Ahad, Disember 01, 2024

73 SUNGAI TELOR

 

Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava.


Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rata-rata RM60 hingga RM100, penganjur bagi harga rahmah. Ini sudah macam jualan murah mahu tutup niaga. 


Aku terus bayar melalui talian dan hantar butir-butir peribadi. Tidak lama kemudian wakil penganjur buat panggilan, “Encik tahukan ini kayuhan luar jalan dan berbukit-bukau?” tanyanya. 


Barang kali penganjur melihat butiran usia aku yang separuh abad dan meragui kemampuan aku. Aku tidak rasa tercabar dengan andaian itu. Malah, aku sendiri pun ragu dengan kebolehan aku. Sepanjang tahun 2024 aku jarang berkayuh berbanding tahun-tahun sebelumnya. Maka, kecergasan aku tidak membanggakan.


Hari-hari menghampiri Kayuhan Ria Sungai Telor cuaca pula selalu hujan. Maka, kuranglah lagi peluang membuat latihan.


Namun begitu aku jelaskan kepada wakil penganjur bahawa aku sudah biasa main luar jalan. Aku ceritakan pengalaman aku bermain dengan lumpur sebelum ini. Tetapi, jauh di sudut hati aku ada rancangan B. Apa ada hal, jika jasmani aku gagal di denai aku boleh naik lori ayam. 


Lori ayam itu apa? Kepada mereka yang tidak biasa dengan konsep acara kayuhan luar jalan, lori ayam adalah gelaran kepada pengangkutan keluar kecemasan yang disediakan urus setia jika ada kecederaan atau peserta gagal lepas had masa yang ditetapkan. 


Maka, pendaftaran kayuhan ria aku termaktublah walaupun amaran awal sudah diberi.


Malam sebelum hari kayuhan, aku mula memikiran rancangan C. Rancangan C aku adalah batalkan kayuhan. Tidak rugi mana pun sebab yang hangus cuma yuran RM10. Barang kalau harganya murah, orang tidak hargai sangat. Jahat sekali niat itu. 


Sebelum tidur, aku mengharapkan hujan lebat esok pagi agar keputusan batalkan kayuhan atau rancangan C boleh dibuat tanpa rasa bersalah.


Pagi itu cuaca baik. Ayam berkokok bersahutan dan burung-burung bernyanyi riang. 


Aku dengan berat hati mengemas barang basikal dan sumbat dalam kereta untuk menuju ke Kayuhan Ria Sungai Telor.


Separuh perjalanan memandu, aku tersedar aku lupa bawa penyembur menthol untuk otot kejang. Terus aku ramalkan kayuhan hari ini ada cerita ngeri. Untuk berpatah balik ke rumah sudah terlewat, aku teruskan pemanduan menuju Sungai Telor.


Kampung Sungai Telor (Tapak Kota Pekan Tua/ Kota Kara) terletak di tebing Sungai Johor dan jauh dari muara. Dahulu ia pernah menjadi ibu kota pertama Kesultanan Johor Lama yang dipimpin oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II. Ada yang kata peninggalan kota lama masih ada tetapi aku tidak penah melihatnya. 


Aku tiba di kampung itu sekitar 7.30 pagi. Kenalan basikal aku pun ramai yang turut serta dalam acara. Gembira sekali dapat bertemu mereka. Kami bersalaman dan berpelukan di tempat letak kereta di hadapan balai raya kampung.


Aku lihat ramai juga peserta-peserta lain  yang sebaya aku. Malah, aku dapat tahu peserta paling tua adalah 70 tahun. Penganjur tidak beri amaran kepada mereka ke?


Singkat cerita, semboyan kayuhan dibunyikan. 300 peserta mula berkayuh. Kami santai-santai sahaja kerana hari ini tiada menang kalah. Ini bukan pertandingan.


Berbekal air 2 liter, aku berkayuh dengan penuh debar.


2 km pertama sudah disajikan bukit di atas bukit. Tayar aku tidak dapat cengkam tanah kerana denai licin dan basah. Aku ambil keputusan untuk mendorong basikal mendaki bukit. Jimatkan tenaga kerana denai masih panjang.


Jarak antara peserta semakin jauh mengikut kecergasan masing-masing. 


Di kilometer 3, rantai basikal terkeluar dari gigi gear takal. Hati aku berbisik, cerita ngeri sudah bermula. Aku laraskan rantai dan gear. Aku teruskan kayuhan turun naik bukit ladang kelapa sawit. 


Di kilometer 4 terserempak dengan segerombolan peserta yang pecut awal. Mereka datang dari denai lain. Mereka kata mereka tersesat jalan. Kami meneruskan kayuhan. 


