pulak tengok TV. Mama penat. Masak dan kemas. Biar mama rehat," aku memberi arahan.

Sabrinamon memuncungkan mulut dan bagi remote kepada Mamamon (minah cun yang mengorat aku).

Mamamon baring depan TV dan tekan punat remote. Dia layan CSI Miami. Cerita polis mencari bukti jenayah di Miami.

Tidak sampai 5 minit dia terlelap. Terlepas remote. Aku sambut remote itu.

Aku baring depan TV, sebelah Mamamon. Aku tekan punat remote. Aku layan Miami Ink. Cerita orang bisnes cacah di Miami.

Tidak sampai 5 minit suasana menjadi kabur. Gelap.

Aku terjaga jam 12.30 tengah malam.

Sabrinamon baring depan TV. Dia menonton kartun pada jam 12.30 tengah malam.

Rabu, September 26, 2007

SAYONARA

Cara-cara untuk melupakan seseorang.

1. Delete nombornya dari henpon.
2. Delete namanya dari senarai YM atau mana-mana IM.
3. Delete url blog dia dari bookmark.
4. Delete semua gambar dia dari hardisk dan thumb drive.
5. Delete dan block e-mail dia dari akaun mail.

Kau pernah buat begini? Aku pernah.

Inilah cara aku melupakan ....
Cara aku melupakan...
Cara aku melupakan...
Cara aku melupakan...
Melupakan siapa ya?
Mmm maaf la. Aku sudah lupa pulak nama dia.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Future Web Trends: Number 10 is funny.

Selasa, September 25, 2007

CERTOT PAK PANDIR

Seperti biasa, setiap pagi Pak Pandir dan Mak Andeh bersiap-bersiap untuk ke kebun. Mak Andeh akan mengenakan busana kain batik dengan baju kurung kedah berbunga-bunga kecil. Pak Pandir pula gemar mengenakan seluar panjang hitam kain kapas dengan baju pagoda. Asalnya baju itu putih, sekarang sudah agak cokelat.

"Tak malu betul Pak Kadok," Mak Andeh yang menopause berbasa-basi di pagi hari. "Ada ke patut lari tengah kampung dalam keadaan telanjang bulat."

Mendengar bebelan Mak Andeh, Pak Pandir yang andropause tidak jadi menyalin pakaian. Dalam umur yang sebegini, dia malu untuk telanjang depan isterinya sendiri.

Pak Pandir mengesot bersembunyi di belakang langsir bilik agar terlindung dari pandangan Mak Andeh. Pak Pandir pun segera bertukar pakaian.

Tiba-tiba terdengar bunyi lonceng basikal Pak Kadok dari luar rumah. Kebetulan, setiap kali ke gimnasium untuk melatih ayam, Pak Kadok akan lintas depan rumah Pak Pandir.

"Kau dah tebiat ke Pak Pandir oii! Malu la sikit dengan orang yang lalu lalang. Ada ke patut telanjang bulat depan tingkap. Pervert!" Jerit Pak Kadok dalam nada marah.

Pengajaran: Orang yang tidak tahu cerita sebenar, sentiasa membuat andaian.

Jumaat, September 21, 2007

MERATAH HATI MENTAH-MENTAH

Aku nak bikin filem cinta pulak sebab ramai orang suka filem cinta. Nanti aku minta designer buat poster wayang dengan warna sephia cerah. Cheesy sangat. Mushy sangat.

Ini babak pembukaannya.

INT: SMS
Telefon berbentuk bedak kompak. Telefon berlagu. Sms masuk.
Manis.
Epal yang awak bagi amat manis.


Telefon berbentuk sabun. Telefon berlagu. Sms masuk.
Manis lagi senyuman kamu.


Telefon berbentuk bedak kompak. Telefon berlagu. Sms masuk.
Senyuman saya manis? Mungkin kamu buta.


Telefon berbentuk sabun. Telefon berlagu. Sms masuk.
Memang saya buta. Saya tidak buta keseorangan. Kan?


INT: PEJABAT

RIJAL
Orang buta pun boleh baca maksud dalam sms kamu ini. Adakah kamu maksudkan apa yang kamu tulis?


NISAH
Tidak menjawab. Tiada ekspressi muka. Hanya merenung mata Rijal.

CUT. Masukkan tajuk filem: Meratah Hati Mentah-mentah dan nama-nama pelakon utama. Cast seperti biasa, yang wanita semua lawa-lawa. Yang lelaki semua buruk-buruk.

Seperti biasa juga macam semua filem aku, ending akan menyakitkan dada. Menyakitkan hati. Tiada kepuasan. Tiada kompang. Tiada pelamin. Mmmmm.

Selamat membakar panggung.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
The Art of Writing: "You have to know how to accept rejection and reject acceptance." ~Ray Bradbury. Read MORE.

Swimwear: Burqini for Muslimah. Click Here.

Khamis, September 20, 2007

TEPUNG PELITA


Untuk lebih gambar dari Lan Rasso, klik foto.
................

Sutradara mahu babak akhir sempurna. Pelakon utama sudah penat dan tidak habis-habis makan tape. Berapa banyak take entah.

Sambil menunggu babak akhir siap pengambarannya, krew duduk bawah pokok sambil berborak-borak. Jauh dari mikrofon tetapi dekat dengan telinga aku.

Nur mengeluh, "Aku dah bosan buka dengan tepung pelita. Hari-hari tepung pelita."

Najmi menjeling. Dia tidak tahu bagaimana hendak respon.

"Muak aku," kata Nur.

"Siapa yang bagi engkau tepung pelita tu?" tanya Najmi memahamkan duduk perkara.

"Aku beli kat Pasar Ramadhan."

"Engkau beli sendiri?"

"Ya."

"Hari-hari?"

"Ya."

"Engkau yang membosankan diri engkau sendiri, lagi mahu komplen."

"Ya ka?"

Najmi menjeling lagi. Dia tidak tahu bagaimana hendak respon. Banyak masalah manusia adalah berpunca dari diri sendiri.

Studio Shot: Klik foto untuk lebih banyak foto dari Didiz.

Jumaat, September 14, 2007

LAPORAN FILEM PENDEK BUMBUNG AKU LANTAI ORANG



Sinopsis: Seorang guru menangani kes pecah rumah.

Durasi: 28 Minit


Lokasi: Flet Bukit Cagar Johor Bahru, Flet Jentayu Kangkar Pulai, Universiti Teknologi Malaysia Skudai
Tarikh: 13-16 September 2007 / 1-4 Ramadhan


Kesesakan jalan raya menjadi perkara biasa kepada mereka yang berulang alik antara Singapura dan Johor. Kastam tambak Johor yang sedia ada tidak mampu menanggung bilangan trafik yang banyak.

Maka, kerajaan Malaysia bertindak membina kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin baru bagi menggantikan kemudahan sedia ada di Tambak Johor. Projek ini diberi nama Gerbang Perdana.


Projek bernilai RM2 billion ini akan dibina di tapak seluas 38.65 hektar, merangkumi tanah milik kerajaan, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan kerajaan Johor. Apabila siap kelak, projek itu menempatkan sekurang-kurangnya 15 jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan urusan CIQ dan merangkumi enam jejambat.

Sehubungan dengan itu Flet Bukit Chagar akan dirobohkan bagi memberi ruang kepada pembinaan Gerbang Perdana. Sebelum Flat Bukit Chagar roboh, sekumpulan pembikin filem dari UTM telah menggunkan Flat ini sebagai setting atau latar belakang filem mereka BUMBUNG AKU LANTAI ORANG.




BKT CHAGAR DALAM BERITA HARIAN
Kerajaan timbang bina kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Bukit Chagar JOHOR BAHRU, Isnin: Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang menimbang membina kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) baru di Bukit Chagar, di sini, bagi menggantikan kemudahan sedia ada di Tambak Johor.

Projek yang turut membabitkan pembinaan jambatan baru serta beberapa kemudahan berkaitan, bagaimanapun bukan sebahagian daripada pakej pembangunan di pintu masuk selatan tanah air yang dirundingkan dengan Singapura.

