Jumaat, Julai 31, 2009

THE MOTHER OF MOHAMMED

 
"I have been a cook, a cleaner, a teacher, a doctor. I've been as poor as a beggar on the street. But it doesn't matter because if you have Islam, it all has meaning. If you take Islam out, it has no meaning."
Dalam kereta, aku kadang-kadang pasang BBC Radio. Terdengar temuramah BBC dengan Rabiah  Hutchinson. Sayu sekali mengenang diri ku yang hanyut entah ke mana. Dengar SINI.

Selasa, Julai 28, 2009

AKU TIDUR SAMBIL MENGUKIR SENYUM



Jika engkau mahu jadi gembira dengan sesuatu, tidak cukup dengan buat secara bersungguh-sungguh dan penuh tekun kerajinan. Tidak cukup begitu.

Jika engkau mahu jadi gembira dengan sesuatu, engkau mesti buat dengan ikhlas. Curahkan seluruh jiwa raga engkau. Jangan harapkan pulangan material, cukup sekadar bila engkau habis siapkan kerja dan kau kata, "aku dapat kepuasan."

Bila engkau puas, itu lebih berharga dari sejuta dollar.

Ahad, Julai 26, 2009

AKU BERKABUNG


Pengarah filem dan iklan terkenal Yasmin Ahmad meninggal dunia kira-kira 11.25 Sabtu malam. 25 July 2009 - BERNAMA.

Dia menyentuh hati kita dengan filem-filemnya. Aku bukan kawan rapatnya, aku cuma seorang yang rasa takjub dengan cara dia menyulam kasih sayang dalam babak-babak filemnya. Terlalu aku rasa kerdil bila membandingkan seninya dengan diri aku.

Pada malam anugerah BMW Shorties 2007, aku berpeluang untuk berbual tentang filem dengan dia secara bersemuka. Dia begitu ramah seolah-olah kami telah kenal lama. Dia jemput aku dan Dean Sham pergi menonton Mukhsin di KLCC bersama kawan-kawannya keesokan hari.

Aku dan Dean Sham pergi tetapi kami tidak masuk bersama kumpulan Yasmin Ahmad kerana kami terasa rendah diri. Pun begitu, selepas tayangan kami sempat jumpa dan mengucapkan syabas kerana Mukhsin adalah sebuah filem yang cantik. Dan itu adalah itu.

Sekarang dia telah pergi, aku rasa menyesal kerana tidak SMS dia dan tidak mengambil peluang untuk belajar dengannya. :-(

Al-Fatihah.

Sabtu, Julai 25, 2009

MEGA SALES DI JOHOR BAHRU


Cerita dari mulut ke mulut, tempat paling bagus untuk membeli belah di Johor Bahru adalah Kemayan City Mall. Lokasinya di Jalan Skudai sebelah Taman Mewah, Tampoi. Komplek bernilai RM400 million dengan 720,000 kaki persegi ruang niaga bertempat di atas tapak 4.8 hektar lebih kurang 12km dari pusat bandar raya. Katanya lagi, orang dari luar Johor termasuk Singapura melapor Kemayan City Mall ini memang meriah sekali. Barang-barang memang murah-murah belaka. Kalah Jusco pada J-Card Day.

Pun begitu, bila mereka pulang, mereka dapati semua barang-barang yang mereka beli bertukar menjadi sampah sarap. Duit baki yang mereka dapat bertukar jadi daun. Apa hal ni? Mereka pun mengadu kepada saudara-saudara yang duduk Johor Bahru.

Bukan sekali dua dengar cerita ni. Banyak kali. Orang Johor kata, "Kemayan City Mall tu bangunan terbengkalai sejak 1998 lagi. Tidak pernah ada kedai di situ."

Kalau mereka beli jeans dan terus pakai masa di Kemayan City Mall tu, tidak tahu la aku apa jadinya bila mereka keluar.