Jika turun naik bukit ini berterusan, betis aku akan kejang. Aku tahu tubuh aku. Tanpa disangka, denai bertukar landai pula dan peserta berkayuh menyusur sungai. 


Semalam hujan lebat, maka paras air hampir melimpah ke tebing.


Aku terserempak lagi dengan segerombolan peserta yang sepatutnya sudah jauh ke hadapan. Mereka datang dari arah denai lain. Mereka kata mereka tersesat jalan. 


Kami meneruskan kayuhan mengikut riben penanda denai yang digantung jauh antara satu sama lain.


Tompok plot semakin menaik. Aku tertunggu-tunggu nasib yang bakal menimpa aku. 


Tiba-tiba aku perasan kami berkayuh masuk menyongsang denai yang telah kami lalu tadi. 


Dari jauh aku nampak sekumpulan penunggang berkumpul di satu simpang di puncak bukit. Mereka seolah-olah berbincang dengan urusetia penjaga simpang. Mereka kemudiannya ambil simpang kanan. Aku ikut dari belakang.


Kami kemudianya masuk jalanraya. Jalan ini agak mudah berbanding denai luar jalan. 


Meter aku aku menunjukkan 12 kilometer tetapi aku sudah sampai ke garis penamat. Eh... cepatnya. Peluh pun tak sempat pecah. Botol air aku masih penuh. Tidak luak pun air kerana aku berjimat-jimat untuk bukit-bukit yang diramalkan. Kata kayuhan 20 km, mana perginya 8 kilometer lagi?


Rupanya, semalam hujan sangat lebat di Sungai Telor hingga denai yang dirancang digenangi banjir. Penganjur tidak mahu ambil risiko penunggang basikal lemas atau dimakan buaya maka mereka ubah laluan denai di saat akhir. 


Malam-malam buta dalam hujan, siapalah nak cabut dan alih riben penanda jalan? Itu pasal la banyak kekeliruan di kalangan pengayuh. Ramai yang tersesat. Malah, pihak ada ahli urus setia pun keliru dengan perubahan saat akhir itu.


Jika dilihat peta kawan-kawan di atas Strava, masing-masing bentuknya berbeza. Seolah-olah format Kayuhan Ria ini, pergi ikut sini tapi balik pandai-pandailah.


Aku sudahi kayuhan hari itu dengan makan juadah yang disediakan. Berbaloilah RM10 dapat nasi lauk ayam dan kuih muih. Air balang perasa oren dan anggur. Balik modal.


Aku pun siasat kenapa penganjur memberi amaran kepada aku tentang luar jalan dan bukit bukau? Aku mendapat tahu, rupa-rupanya sebelum aku daftar ada kumpulan basikal atas jalan yang bertanya untuk sertai Kayuhan Ria Sungai Telor. Bila dikatakan ini jalur luar jalan, mereka pun tidak sertai acara. Justeru, bila aku mendaftar, terus diberi amaran awal kerana penganjur menyangka aku juga main basikal jalanan. 


Seperti biasa, acara kayuhan ditutup dengan cabutan bertuah. Nombor aku naik, dapat bakul hamper berisi jajan. Bukan balik modal sahaja ni, untung lagi. 


Anti-klimaks betul cerita kayuhan kali ini. 


Agak-agak kau, keterlaluan tak kalau aku  tuntut RM4 dari pengajur untuk ganti baki 8 km denai yang tidak cukup 20 km?

Isnin, November 04, 2024

72 RANCANGAN B



Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah permit masuk hutan. Aku sudah beli dapur kecil yang bila dilipat saiznya cuma sebesar tapak tangan. Aku juga sudah beli tali hammock ringan dari Mr. DIY untuk gantikan tali nylon heavy duty yang biasa aku guna. Persediaan untuk petualangan Jerangkang sudah hampir siap. 

Semalam aku kembali berkayuh ke Ulu Sedili (tapi kami lebih cenderung memanggilnya Sumalayang bersandarkan kepada nama gunung yang berhampiran). Ulu Sedili selalu jadi pilihan terakhir setiap kali rancangan asal terbatal. Sebelum ini, kami ke sini juga sebab Lemakoh tidak jadi. Kali ini, Ulu Sedili menggantikan Jerangkang tidak jadi. 5 hari sebelum pergi, petualangan Jerangkang ditangguhkan kerana Jabatan Hutan Pahang menutup hutan untuk persediaan tengkujuh.

Ulu Sedili adalah tempat mengadu nasib. 17 daripada 30 orang yang sepatutnya ke Jerangkang kini berkayuh dengan semangat waja sebab alang-alang cuti sudah lulus. Kami ini degil bila sampai bab perjalanan yang "orang kampung semua sudah tahu." Jangan tak jadi mat.