Perdana Menteri berkata, projek itu akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kompleks CIQ di Tambak Johor yang kini mencapai tahap ‘tidak boleh diterima lagi.’ Bagaimanapun, katanya kerajaan memberi jaminan pelaksanaan projek itu tidak akan menggadaikan kepentingan rakyat, terutama penduduk di sekitar kawasan terbabit. “Projek ini tidak akan merugikan mana-mana pihak dan kita tidak akan menyusahkan sesiapa,”katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai cadangan projek Gerbang Selatan Bersepadu (GSB) di tapak pembinaannya di Bukit Chagar, di sini, hari ini. Sebelum ini, kerajaan mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura mengenai pakej pembinaan kompleks CIQ baru yang turut merangkumi jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.

Pelan konsep projek GSB yang menggabungkan kemudahan pengangkutan dan perhubungan ke Singapura, akan dilaksanakan dengan sedikit pengubahsuaian terhadap pelan asalnya yang membabitkan kerjasama dua negara berjiran. “Cadangan ini nampak bagus, kerajaan akan buat keputusan (mengenai kelulusannya) tidak lama lagi,” katanya, sambil menambah kerajaan tidak menetapkan tempoh untuk membuat keputusan mengenainya.

Ditanya sama ada projek itu akan dibiayai kerajaan atau dana swasta, Dr Mahathir berkata, ia baru pada peringkat pelan konsep dan kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaannya. “Projek ini tidak membabitkan Singapura dan kita tidak perlu meminta kebenaran (daripada Singapura) untuk melaksanakannya kerana kita buat kita punya,” katanya.

Mengenai penempatan semula penduduk di kawasan terbabit, terutama rumah pangsa iaitu Flet Lumba Kuda dan Bukit Chagar, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memutuskannya kemudian. (Flat Bukit Chagar diramikan oleh PM sendiri pada awal 1980 an) Terdahulu, Timbalan Pengerusi Eksekutif Gerbang Perdana Sdn Bhd, Datuk Yahya Abdul Jalil, dalam taklimatnya berkata, projek itu membabitkan cadangan menempatkan semula kompleks CIQ di Tambak Johor ke Stesen Keretapi Johor Bahru di Bukit Chagar. Katanya, projek bersepadu yang serba moden itu turut merangkumi cadangan menggantikan sebahagian daripada tambak, termasuk pembinaan infrastruktur dan kemudahan berkenaan. “Projek itu membabitkan cadangan pembinaan jambatan boleh berputar dan jambatan menggantikan laluan kenderaan menerusi tambak di kawasan sebelah Malaysia saja. “Jambatan itu menyediakan laluan kapal di bawahnya dan membolehkan pengaliran air tanpa halangan supaya tidak berlaku pencemaran seperti sekarang,” katanya.

Difahamkan, projek yang dianggarkan menelan belanja sehingga RM2 bilion itu, dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2005 dan boleh digunakan mulai Januari 2006. Kompleks CIQ sedia ada pula akan dirobohkan menjelang Oktober 2006. Projek itu bakal dibina di tapak seluas 38.65 hektar, merangkumi tanah milik kerajaan, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan kerajaan Johor. Apabila siap kelak, projek itu menempatkan sekurang-kurangnya 15 jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan urusan CIQ dan merangkumi enam jejambat. ( BH. Jan 21, 2002)

.............

Living in squalor at low-cost flats
Monday February 13, 2006, THE STAR
By MEERA VIJAYAN


JOHOR BARU: About 6,000 people are living in filth in a high-rise colony just minutes away from the city centre.

The Bukit Cagar flats, one of the few high-rise settlements in town, is an eyesore that greets tourists crossing in from the Causeway.

The issues are not new, but the plight of the residents from four blocks of the 16-storey flats, located next to the new RM1.1bil Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) complex, has not changed for years.

The lack of maintenance is evident at first glance with the stench rising from fly-infested piles of rubbish and paint peeling off walls that are still plastered with posters of local politicians.

In one of the blocks The Star visited, one lift has not worked for about eight years.

The other is dilapidated and constantly breaking down, often trapping residents inside.

Resident Mohamed Taib Hamdi, 54, a cleaner, said he and his family had been stuck in the lift at least four times.

“Once, my wife was on her way to take our child to the clinic when the lift broke down and stopped between floors.

“She had to climb out of the lift, carrying our daughter who was less than a year old at that time,” he said.

He added that in the past 23 years he has been living there, the flats had been painted and cleaned only twice.

“Besides that, there are also drug addicts in this area.

“We hope the authorities will be able to do something about this. The Bukit Cagar flats are the first thing tourists who come in from Singapore, see,” he said.

Another resident, R. Krishna, 50, a general worker, who has lived in the flats for the past 14 years said the bad condition of the lifts made it difficult for expecting mothers and the elderly.

“Forget us, we can still walk around. Just think of the disabled, or the mother who has just delivered. It is a pitiful sight to see them struggling up the stairs,” he said.

Krishna’s wife too suffered when she had to climb up 14 flights of stairs after an operation four years ago.

Some of the flats have also been abandoned with discarded items strewn all around.
.............
Note: Peristiwa Tangki Blok C Pecah: 19 Nov 1993

.............


JOHOR BAHRU
Johor Bahru adalah bandaraya yang pesat membangun. Lokasinya di selatan Malaysia dan berhampiran dengan Singapura dan Indonesia, memberi kelebihan kepada bandaraya ini untuk menjadi hub industri, pentadbiran, komersial dan pelancongan. Sekali gus ini mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan. Bangunan-bangunan lama dan baru tersergam indah menghias pusat bandaraya.

FLAT BUKIT CHAGAR
Pun begitu, di celah-celah monolith konkrit cantik kota kaca dan marble ini ada 4 blok bangunan tinggi yang sepertinya tidak pantas untuk berdiri di tengah kota. Struktur perumahan ini dikenali sebagai Flat Bukit Chagar. Berdiri 16 tingkat mencakar langit dan cuma sepelaung dari pusat bandaraya. 1 km dari pusat bandar. Tambang bas dari JB ke Flat cuma 30 sen (1985).

Dalam keluasan 1 km persegi, 4 blok bangunan menampung 1536 unit rumah. Setiap unit cuma mempunyai 1 bilik. Pandai-pandailah Ayah, emak, abang, kakak, adik, mungkin juga atok dan nenek menyusun diri.

Flat Bukit Cagar mula dimasuki penghuni sekitar 1983. Secara amnya, ramai penduduk di situ berasal dari Kampung Pak Wali, Stulang laut. Apabila Stulang Laut dibangunkan sebagai kawasan komersial, penduduk Kg. Pak Wali, sebuah setinggan, ditawarkan untuk menyewa di flat dengan kadar cuma RM90. Flat ini berdiri sebagai simbol tanggungjawab sosial kerajaan menyediakan Projek Perumahan untuk Rakyat.


FLAT MENANTI HARI
2007. Lif setiap blok yang sepasang, kini berkerja secara tunggal. Turun naik. Turun naik. Berbakti kepada penduduknya. Kini Flat bukit chagar adalah bongkah-bongkah konkrit yang janggal. Kulitnya lusuh dan berlumut. Pokok-pokok tumpang subur tumbung di dindingnya. Cat mengelupas. Graffiti menghias dinding. Mungkin, jika boleh, ada pihak yang mahu menyelimutkan flat ini tersembunyi dari pandangan pelancong.

Inilah nasib bangunan yang mengira masa untuk diroboh. Kini belanja penyelengaraan dan kosmetik adalah amat minimum. Menyakitkan mata yang memandang. Mungkin.


FLAT BUKIT CHAGAR AKAN ROBOH
Flat ini berdiri di atas tapak yang sudah digazet sebagai Gerbang Perdana. Sebuah projek pembangunan bagi memodenkan Pusat Pemeriksaan Kastam di pintu ke keluar masuk ke Selatan Malaysia dan Singapura.

Dikatakan Flat Bukit Chagar akan diruntuhkan untuk pembangunan Gerbang Perdana. Penduduk akan berpindah ke flat 5 tingkat di Bakar Batu. Jadi, sebelum flat ini menyembah bumi seperti flat Lumba Kuda yang memberi laluan kepada projek Gerbang Perdana, kami cuba merakam kisahnya.


