Selasa, Disember 26, 2006

BAH TERUK

Aku menulis entri ini menggunakan laptop dengan bateri tinggal separuh. Aku gunakan kad 3G untuk terbitkan entri blog ini ke Internet. Teknologi memungkinkan komunikasi ini.

Gerobok tempat aku bertenggek mula kembang dan membengkak permukaannya kerana menyerap air. Apalah hendak diharap sangat dari perabot chipboard murah D.I.Y. dari Giant ini Kini dia mula bergoyang-goyang hilang keseimbangan.

Aku terjaga sekitar jam 4.00 pagi kerana terasa tilam aku basah. Aku sangkakan aku mendapat mimpi basah tetapi ternyata aku salah sangka. Aku memang tidak suka apabila mendapat mimpi basah tetapi tidak ingat langsung butir-butir dalam mimpi itu. Rugi. Apa pun, ini bukan mimpi basah. Tilam aku basah benar-benar oleh air, H20 bercampur lumpur dan sampah. Tilam aku basah kerana air hujan turun tidak henti-henti hingga menyebabkan banjir. Air dari gunung turun dengan banyaknya. Manakala, di baruh pula pasang keling. Sekarang pukul 5.00 pagi, air sudah sampai paras dada.

Aku sepatutnya keluar dari rumah semasa air paras pinggang tadi, tetapi semasa aku mahu keluar dari bilik, aku terampak beberapa kelibat sedang selongkar almari pinggan Correl mak aku. Aku syak itu anak jantan Mak Limah dan kuncu-kuncunya sedang menaguk di air keruh. Dia baru keluar dari Serenti tapi masih tidak hilang giannya. Aku nak lawan tapi takut sebab mereka ramai dan aku seorang. Aku masuk semula dalam bilik dan kunci pintu.

Sekitar 4.30 pagi aku dengar kecoh di ruang tamu. Aku dengar mat gian-mat gian itu menjerit. Mahu kata mereka jumpa emas, bunyi jeritannya macam menakutkan. Aku terdengar juga bunyi debus-debus percik air macam budak-budak main di kolam taman KLCC. Tapi sekejap sahaja bunyinya, kemudian sunyi.

Aku nampak air banjir yang keruh kekuning-kuningan bertukar menjadi merah. Warna itu masuk ikut celah pintu bilik yang berkunci. Aku mahu keluar ikut tingkap tapi tingkap rumah ini kukuh berjeriji besi. Aku panjat gerobok pakaian dan bertenggek di atas. Nasib baik laptop ini ada atas gerobok, boleh aku berkomunikasi dengan dunia meminta pertolongan.

Renyai hujan di luar bergendang atas bumbung zing seperti kumpulan speed metal. Aku bertenggek atas gerobok mengigil-gigil. Apa tidaknya. Sedang aku khusyuk memerhatikan pintu bilik, satu rempuhan yang dasyat memecahkan pintu bilik. Bukan pasukan penyelamat yang masuk tetapi seekor buaya 10 kaki panjang kini terapung di muka pintu. Di mulutnya ada tangan manusia yang masih segar. Bilik aku dah jadi kolam darah.

Kemudian bilik aku menjadi gelap. Aku tidak pasti samada litar terputus di suis utama rumah atau di pencawang TNB kampung aku. Aku tidak nampak buaya itu lagi kerana bilik aku gelap. Namun, aku pasti buaya itu nampak aku kerana skrin laptop ini mengeluarkan cahaya menerangkan muka aku.

Ini pasti buaya Stephen Poo Kee. Di ladangnya di hujung kampung, ada buaya, biawak, kancil, beruang dan musang. Dia bukan tauke zoo tetapi dia pembekal binatang-binatang eksotik untuk restoran-restoran di pekan. Dulu, aku nak melapor kepada polis tetapi Pak Ngah aku menghalang. Nanti siapa nak beli tenggiling-tenggiling yang Pak Ngah tangkap di ladang kelapa sawitnya? Pak Ngah memang usahawan tulin.

Alamak gerobok aku bergoyang lagi. Hampir roboh. Kritikal ni. Bila-bila masa sahaja aku boleh jatuh. Kalau kamu baca blog ini, sila telefon polis, bomba atau apa-apa pasukan penyelamat berdekatan. Minta mereka segera selamatkan aku di alamat...

