Isnin, April 30, 2007

MARAHKAN NYAMUK

KUALA NERANG: Tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Padang Sanai dekat sini, menerima satu hingga dua jahitan di kepala selepas didakwa diketuk dengan kasut tumit tinggi oleh seorang guru wanita.[Metro 26 Feb. 2007.]


Adalah amat malang bagi seseorang, bukan guru sahaja, cuba mendisiplinkan orang lain ketika kemarahannya sedang memuncak. Ini akan melahirkan tindakan tidak rasional yang bahaya. Jika hendak mendisiplinkan orang, sebaiknya kalian redakan kemarahan dahulu.

Berikut adalah nasihat-nasihat ulama tentang cara mengubati marah:
1. Kata Nabi, “Apabila kamu berasa marah, maka hiruplah air dan biarkan air itu di dalam mulutmu sehingga kemarahanmu reda.”
2. Jika berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah duduk, dan jika sedang duduk, maka hendaklah berbaring.
3. Berwuduklah. Sebaik-baiknya lakukan solat sunat.
4. Marah itu datangnya dari syaitan. Oleh itu, mintalah perlindungan dari Allah seperti membaca kalimah taawuz.
5. Sibukkan diri dengan mengingati Allah. Misalnya, berzikir dan berselawat.
6. Maafkan orang yang menyebabkan kemarahan itu.


Ada juga orang menyalurkan kemarahan dengan berkemas dan memberus bilik air. Ini adalah teknik "meditasi" yang positif.

Aku, kalau marah, akan cuba berdiam diri kerana risau aku akan mencarut jika bercakap.

Tapi aku pun manusia biasa. Guru biasa.

Baru-baru ini, beberapa murid aku yang terdiri dari bakal-bakal guru telah mencetuskan kemarahan aku kerana tidak membawa buku teks. Aku pun menyindir dalam keluhan,

"I wish I had worn heels today."

Beberapa murid yang otaknya yang melebihi 2000 C.C. ketawa mendengar sindiran aku.

Ada juga murid-murid yang terpinga-pinga. Mungkin mereka dari golongan 70 C.C. Marah aku bertukar menjadi kasihan. Aku pun bertanya, "Awak faham tak apa yang saya cakap tadi?"

Semua diam. Takut memberi jawapan yang salah. Ada juga yang tunduk mengelakkan hubungan mata dengan aku.

"Kamu," aku mengajukan telunjuk kepada salah seorang dari mereka, memberi isyarat memaksa jawapan.

"Saya tahu Encik. Encik nak pakai kasut tinggi."

"Kenapa?" aku menggunakan kaedah Socrates mencungkil jawapan yang aku mahu.

"Mungkin Encik mahu lebih tinggi."

Aku ketawa mendengar jawapan. Begitu juga mereka yang dari golongan 2000 c.c. ke atas. Kemarahan aku sudah tiada. Aku geleng kepala dan terus mengajar seperti biasa, membiarkan yang terpinga-pinga terus terpinga-pinga. Mungkin bila sudah pulang dan berbaring di hostel nanti, baru mereka dapat.


Rujukan:
Marah Cetuskan Konflik dan Peperangan.
Kes ‘cikgu ganas’ 2007

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
FOTO: Dinner KESYUKURAN kru filem KIRI & MALING. April 25, 2007, Venue : Damai Village Restaurant, Johor Malaysia.

Jumaat, April 27, 2007

MON-MON DAH BESAR

Afimon (1 tahun ++) tak pandai hulur tangan salam orang tapi dia suka gigit orang. Kawan-kawan dia di nursery selalu nangis sebab kena gigit.

Sekali tu, aku campak baju kotor dari tingkat atas ke tingkat bawah dan awek cun yang ngorat aku sambut dengan bakul dobi. Afimon nampak aku campak baju tapi dia tidak nampak mama sambut dengan bakul. Sekarang, bila ada baju bersepah, dia akan buang ke tingkat bawah juga. Habis baju, dia akan buang apa-apa sahaja yang bersepah termasuk botol susu, remote control dan mainan. Kalau sesiapa hilang barang di tingkat atas, aku suruh cari di tingkat bawah. Habis buang dia akan buat muka nakal macam muka Calvin (Calvin and Hobbes) setiap kali dia dapat idea sinister.

Tidak sabar tunggu dia besar. Aku nak pakaikan kopiah dan bawa pergi masjid untuk solat Jumaat.




LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Spreading Ideas

Selasa, April 24, 2007

TERJUN DENGAN LABU DI KUTUB UTARA

Sameon bukan Mat Rempit. Dia penunggang yang berhemah dan berdisiplin. Dia bercita-cita nak jadi penerjun payung. Penerjun payung mesti berdisiplin. Kalau beli sos cili di kedai Chee Chap belakang rumah dia sekali pun, dia akan pakai topi keledar. Tiada kompromi terhadap disiplin.

Pernah suatu hari, dia jalan kaki dengan bertopi keledar. Mak dia suruh dia belanja untuk kenduri doa selamat. Sesampai sahaja di kedai, motornya habis minyak. Lalu dia terpaksa balik rumah menapak. Nak tinggal topi kaledar, takut dicuri mat gian. Nak jinjing, kedua-dua tangan penuh kampit beras, sayur dan ayam. Terpaksalah, berjalan kaki dengan topi keledar di atas kepala.

Hari ini, 24 April 2007, Sameon membaca dada akhbar, "12 BEKAS MAT REMPIT BERJAYA TERJUN KUTUB UTARA". Sameon mengeluh kepada Chee Chap, "Tiada anugerah untuk penunggang berhemah macam gua. Penyakit anak-anak muda..." Sameon membuka peti sejuk, "...selesai dengan menaja wakil mereka terjun ke bumbung dunia?"

Sameon berpendapat ekspedisi Kutub Utara tidak mahal. Dia berhujah, "Gua syak ini termasuk dalam pakej tawaran jualan jet dari Russia. Beli 18 Jet Sukhoi dan percuma pelancongan ke angkasa lepas untuk dua orang dan rombongan penerjunan di Kutub Utara. Sementara stok masih ada." Sameon mengambil aiskrim Mat Kool dan membayar kepada Chee Chap. "Tak ada free gift ke? Kedekut." Chee Chap diam sahaja.

Isnin, April 23, 2007

LENDIR DALAM PARU-PARU

Lipas F.C. tidak daftar nama untuk Piala Jabatan. Kami tidak cukup orang yang boleh bermain. Ramai di antara kami sudah boroi dan tidak larat lari lagi. Yang tidak boroi pula kesibukan dengan kerja-kerja yang mendatangkan wang. Yang tua duduk rumah jaga anak. Yang muda pula sibuk berkencan. Selebihnya, wanita dan kaki bangku.

Aku pun tidaklah handal sangat. Aku cuma mahu bermain untuk keluarkan peluh dan lancarkan penafasan. Setahun kebelakangan selalu sangat aku diserang demam. Badan tidak sihat.

Bila aku 40 nanti, mungkin aku aktif semula kerana aku boleh main dalam Piala Veteran (40 ke atas). Padang bolanya besar gelanggang tenis sahaja dan masa mainnya cuma 30 minit. Pada masa itu akulah yang paling muda dalam kesebelasan utama. Cuma doa aku, aku tidak mati diserang demam sebelum umur aku capai 40.

Khamis, April 19, 2007

KONGSI TANDAS

Kenapa menteri kita gagal menyelesaikan banyak masalah? Sebabnya mereka tidak rasa adanya masalah yang serius.

Kemudahan di Malaysia ini berkasta-kasta sifatnya. Contohnya, dalam satu majlis keramaian, jika engkau menteri, tiba-tiba sahaja kerusi tempat engkau melabuh punggung jadi berkusyen dan kayunya berawan larat. Tetapi. Jika engkau rakyat kebanyakkan, engkau duduk atas kerusi plastik keras kematu. Itu pun jika engkau dapat duduk.

Begitu juga tandas, tandas orang biasa dengan tandas vip lain. Timbalan Menteri Pelajaran, Hon Choon Kim, menggalakkan guru dan murid menggunakan tandas yang sama. Katanya, ini akan membuat guru peka terhadap kebersihan tandas. Ya, kemudian murid-murid akan berbual tentang saiz anu milik cikgu Zakaria yang terpaksa guna urinal bila semua jamban digunakan.

Pun begitu, aku setuju dengan kenyataan menteri itu, tetapi kenapa fokus kepada sekolah sahaja? Sepatutnya menteri pun kena patut kongsi tandas dengan orang awam. Biar mereka juga peka.

Lagi. Kenapa masalah kesesakan jalanraya tidak selesai hingga sekarang? Sebabnya bila kereta menteri meluncur, ada polis trafik mengiring. Nenooo ne nooo... ke tepi ke tepi. Tiada kesesakan. Setahu mereka, jalanraya kita lancar.