BALO
Kami terdiri dari krew yang terdiri dari pelajar dan staf UTM. Membawa mereka melawat ke lokasi Flat Bukit Chagar adalah pengalaman yang membuka mata. Mereka tidak sedar sebelum ini. Satu pengalaman yang mendewasakan.

Cerita Bumbung Aku Lantai Orang (BALO) sebenarnya berasal dari tulisan blog Tok Rimau. Kemudian, kompilasi tulisan Tok Rimau dimasukkan ke dalam buku Ayah Kita Bos. Skrip atau Lakon Layar filem BALO ini dituliskan oleh Dean Sham berdasarkan cerita asalnya. Ia merupakan cerita pengalaman tinggal di rumah pangsa untuk golongan marhaen yang kasar kehidupannya.

Filem BALO cuba menangkap jiwa masyarakat flat untuk mereka berpendapatan rendah. Mungkin cerita mereka sama dengan flat-flat lain di Kuala Lumpur. Mungkin juga tidak. Manusia memberi reaksi berbeza kepada tekanan. Ada yang berubah kehidupan menjadi lebih senang. Bagai arang yang tertekan berubah menjadi berlian. Ada yang berubah kehidupannya menjadi lebih susah. Bagai bata yang tertekan berubah menjadi debu. Itu sahaja mampunya.

Filem ini mendapat sokongan sepenuhnya dari Multimedia Development Corporation di bawah skim Mentorship. Pelajar-pelajar yang terlibat sebagai krew dan pelakon mengambil kesempatan projek ini untuk menimba seberapa banyak pengalaman dalam pembikinan filem. Kepekaan mereka dalam seni berbahasa dan pengurusan projek diasah sepanjang pembikinan filem ini.

Apa yang lebih penting lagi adalah ketajaman mereka memahami bagaimana persekitaran dan masyarakat memberi kesan kepada satu sama lain.

Aku
pencakar langit
yang berpenyakit

mengada-ngada
menjadi mercu tanda
pemedih mata
warga kota

Aku
pencakar langit
yang berpenyakit

Trivia:
1. Hari pertama pengambaran berjalan lancar. Cuaca panas terang benderang mencabar keimanan kami yang sedang berpuasa hari pertama. Pun begitu hari berikutnya agak sejuk kerana hujan sekejap-sekejap.

2. Kami menyewa dua rumah untuk dijadikan lokasi di Bukit Chagar. Pn. Mariam, seorang ibu tunggal bermurah hati menyewakan rumahnya sebagai lokasi pengambaran di Blok D. Rumah di Blok A pula adalah milik Pn. Norhani. Pn. Norhani dan dua anaknya turut berlakon sebagai pelakon tambahan.

3. Pelakon-pelakon untuk Bumbung Aku Lantai Orang terdiri dari staf UTM, pelajar UTM dan orang tempatan Flat Bukit Cagar. Pelakon tempatan menambah keaslian jiwa flat ini.
Pelakon Staf: 10
Pelakon Pelajar: 25
Pelakon Tempatan: 10

4. Graviti dikawasan flat lebih kuat berbanding graviti tempat lain. Kami menyaksikan sampah terhempas ke bumi dengan hadlaju yang tinggi. Juga ditarik graviti adalah perabot, TV, Pasu bunga dan telur ayam. Ya telur ayam. Tepat mengenai krew filem. Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, kami mengelak dari shooting terlalu hampir dengan dinding flat.up.

5. Sedar atau tidak, individu yang memberi inspirasi kepada watak-watak dalam BALO ada yang masih hidup. Aku berjumpa dengan kaki ekor dan judi. Juga, lokasi kasino kecil masih wujud. Tidak berubah setelah 10 tahun berlalu.

Untuk laporan bergambar, sila klik gambar untuk laman flickr jurufoto produksi:


Oleh Jurufoto Keding


Oleh Jurufoto Debab

Senarai Kredit
Dean Sham: Pengarah, Jurukamera, Penyunting, Lakon layar, Drebar
Tok Rimau: Produser, Cerita Asal, Drebar, Pembikin The Making, Watak Pak Haji
Kamruzzaman: Akauntan, Drebar, Watak Abang Skandal
(Edit dan update lagi kemudian)

Rabu, September 12, 2007

PARADOX




"Perempuan sekarang bukan kira sangat. Suami orang pun mereka ikut," keluh Nal sambil mengenang nasibnya yang tidak berminah.

"Perempuan suka lelaki matang. Stabil. Sabar. Penyayang. Tetapi kebanyakan yang begitu sudah jadi suami orang." Aku menoktahkan komentar dengan menghirup Milo O dari gelas besar.

Zid melihat kepada Nal, "Engkau dah tahu macam gitu, orang bujang macam engkau, kena la berlagak macam suami orang."

Aku menyambung, "Baru engkau dapat minah."

"Ha! Ha! Ha!" Aku dan Zid ketawa. Nal tidak ketawa. Dia tidak puas hati.

Nal bersuara lagi, "Aku nak tanya korang berdua. Macamana suami-suami orang boleh memikat minah-minah muda ni?"

"Senang je. Mereka berlagak bujang," aku.

"Ha! Ha! Ha!" Aku dan Zid ketawa lagi. Nal masih tidak ketawa.

Dia keliru. Samada mahu berlagak bujang atau mahu berlagak dah kahwin. Selagi dia berguru dengan aku dan Zid, sampai ke tua la Nal tak berminah.

Selasa, September 11, 2007

WARUNG SAGA

Aku, Sutradara dan seorang pegawai polis singgah di Warung Saga, Jalan Mahmoodiah. Pegawai polis itu yang cadangkan makan di sini. Kami teruja dengan hiasan dalaman warung itu.

Kertas dinding warung itu foto-foto hitam putih yang klasik. Gambar-gambar kerabat diraja, pemimpin-pemimpin negara, bintang-bintang filem dan bangunan-bangunan lama di Johor Bahru. Panggung Cathay dan Flat Lumba Kuda yang sudah diroboh pun ada fotonya. Tidak puas menatapnya. Nostalgia sekali. Aku mahu datang lagi dan bawa kawan-kawan lain. Tetapi aku kena tahu waktu operasi warung ini.

Aku lambai seorang pelayan.

"Adik, sampai pukul berapa kedai ini buka?" aku tumpang bertanya.

"Sampai jam empat," jawab pelayan wanita dalam loghat Indonesia.

Dia tersenyum manis.

"Malam tidak buka?" tanya aku minta kepastian.

"Ada orang lain. Tetapi saya tidak ada," tambah pelayan itu.

"Saya datang nak makan, bukan nak jumpa awak," jawab aku.

Dia masih terus tersenyum manis.

Kenapa aku tidak henti-henti diduga? Alahai.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Dikir Audition: Tak Beso Tengok Oghe Lawa

Ahad, September 09, 2007

FESTIVAL FILEM NYAMUK

Berikut adalah gambar-gambar dari Festival Filem Digital: Sempena 50 Tahun Merdeka, Fakulti Pengurusan & Pembangunan Sumber Manusia, UTM. Sila klik gambar untuk lihat slideshow.


"Kami tidak mahu bikin pelapis untuk kami. Kami mahu bikin sel-sel yang boleh hidup sendiri." 2007, Ghazali Bunari
Jurufoto Debab: Didiz



"Lagi awek cun mengorat engkau?"- Tanya Jali.
Jurufoto Keding: Lan Rasso

Khamis, September 06, 2007

MASKARA 4

Empat Cina dan empat Melayu, lain maknanya.



Mungkin kau perlu kaca mata baru atau klik gambar untuk versi gedabak.

Jemputan:
BBQ Blogger di Tasik Cyberjaya. Hari: Ahad 9 September 2007. 11 pagi - Petang
KLIK SINI untuk details.

Khamis, Ogos 30, 2007

KONSPIRASI

Seperti biasa, kami minum-minum sambil berbual masalah negara.

"Sebelum pencen, semua tentera akan diberi satu suntikan," cerita Jay, seorang askar pencen."Tidak ramai yang tahu detail suntikan itu. Berita angin mengatakan itu suntikan cepat mati."