[Fade to black]

.............
Nota: Sebenarnya penulis dalam keadaan dukacita bila bah di Johor amat teruk. 65000 orang yang menjadi mangsa. Untuk meluahkan kesedihannya, dia menulis fiksyen ini. Sementara menunggu orang yang menamakan hurricane di U.S sebagai Katrina dan taufan di Filipina sebagai Durian mendapat ilham sambil membelek Buku Nama-nama Anak, penulis menamakan banjir besar ini sebagai BAH TERUK. Semoga kita semua lulus ujian yang satu ini.

(Sumbangan dan bantuan : sila salurkan melalui PBSM, MERCY, Yayasan Salam atau Tabung Mangsa Banjir TV3)

Khamis, Disember 21, 2006

DISEMBER HAMPIR HABIS





KLIK GAMBAR UNTUK MAKLUMAT LANJUT

Rabu, Disember 20, 2006

PIALA MONSUN

Aku nampak dua lelaki muda berdiri di kaki lima jambatan yang merentas Sungai Senaiville. Mereka memerhatikan air sungai yang melimpah menenggelamkan rumah-rumah sekitar akibat marathon hujan 48 jam. Mereka kelihatan tidak sedih. Mereka ketawa-ketawa sambil tangan menunjuk-nunjuk kawasan yang tenggelam. Mungkin mereka bukan orang tempatan. Ini kali pertama mereka melihat banjir. Mungkin.

Wiper aku menari ke kiri dan ke kanan menepis hujan renyai-renyai. Perjalanan aku amat membosankan kerana sekejap laju sekejap sesak. Ada bahagian-bahagian jalan yang tenggelam dek monsun.

Aku biarkan kereta di hadapan aku bergerak jauh ke hadapan. Ini memberi kereta aku ruang kelegaan untuk menderas. Aku tekan minyak. Vrooom!

Tayar aku ligat melanggar lecak. Swosshhhh!

Aku tidak melihat belakang. Aku cuma dengar suara mereka menjerit, "Hoiiiiiiii!" Hujan bertambah lebat untuk anak-anak
muda itu.

p.s.
Aku tidak bangga dengan tindakan aku.

.....................................

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Ramalan Cuaca 7 Hari Johor Bahru

......................................

KAJIAN
Saudara Tok Rimau,
Saya mendapat contact anda menerusi Syed Syahrul. Maaf kerana mengganggu. Saya ialah pelajar sarjana dari Universiti Malaya, dan saya ingin meminta pertolongan sedikit atas kajian saya dalam thesis yang bertajuk " Mampukah blog menjadi kaedah efektif untuk mendemokrasikan Malaysia?"

Kajian ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu temuramah dengan blogger dan satu tinjauan bagi semua pembaca blog & pengendali blog dari Malaysia. Bolehkah anda tolong isikan tinjauan tersebut, dan sebarkan tinjauan ini di dalam blog anda?

Publisiti ini adalah untuk tujuan akademik saja =). Oleh sebab saya memperhatikan bahawa komuniti blog dalam Bahasa Malaysia jauh lebih besar daripada komuniti blog Inggeris, kajian saya tentu lebih bermakna jika saya mendapat data dari komuniti tersebut. Dengan profil yang hebat dan keaktifan anda dalam komuniti blog Melayu, saya yakin bahawa anda dapat membantu kajian saya untuk mencapai responden yang ramai.

URL untuk tinjauan ini adalah berikut: http://www.my3q.com/home2/121/junetan/malaysianblogbm2.phtml . Senarai soalan itu mengambil masa 5-10minit untuk menjawab.

Ribuan terima kasih saya ucapkan, dan saya menantikan balasan anda.


Yang benar,
June Tan
p/s. Blog saya tentang kajian ini di http://blogger-research.blogspot.com .

Okay, kawan-kawan. Sila jawab:
Soal Selidik Tentang Blog

Sabtu, Disember 16, 2006

PRODUKSI GERILA

"Silence on the set!" jerkah tuan pengarah.

Semua senyap.

Dia tidak jerit "lights" dan "camera" sebab benda itu pun tugas dia sendiri juga. Dalam produksi ala gerila, semua kena serba boleh. Pengarah kena tahu banyak. Multitasking.

