Kurang 12 jam sebelum ekspedisi Sungai Karas–Sungai Bekok, Toni telefon aku.
“Berita buruk. Saya tidak dapat pergi kerana ada tugas rasmi yang datang secara mengejut.”
Murung aku dibuatnya. Tiada orang yang pandai membuat teh O longan seperti Toni.
31 Oktober 2026
Pukul 4 pagi, aku, Akak Kau dan Dura bertolak dengan kereta dari Senai menuju ke Kampung Usaha Jaya, Labis. Kami tiba di Labis sekitar pukul 5.30 pagi.
Kami bersanggah di rumah Makcik Toi sebelum memulakan kayuhan pada awal pagi. Tuan rumah membukakan pintu. Ahli-ahli yang tiba lebih awal kelihatan tidur bersusun di ruang tamu. Macam suasana hari raya lagaknya.
Kami bersarapan dengan nasi lemak dan beberapa jenis kuih sebelum meneruskan perjalanan. Lebihan makanan kami bawa sebagai bekal.
Pukul 8.30 pagi, kami mula bergerak. Ada 31 orang pengayuh semuanya. Kami turut ditemani empat orang penunggang motosikal yang bertindak sebagai penunjuk arah dan menguruskan pengangkutan barang kompeni.
Barang kompeni bukan sedikit. Ada beras seberat 10 kg dan empat buah dapur mudah alih. Misi kali ini memang tidak minimalis. Misi kali ini melibatkan rewang nasi ambang.
Toi bertindak sebagai ketua ekspedisi, tetapi dia tidak berkayuh kerana penunggang motosikal tidak mencukupi. Jadi, dia sendiri mengambil tugas sebagai penunggang motosikal pembawa kargo. Tugas ini tidak mudah kerana mengawal motor yang berat di jalur hutan yang tidak jelas dan sesekali melintas sungai titian batang kayu agak mencabar.
Toi ada tunjukkan betis dan ketingnya yang luka-luka tersangkut duri dan terkena ekzos. Inilah contoh pengorbanan ketua yang berjiwa rakyat.
Ringkasan perjalanan sehala:
Tempoh: 3 jam 15 minit
Jarak: 37.3 km
Tahap kesukaran: Sederhana, ada jalur teknikal di beberapa bahagian.
Permukaan laluan: 10% aspal, 45% gravel dan 45% denai hutan. Sesedap rasa.
Jalur laluan kami merentasi Kampung Usaha Jaya, ladang kelapa sawit, Kampung Orang Asli Lenek dan Hutan Simpan Labis.
Walaupun tahap kesukarannya sederhana, aku memulakan kayuhan dengan sedikit kerisauan. Sepanjang tahun 2026 ini, sakit datang silih berganti. Akibatnya, aku kurang membuat kayuhan jarak jauh dan tahap kecergasan pun merosot.
Alhamdulillah, pada hari ekspedisi Sungai Karas itu, aku cuma mengalami sedikit batuk. Pun begitu, apabila terlalu kerap turun dari pelana untuk menolak basikal, mengelak pokok tumbang dan mengharungi pendakian, kaki mudah kejang.
Pelana yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan betis cepat kejang, manakala pelana yang terlalu rendah boleh menyebabkan otot depan peha cepat kejang. Kekurangan air dan ketidakseimbangan elektrolit juga boleh menyumbang kepada kekejangan otot.
Dalam perjalanan pergi, kira-kira tiga perempat daripada laluan, aku terpaksa menyembur cecair penyejuk pada bahagian depan peha kiri dan kanan untuk melegakan kekejangan. Selepas itu, kayuhan berjalan lancar sehingga destinasi hulu Sungai Bekok.
Berbalik kepada cerita rewang nasi ambang. Konsep rewang ini popular dalam masyarakat kampung lama tetapi semakin berkurangan sekarang. Zul Santai yang baru sahaja selesai urusan walimatul urus di kawasan Felda bulan lepas ada menyuarakan kebimbangnya tentang warisan yang hilang itu. Dia banyak berkongsi dengan aku tentang tradisi rewang turun temurun itu.
Kalau 31 orang pergi berkhemah dengan basikal, ada dua pilihan untuk urusan memasak.
Pertama, masak satu hidangan secara rewang dan beramai-ramai. Cara ini lebih menjimatkan kos kerana bahan mentah boleh dibeli secara pukal. Kerja memasak dan peralatan juga boleh dikongsi. Paling penting, aktiviti ini mengeratkan hubungan sesama peserta.
Cuma, kita perlukan periuk besar, dapur yang sesuai dan pembahagian tugas yang adil.
Pilihan kedua, setiap orang memasak hidangan sendiri. Cara ini lebih bebas kerana masing-masing boleh mengawal saiz hidangan dan memasak mengikut selera sendiri. Namun, kos bahan api dan peralatan mungkin meningkat kerana banyak benda perlu dibawa berulang kali. Orang yang tidak pandai memasak pula hanya mampu menelan air liur melihat orang lain yang pandai memasak.
Pada pendapat aku, cara terbaik ialah menggabungkan kedua-duanya. Bahagikan 31 peserta kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan menyediakan satu hidangan untuk dikongsi bersama. Cara ini lebih praktikal kerana beban kerja dapat dibahagikan rata, manakala semangat kebersamaan tetap terpelihara.
Namun begitu, makan bukanlah satu-satunya perkara penting dalam perkhemahan berkumpulan di tapak perkhemahan dalam hutan liar yang tidak mempunyai prasarana. Jadi, di sini aku ingin mencadangkan satu pendekatan pembahagian tugas yang lebih tersusun. Para peserta boleh mempertimbangkan usul pembahagian tugas berikut.
Kumpulan Dapur
Chef makanan, chef minuman, penyediaan bahan, penyajian dan pencucian. Kumpulan ini sesuai untuk mereka yang mempunyai pengalaman bekerja di warung atau dalam bidang katering.
Kumpulan Ruang
Susun atur khemah, lampu, ruang berkumpul, tandas, perabot dan khemah dapur. Kumpulan ini sesuai untuk mereka yang berbakat dalam bidang pembinaan dan pertukangan. Sijil pengakap adalah satu kelebihan.
Kumpulan Keselamatan
Perubatan, mekanik, keselamatan tapak, penjagaan api dan pengurusan sampah. Sesuai untuk mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang pegawai keselamatan dan tukang mekanikal.
Kumpulan Pentadbiran
Pengarah, bendahari, setiausaha, permit, logistik, aktiviti dan inventori peralatan bersama. Kumpulan ini sesuai untuk mereka yang mempunyai pengalaman sebagai kerani pejabat.
Pergh! Sudah macam ketumbukan tentera. Yang kurang cuma unit peninjau dan persenjataan.
Jika anda menyertai kami, jawatan apa yang ingin dipohon? Jangan loyar buruk dengan mengatakan mahu menjadi tukang makan. Itu hak semua peserta!
Atau ada jawatan baharu yang patut diwujudkan?