Jay membetulkan punggungnya yang hampir jatuh dari kerusi dan menyambung, "Jadi, kerajaan boleh jimat dari memberi duit pencen. Ramai juga yang nak pencen lari dari disuntik." Jay meghirup kopinya sebentar. "Takut mati cepat."

Kami berpandangan sesama sendiri. Semua tidak setuju dengan teori konspirasi itu.

"Mana mungkin kerajaan mahu rakyat mati cepat. Selagi agama Islam agama rasmi, kerajaan tidak akan buat begitu," bantah Din teksi.

Majid, cikgu dari Melaka, juga mencelah, "Lagi pun, bagi pesara yang mati, warisnya akan menikmati pencen tinggalan si mati." Majid membetulkan cermin matanya. "Mana ada penjimatan."

"Aku pun tidak percaya kerajaan menyuntik bakal pesara agar mereka mati cepat. Hanya untuk penjimatan wang," aku memulakan hujah aku pula.

"Kenapa pulak tidak," tanya Jay.

"Kerajaan tidak sebijak yang engkau sangka." Aku

"Ha. Ha. Ha. Ha." Kopi tersembur keluar dari hidung Jay.

Selasa, Ogos 28, 2007

OGOS 28

Aku memandang kalendar. Aku memandang ke cermin.

Refleksi lelaki dalam cermin memandang kepada aku.

Aku senyum, "Selamat menyambut hari warga emas."

Refleksi lelaki dalam cermin membalas senyuman aku.

Isnin, Ogos 27, 2007

KARANGAN SAYA

Is this Bak's place?

No, this is Tengku's.

Then Bak came out of the grand palace.

Bak, they don't know you.

Yes. We have different security guards everyday.

Oh! I see.

Where's your girlfriend?

She stood me up.

Too bad. You are all dressed up.[grin]

Yeah. Too bad.Stupid me.[long pause] But, we can still go out for dinner. Let's go.

My mother requests that you have dinner with us. Come, I introduce you to her.

So we went into the palace. There, the mother sat. Masjetic. Dining alone. Two butlers waited the table. She asked us to join her. We chatted and dined for almost two hours. Then the mother left for her room to retire. She climbed the stair and disappeared.

Let me show you around the palace.

Dining hall. Swimming pool. Basketball court. Six cars in the garage.

Khamis, Ogos 16, 2007

HENPON HILANG

Kau pernah tengok orang cari cermin mata. Habis satu rumah dia selongkar cari cermin mata. Tiba-tiba, ada orang tunjuk cermin mata itu atas kepalanya. Terdongak macam visor topi keledar. Semua orang ketawakan dia.

Semalam kawan dari jauh kawan aku buat panggilan hendak minta nombor telefon bos aku. Aku kata ada dalam henpon aku nombor itu, nanti aku sms nombor tu.

Aku carilah henpon itu. Seluk dalam saku seluar tidak ada. Atas meja tidak ada. Dalam almari tidak ada. Atas komputer tidak ada.

"Apasal lama sangat," tanya kawan aku.

"Aku tidak jumpa henpon," aku.

"Setahu aku, aku call nombor henpon kau la tadi. Takkan hilang."

Baru tersedar. Henpon yang aku cari lekat kat telinga kiri dalam gengaman aku pun. Aku guna untuk berbual dengan kawan aku tu.

"La hai! Kat tangan aku henpon ni."

"Hak hak hak hak!" Dia. Kalian pun boleh turut ketawakan aku seperti dia.

Selasa, Ogos 14, 2007

AMBIGUITI

"Kita akan ubahsuai ruang-ruang ini jadi cun. Kita tempatkan staf kita di sini," kata bos kepada kuncu-kuncunya.

Bangunan tempat aku bertugas terbahagi kepada dua kawasan. Jauh antara markas dengan pejabat aku lebih kurang 1 km dan 10 bonggol jalan. Ya, setiap 100 m ada bonggol.

Semalam bos dan kuncu-kuncunya melawat bangunan aku. Pertambahan staf memerlukan kami mengubahsuai stor dan bilik pantri jadi pejabat.

Bos ada bertanya pendapat aku, "Apa pendapat awak jika ubah ruang ini jadikan bilik pejabat staf cun?"

"Saya setuju je bos. Yang tidak cun tinggal di blok lama. Yang cun tinggal di sini."

"Oittt! "Bilik" la kata-namanya. Bukan "staf.""

"He. He. He."

.....................
SOALAN KEFAHAMAN
Bezakan rumus linguistik berikut:
a) [[bilik [pejabat]] [staf [cun]]]
b) [bilik [pejabat] [staf] [cun]]

Isnin, Ogos 06, 2007

NAIK PENTAS

Kalau menonton acara anugerah seperti Grammy dan Oscar, aku gemar sangat meneliti ucapan penerimaan setiap pemenang. Siapa yang lebih bagus berucap dan ucapan siapa yang kekal dalam fikiran buat sekian lama.

Kalian tonton Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM 20)hujung minggu lepas? Melainkan hadiah utama yang empat, tidak salah aku, pemenang lain tidak diberi laluan untuk berucap. Ini menyebabkan majlis meraikan pembikin filem ini nampak hambar. Jadi, aku pun tumpu kepada benda lain seperti mengira jumlah manusia atas pentas.

Tahukah anda? Semasa penyampaian trofi utama, ada tujuh orang mengiringi VVIP naik ke pentas. Jumlahkan dengan dua gadis pemikul trofi ke depan, ada lebih kurang 10 hingga 12 orang atas pentas. Pemenang belum diumum dan naik lagi tu.

Apa agaknya masalah kita hingga beramai-ramai naik ke pentas mengiring VVIP ni? Orang itu tidak tahu jalan sendiri gamaknya.

Rabu, Ogos 01, 2007

DARATT



Daratt (Dry Season)- Synopsis: After a forty-year civil war, the radio announces the government has just amnestied the war criminals. Atim, a sixteen-year-old youth, traces the man who killed his father and to execute him. Armed with his father's own gun, he goes in search of Nassara, the man who made him an orphan. It does not take long before he finds him. Nassara, who now goes straight, is married, goes to the mosque and owns a small bakery. After some hesitation Atim offers him his services as an apprentice. He is hired then it will be easy for him to gun down the murderer of his father. At least, that is what he thinks... (Read more.)

........

Kiri (Left)- Synopsis: An unnamed female character is traumatized during her childhood after witnessing the murder of her father, a retiring militant rebel. The murderer is her father’s own guerilla leader, Wan Sulong. She then studies her father’s war journal and devotes her life to getting revenge. She finds him 15 years later. But, now Wan Sulong is a pious and repented man, respected by the community. Will she proceed with her task? (Watch the movie again.)

...............

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
BMWshorties di UIAM
Kamu mesti hadir ke MASKARA 3

Isnin, Julai 30, 2007

TERLANJUR TIDUR BERSAMA

Liz,
Masihkah engkau ingat, untuk satu hari sahaja, kita terlanjur tidur bersama? Atau engkau sudah terbiasa?

Ianya bermula dengan perjalanan dari Cheras ke Pusat Bandar dengan bas Len Seng. Kemudian kita tukar kepada bas mini dengan tambang 50 sen pula. Kita duduk sebelah menyebelah. Bersekedudukan di atas satu bangku.

Perjalanan bas pendek itu terasa amat pannnnnnnnnjang. Kita kepenatan.

Tiba-tiba sahaja kita sudah berada di markas bas mini. Tempat bas dibasuh. Tempat pemandu bertukar syif. Tempat bas mengisi minyak hitam. Kita terpaksa tunggu bas lain untuk patah ke Pusat Bandar.

Cukuplah ini sebagai pengajaran. Jika engkau mahu tidur dalam bas lagi, pesan dengan konduktor agar mengejutkan engkau bila sampai destinasi. Agar engkau tidak terlanjur tersasar perhentian lagi.

Liz,
Masihkah engkau ingat, untuk satu hari sahaja, kita terlanjur tidur bersama? Atau engkau sudah terbiasa?

Rabu, Julai 25, 2007

SEMUA DIJEMPUT HADIR

Lagi, lagi Kiri. Kalaulah, filem Kiri itu lembu, habis kering susunya aku perah.