Aku? Aku jadi penata seni merangkap tukang pegang papan tepuk (Clapboard).

"Action!" jerit Tuan Pengarah lagi.

Dua pelakon sedang duduk sederet atas sofa rendah. Lutut memuncak ke atas. Konon-kononnya mereka menanti giliran untuk ditemuduga. Tuan pengarah tekun menonton layar kamera.

"Aku memang pencinta wanita. Namun ku bukan buaya," tiba-tiba telefon bimbit pelakon wanita berlagu.

"Cut! Cut!" jerit Tuan Pengarah.

"Simpan la telefon tu dulu. Tengah shooting ni," marah Tuan Pengarah.

Pipi pelakon wanita berbaju kurung itu memerah malu. Pelakon wanita itu pantas membisukan telefonnya dan meletakkan telefon itu di atas lutut.

Graviti pun menjalankan tugasnya seperti biasa, menarik objek ke bawah. Telefon itu melurut turun dari puncak lutut masuk ke dalam baju kurung ke pangkal paha.

"Simpan kat situ je telefon? Kalau macam ini aku pun nak jadi telefon," kata pengarah.

Pipi pelakon perempuan bertambah merah.

"Kah! Kah! Kah!" Semua kru pun ketawa terbahak-bahak.

"Silence on the set!" jerkah tuan pengarah.

p.s.
Jangan tanya aku samada telefon ditala ke getar (vibrate) atau tidak.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Malaysia 2006/7: First Time Filmmakers

Khamis, Disember 14, 2006

CELORENG

Aku balik kampung semalam. Aku buka gerobok lama, gerobok pakaian seragam abah sebelum dia pencen.

"Mak baru kemas tu Ngah. Jangan kembur," mak bagi amaran.

"Nanti orang kemas balik la."

Mak bersandar di muka pintu. Dia nak pastikan aku kemas gerobok itu semula.

"Kan dah dapat," aku mengeluarkan baju celoreng abah dari gerobok. Ada pangkat lagi. Staf Sarjan. Aku acukan kepada badan. Mmm... nampak segak. Kawan-kawan bola-bola api cat (paintball) aku pasti cemburu.

Aku cuba seluar pula. Ketat. Tidak boleh pakai. Kalau paksa pakai juga, boleh koyak kelengkang. Seronok la musuh membedek ke arah bontot aku nanti. Simpan balik seluar itu.

"Engkau nak buat apa dengan celoreng abah kau tu Ngah?" tanya mak.

"Orang nak pergi perang la mak."

"Kau jangan main perang kat kebun durian, nanti dituduhnya kau nak hidupkan Al Maunah pulak."

"Kebun kelapa sawit la mak," kata aku sambil memperagakan baju celoreng depan cermin macam budak dapat baju raya.

...................................................
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Orang yang cantik baca blook Masuk Barisan. Orang yang baca blook Masuk Barisan adalah orang cantik.

Harga RM23 (Termasuk upah posto)- Untuk tempahan sila hantar SMS ke 012-736 7772. Sementara stok masih ada.


Tiada kena mengena dengan Barisan Alternatif dan Barisan Nasional.

Isnin, Disember 11, 2006

AGI HIDUP AGI MERABAN

Nyamuk-nyamuk yang kehausan bukan masalah kami lagi apabila pertempuran sudah bermula. Mungkin, darah kami pun tidak lazat lagi kerana sudah bercampur adrenalin yang berlebihan.

"Cover aku!" arah sarjan kepada aku.

Aku pun bangun dari tempat persembunyian dan memuntahkan peluru ke arah gerila yang bersembunyi di balik pokok-pokok kelapa sawit.

Rattt tat tat tat tat!

Musuh kami bijak. Mereka terus bersembunyi membiarkan pokok kelapa sawit menerima tembakan.

Rattt tat tat tat!

Sarjan berlari terbongkok-bongkok dan terus bergolek ke belakang balak tumbang. Terus dia meniarap mengintai musuh.
.
.
.

Seperti biasa, Tok Rimau bertambah kacak bila memakai topeng sambil membuat aksi Satria Baja Hitam.
.
.
.
.

"Aduh! Aduh! Arghhhhhh!"

"Jan! Kena tembak ke Jan?" aku melaung.