Buang la tabiat layanan berkasta-kasta. Kalau menteri datang tempat engkau, tidak usah la engkau membodek. Jangan bagi dia layanan vvip. Bagi dia dia layanan wakil rakyat sebenar. Biar dia rasa apa yang rakyat rasa.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
KUALA LUMPUR BOOK FAIR 27 Apr-6 May
PROJEK 50M. HANTAR ESEI/FOTO/UCAPAN MERDEKA

Isnin, April 16, 2007

LAUK F.C. MAIN VOLLEYBALL PANTAI

Sabtu. Seperti biasa setiap tahun, Universiti Selatan menganjurkan pesta sukan antara jabatan. Setahun sekali inilah but aku dapat mencium bola. Setahun sekali inilah aku menyarung jersi. Jersi macam baju raya.

Tahun ini aku masuk futsal dan volleyball pantai. Namanya volleyball pantai, tapi gelanggang lebih macam kotak pasir besar yang dibina belakang kompleks sukan. Tiada ombak dan angin sepoi-sepoi macam yang engkau nampak dalam ESPN.

"Aku ingatkan main kena pakai spender dan spek hitam," kata seorang penonton yang kecewa.

Oleh kerana kami ini tidak profesional, setiap team ada 4 pemain. Bukan 2 seperti dalam ESPN. Matahari terik bukan main. Menyengat bahangnya. Jam 11 pagi, urusetia mula menyiram kotak pasir yang mula berdebu.

Gelanggangnya satu, yang nak main 16 dalam 15 team. Jenuh juga tunggu giliran. Jam 12 game tidak habis lagi. Kami masih belum kalah mati lagi. Aku sempat main 3 game.

Jam 1.00 tengah hari buta, aku tinggalkan team sebab nursery tutup halfday untuk Sabtu. Aku nak ambil Afimon.

Isnin aku datang tanya kawan tentang prestasi team. Mereka pun tidak tahan panas, lalu balik 5 minit lepas aku balik. Walk over. Menang percuma la lawan.

Johan adalah team yang sanggup berjemur bawah terik matahari. Syabas.


....................................................
PESANAN AWAM:

PERTANDINGAN MONODRAMA NEGERI JOHOR 2007

SARINGAN
20 April 2007 (Jumaat)
8.00 malam - 11.00 malam
21 April 2007 (Sabtu)
8.00 malam - 11.00 malam
22 April 2007 (Ahad)
i. 2.00 petang - 5.00 petang
ii. 8.00 malam - 10.30 malam

PERINGKAT AKHIR
28 April 2007 (Sabtu)
i. 3.00 petang - 5.30 petang
ii. 8.00 malam - 10.30 malam

Tempat: Balai Seminar DBP Wilayah Selatan,Larkin Perdana, Johor Bahru.
Rusdi Abd. Rahman (07-235 8802) atau Mohd. Rizal Mohd. Ali (07-236 8282)

Khamis, April 12, 2007

ASPURA 3

Dalam bilik warden.

Cikgu Sujak: Kof kof kof.(Asap keluar dari mulutnya)

Cikgu Sujak batuk dengan kuat sekali. Batuk Cikgu Sujak menarik perhatian Pak Mail yang sedang menyiram bunga di kaki lima.

Pak Mail: Ish! Teruknya batuk. Dah tua baru nak belajar hisap rokok.

Cikgu Sujak: Saya bukan apa Pak Mail. Saya nak tahu apa sedapnya hisap rokok hingga pelajar kita sanggup menghabiskan duit.

Pak Mail melihat di atas meja Cikgu Sujak ada sekotak Dunhill 20 dan sekotak mancis. Juga beberapa batang mancis patah tanpa belerang berterabur.

Pak Mail: Oh! Baru lepas spotcheck la ni. Banyak dapat?

Cikgu Sujak: Saya dapat satu majalah Playboy atas tangki bilik air dan lima kotak rokok. Semuanya disorok bawah tilam. Tidak kreatif langsung budak-budak ni. Sooo predictable.

Pak Mail: Mana barangnya? (Pak Mail mengendeng)

Cikgu Sujak: Sori la! Majalah dah saya bakar. Rokok dah saya buang. Tinggal satu ni sahaja. Tolong buangkan dalam tong.

Cikgu Sujak mencampak kotak Dunhill 20 ke arah Pak Mail. Pak Mail menyambutnya.

Pak Mail: Okay la Cikgu, saya banyak lagi pokok nak siram.

12.30 tengah malam. Dalam sinar bulan ke 17, berkumpul tiga pelajar lelaki belakang bengkel mekanikal, blok paling hujung. Jauh dari dorm. Bertambah hening suasana dengan refleksi bulan di kaca tingkap bengkel.