Anyway, semua dijemput hadir. Banyak pelajar arab. Mancung-mancung hidung mereka. Rugi tidak pergi. Ha! Ha! Ha!

.............
BMWShorties Screening
Auditorium Utama UIA, Gombak
FREE FREE FREE FREE


Programme Schedule:

8.00 PM Arrival of students and invited guests
8.15 PM Arrival of VIPs (Kerusi mereka lebih empuk dari tetmu lain)
8.20 PM Welcoming Remark. Multimedia Presentation
8.25 PM Screening begin
9.30 PM Forum begin : ‘In Person With the Directors’
10.30 PM Question and Answer session
11.00 PM End of Programme

Screening Schedule (List of Movies, Directors and Durations):
Day 1: 26th July (Thursday)
Melisa bt. Mohd Alias- Kongsi Dalam Gelap (Dark Men Talking) 11 mins. 15 secs.
Lee Chee Cheng- A Lonely Man 12 mins. 32 secs.
Loh Wai Keong- I Can’t Sleep (J’ai Pas Sommeil)4 mins. 12 secs.
Sasitharan a/l Rajoo- Singgam (We Are Lion My Brother)13 mins. 27 secs. {Honorable mention}
Ghazali Bunari - Kiri (Left)17 mins. 25 secs.{Honorable mention/ people choice (I love you all- muahhh!}

Day 2: 27th July (Friday)
Muhammad Faiz Ramli- Kelapa 12 mins. 26 secs.
Chee Kar Ching- Can You Hear Me 7 mins.
Muhammad Norhelmi bin Antong Ibrahim- Jemi Anak Pok 20 mins.
Kubhaer Thakurdas Jethwani- Westbound- 18 mins. 10 secs.
Abdullah Zahir bin Omar- K Hole- 15 mins. 55 secs. [Overall winner}

Rabu, Julai 18, 2007

PASIR MAS

Dalam satu sesi suaikenal kumpulan.
Gadis: Saya berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Pemuda: Tak nampak macam dari Pasir Mas pun?!
Gadis: !@#$%^&!


..................
PS:
!@#$%^&! bukan loghat Kelantan.

Selasa, Julai 17, 2007

SANDAL HERCULES

Kira-kira duit dalam saku. Mmm... ada lebihan ni. Boleh sambar sepasang sandal.

Aku pun masuk kedai kasut dan memilih-milih sandal yang aku suka. Fuh! Aku nampak sandal PVC yang menyamar sebagai sandal kulit. Busana sebegini mungkin dipakai oleh Hercules atau Conan The Barbarian. Aku teruja. Aku pun mencuba.

"Ini sahaja saiz yang ada bang," kata gadis jurujual yang berpengalaman 10 tahun menyarungkan kasut ke kaki pelanggan.

"Untuk kaki kanan saya, saiz 8 ni memang ngam," aku memberi penerangan;"tetapi untuk kaki kiri- longgar."

"Memang begitu, kaki kita memang besar sebelah."

"Mmmm. Saya beli sebelah kanan saiz 8 ni dulu, dan sebelah lagi bila stok 7 1/2 sampai."

"Hii, Hiii, mana boleh," gadis jurujual itu ketawa.

Aku pun tidak jadi beli. Aku pembeli bijak, aku akan cari hari lain, di kedai lain. Itu pun jika masih ada lebihan wang dalam saku aku.

p.s.
Sekarang kalian sudah tahu saiz kaki aku, jangan berimaginasi yang bukan-bukan.

Isnin, Julai 16, 2007

KESAL

"Woah! Mamat tu tarik rambut awek tu!" aku kata kepada minah aku. Minah aku yang duduk di kerusi belakang diam tidak terkata apa-apa. Afimon duduk di atas ribanya. Sabrinamon pula sedang tidur di sebelah aku, lengkap dengan pakaian seragam tadika.

Kancil aku kiam di simpang memerhati drama pagi Isnin. Seorang lelaki bertubuh sasa berambut gondrong sedang menarik rambut seorang wanita kurus. Wanita itu tidak menjerit tetapi tubuhnya mengeliat melawan tidak mahu dipaksa masuk ke dalam Satria berwarna merah. Deretan rumah-rumah teres di sekeliling bisu seribu bahasa.

Seribu kemungkinan bermain di kepala aku. Mereka laki bini? Pasangan kekasih? Adik beradik? Pelacur dan bapak ayam? Pelakon drama? Haruskah aku masuk campur?

Aku tekan hon. Ponnnnnn! Ponnnnnnn! Ponnnnnnnnn!

Lelaki gondrong itu memandang ke arah aku. Dia menunding jari. Mulutnya menjerit tapi aku tidak dengar butir percakapannya. Pun begitu aku pasti bunyinya, "Kau jangan masuk campur!"

Minah aku naik takut. Dia kata kepada aku, "bang, jalan cepat bang." Minah aku risaukan aku, anak-anak dan dirinya sendiri tercedera. Aku pun tekan minyak dan berlalu. Dalam hati aku penuh rasa bersalah.

Aku hantar Sabrinamon ke tadika dan segera berpatah balik ke jalan itu. Sisa drama tadi masih ada, seorang jiran lelaki keluar dari rumah pergi ke jalanraya dan kereta Satria menderu laju hilang dari pandangan. Tiada wanita kelihatan.

Maaf anti-klimaks. Aku ada peluang jadi hero tapi aku tidak ambil peluang. Aku ada peluang tulis peristiwa yang lebih hebat di sini tapi aku tidak ambil. Itulah tahap iman aku hari ini, sekadar bunyi hon kereta di pagi hari.

Sampai sekarang aku masih tercongak-congak kesal.

Jumaat, Julai 13, 2007

HUJAN DI TENGAH HARI



Kain di ampaian mula menari-nari menyambut angin dari Selatan. Aku sangka panas sampai ke petang, rupanya mendung di tengah hari.

"Hari nak hujan. Gelap je langit tu bang," kata dia yang berdiri di jendela menyelak langsir.

"Bagus juga hujan. Dah lama tak hujan."

"Saya nak angkat kainlah bang," kata dia lagi tetapi masih memegang langsir. Cahaya dari luar jendela membentuk silhut tubuh yang berkeluk-keluk.

"Biar abang yang angkat kain tu. Awak berehatlah."

Aku mengorak langkah.

"Bukan angkat kain inilah. Angkat kain yang di luar tu lah. Hih hih hih. Mmmm."

"Mmmm."

Hujan pun turun. Mula-mula rintik. Kemudian renyai. Kemudian rembes. Kemudian rembas. Lebat selebat-lebatnya.

Titik-titik air melekat di kaca jendela.

Kain di ampaian lencun dibilas-bilas. Esok boleh masuk mesin, dan pusing perah sekali lagi.


............

Photo by Andy.

Khamis, Julai 12, 2007

CEREKA

Cereka ini bukan rekaan semata-mata. Ia berlaku dulu, ketika pilihanraya sudah hampir. Tiba-tiba keluar ura-ura dari media bahawa tambang haji akan naik.

Orang ramai jadi heboh. Pembangkang jadi kecoh.

Lat seminggu keluar kenyataan Pak Menteri, pemerintah tidak akan naikkan tambang haji. Pemerintah prihatin. Pemerintah memahami masalah rakyat.

Begitulah lipur warta perdana. Ya, begitulah.

Baru-baru ini ada siaran cereka ulangan tetapi watak lain yang berlakon. Ia berlaku ketika rakyat menunding jari angkara siapa harga barang melambung naik. Tiba-tiba keluar ura-ura beras akan naik harga.

Orang ramai jadi heboh. Pembangkang jadi kecoh.

Lat beberapa hari keluar kenyataan Pak Menteri, pemerintah tidak akan naikkan harga beras. Alasannya, orang kaya beli beras, orang miskin pun beli beras. Pemerintah prihatin. Pemerintah memahami masalah rakyat.

Masalahnya ramai yang tidak faham lagi, cereka ini tidak ada kena mengena dengan yang mati dan yang hidup. Kalau ada pun, secara kebetulan sahaja.