Jumaat, Julai 24, 2009

DENGAN SIAPA LAGI HENDAK AKU MEMINTA?



Allah Subhannahu wa Ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya senantiasa ber-do’a. Firman Allah Subhannahu wa Ta’ala, yang artinya: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdo’alah kepadaKu, niscaya akan Kuper-kenankan.” (QS: Al-Mukmin: 60). “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku .” (QS: Asy- Syu’ara: 80).

Nabi shallAllahu ‘alaihi wasallam biasanya meletakkan tangannya pada tubuh orang yang sakit seraya berdo’a, yang artinya: “Ya Allah Tuhan segenap manusia, hilangkanlah sakit dan sembuhkan-lah, Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali dengan penyembuhanMu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (Muttafaq ‘Alaih).
 Beliau juga mengajarkan kepada sahabatnya yang sakit untuk berdo’a, seraya bersabda, yang artinya: “Letakkan tanganmu pada bagian tubuhmu yang sakit dan ucapkan:

"Aku berlindung kepada keagungan dan kekuasaan Allah dari keburukan yang aku dapati dan aku takutkan) sebanyak tujuh kali.” (HR: Muslim). Sahabat tersebut berkata: “Maka aku lakukan (nasihat beliau) dan Allah Subhannahu wa Ta’ala pun menghilangkan penyakit yang selama ini aku derita”.

Sumber:
Arsip Moslem & Jabatan Mufti Selangor

Selasa, Julai 21, 2009

ZAT MAKANAN

"Jemput-jemput la makan. Kalau tak makan, kecik hati tuan rumah. Tak nak makan pun, jamah la." "Tinggal dua suap je lagi, habiskan la. Tak baik tau nasi nangis. Kat Ethiopia tu ramai orang kebulur tidak makan nasi."

Dulu-dulu masa zaman Jepun memang la rakyat tidak cukup makan. Kanak-kanak kekurangan zat dan mesti makan. Memberi orang makan pada zaman itu satu penghargaan. Sekarang ni makanan berlebihan. Obesiti semakin mengancam. Jangan la paksa budak-budak makan. Kalau dia tidak mahu makan, cukup la. Dah kenyang la tu.

Lagi pun. Kalau budak tu makan habiskan nasi pun budak-budak kat Ethiopia tu tetap juga kebulur. Tak ada kena mengena langsung.

.......

Lawatan Sambil Belajar

ZUNAR
Pertama kali aku jumpa karya Zunar adalah dalam akhbar tempatan melalui siri Papa. Watak utama dalam siri itu adalah Papa dan Kedana (anaknya). Ia merupakan sebuah komentar sosial tentang kemiskinan.

Pertama kali aku jumpa Zunar secara bersemuka adalah di Senai Utama dalam sebuah bengkel kewartawanan. Aku bawa buku-buku kartunnya untuk ditandatangani. Aku merasa kerdil dalam kehadiran seorang gergasi kartunis aktivis.

Kali terakhir aku jumpa dia masa perasmian blook Ayah Kita Bos. Zunar merasmikan buku itu. Rasa bangga sekali bila seorang tokoh ini merasmikan buku kami.

Sekarang Zunar ada projek baru dengan kodnama, Konco Zunar. Klik la gambar di atas.

Isnin, Julai 20, 2009

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA


Lengang je gerai pada pagi ini. Ustaz ada kata puasa pada 27 haribulan Rejab seperti berpuasa 60 bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti berpuasa 1000 tahun kerana kebesaran hari Israk-Mikraj. Sah la ramai orang berpuasa pada hari ini. Bagus tu.

Aku nampak Mobius diam sahaja sambil menumpu kepada kerja. Selalunya tidak begitu. 

"Puasa?" aku tanya Mobius.
"Aku? Aku menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa orang lain."
Sabar je la dengar jawapan dia.

Sabtu, Julai 18, 2009

786


Semua orang tahu betapa efisyennya restoran mamak. Pantas. Tepat. Semua ada.