Namun, denai Ulu Sedili kali ini bukan seperti yang dahulu. Denainya rosak, berlumpur dan berlopak dalam, dihancurkan oleh jejak-jejak rakus tayar 4WD yang datang tanpa menghormati alam. Seolah-olah hutan ini menjerit diperkosa. Pokok-pokok tumbang dan titi yang hanyut menambah lagi cabaran petualangan. Laluan yang dahulunya boleh ditamatkan dalam masa lima jam kini memakan masa enam jam penuh. 

Ulu Sedili selalu sedia menanti seperti kekasih setia walaupun dia kini hodoh. Perasaan aku bercampur-baur dibanting perjalanan. Kaki sudah kejang dan badan pula mengadu sengal. Aku yang sukarela datang sini, maka tidak adil bagi aku untuk mengeluh. Cabaran denai ini sungguh getir seolah-seolah pengayuh mati hidup semula sebanyak tiga kali untuk sampai ke kem. Akhirnya kami seronok juga kerana ada kenangan rantai putus, tayar bocor, kasut terlucut dalam selut, dan hiking sambil memimpin basikal. Apa yang tidak membunuh secara kekal akan membuat kami lebih kental. Pacat dan lintah, kami ratah sahaja. Senda gurau dan hilai ketawa kami tetap meriah.

Cuma, menang membeli kalah memakai. Baru sesaat aku melabuhkan punggung dalam hammock, talinya putus. Berdebuk, macam nangka busuk aku menghentak bumi. Sakit tongkeng bukan kepalang. Sudah jatuh ditimpa tangga, dalam perjalanan pulang roda aku masuk alur parit ketika menurun bukit. Sekali lagi aku jatuh. Dan tongkeng aku semakin parah. 

Hari ini sakit-sakit pun aku panjat tangga pejabat, bukan naik lif. Malulah naik lif bagi seorang alumni denai barai Ulu Sedili.

Gambar menyusul. Sekian, humble brag aku.

Rabu, Ogos 14, 2024

71 JAANG- PADANG BATU


Jauh di hulu hutan Rompin, Sungai Padang Batu bersatu dengan Sungai Kemelai lantas mengalir lesu di musim kemarau hingga bercantum dengan Sungai Anak Endau. Terus sampai di kuala, bersatu pula dengan Sungai Endau sebelum muntah ke Laut Cina Selatan.

Untuk petualangan Jaang-Padang Batu 3 hari 2 malam, barisan Komplot Bukit Hantu terdiri dari Shahril, Parktoy, Yem, aku, Akak Kau dan Tony. Untuk urusan dapur, Akak Kau jadi chief chef dan lain-lainnya membantu angkut peralatan dapur dan membasuh pinggan di sungai - memainkan peranan anak-anak. Sebenarnya, banyak lagi kerjanya, tapi nak cerita semua jadi tebal kamus pula penulisan ini. Komplot-komplot lain ada sistem penyediaan hidangan mereka tersendiri, masing-masing tapi tidak asing. Rasa macam kami ini sekampung Jakun.

Komplot lain terdiri dari Geng Bandar Seri Alam, Penawo, dan Puak Pelampau Air Tawar. Basikal pun pelbagai - MTB, gravel, fat bike dan e-bike sebiji. Jumlah kami termasuk guide, 25 semuanya.

Perkhemahan di Jaang-Padang Batu Rompin ini cukup rasa. Teringat pesan arwah ayah, “jangan suka sangat, nanti duka,” maka aku tunggu-tunggu apa celaka yang bakal menduga tapi sampai ke hujung tiada. Hanya calar-calar kecil yang tidak menganggu nikmat berbasikal, mendaki, berkhemah dan mencari air terjun. Seronok dapat bersama kawan-kawan yang kemaruknya sama. Cepat benar kami mesra, semalam asing hari ini dah saing. Ye lah, tak semua hamba diduga dengan petaka, ada juga yang diduga dengan nikmat. 🥰

Kenapa aku kata petualangan ini sempurna? Laluan basikalnya 12 km sehala. 3 jam sahaja selesai. Macam fun ride punya piawai. Lalu pula Kampung Orang Asli Sungai Mok yang pada waktu itu menyambut Hari Orang Asli dengan meriahnya. Fokus utama, 3 set air terjun tinggi dan berlubuk yang boleh ditemui setelah 60 minit hiking dari kem. Kami tidak jumpa pacat! Kira bonus besar tu. Cuaca pada hari perjalanan juga cantik. Ada hujan sekejap sekejap tetapi jenis hujan lalu sahaja. Dalam perjalanan pulang, di laluan yang aku ramalkan akan panas terik di waktu tengahari buta kerana jauh dari teduh pokok, hujan renyai menyirami bumi. Rahmat Tuhan! 