Rabu, Julai 11, 2007

KUALA LUMPUR

Dia memulas stereng mengelak deretan pemisah jalan, bongkah-bongkah plastik berwarna oren.

"Kuala Lumpur tidak siap-siap," kata Pyan.

Penumpang lain, aku, Mat Jan dan Su, ketawa berderai. Tanda setuju.

Isnin, Julai 09, 2007

HUJUNG MINGGU 07.07.07

JUMAAT

11.00 a.m. Skudai. Tok tumpang kereta Team Neurmaya untuk ke KL. Mereka ada tugasan fotografi dan video di Brickfield.

Sesak di Senawang. Aku tengok 4 biji lori FRU berhenti. Beberapa ahli FRU jaga lalu lintas sambil memegang mesin gan. Aku ingatkan ada reformasi, rupanya lori FRU pecah tayar.

3.30 p.m. KLCC. Kami Sampai tercepat untuk wedding rehearsal. Kami mahu tepati masa, lalu kami menunggu waktu berlalu dalam panggung wayang. Cerita yang ditayangkan adalah cerita robot-robot bersengketa, Transformers. Aku bagi 4 bintang untuk visual dan 3 bintang untuk cerita.

7.00 p.m. Brickfield. Kami bertolak ke tempat wedding rehearsal, Gereja Brickfield. Kali pertama aku masuk gereja. Team Neurmaya memulakan tugasan pra-pengambarannya.

10.30 p.m. Ampang Point. Sampai ke San Francisco Coffee. Team Neurmaya jumpa pelanggan. Aku lepak di smoking area dan minum cokelat.

SABTU
12.00 a.m. Ampang. Al-Rawsha. Restauran Timur Tengah. Pesan Lamb Mendi. Pelanggan lain kebanyakannya Arab berhidung mancung. Aku rasa macam kat timur tengah. Aku dongak ke langit kalau-kalau ada bom jatuh.

2.00 a.m. Seksyen 7. Shah Alam. Zzzzz.

09.00 a.m. Seksyen 7. Layan DVD- Zorro. Tak habis.

10.00 a.m. Seksyen 7. Mamak. Khalifah. Roti canai tampal dua.

10.30 a.m. Seksyen 7. Layan VCD- Sumolah.Hampir habis.

12.30 a.m. Seksyen 19. Shah Alam. Team Neurmaya turunkan aku di kenduri kahwin sepupu aku. Nenek lain. Aku makan cepat-cepat. Aku tidak kenal sesiapa. Rasa segan. Aku simpan telur pengantin dalam poket depan seluar. Minta diri.

1.00 p.m. Seksyen 20. Shah Alam. Menziarah sepupu emak. Keluarga aku pun ada di sana. Telur dalam poket seluar pecah. Ish.

3.00 p.m. Adik aku hantar aku ke Rumah Pena. Jumpa Geng Sindiket Sol-jah (Rujuk Link sebelah kiri). Mereka sedang bertungkus lumus penyiapkan dewan untuk acara Maskara.

5.00 p.m. Mamak. Sindiket Sol-Jah belasah 7-Up. Kenapa entah. Aku pun tak tahu.

6.00 p.m. Sungai Kayu Ara. Berdesup ke rumah Spyz. Anak Spyz yang kecil itu punya konsep bahawa aku ini atok dia. Apa tidaknya, mak bapak dia panggil aku Tok. "Tok, nak basuh tangan," suara comel dia meminta aku bawa dia ke singki untuk basuh tangan selepas makan.

8.30 p.m. Rumah Pena. Acara Maskara. Ramainya orang dalam dewan. Pemuzik, pembaca dan pemuisi mempamerkan kreativiti mereka. Aku rasa seni sangat. Aku rasa sastera sangat. Persembahan terbaik aku bagi kepada duet Esis dan Elmaniq.

Di sana aku jumpa orang yang selama ini aku teringin nak jumpa, Alifstyle (novelis dan ahli silap mata) dan Pyan Habib (Pelakon, penulis, penyair dan ahli silap telinga, Pyan tidak mendengar).

Jali Jaga Kamera

Aku pura-pura sibuk jaga kamera video. Segan la jadi Sindiket Sol-jah kalau tidak menyumbang.

11.00 p.m. Tumpang kereta Pyan Habib untuk ke Melawati. Mat Jan dan Su juga tumpang. Inilah pertama kali aku jumpa Pyan dan Su. Mat Jan dah biasa.

Untuk Pyan pula, inilah pertama kali dia jumpa aku dan Su. Mat Jan dah biasa.

Pyan suruh Mat Jan duduk depan, sementara aku dan Su duduk belakang. Pyan ingat Su itu bini aku. Ha ha ha. Ini Mat Jan tidak biasa.

AHAD
12.00 a.m. Melawati. Mamak. Pyan peramah orangnnya, tidak segarang yang digambarkan oleh Naga. Pyan belanja kami makan malam. Walaupun kami duduk semeja, kami berbual guna teks dari henpon bila ada masalah komunikasi.

Kadang-kadang Mat Jan tolong terjemah untuk semua. Pyan sudah biasa dengan bibir Mat Jan tetapi tidak biasa dengan bibir aku, dan aku juga tidak biasa dengan bibir dia. Mmmm... bunyi macam homo-homo nak bercium pulak. Sebenarnya apa yang nak aku cerita adalah, gerakan bibir aku ketika berbicara tidak jelas di mata Pyan.

1.00 a.m. Pyan hantar Su pulang. Kemudian hantar aku dan Mat Jan. Borak buku dengan Mat Jan, sampai Mat Jan terlelap. Aku sambung borak sendiri sampai 5 pagi. Baru tidur.


9.00 a.m. Melawati. Berjalan 15 minit dari rumah Mat Jan ke bengkel menulis. Aku sudah lama tidak berjalan kaki. Terasa macam pendatang asing bila berjalan kaki melintas lebuhraya. Stereotype.

Ada 15 orang dalam bengkel. Kebanyaknya gadis Pink Platun. Pun begitu, ada juga orang jantan. Pertama kali aku jumpa Pipi dan Kumprinx dari Kuala Lipis yang kebetulan jadi peserta bengkel. Camna budak Punk boleh sesat dalam bengkel Chic Lit? Ha ha ha.

Idea-idea best dibentangkan untuk cadangan buku-buku baru. Cliche Baru. Tunggulah kehadirannya.

11.30 a.m. Naik bas Rapid KL ke Stesen Melawati. Dah lama betul aku tidak naik bas ting-ting. Dari stesen Melawati, aku naik LRT ke Bangsar.

1.30 p.m. Team Neurmaya kutip aku di Stesen Bangsar. Berdesup pulang ke JB. Sangkut di Seremban sebab ada kemalangan. Sebenarnya bukan sebab ada kemalangan tapi sebab orang lorong ke JB sibuk perlahankan kereta nak tengok kemalangan di lorong menuju ke KL. Hampeh.

Sambung perjalanan. Rehat di Air Keroh. Aku naik angin di A&W. Aku berkeras mahukan baki duit aku. 7 sen pun A&W nak cilok dari aku! Akhirnya mereka mengalah, mereka bagi aku 10 sen sebab mereka tiada duit kecik. Bisnes punya besar, duit kecik tak dak! Apa la!

Perjalanan diteruskan. Terserempak dengan lori-lori FRU dari arah bertentangan. Mungkin mereka test tayar baru. Kali ini tidak pecah.

6.00 p.m. Sampai Senai. Yeaghhhh! Sekianlah kisah saya yang pura-pura sibuk macam menteri.

Khamis, Julai 05, 2007

HADIAH BAJU

PETUA TOK RIMAU
Jika ada orang memberi baju kepada engkau, bersegeralah memakainya.

JUSTIFIKASI
Apabila pemberi melihat engkau memakai pemberiannya, dia tahu hadiah itu amat dihargai. Ini akan membuka hatinya untuk lebih pemurah di masa mendatang.

p.s.
Okay, Tok ada "baju 5 minit." Jika mahukannya, sila hubungi Tok. Ha! Ha! Ha! (Ketawa macam jin)


Akan datang:
Gurauan Suami Isteri.