"Mau apa?" tanya mamak.

"Air yasin gelas besar."
"Air badak tarik."
"Air kelapa laut Afrika."
"Air durian."
"Air buah dadu."
"Apa yang tak ada?"

"Siap!" mamak tu layan kami.

Hi! Hi! Inilah jadinya kalau main futsal sampai habis udara dalam paru-paru. Kurang oksigen dalam otak dan darah tak mengalir betul. Meracau-racau buat pesanan.

Jumaat, Julai 17, 2009

MENANAM LADA DI PINGGIR BIBIR



Seharian ketawa. Seharian sedekah senyum sambil kenyit-kenyit mata. Seharian sengih-sengih macam bagus. Petang-petang baru sedar ada lada di gigi. Mmm setahu aku tidak ada makan sambal hari ini. Entah-entah semalam punya. Euww! Tidak seksi langsung.

Khamis, Julai 16, 2009

BAD BOY


Semua perempuan suka Bad Boy walaupun mereka tahu akhirnya Bad Boy akan melukakan hati mereka. Bad Boy lebih fun barang kali.

Di kalangan perempuan. Bad Girl biasanya dipandang keji oleh girls lain. Di kalangan lelaki, lain. Bukan perempuan sahaja suka Bad Boy. Lelaki pun suka Bad Boy. Bukan suka untuk dibawa tidur la tetapi suka dalam bentuk respect. Respect dia boleh buat sesuka hatinya. Respek kepada ayat-ayatnya. Respek kepada karismanya. Respect kepada Bad Boy kerana aweknya yang ramai. Bad Boy ada daya penarik yang tidak dapat dinafikan. Ini membuat lelaki lain risau sikit la kalau Bad Boy sudah mula mengendeng awek dia. Nanti awek dia pasti berpaling arah kepada Bad Boy.

Dalam pada kita respect Bad Boy ni, kita doakan  Bad Boy tidak tukar orientasi jadi gay. Susah juga kalau lelaki sendiri tidak ada daya tahan diri ke atas Bad Boy.

p.s.
Kita akan bincang soal syurga dan neraka dalam bab lain.

Rabu, Julai 15, 2009

TAK CHARE


"Salah cara engkau tu," tegur aku.
"Rules are made to be broken," kata dia.
"Tak chare buat gitu."
"Inilah kreatif namanya."
"If you wanna break the rules, you need to know the rules first. Kau ni macam tak reti lukis orang secara realism, kemudian kau buat alasan kata lukisan kau lukisan abstrak."
"Ye lah. Ye lah. You got me there. Aku memang tak tahu. Sila beri tunjuk ajar."

Isnin, Julai 13, 2009

BENGKEL FILEM PENDEK FINAS


Bengkel filem pendek FINAS berlangsung selama 10 hari. Walaupun, aku sudah menempah untuk masuk bengkel berbulan-bulan lama, aku datang lewat 2 hari kerana berita tentangnya sampai lewat kepada aku.

Banyak yang aku pelajari dari bengkel ini. Tak dapat nak share semua kat sini.

Cikgu Fuad: Terimakasih kerana tunjuk ajar tentang lampu dan kamera.
Cikgu Zaidi: Terimakasih kerana tunjuk ajar tentang sound. Dan rokok sebatang.