Kembali kita ke hulu tempat kami berkhemah di tebing Sungai Kemelai yang mengalir malas hingga batunya mengumpul lumut. Satu jam hiking dari khemah, kita akan lalui Air Terjun Jaang Sungai Kemelai dan Air Terjun Padang Batu yang cantik tiada tolok bandingnya. Kedua-duanya punya lubuk besar gelap dalam hingga kaki tak jejak ke dasar. Air terjun pun cantik dan tinggi. Aku berani terjun dari tingkat atas Jaang (20 kaki) tetapi tidak di Padang Batu yang tingginya 30 kaki.  Aku terlalu banyak fikir tetapi kalau kau beri sedikit motivasi, datang juga sifat berani mati itu. 

Untuk yang kurang yakin berenang di air dalam, boleh la berlatih di Air Terjun Total Lost (Tak tahu nama sebenarnya, tapi ini gelaran yang kami beri.) Total Lost cuma 10 kaki tinggi dan lubuknya tidak luas. Sesuai untuk berlatih berenang. Walaupun tidak begitu gah, batu-batu di sini sama cantik seperti Jaang dan Padang Batu. 

Batu-batu tebing Sungai Kemalai sifatnya berlapis-lapis dan berbongkah-bongkah. Aku dapat lihat batu-batu yang pecah kerana proses hakisan air dan angin berbentuk kotak-kotak. Kalau geografi kau lemah tetapi sejarah kau mantap, semudahnya aku temberang mengatakan hulu Sungai Kemalai ini dulu sebuah kompleks kota purba di mana warganya mahir bertukang batu. Batu-batu piramid Mesir diimport dari sini la.

Setiap yang bermula pastikan akan berakhir. Malam akan bertukar pagi walaupun kau tidak tidur. Malam itu kami sudah taklimatkan, selepas acara cerita-ceriti, tayar akan golek pulang jam 9.30 pagi. Awal pagi itu, Radzi Memerang siap kemas cepat sebab dia mahu ke air terjun untuk mandi. Sedang dia menyelam, dia ternampak satu jam tangan dalam air. Dia berjaya selam dan ambil jam itu, sejenis Garmin (RM2000). Bila pulang ke khemah, dia pun buat pengumuman. Rupanya itu jam Shahril yang dia sendiri pun tidak tahu di mana cicirnya. Alhamdulillah, kalau jodoh tak kat mana. Dah hilang dalam air pun boleh kembali.

Kami pun berkayuh pulang sambil menikmati oksigen pekat hutan hujan tropika.

Begitu mahirnya Layau mengendali basikal meniti perbatasan denai bekas laluan 4WD. Aku yang mengekori cuba meniru tapi aku gagal mengawal keseimbangan.

Roda aku tergelincir dari tebing denai dan basikal tumbang masuk lopak. Kaki kanan tersepit celah bingkai tapi aku tidak cedera. 

Dari belakang Akak Kau jerit “Abang! Abang!” Tony campak basikalnya untuk tolong aku. Begitu juga Alif dan Layau. 

Aku tenangkan semua, “Aku okay.” Akak Kau keluarkan telefon bimbit dan tangkap gambar. Tony pula posing buat peace. 

Aku tidak cedera , cuma ego sahaja yang tercalar.

Kita teruskan kayuh pulang. Seperti biasa, akhirnya aku ikut pelonton paling belakang kerana aku tidak mahu petualangan ini cepat habis. Aku biarkan Akak Kau melaju mengejar apa yang dia hendak kejar.

Sesampainya di perkampungan orang asli Sungai Mok, Akak Kau telefon. Dia dan Parktoy mengadu sesat. Tenang-tenang sahaja, sesat ini mainan pengembara. Nasib baik sudah ada rangkaian internet. Aku bagi lokasi dan perintahkan mereka guna Google Map Satellite Mode untuk cari jalan pulang. Kaedah ini akan menampakan denai offroad dari atas langit. Sekonyong-konyong mereka pun sampai bersatu dengan pelonton akhir aku. 

Kami terus kayuh hingga bergabung di titik akhir bersama semua pengayuh. Semuanya senyum ketawa gembira tetapi mengeluh terpaksa pulang ke pangkuan realiti esoknya kerja. 



Jumaat, April 05, 2024

70 COSTOCHONDRITIS


 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam. 


Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serangan jantung. Apa tidaknya, kisah klasik kematian serangan jantung adalah arwah sebelum itu mengadu sakit dada. 


Hari tu aku mengadap komputer dari pagi sampai ke lewat petang. Penyediaan dokumen dan online conference silih berganti. Sekitar 5.45 pm rasa sakit yang menusuk tengah dada bahagian sternum seperti ada orang menekan. Sakit bertambah jika aku cuba menghela nafas dalam, maka aku hanya mampu tarik nafas cetek. Jika aku bergerak, sakitnya semakin parah. 