Rabu, Julai 04, 2007

Selasa, Julai 03, 2007

KAWAN ROKOK


Photo by Spheksophobe


"Please sir, may I go out."

Bau tembakau terbakar bagai pheromones. Haruman itu memanggil kawan-kawan untuk ke tandas.

Aku tengah cucuh Dunhill masa Mank sampai. Mank menepuk bahu aku dan memberi kod kepada aku, "Seteng." Itu kod untuk permohonan berkongsi rokok.

"Senteng" itu kependekan kepada "setengah." Cantik bukan? Perkataan setengah yang tidak disebut penuh melambangkan sebatang rokok yang tidak lengkap.

Aku patahkan rokok dan bagi bahagian yang tiada filter kepada Mank. Mank terpinga-pinga.

"Oit! Kau baru belajar hisap rokok ke?" sindir Mank.

Hari itu baru aku tahu erti ritual sosial seteng yang sebenar. Mank yang ajar aku. Pemohon kena tunggu kawannya hisap rokok. Kawan pula tidak akan hisap habis rokok itu. Bila sudah tinggal separuh, dia akan memberi rokok itu kepada pemohon.

Mematahkan rokok kepada dua bahagian adalah prosedur yang salah. Itu perkongsian yang bersifat mementingkan diri sendiri. Individualistik.

Dalam prosedur seteng yang sejati, kalian dapat lihat nilai positif yang tertanam dikalangan perokok-perokok miskin. Rokok seteng menjadi jambatan yang menghubungkan setiakawan yang utuh sehingga tahap sanggup berkongsi puntung yang berairliur.

Pun begitu, nilai-nilai murni ini mungkin pupus jika usaha pihak tertentu tidak dihalang. Aku benci hegemoni kuasa yang sesuka hati menaikkan harga barang kala nilai gaji menurun. Tidak ada kekurangan bekalan, tidak ada bajet dan tidak ada ribut. Tiba-tiba sahaja...

DUTI ROKOK NAIK 15 SEN
KUALA LUMPUR 2 Julai 2007 – Kementerian Kewangan berkata, langkah itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menangani masalah sosial akibat merokok, terutama dalam kalangan golongan muda. – Bernama


Ini bukan masanya untuk menindas kami dengan cukai dosa. Lagi pun, harga yang mahal tidak pernah menghalang orang hisap rokok. Kami mula hisap rokok masa kami belum kerja lagi. Semasa kami tidak berduit lagi.

Berhentilah menindas orang awam sambil memakai topeng malaikat penjaga gaya hidup sihat konon. Tolonglah, fikirkan strategi lain.

Jumaat, Jun 29, 2007

ORANG TERTUDUH

Pose Orang Kena Tuduh

Dalam semua gambar di akhbar yang buat liputan Kes Altantuya-Razak Baginda, tertuduh dari Unit Tindakan Khas, PDRM, sentiasa diberi sesuatu untuk menutup rupa mereka. Biasanya baju.

Tertuduh bukan polis biasanya tidak diberi keistimewaan ini. Tertunduk-tunduk mereka malukan kamera. Kenapa polis diberi keistimewaan ini?

Teori 1: Aib rakan sendiri mesti dilindungi. Oleh itu, rakan sekerja mereka membekalkan baju untuk menutup wajah tertuduh.

Teori 2: Jika polis-polis ini didapati bersalah dan disumbatkan ke penjara, mereka pasti akan dipukul oleh banduan lain. Oleh itu, amat perlu identiti mereka dirahsiakan.

Teori 3: Mereka tidak kacak.

Kalau aku tauke baju, Adibas, Pume, Nuke atau Jkong - aku akan taja baju penutup muka itu. Hari-hari masuk suratkhabar tu.

......................................

LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Rabu, Jun 27, 2007

SINOPSIS

"Kau dah tengok Sivaji The Boss?" tanya aku.

"Best ceritanya. Aku nak tengok lagi," jawab Alwi.

Menurut Alwi, wayang yang dia tonton tu tiada sarikata. Maka, aku pun rasa kurang bersemangat mahu menontonnya.

"Aku pi tengok pun mungkin tak faham. Cuba kau cerita sikit."

Alwi ni dari bangsa Malabar. Dia fasih berbahasa tamil. Dia pun bercerita kepada aku.

Kami bergerak dari markas pergi ke kereta. Pandu kereta dalam 15 minit, sampai ke restoran mamak. Aku pesan roti telur dan kuah kari dan milo o ais. Alwi pula pesan capati.

Kami habis makan dan hisap rokok sebatang, baru Alwi habis bercerita. Sinopsis cerita sahaja dah hampir satu jam.

"Lepas aku cerita ni, tak ada subtitle pun kau boleh tonton," Alwi menutup cerita.

Nasib baik Alwi tidak masukkan lagu dan tarian sekali. Semangat betul Alwi bercerita

Selasa, Jun 26, 2007

GAJI MINIMUM

Negara maju ada konsep gaji minimum. Tujuan utama gaji minimum adalah untuk menjaga kepentingan pekerja. MTUC tuntut tapi kerajaan kata tunggu dulu. MTUC kata dah lewat 8 tahun ni maka mereka pun berpiket.

KUALA LUMPUR 25 Jun – Ahli-ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mengadakan piket secara aman di menuntut kerajaan menimbangkan gaji minimum RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk pekerja sektor swasta. [Utusan]



RM900 + RM300 = RM1200

RM1200/24 hari berkerja = RM50/hari

RM50/8 jam berkerja = RM6.25/jam*


Aku tidak tahulah samada ini gaji patut atau tidak. Biar ahli ekonomi fikirkan.

Kalau ikutkan tembolok aku memang la aku tidak sokong ada gaji minimum ini. Bila umum gaji minimum, tauke kata kos perusahaan pun meningkat. Dia pun tersenyum cari peluang. Barang naik harga lagi. Siapa yang kena bayar? Pengguna juga.

Tapi, bila memikirkan buruh-buruh yang diperah keringatnya dengan upah yang tidak sepadan, maka aku redha la. Kasihan tu. Kerja banting tulang macam nak mapus, tapi gaji cinonet. Sama-samalah kita basmi kemiskinan. Kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran.

..............
*Inilah kira-kira aku, seorang yang pernah mendapat markah 4/100 dalam ujian bulanan Matematik Tambahan pra-SPM. Harap editor cum auditor aku semak congak-congak ini.

Jumaat, Jun 22, 2007

BONDA

Bila surat aku sampai, mak akan suruh adik baca:

"Kehadapan bonda yang diingati. Semoga bonda sekeluarga berada dalam keadaan sihat walafiat. Anakanda di sini usahlah bonda risaukan, warkah dan kuih raya yang bonda kirim sudah sampai pada 10 hari raya."


.....

Aku tanya dalam kelas, "Siapa pernah tulis surat kepada emak sendiri?"

Tiada yang angkat tangan.

Tiba-tiba seorang budak melaung, "Kami minta duit pakai sms je."

Mmmm.. menulis surat ini seni yang nazak. Aku kira posmen sekarang dah kurang kerja tapi kenapa barisan di pejabat pos sentiasa panjang?

.....

"Walaupun, anakanda memohon kuih samprit, yang sampai adalah kuih sagun. Mungkin tin kuih terhentak-hentak di perjalanan."

Khamis, Jun 21, 2007

CERTOT CINTA KERA




Ida jiran sebelah rumah. Dia dan aku selalu tunggu bas sekolah yang sama.

"Dia kirim salam kat awak," kata Ida mengambil peranan sebagai posto.

Orang Melayu katanya berlapik. Sejak dari kecil lagi, malu nak meluahkan isi hati secara terus terang. Takut jatuh air muka.

"Waalaikumsalam."

Semua remaja faham "kirim salam" dari orang berlainan jantina yang engkau tidak pernah bersembang, walau seharian dalam bas sekolah yang sama, bermakna dia sudah jatuh hati. Pengirim mahu hubungan yang serius. Satu hubungan yang melibatkan engkau kena beli kad setiap 14 Februari.

"Siapa yang bagi salam?" aku tanya Ida.

Ida pun memberi deskripsi budak perempuan yang juga melanggan bas sekolah yang sama dengan kami tetapi dari kejiranan yang lain.