1. Ajin DOP: Terimakasih kerana inform aku tentang bengkel. Kalau tak melepas aku. Jangan lupa ajak aku untuk watak penjaga warung.
2. Indra Konti: Terimakasih kerana menunjukkan semuanya boleh jika kita mahu. Aku kagum kesungguhan kau bergerak secara solo di Melaka. Jangan lupa ajak aku untuk filem perang.
3. Fathur Lights: Terimakasih kerana menjadi lawan bertukar sindiran. Gua enjoy. 0-0 okay. Jangan lupa ajak aku jika buat filem Bigfoot.
4. Suhaimi Script/Sound: Terimakasih kerana berkongsi pengalaman. Nanti kita bikin filem sama untuk Efa Razia.
5. Roslan Asst. DOP: Terimakasih. Aku akan ingat, kalau bagi komen jangan lupa bagi cadangan.
6. Yus PM: Terimakasih. Tips tendang terajang industri akan aku jadikan panduan. Tapi masin sikit... ha ha ha.
7. Kzaman Asst Director: Terimakasih. Tips awet muda 3 kali sehari without fail akan diamalkan.
8. Nazri Talent: Terimakasih. Benar, jika kita mahu cerita kita, kita kena buat sendiri. Tak sabar tunggu cerita anda.
9. Ahmad Asst Konti: Terimaksih Ustaz. Nasib baik la ada Ustaz. Kalau tak dah ke laut la budak-budak ni.
10. P-Dik Art: Terimakasih. Cemburu kau boleh jovial sepanjang masa. Dan memang dah lama cari teknik buat darah. Baru sekarang ketemu.
11. Zahrin Director: Terimakasih. Yang penting adalah kerjasama dan kami bagi kerjasama sepenuhnya walaupun cerita kau bukan cup of tea semua orang. Pun begitu, aku belajar duit tidak menjamin kualiti, tetapi kita lebih berpengaruh. Aku ramalkan, antara semua peserta, kau orang pertama yang bakal bikin filem. Selamat maju jaya.

Jumaat, Julai 10, 2009

CAKAP SIANG

Klik foto untuk lihat foto-foto belakang tabir.

Tuan pengarah suka tunjuk kami video-video yang dia pernah shoot. Juga ditunjukkan kepada kami video dia on location filem bapa saudaranya, Prof. Madya RM.

Kami kata, "Mmmm."

Kemudian, atas video itu ada satu imej seorang aktres cantik sebagai subjek tetapi di belakangnya ada seorang kanak-kanak perempuan bergigi besar sedang tersengih macam kerang busuk. Sengih itu sungguh dominan sehingga mencuri perhatian walaupun dia bukan subjek sebenar.

"Poyo betul budak gigi yang enter frame ni," komen pengurus produksi.
"Hoitt! Itu anak aku la," marah tuan pengarah.

Selepas dari itu, jika kami nak kutuk mana-mana watak dalam video yang ditunjukkan, kami tanya dulu, "Ini saudara engkau ke?"

Hi! Hi! Hi!

Khamis, Julai 09, 2009

TANDA-TANDA ORANG DAH KAHWIN



Pembikin filem indie tidak mampu sewa kereta. Semua prop guna barang sendiri.

"Cantik kereta abang," kata aktres muda yang melabuhkan punggung di tempat duduk bahagian pemandu.

"Tengok orang la," kata pemegang boom merangkap tuan punya kereta.

"Ni ada kasut tumit tinggi dan kasut baby ni, siapa punya bang?"

"Oh! Abang jual kasut part time."

"Bukan kasut baru ni bang."

"Oh! Abang jual kasut terpakai. Heh heh."

Tiba-tiba pengarah menyampuk, "Nak merendek, gi balik rumah la. Orang nak shooting ni."


....
Prop: alat-alat yang digunakan dalam lakonan.
Boom: mikrofon yang lekat pada tiang rod untuk menangkap bunyi dalam pengambaran.

 
....
Terimakasih kepada kawan-kawan di Kuala Lumpur terutama Sindiket Sol-jah. Lebih-lebih lagi Vovin dan Pipiyapong yang menyediakan bumbung untuk aku berteduh. Yem Drummer yang tidur di ruang tamu untuk aku tidur dalam bilik. Kawan-kawan yang melayan sembang di kedai kopi, you know who you are.

Isnin, Julai 06, 2009

NGANTUK AMAT


Aku menumpang rumah kawan kerana projek filem pendek di Hulu Klang. Aku tinggalkan beg pakaian dan terus pergi buat pengambaran. Keluar pagi, balik pagi.