Perlahan-lahan aku tutup komputer dan aircond pejabat. Aku kunci pintu dan turun tangga menuju parkir. Tiada staf lain kelihatan lewat petang itu. Semuanya sudah pulang.


Aku memandu sendiri perlahan ke arah klinik berdekatan. Otak aku tidak boleh fokus dalam kesakitan itu.


Terlintas satu pertanyaan, perlukah aku pos entri kata-kata terakhir di facebook? Jawapannya aku jawab sendiri, tidak. Sudah banyak entri aku dalam facebook, twitter, instagram, google map review, dan segala mak nenek media sosial. Apa yang perlu diperkata telah diperkata. Malah berlebih, mungkin membawa dosa. 


Di klinik aku mengadu kepada doktor dalam keadaan panik dengan nafas yang pendek-pendek. Doktor memeriksa degupan jantung dan menekan-nekan dada. 


“Encik bersukan ke?”

“Ya. Saya main basikal.”


Hampir aku bercerita pasal touring Kuala Kangsar ke Bachok tetapi segera aku brek. Mendabik dada begitu boleh menambah dosa. 


“Degupan encik normal. Selayaknya seorang atlit.”


Hidung aku kembang.


“Tapi saya sukar bernafas.”


“Sakit encik ini bukan organ dalaman tapi otot sangkar dada.”


Setelah mendapat suntikan painkiller, kesihatan aku memulih. 30 minit kemudian aku dibenarkan pulang berbekal krim dan pil anti radang. (Editor: Uncle radang ada tak?)


Di rumah, aku buat kajian Internet. Dari tanda-tanda yang nyata, sakit ini menjurus ke arah costochondritis, bukan serangan jantung. 


Secara bahasa, "costochondritis" berasal dari gabungan kata "costo-" yang berarti "tulang rusuk" dan "chondro-" yang berarti "rawan". Jadi secara harfiah, costochondritis mengacu pada peradangan pada tulang rawan yang menghubungkan tulang rusuk dengan tulang dada. Sistem otot ini melibatkan bahagian belakang tubuh hingga ke depan.


Aku syak ini padah kerusi pejabat yang tidak ergonomik dan duduk terlalu lama dengan postur tubuh yang salah. Internet mencadangkan senaman-senaman tertentu untuk mengatasi costochondritis.


Namun dalam usia yang sudah terlewat untuk mati muda ini, kerisauan aku masih sahaja bermain di fikiran. Mungkin malaikat maut belum memberi salam saat itu. Dia cuma bagi miscalled dahulu. 



Selasa, Disember 26, 2023

69 HUJAN DAN LUMPUR

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan.

Masa aku main di kawasan Rambah, tahi lembu basah merecik atas botol air. Uwek! Sepanjang jalan aku menahan dahaga.

Namun ada hikmahnya kayuh dalam hujan. Automatik basikal jadi bersih seperti dibasuh.

Dan bagi mereka yang punya rack basikal atas bumbung kereta ada tambahan nilai. Bila sampai rumah, basikal sudah bersih.

Tapi jika hujan sudah berhenti tapi kau masih mengayuh basikal hingga menyebab berlumpur tubuh dan keringat membasah bumi (Mmm... macam lirik lagu pula.), basikal kau akan penuh selut. Kadang-kadang kau perlu singgah kedai cuci kereta. Kedai biasa buat muka bila tengok selut banyak sangat. Apa masalah mereka? Bukannya aku tak mampu bayar. Aku pernah kena tekan hingga RM10 untuk satu basikal. Padahal, 5 minit dah selesai sembur lumpur tu.

(Entry ini belum ada punchline. Just Curhat)




Jumaat, November 17, 2023

68 GHOSTED DI BUKIT HANTU

Suatu hari, Akak Kau hilang di Bukit Hantu. Dalam peloton kami,  dia berada di posisi belakang sekali sebagai sweaper. Aku pula paling depan sebagai pemandu arah. Di tengah-tengah adalah Noar yang masih tidak hafal denai dan Dora yang pertama kali masuk Bukit Hantu. Kami berempat semuanya.

Aku sampai di tebing scenic view Bukit Hantu terus campak basikal atas rimbunan lalang sebab penat. Aku tengok belakang, Akak Kau tiada. Aku tanya Noar dan Dora. Jawapan mereka sama, “baru tadi ada di belakang.”

Aku berjalan kaki ke simpang terakhir sambil menjerit-jerit memanggil namanya. 100m ke belakang aku menyusur jalan namun tiada jawapan. Baru teringat nak telefon tetapi telefon tertinggal bersama basikal yang aku campak di lalang. 

Suasana sunyi sepi, tiada bunyi haiwan. Burung pun tidak bernyanyi. Cuma desir angin bertiup buat pelepah-pelepah daun kelapa sawit bergeser. Jauh sudah aku berjalan.  Noar dan Dora pun sudah tidak kelihatan.