"Arghhh! Semut api! Semut Api!" Sarjan mengelupur di tempat persembunyiannya.

"Ha! Ha! Ha!" Aku tertawa terbahak-bahak. Aku mula leka.

Dush! Dush! Dush! Peluru turun macam hujan.

"Aduh!" Leher aku dilanggar sebutir. Tepat pada urat mareh. Lebam lovebite ni tahan seminggu.

Main paintball dua jam. Bayar RM53. Pulang dengan baju penuh berlumpur dan badan lebam-lebam macam membela pelesit.

Khamis, Disember 07, 2006

CUKAI

Engkau sedang memandu di satu kawasan yang engkau tidak biasa. Tiba-tiba, engkau perhatikan tiang-tiang lampu bertambah banyak berbaris menghiasi jalanraya. Tiang-tiang itu berbeza dari tiang-tiang lain kerana ianya lebih cantik dan berkerawang.

Engkau tidak perlu jadi psikik, engkau tahu ibu pejabat Pihak Berkuasa Tempatan atau Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah adalah berdekatan. Bangunan itu pastinya tersergam hebat, bercat indah dan mempunyai taman yang cantik. Engkau pun jadi sakit hati kerana engkau tahu ke mana perginya duit cukai pintu yang engkau bayar setiap tahun.

Jumaat, Disember 01, 2006

SOALAN BODOH

Suatu hari aku berada dalam satu forum mengenai Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ahli panelnya orang besar-besar dalam perjuangan Bahasa Melayu. Ada Prof. Dr. Awang Saryan dan Tan Sri Ismail Hussein. Datuk A. Samad Said pun ada dalam kalangan hadirin.

Tiba masa soal jawab. Hanya soalan-soalan remeh temeh yang dilontar oleh hadirin. Langsung tidak mencabar ketokohan ahli panel. Maka, aku pun mengarang soalan yang aku rasa sesuai untuk taraf orang-orang yang aku sanjung tinggi ini.
.................

Memertabatkan Bahasa Melayu di tempatnya sebagai Bahasa Kebangsaan adalah satu perang besar kepada pejuang-pejuang bahasa. Dalam perang ini, pejuang-pejuang bahasa masih belum menang lagi. Kalah pun tidak lagi. Berterus-terusan perjuangannya.

Baru-baru ini, pejuang mendapat kemenangan dalam satu pertempuran kecil mereka. Nama-nama tempat di Putrajaya akan diMelayukan. Selepas ini, mungkin tiada lagi boulevard (Bululebat?), precint, parcel dan Palace of Justice.

Yang menjadi sedih adalah musuh yang melibas-libas keris kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan negara itu adalah anak Melayu yang duduk di kerusi empuk setelah diangkat menjadi pemimpin.

Apabila kabinet meluluskan agar murid-murid sekolah mengira dan membuat ujikaji dalam Bahasa Inggeris, ianya satu pukulan yang hebat kepada Dewan Bahasa Pustaka, badan yang bertanggungjawab memperjuangkan Bahasa Melayu.

Seperti menambah garam ke luka, anak syarikat DBP dipertanggungjawabkan membuat buku teks sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Adakah mereka membantah? Tidak.

Di mana silap pejuang-pejuang bahasa sehingga ini boleh berlaku? Tidak cukup pahlawankah? Tidak cukup senjatakah? Tidak cukup juruskah? Tidak cukup ilmu perangnya? Atau, kita ini terlalu Melayu, terlalu bersantun, sehingga tidak berani meninggi suara atau menggenggam penumbuk ke udara?


Banyak juga kertas aku guna untuk draf soalan. Aku berpuashati sangat dengan soalan aku karang. Macam puitis sangat. Sesuai untuk majlis ini.Ha! Ha! Ha! Ketawa seorang pujangga. Kembang kempis hidung aku. Ujub, terpersona dengan kebolehan sendiri.

Malangnya, belum sempat aku mengaju soalan, pengerusi pun mengumumkan majlis sudah sampai ke penghujungnya. Terimakasih kepada soalan-soalan dari hadirin (yang sempat bertanya soalan). Dan riuhnya tepukan.

Ahli-ahli panel menerima cenderahati dan hadirin dijemput menjamu selera. Ahhh! Melayu.

Penat aku mengiwi but, kawadnya tidak jadi.

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...