Perbualan itu berhenti di situ. Aku tidak menunjukkan minat.

Kalaulah dia tahu, sebenarnya setiap kali Ida di ampaian menyidai kain, aku mengendap di balik langsir. Tidak berani. Hatta untuk menyampaikan salam.

Selasa, Jun 19, 2007

SUPERSTAR



Bila aku sebut Superstar, kalian mesti fikirkan Dahlan Zainuddin dari Kisah Seorang Biduan. Kalau popular di Malaysia sahaja, belum super lagi.

Jumaat lepas penonton merusuh di Cathay Butterworth kerana kelewatan tayangan filem Sivaji the Boss. Menurut berita, penonton pecahkan 'display' dan mahu bakar panggung. Semuanya gara-gara naskah filem itu lambat sampai ke panggung. Pun begitu, akhirnya mereka tayangkan juga Sivaji the Boss midnight show pada pukul 3 pagi.

Bayangkan 3 pagi tu! Masa untuk tidur menurut P.Ramlee.

Pada hari pembukaannya di Malaysia, Sivaji mengaut RM1/2 juta. Ini baru superstar. Malah atas poster filem, nama pelakon utama ditulis sebagai SUPERSTAR RAJINIKANTH.

Untuk menjadi superstar seperti Rajinikanth, kau perlu memahami jati dirinya. Koreograf prosedur kau memakai cermin mata hitam. Campak rokok kau ke udara dan tangkap dengan bibir. Gores mancis dengan penuh gaya. Cucuh rokok kau.

Penyampaian kata-kata mestilah tajam dan tegas sambil mengacu ke langit jari telunjuk kanan engkau. Setiap gerakan ini mestilah ditemani bunyi kesan khas, "wooosh!"

Dan, engkau mesti makan, jalan dan joget sebagai hero. Pedulikan jika kau hanya memakai dothi, tidak berspandex seperti superhero barat. Kau mesti pakai dothi seperti seorang hero juga. Bela mereka yang tertindas. Perjuangkan kaum yang lemah. Jadilah seorang dewa dan musuh kepada syaitan.

Akhir kata, aku memetik kata-kata hikmat Rajikanth dalam Padayappa apabila menekankan dia tidak seperti manusia biasa yang tidak super, En vazhi thani vazhi ... tadekkathingey! ( Jalan yang aku lalui adalah jalan yang lain dari yang lain... jangan dihalangi!)

Isnin, Jun 18, 2007

KENAPA SAYA SUKA RUMAH SAYA



LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Iklan yang kita tunggu-tunggu. 50 Tahun Merdeka oleh Petronas.

Ahad, Jun 17, 2007

SIRI KIRI

Kiri chronicles the trauma suffered by a young girl who witnesses the violent murder of her father and her obsession with revenge.



Copy + paste ke blog anda:

Selasa, Jun 12, 2007

GLOBAL

Rima: Saya sudah kecewa dengan lelaki tempatan. Semuanya tak guna.

Ajan: Jadi awak nak cari lelaki yang bagimana?

Rima: Saya nak cari lelaki Mat Salleh. Lebih romantik.

Ajan: Baguslah. Biarkan kekecewaan awak lebih global selepas ini.

Rima: Jahat!

Isnin, Jun 11, 2007

POLITIK KEPADA SEMANTIK

"Kumpulan P di bawah naungan Datuk M berkumpul secara sulit. Mereka mahu menegakkan Bahasa Melayu. Big isssue ini weh," Naga melapor dari Ibu Kota. Sesekali Naga gaulkan bahasanya dengan habuk-habuk bahasa orang putih.

"Politik kepada semantik. Banyak lagi isu besar lain yang perlu perhatian," aku menjawab menyatakan pendirian non-partisan. Sesekali aku tidak jumpa perkataan Melayu yang sesuai.

"Tu la. Menteri mana tau aku order Maggie dengan air suam. He! He!" sindir Naga. "He! He!" Dia sambung ketawa. Aku tidak tahu sama ada dia ketawa dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia.

..........

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
SENTUHAN SENI - Perokok yang serius.
IslamicTube atau ArabicTube?

Jumaat, Jun 08, 2007

TERIMAKASEYYY


Bangunan Perpustakaan Awam Selangor dalam Pembinaan



Spyz hantar SMS memberi makluman Alleycats di TV1. Aku pun tekan punat meloncat ke TV1.

Ada rancangan khas mengingati mendiang Loga, salah seorang dari Alleycats. Jika engkau mengeja merujuk kepada yang seorang lagi, jangan letak "s" lagi. Sekarang cuma tinggal An Alleycat.

Rancangan TV yang mengulang-ngulang persembahan si mati tidak akan berlaku jika artis yang mati itu Islam. Lain-lain kepercayaan, lain pandangan mereka terhadap cara menghormati kematian.

Mata aku tertancap (kali pertama aku guna perkataan ini) ke ucapan-ucapan yang dihantar melalui SMS yang tertera di kaca TV. Caj 50 sen dikenakan. Ada ucapan dari orang Melayu dan ada dari orang India. Pertama kali dalam sejarah RTM, nampak negara ini muhibbah. Cubaan-cubaan meletak bangsa-bangsa berlainan dengan pakaian tradisional masing-masing dalam persembahan-persembahan sebelum ini nampak plastik belaka. Jelas sekali melalui ucapan-ucapan SMS itu, peminat tidak nampak warna perkauman dalam Alleycats.

Sesungguhnya pertama kali mendengar lagu-lagu Alleycats di corong radio, ramai yang tidak sedar yang menyanyi itu sepasang manusia gelap berambut afro. Mengikut kayu ukur industri muzik sekarang, tidak cukup pakej. Mungkin pada 1980an, kita mendengar dan menikmati bakat seni dengan lebih ikhlas. Bukan kerana paras rupa. Jauh dari pengaruh puak dan bangsa.

Apabila sekitaran media berubah, sikap pengguna muzik juga berubah. Kita disajikan dengan budaya MTV, Muzik-muzik dan lambakan majalah hiburan yang glossy. Media yang "hiburan-centric" mendedahkan kita kepada gabungan audio dan video. Dan video telah membunuh radio. Pengguna mula menumpukan kepada fizikal luaran mendahului bakat.

Hari ini, aku menunggang mesin masa kembali ke 1980 an. Dalam Kancil, sepanjang perjalanan ke pejabat, aku putarkan CD lagu-lagu popular Alleycats. Terkenang seluar jeans dwi-warna. Merah hati berjahit jalur biru di lutut. Juga corduroy dan tee Snoopy yang sempit. Dan kasut Warrior.

Teringatkan kawan-kawan dan endut-endut lama. Jangan risau, minah cun yang mengorat aku tidak marah kerana dia juga punya memori sendiri. Kami nyanyi bersama, jauh dari polis trafik yang mengawal pitching dan tempo.

"Andainya aku pergi dulu sebelummu, janganlah kau bersedih hati. Andainya aku tiada lagi di sisimu, janganlah kau memencil diri. "

Apa diam sahaja. Jom la nyanyi bersama.
"Bayangkanlah masa-masa bahagia, semasa engkau dan aku, bermesra di langit biru. Di waktu kasih berpadu."

Khamis, Jun 07, 2007

BATIK

"Arwah dulu suka sangat baju batik. Kalau bini baru Pak Lah ni suka baju Hawaii, harus kita semua pakai kemeja Hawaii pulak setiap 1 haribulan," getus seorang pegawai kerajaan.

Rabu, Jun 06, 2007

KUOK LA PULAK

Kedengaran suara berlagu riang.

"Lasinda La Cafe Lasinda
Lasinda La Cafe Lasinda"


Watak 1: Siapa la pulak yang nyanyi lagi kopi tongkat ali tu? M. Rajoli ke?
Watak 2: Taklah. Pak Lah.

"Kuok La Pulak!"


......................
Saya sekeluarga menujukan lagu Lasinda Cafe Kopi Tongkat Ali kepada Pak Lah dan Jeanne. Dengan ingatan tulus ikhlas, Selamat Pengantin Baru. Bahagia hingga ke Syurga.
..................

KEBAS 2

 100 copies