Entah-entah aku yang sesat. Aku patah semula ke arah basikal. 

Tiba-tiba aku teringat cerita pendaki gunung masuk alam bunian. Di alam bunian dia terjumpa sebuah kampung. Penduduk kampung tersebut memakai jubah dan baju kurung putih. Dia dilayan baik oleh penduduk kampung. Dia diberi makan dan dijemput tinggal di kampung itu. Oleh kerana budi pekertinya baik, berkenanlah Raja Bunian untuk dijadikan menantu. Nak tolak payah sebab sudah termakan budi. Mahu tidak mahu terpaksalah pendaki itu berkahwin dengan puteri Bunian yang cantik molek itu. Maka beranak pinaklah keluarganya.

"Ada ni Tok," jerit Noar sambil memegang telefon. Aku tersentak dari lamunan. 

Noar kata, "Akak missed simpang scenic view Bukit Hantu dan terlajak ke hadapan." Nasib baik Noar telefon, tidaklah jauh terlajaknya.

Sekonyong-konyong tibalah Akak Kau ke scenic view. Aku sambut dengan gembira tapi tidak aku ceritakan lamunan  bunian aku tadi. Risau dia trauma nanti.




Isnin, Oktober 16, 2023

67 JAMBORI


Kenapa kita namakan mamalia laut besar yang meloncat-loncat itu lumba-lumba? Sepatutnya kita ini yang dinamakan lumba-lumba dan mamalia loncat-loncat itu dipanggil manusia. Sebagai manusia, kita berlumba-lumba antara satu sama lain untuk mencapai kemenangan, sama ada kemenangan itu ditakrifkan dalam bentuk paling kaya, paling berkuasa, paling dominan, paling bergaya, atau paling podium. Hidup ini penuh perlumbaan. Tak gitu?

Selama ini aku mengelak jambori MTB kerana aku fikir usia dan tenaga aku tidak sesuai untuk perlumbaan dengan saingan sengit tetapi Mijer menawarkan pilihan yang mengundang dilemma. "Aku sudah beli tiket Kulai Jamboree 30km tetapi tidak boleh pergi sebab ada majlis lain. Kalau Tok tak ganti aku, dia hangus begitu sahaja," katanya. Aku fikir panjang tetapi kerana penasaran, aku terima tawaran. 

Ini pertama kali aku masuk jambori sejak aku mula main basikal.

8.00 pagi. Dalam keriuhan terdengar daripada corong pembesar suara DJ memainkan lagu tema filem Rocky, Eye of the Tiger. DJ membuat kiraan kebawah. 3,2,1... Hon permulaan dibunyikan. 600 peserta berlepas dari garis permulaan Kulai Jamboree. Aku berdebar memulakan kayuhan sambil berhati-hati mengelak peserta lain yang masing-masing sangat rapat jaraknya. 1 km pertama sudah ada pesaing yang tergelincir di aspal jalanan. Di kilometer kedua pula seorang lagi jatuh dan digilis peserta lain. Peserta lain tidak berhenti. Kami serahkan kepada marsyal jambori untuk membantu. Sengit betul saingannya. 

4 km, kami memasuki offroad dan jarak antara peserta semakin renggang. Aku lihat brader yang jatuh di kilometer pertama memotong aku. Kental mamat ni. Kemudian ada beberapa peserta wanita potong aku. Aku berbisik dalam diri, "Jangan tertekan. Kayuh ikut kemampuan." 

Pada waktu ini jarak pengayuh paling hadapan dan paling belakang adalah 9 minit.

Udara off road aku hirup segar. Denai menyelit-nyelit dalam ladang sawit dan kebun sayur boleh dianggap halwa kepada mata yang memandang. Jalur cahaya Matahari pagi menerombos dari celah dedaunan. Terdetik untuk keluarkan telefon untuk tangkap gambar tetapi ini adalah perlumbaan. Setiap detik adalah berharga.

5 km, kami bertemu bukit pertama. Ramai peserta menolak basikal  tetapi aku gagahkan kayuh. Berkat latihan di laman Bukit Hantu, aku mampu lepas tanpa menolak. Aku sedikit riak. Aku mula menambah markah imaginari untuk diri sendiri. Aku tambah markah setiap kali aku pintas penunggang dengan basikal mahal atau pengayuh lebih muda atau berkasut cleats atau pikul water bladder atau berpakaian baju seragam team basikal. Pendek kata, untuk motivasikan diri dengan memberi markah setiap kali aku mengalahkan orang yang aku andaikan lebih basikal daripada aku. Chaiyok!