Jali: Berapa Pak Mail jual dengan kau?

Sudin: 30 sen sebatang.

Jali: Cekik darah betul Pak Mail ni.

Sudin: Mana lighter?

Sani: Ni hah. Nasib baik Cikgu Sujak tak jumpa lighter ni.

Jali: Kau letak kat mana?

Sani: Aku sorok dalam stokin. Stokin pulak aku letak dalam boot bola.

Sudin: Ha! ha! ha! Bijak. Bijak. Lain kali rokok pun sorok dalam boot jugak.

Sani menyalakan pencucuh untuk rokok di muncung mulut Jali. Rokok itu mula membara. Kemudian dia menyalakan rokok Sudin dan rokoknya sendiri.

Tidak sampai satu minit... zassssss! Satu nyalaan api yang besar meledak di hujung rokok Jali. Terperanjat Jali dibuatnya. Dia terus mencampak rokoknya ke longkang. Mukanya pucat. Sudin dan Sani berpandangan.

Zassss! Zasssss! Rokok Sudin dan Sani juga meledak. Nasib baik tidak hangus misai halus remaja si Sani. Segera mereka melepaskan batang rokok mereka.

Tiba-tiba sunyi malam terbelah oleh kikihan ketawa suara garau. Kih! Kih! Kih!

Sani: Aku seram la Jali.

Sudin: Jom kita belah. Angker tempat ni.

Jali dan Sani: Jom.

Mereka bertiga lari tidak cukup tanah ke arah dorm masing-masing.

Di dalam gelap bengkel mekanikal, Cikgu Sujak tergelak-gelak sendirian di belakang tingkap kaca. Muslihat memasukkan belerang kepala mancis berjaya seperti yang dirancang. Setiap batang rokok disumbat tiga butir kepala mancis. Menunggu waktu untuk tercucuh oleh bara tembakau.

Kih! Kih! Kih! Cikgu Sujak terus tergelak.

MESTI BELI

RM15, antalogi cerpen, certot, fragmen novel. Email opx04@yahoo.com jika berminat.

Penulis-penulis kalashnikov: sinaganaga, op, amir, spyz, jigo, vovin, rimau, matjan, bukunota,

Selasa, April 10, 2007

IKTHIAR HIDUP DI DALAM HUTAN

Kita tidak semua perkataan dalam satu novel yang kita tahu. Kadang-kadang kita terteka-teka makna sesuatu perkataan. Jadinya, seperti pelajar bahasa yang lain, Sabrinamon menggunakan konteks ayat dan visual bantuan untuk meneka perkataan-perkataan yang dia tidak tahu. Tidak, Sabrinamon tidak membaca novel dia hanya membaca sebuah surat khabar lama bertajuk Mingguan Malaysia. Surat khabar itu itu dia ambil dari bawah kerusi.

Dia baca merangkak-rangkak, almaklumlah budak tadika. Gambar hiasan untuk artikel yang dibaca itu adalah sekeping foto seorang komando sedang melapah ular sawa dan sekeping foto kepala-kepala binatang yang boleh dimakan jika terdesak. Ada kepala tikus, kepala ikan dan kepala pelanduk. Artikel itu bertajuk IKHTIAR HIDUP DI DALAM HUTAN.

Kemudian, Sabrinamon bertanya kepada Mamamon, minah cun yang mengorat aku, "Ikhtiar tu binatang apa?"

Mamamon memulakan jawapannya dengan ketawa besar. Kadang-kadang konteks ayat dan visual bantuan boleh mengelirukan.

Jumaat, April 06, 2007

ASPURA 2

Masa prep malam, Cikgu Sujak duduk dalam pejabat warden dengan pintu pejabat terkuak membiar angin malam bertamu. Tiba-tiba kelibat Naufal melintas depan pintunya.

Cikgu Sujak: Naufalllll!

Naufal: Saya cikgu.

Cikgu Sujak: Kenapa awak tidak berada di kelas awak?

Naufal: Saya mahu pergi ke 5A mahu minta abang Jali tunjukkan cara buat matematik.

Cikgu Sujak: Jali? Dia tu bebal matematik, apasal nak minta tolong dengan dia? Awak jangan nak tipu saya. Mesti Jali dah pesan, jika ditanya, jawab begitu.

Naufal: Errr... betul cikgu. Tak tipu.

Cikgu Sujak: Apa kat tangan awak tu? Itu bukan buku matematik.

Naufal: Tak ada apa-apa cikgu.

Cikgu Sujak: Ahhh sepucuk surat. Sampul berbunga lagi. Awak punya?