Pada, malam pertama balik shooting jam 4 pagi. Malam kedua pula balik shooting jam 6 pagi. Huh! Union marah ni kerja lebih 12 jam. Menyusahkan orang sahaja. Menumpang rumah orang tetapi batang hidung hampir tidak nampak.

Kalau berterusan begini, malam ketiga tumpang beg pakaian di Pudu Raya sahaja agaknya. Sama saja kan?

Ahad, Julai 05, 2009

JANGAN PECAH PERUT


Belanja makananlah yang paling banyak untuk projek filem pendek kami. Pengurus produksi sudah kutip dana pastikan makanan cukup untuk sarapan, makan tengah hari, kudapan petang, makan malam dan mentong lepas tengah malam. Ya, pengambaran meleret hingga 3 pagi.

Pagi-pagi di lokasi, di sebuah rumah setinggan, aku tercari-cari jamban. Yang aku jumpa bilik air untuk basuh kain dan mandi sahaja. Aku tawaf keliling rumah, tidak jumpa juga jambannya. Yang aku jumpa adalah reban ayam dan ampai baju sahaja. Perut dah mengelodak.

Aku ke rumah sebelah. Tebalkan muka dan bertanya kepada seorang nenek yang sedang menumbuk ikan bilis di lesung. Entah masak apa hari ini. Kata nenek itu, jamban ada di depan. Aku pun pergi ke ruang tamu sambil menggaru kepala hairan. Jamban di ruang tamu? Siapalah tukang rumah ini? Pelik betul rekabentuknya. Bulu roma dah naik.

Di ruang tamu tidak aku temui apa yang aku cari. Yang ada adalah cucu nenek sedang menonton TV sambil membelek majalah URTV. Aku tidak boleh maintain macho lagi, lantas aku tanyakan juga lokasi jamban. Dia jawab, "Di depan sana bang." Jari telunjuknya menunjuk sebuah struktur papan buruk dalam lindungan rimbunan pohon pisang di sebelah parit di seberang jalanraya 30 meter dari hadapan rumah itu. Kalau tergesa-gesa sangat untuk ke sana, boleh terlanggar motor gamaknya.

Dua hari di lokasi, aku makan mencubit-cubit. Cukup untuk alas perut sahaja walaupun makanan sedap-sedap. Kata orang, berhenti sebelum kenyang itu afdal.

Khamis, Julai 02, 2009

LAWAK SENIMAN BUJANG LAPUK


Ada orang telefon, tanya sama ada aku sudah berhenti menulis blog. Huh! Aku belum ada niat mahu berhenti. Cuma, aku tidak mahu memaksa diri menulis sedangkan aku tiada bahan yang sesuai untuk ditulis. Takut nanti suatu masa orang petik kata aku untuk thesis mereka:
Menurut Tok Rimau (2009), "aku tak tau nak tulis apa dalam blog aku ni."
Apa pun, sekarang aku sedang mengikuti bengkel filem pendek di Hulu Kelang. Jadinya tulisan aku kali ini akan agak teknikal.

..........

Sebelum pengarah boleh sebut "Action!"  pembantu jurukamera perlu ukur jarak antara pelakon dengan kamera menggunakan pita ukuran. Ini membolehkan jurukamera membuat penalaan lensa yang tepat. Oleh kerana kami tidak punya pelakon, aku jadi stand in.

Pembantu jurukamera pun tarik pita dari kamera sampai kepada aku dan jerit kepada jurukamera, "Lapan Kaki!"

"Wow! Panjangnya," komen tukang konti. "Tersepit dengan clapper board nanti."


.
.
.
.
.
.
.

Mmmm. Aku dah kata, benda ni teknikal. Susah nak faham. Aku malas nak teruskan. Penat kalian baca je nanti.

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...