15 km, aku agak bangga dapat berkayuh tanpa henti. Tiba-tiba aku lihat bacaan jam pintar mempamerkan degup jantung  175 BPM. Aku kena perlahankan kayuhan kerana untuk usia aku, kadar maksima yang dinasihatkan Chat GPT adalah 155 BPM. Orang muda kena jaga tempo kayuhan (cadence) tetapi atlit tua kena jaga tempo BPM. Apa pun, cut off time untuk checkpoint pertama adalah 10.30 pagi tetapi aku sampai jam 9.30 pagi. Awal sangat ni. Hidung aku kembang bangga.

Ada marsyal tegur, "Uncle, kalau nak naik lori belok kanan." Aku tidak pedulikan dia lantas belok ke kiri bersama ego ku. Ada beberapa penunggang yang sudah tidak larat mengayuh memilih memanjat lori. Hina betul lori itu, ada ke patut mereka hias dengan susunan sangkar ayam. Aku teruskan kayuhan dengan keyakinan bahawa aku boleh tamatkan jambori ini. Aku menuruni satu denai tunggal berliku dengan semak-semak rendah. "Ini makanan aku," bisik hati ku gembira. Bunyi angin laju berdesup di telinga. 

Tiba-tiba, di balik selekoh muncul satu lopak melintang di atas denai. Kalau tekan brek pun sudak tidak sempat. Pilihan yang ada cuma bunny hop kecemasan. Zasss.. basikal aku terbang tetapi malangnya tidak berjaya melepasi lopak. Tayar basikal hentam tebing lopak, air keroh merecik dan aku tergolek ke masuk belukar. Untuk beberapa saat aku terbaring merenung langit. Matahari pagi sudah tinggi. Tiada awan di dada langit. 

Aku menghela nafas dalam. Kemudian aku hembus. Aku gerakkan bahu dan kaki, tiada kecederaan teruk atau patah. Cuma lebam atas lengan. Aku bangkit dan periksa basikal. Alhamdulillah, tiada kerosakan dan masih boleh gerak. 

Bila aku kangkang kaki untuk duduk atas basikal terasa tanda-tanda kejang sudah datang. Mula-mula dia main di betis kanan kemudian dia naik ke peha. Lepas tu merayap pula ke kaki kiri. Penghujungnya kedua-kedua kaki aku keras dengan otot dalaman berdenyut-denyut. Kekejangan ini datang dan pergi daripada jarang-jarang kepada kerap-kerap sepanjang perlumbaan. 

Aku sudah ramal kekejangan akan datang bila otot ditekan dan suhu meningkat. Aku sudah minum air garam ORS banyak juga sepanjang jalan bagi mengelakkan kejang. Senjata akhir aku adalah semburan penenang otot bagi mengurang sakit. Bahan utama dalam semburan ini adalah menthol dan camphor. Bahan ini boleh menyejukkan otot yang kejang.

Aku sembur betis dan peha dari masa ke semasa.

Kayuhan aku mula lemah dan perlahan. Bagusnya kiraan degup jantung aku menurun tetapi buruknya pengayuh lain mula memotong mendahului. Markah imaginari aku makin merosot. Pedih betul kejang ini. Menyesal aku tak naik lori ayam masa berkesempatan tadi.

Matahari makin tinggi dan bilangan peserta makin kurang di denai. Gelombang haba makin di rasa. Aku terus mengayuh di jalan rata dengan hujung jari kaki menekan pedal dengan harapan kejang aku pulih. Bila jumpa bukit, aku tolak basikal. Kaki aku sudah mengalah dengan bukit-bukau, tidak lagi aku melawan mereka. 

20 km, aku terserempak seorang budak 20an duduk di tepi denai dengan darah mengalir dari hidung dan bibir. Beberapa peserta lain sedang merawatnya. Mereka tarik mangsa dan basikal ke tepi agar tidak dilanggar basikal lain. Aku lihat di tanah darahnya banyak tertumpah. Kemudian datang seorang marsyal dengan motorsikal mengambil mangsa untuk rawatan selanjutnya. 

(Selepas habis jambori aku jumpa mangsa di khemah rawatan. Ceritanya  Dia pinjam basikal kawan. Ini kayuhan pertamanya. Dia kalah dengan strok haba dan kepenatan lantas pitam semasa kayuh. Mangsa tidak ingat pun waktu dia jatuh. Sedar-sedar dia sudah membonceng motor marsyal. "Boleh dapat medal ke?" tanya mangsa)

Sesekali aku berselisih dengan kumpulan peserta saling membantu baiki basikal seperti tayar bocor atau rantai putus. Sikap mereka sangat terpuji. Mungkin mereka tidak kenal pun antara satu sama lain. Di denai ini mereka menjadi saudara. Ada juga peserta-peserta yang berehat di bawah teduh sambil bersembang dan bergurau sepertinya mereka bukan dalam perlumbaan. Santai sekali.

