Isnin, Jun 01, 2015

KES PECAH RUMAH

Jumaat, 3 April. 4 pagi. 2015. Aku dikejutkan dari tidur. Ada ramai orang dalam bilik aku. Aku, isteri dan 2 anak diikat dengan wayar oleh 4 lelaki bertopeng tak dikenali. Mereka bersenjatakan pisau. Pisau itu pisau dari dapur aku.

Aku baru bangun tidur dan aku mamai. Aku ambil masa beberapa saat juga untuk merumuskan bahawa ini satu rompakan. Aku terus membaca fatihah.

Dulu, lebih kurang 14-15 tahun dahulu, rumah aku di Flat Bukit Chagar pernah kena pecah. Tetapi pada masa itu tiada orang di rumah. Yang pecah masuk rumah itu adalah remaja belasan tahun anak-anak jiran. Kes itu sahaja telah buat aku trauma.

Kes baharu ini pula melibatkan senjata dihunuskan dan ancaman keselamatan. Kes kali ini lebih memberi tekanan jiwa.

Hendak berkongsi cerita mengenainya pun aku teragak-agak kerana pemikiran aku kena mengingati dan melalui semula pengalaman pahit itu. Tapi aku paksa diri juga untuk bercerita agar menjadi iktibar, jika ada iktibar di dalamnya.

Perkara pertama yang aku fikirkan adalah keselamatan keluarga. Ikut sahaja kata-kata perompak itu. Dalam loghat Indonesia perompak menuntut barang kemas, tunai, dan gajet (berserta password).  Mereka mengugut akan melarikan anak jika tidak diberi kerja sama. Kami turutkan apa yang kami mampu.

Dalam masa yang sama aku cuba mengingat fizikal mereka untuk laporan polis kemudian. Mereka membalut muka dengan baju atau kain sebagai topeng. Seorang dari mereka memakai jersi JDT. Bau mereka adalah kombinasi kain buruk dan peluh. Badan mereka sihat tegap macam kerja buruh kasar. Tinggi antara 160-175 cm. Mereka berkasut dalam rumah. Itu sahaja yang aku ingat.

Isteri ku tidak menggunakan feature cloud pada telefonnya. Bila perompak itu meminta mematikan feature itu, isteri aku kata yang benar, dia tidak tahu. Perompak itu, ketua mereka barang kali, jadi berang dan menghempas telefon tersebut ke lantai. Dia cuba menendang isteri tetapi kena sipi pada bahagian bahu.

Mereka terus mengeledah. Selain semua telefon bimbit, wang tunai dan beg tangan, mereka juga mengambil baju, jaket columbia dan beg gunung aku. Kasut jogging aku juga dikebas.

Mungkin mereka berada dalam rumah 30 - 45 minit kemudian mereka melarikan diri.

Kami membuka ikatan dan membuat panggilan polis dengan telefon rumah. Menurut siasatan, mereka telah masuk dengan menggunting grill tingkap. Mereka lari keluar melalui pintu terus ke seberang jalan ke arah kebun kelapa sawit depan rumah. Lebih kurang 10 anggota polis datang membantu siasatan.

Menurut polis kawasan taman perumahan saya ini kawasan hijau. 10 tahun dibina, tidak pernah ada kes jenayah selama ini. Kes di rumah aku adalah kes pertama.

Apa perasaan mangsa pecah rumah? Kami tidak menyalahkan takdir. Kami salahkan perompak. Kami rasa dicerobohi. Bayangkan diancam dalam bilik tidur, tempat paling private, untuk seorang manusia.

Dalam masa yang sama, kami bersyukor. It could be worse. Nasib baik kami tidur berbaju, walaupun malam itu malam Jumaat. Nasib baik tiada kecederaan fizikal. Macam-macam lagi nasib baik kerana perompak itu tergesa-gesa.

Sekarang aku dah pasang alarm. Harap tiada lagi kes rompakan yang membabitkan aku sebagai mangsa. Trauma masih ada. Kerisauan dan ketakutan.

Pernahkah anda menjadi mangsa jenayah?

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...