Naufal: Bukan. Kak Lina dari 3B. Dia pesan bagi kat Abang Jali 5A.

Cikgu Sujak: Bak sini surat tu.

Naufal serba salah tetapi dia terpaksa menyerahkan bahan kes kepada Cikgu Sujak. Sudah kantol. Muka dia macam nak nangis mengenangkan Cikgu Sujak bakal denda dia. Lepas tu pula, pasti Abang Jali pula denda dia. Kena double trouble. Esok dia nak telefon mak dia suruh ambil dia balik rumah. Baru 2 minggu, dia sudah serik tinggal di asrama.

Cikgu Sujak membuka surat itu dengan hati-hati. Pun begitu, dia gagal mengelak serbuk bedak yang disertakan dalam surat itu. Seluar hitam Cikgu Sujak berdebu. Dia kibas dengan tangan sahaja debu itu. Dia tidak marah. Dia penasaran akan isi surat itu. Sambul berbunga dengan kajang warna biru dua helai.

Cikgu sujak tersenyum-senyum dan kadang-kadang separuh gelak membaca surat cinta Lina 3B kepada Jali 5A. Ada rindu. Ada cinta. Ada love. Ada I miss you. Ada rangkap lirik lagu orang putih dan ada lirik lagu Melayu. Mesti dari band baru. Cikgu Sujak tidak tahu lagu kumpulan apa dan artis mana. Cikgu Sujak cuma dengar Pop 60 an.

Dari kandungan surat itu, Jali dan Lina sudah lama berutusan. Sejak dari tahun lepas. Naufal jadi posmen mereka. Ya, Naufal sebagai posmen, merangkap tukang dobi, merangkap tukang bancuh air, merangkap tukang urut, merangkap tukang buat maggie. Naufal memang serba boleh. Boleh diharap.

Habis baca, Cikgu Sujak mencapai pen dari sakunya dan dia menulis di hujung surat yang dua helai itu:

"P.S.
Naufal ni cute. Kita ambil dia jadi adik angkat kita. Jangan buli dia lagi tau. I love you. Always."


Naufal tengok sahaja. Dia tidak berani membantah. Kemudian, Cikgu Sujak ambil gam dan tutup semula sampul surat itu dengan cermat. Perbuatan Cikgu Sujak buat Naufal keliru. Dia tidak tahu sama ada mahu teruskan hasrat buat panggilan kepada emaknya atau tunggu nasib yang bakal menimpanya.

Cikgu Sujak: Nah ambil ni!

Naufal ambil semula surat tadi. Dia berdiri tegak menunggu denda atau arahan berikutnya.

Cikgu Sujak: Dah! Pergi awak belajar matematik dengan Abang Jali, Jali yang tak hafal sifir.. ha ha ha. Tapi dalam masa 10 minit, pastikan awak berada dalam kelas awak sendiri.

Naufal berlari deras meninggalkan pejabat warden. Cikgu Sujak masih tersenyum mengingatkan kata-kata dalam surat cinta tadi. Kata-kata itu mengimbau ke zaman cinta monyetnya sendiri.

Rabu, April 04, 2007

ASPURA

Naufal memilih-milih baju dari dalam gerobok (locker) dan memasukkan baju itu ke dalam baldi. Naufal bergerak di antara katil dua tingkat. Naufal keluar dari dorm. Dua meter dari pintu dorm, satu suara menjerit.

Suara: Naufalllllllll!

Naufal: Saya bang.

Suara: Kau nak ke mana?

Naufal: Bilik basuh.

Suara: Tolong basuh ini sekali.

Sehelai baju sekolah yang digumpal dibaling ke luar pintu jatuh di kaki Naufal.

Naufal ambil. Naufal kutip.

Kemudian, sepasang seluar sekolah hijau terbang keluar. Diikuti dengan dua helai jeans. Dua t-shirt. Satu track bottom.

Suara: Ha ha ha ha ha.

Muka Naufal kelat bertopeng sabar. Dia kutip semua. Dia melangkah menuruni tangga ke bilik basuh di tingkat bawah. Setibanya di pintu bilik basuh, suara tadi menjerit lagi.

Suara: Naufalllllllll!

Naufal mendongak.

Suara: Ini satu lagi.

Sepasang kasut kanvas putih jenis warrior terbang dari tingkat dua jatuh di kaki Naufal.

Cikgu Sujak, warden asrama melintas depan Naufal. Dia sedang meronda kawasan aspura.

Cikgu Sujak: Ada masalah ke Naufal?

Naufal: Tidak ada Cikgu (Naufal berbohong).

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...