26 km, denai mula berubah dari kebun kelapa sawit yang redup kepada kebun lalang, kepada padang pokok menjalar dan kepada taman pasir bebatuan. Kemudian aku bertemu semula dengan jalan aspal di mana redup pokok menjadi langka. Cuaca hari itu mencapai 34 darjah celcius. Badan mandi keringat dan matahari makin menyengat. 

29 km, ada simpang masuk ke dari jalan aspal ke offroad semula. Di situ, aku lepaskan basikal dan rebah. Aku tidak mampu berdiri lagi kerana otot kaki sakit kekejangan. Aku bersandar di pokok. Marsyal simpang merawat dengan menyembur otot dan memberi air. Beberapa peserta lain yang kejang turut tumbang di tempat sama. Aku sudah tidak peduli siapa yang memintas aku. Rehat juga adalah cara merawat kekejangan.

Bila otot aku sudah lembut dan kendur, aku kembali mengayuh. 

Laluan akhir adalah offroad berselekoh dan muka bumi bergelombang. Tinggal 1 km lagi. Dari kejauhan sudah kedengaran sayup pembesar suara riuh meraikan pemenang-pemenang podium. 

Aku kayuh dalam tempo yang perlahan bagi mengelakkan kekejangan.

"Tolong! Tolong! Tolong!" aku dengar jeritan di balik selekoh yang dilindungi pepohon. 

Aku dapati seorang anak muda 20an kekejangan di atas basikal. Terlalu keras kakinya sehingga untuk turun basikal pun tidak boleh. Aku campak basikal aku dan perlahan-lahan rebahkan dia bawah redup pokok. Dia mengerang kesakitan sambil merungut tentang rekabentuk denai yang banyak bukit. Aku ulang-ulang sembur penyejuk untuk rehatkan ototnya. Aku picit-picit ototnya. 

Kami berteduh sebentar.

Bila kami cukup tenaga, kami gagahkan diri untuk tamatkan kayuhan. Riuh rendah keraian podium semakin jelas. Aku harap mereka tidak mulakan cabutan bertuah tanpa aku.

30 km. 12.30 tengahari, aku dihulurkan medal penamat. Tertera atas pingat, aku ini penamat ke-507. Aku fikir sekianlah derita otot aku untuk hari tersebut. Aku hari ini lebih baik dari yang semalam sebab sekurang-kurangnya aku kini pernah menghabiskan jambori (atau jambori menghabiskan aku.) 

Aku raba-raba saku dan beg basikal mencari telefon. Aku mahu sync data meter basikal dengan telefon tetapi telefon aku tiada. Sah cicir! Aduh! Aku ini macam Pak Kaduk sungguh. Terlalu berharapkan cabutan betuah, dapat pula cabutan malang.

Aku maklumkan seorang marsyal jambori jika terjumpa telefon, sila hubungi aku. Dia tawarkan untuk menyusur kembali laluan denai untuk mencari telefon itu dengan motor. Aku pun membonceng. Sepanjang jalan berselisih dengan beberapa sisa penunggang yang gigih mengagahkan diri menamatkan jambori.

Aku minta marsyal itu berhenti di tempat aku bantu orang kejang tadi. Alhamdulillah jumpa telefon di balik lalang. Mungkin cicir masa aku campak basikal ketika kecemasan tadi.

Sekonyong-konyong muncul seorang peserta menyorong basikal dan tumbang di tempat yang sama. Parah sangat kejangnya. Marsyal mencadangkan mangsa membonceng motornya dan aku kayuh basikal mangsa ke garis penamat. Aku akur walaupun kekejangan aku masih terasa.  Aku kayuh perlahan ke garis penamat sekali lagi tapi kali ini aku ikut jalan pintas aspal. Dua kali aku lalu garis penamat hari itu.

Hakikatnya lumba-lumba adalah haiwan yang berkerjasama. Saintis merakamkan bagaimana 5-6 ekor lumba-lumba bergotong royong mengepung dan mengumpul ikan untuk disambar. Mereka haiwan sosial berkawanan yang mungkin gagal jika hidup secara solo. 

Aku juga gagal jika hanya menumpukan kepada sengit persaingan. Aku berdamai dengan format jambori kerana selain medal fizikal yang diraikan, ada piala-piala tidak nampak dek mata yang aku kutip sepanjang denai 30km ini. 

Aku sync data kayuhan dari meter ke telefon. Jarak 31.07km. Purata kelajuan 13km/jam. Kutipan ketinggian 516m. Tempoh keseluruhan 4.30 jam. Tempoh pergerakan 2.23 jam. 

Aduhai! Tempoh berhenti lebih panjang dari tempoh bergerak.

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...