Jumaat, Oktober 22, 2004

TEmubual Tok Rimau dengan Fajar

1. Apa perasaan saudara bila diiktiraf sebagai pemenang weblog terbaik?
Perasaan saya bercampur-baur. Memang ada rasa gembira, tapi dalam masa yang sama rasa segan sebab saya merasakan weblog saya bukanlah yang terbaik. Ada banyak lagi weblog yang mempunyai kriteria sebagai weblog yang bagus baik dari segi penulisan, peminat dan persembahan. Namun, saya menerimanya sebagai satu penghargaan daripada kalangan rakan-rakan Geng Jurnal, baik dari penulis mahupun pembaca.

2. Apakah yang membezakan penulisan saudara dengan pemenang yang dua lagi?
Rudy menulis tentang catatan kehidupannya yang sarat dengan pelbagai kisah. Penulisannya seakan mewujudkan satu ikatan bersama pembaca. Ia mencipta satu gaya yang tersendiri untuk pembaca terus menerus mengikuti penulisannya dari hari ke sehari. Pengalaman yang dituliskan oleh Rudy cukup menarik lebih-lebih lagi ianya ditulis dari bentuk yang mudah dan jelas bahasanya.
Mat Jan? Saya memang salah seorang peminat weblognya sejak dulu lagi. Penulisannya selamba, humor dan membuatkan kita terhibur walaupun kita dihidangkan isu-isu yang hangat dan kontroversi. Pernah satu ketika, saya 'down', kemudian saya baca e-book yang ditulis Mat Jan. Secara automatik, emosi saya ke paras normal. Hati saya terusik dan ketawa bersama jenaka yang ditulis oleh Mat Jan. Percayalah, saya tidak mampu untuk menulis seperti dia. Mat Jan memiliki pemikiran kritis yang bagus.
Saya menulis penuh dengan bahasa yang tersendiri. Saya sedia maklum, ada yang mengatakan penulisan saya jiwang, berbunga bahasa, melankolik dan bermacam-macam lagi. Walau apapun gelaran, itulah cara penulisan saya. Saya tidak boleh menulis dengan gaya orang lain. Apa yang ada di dalam hati saya, yang bermain di fikiran saya, itulah yang diterjemahkan di dalam weblog saya. Baik dalam bentuk cerita mahupun puisi. Saya suka bermain dengan bahasa sebab ia memberikan semacam keindahan dan kepuasan di samping memberi banyak intepretasi kepada pembaca.

3. Apakah tema yang gemar saudara ketengahkan dalam penulisan-penulisan weblog saudara?
Saya banyak menulis tentang pandangan saya tentang hidup. Saya suka berkongsi pengalaman hidup saya bersama orang lain. Adakalanya, sesuatu tulisan itu bersifat peribadi, namun saya merasakan ianya adalah sesuatu untuk saya ingati. Sesetengah entri cukup peribadi untuk diri saya. Sebagai contoh, entri 'Sup Kaki Ayam' itu saya tuliskan berkenaan hubungan saya dengan keluarga saya. Semasa saya menulis, saya sendiri berasa dalam emosi yang sedih. Dan, hingga kini apabila membacanya semula, saya masih lagi di dalam keharuan mengenangkan peristiwa berkenaan. Begitu juga dengan entri 'Nostalgia' yang menceritakan tentang zaman kanak-kanak saya. Ianya amat berharga. Kadangkala, sesuatu perkara yang hadir dalam hidup kita bagaikan satu sejarah ataupun hikayat. Jika dibiarkan, kita mungkin terlupa. Tapi, jika dituliskan, ianya mencipta satu ruangan ingatan yang lebih istimewa.

4. Apakah masadepan halatuju hobi penulisan weblog saudara?
Selagi saya mempunyai masa dan kudrat untuk menulis, maka saya akan jadikan ianya sebagai satu medan untuk saya berkongsi rasa bersama teman-teman dan pembaca. Semuanya masih belum dapat dipastikan ke mana ia akan pergi

5. Apakah peristiwa paling besar yang memberi kesan mendalam hidup saudara sepanjang 2004?
Banyak. Tapi, yang lebih memberi perubahan di dalam kehidupan saya adalah berkahwin pada bulan Ogos yang lepas. Ia bagaikan satu proses metamorfosis ke alam yang baru.

6. Bagaimanakah Geng Jurnal memberi impak kepada hidup saudara?
Rakan Geng Jurnal banyak memberi semangat kepada saya secara tidak langsung lebih-lebih lagi semasa saya bertungkus lumus menyiapkan projek master saya suatu ketika dulu. Ia mengajar kepada diri saya untuk lebih menghormati hidup orang lain. Dan yang menariknya, melalui Geng Jurnal saya memperolehi ramai sahabat-sahabat baru. Tidak lupa juga, melalui Geng Jurnal jugalah saya dapat menjejaki penulis yang sekian lama saya cari iaitu Ahmad Patria Abdullah hingga tertubuhnya artakus.net.
Geng Jurnal menyimpan banyak kenangan dalam hidup saya. (Teringat zaman sewaktu bersuka ria dan ronggeng di sekitar KL, Genting Highlands dan Johor bersama beberapa Geng Jurnal yang lain.)

7. Cadangan satu aktiviti yang belum pernah Geng Jurnal jalankan untuk dipertimbangkan dalam 2005.
Diskusi ilmiah tentang penulisan blog, tujuan, kesedaran tentang hak cipta penulisan di internet dan sebagainya. Cadangan saja bukan?
Saya cadangkan untuk Geng Jurnal anjurkan lawatan ke luar negara, mungkin ke tempat penulis-penulis Jurnal yang berada di negara orang, seperti Muring di Vienna atau yang paling dekat sedikit Rafthah di Singapura. Boleh juga berseronok sambil melancong. Macam mustahil saja bukan? Hahaha.

8. Apakah harapan saudara akan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2004?
Sudah tentu mengharapkan agar ianya akan lebih baik dan bagus dari yang sebelumnya. Saya menjangkakan ramai penulis dan pembaca akan turut serta. Maka, saya cadangkan kalau di tempat berkenaan disediakan satu ruangan pameran untuk setiap mereka meletakkan frontpage weblog mereka dan beberapa screen capture weblog untuk tatapan. Nampak sedikit kemeriahan. Sekurang-kurangnya ianya memberi gambaran awal bagi mereka yang baru atau tidak pernah berkunjung ke weblog mereka. Ataupun, minta setiap penulis blog memberi helaian brosur tentang weblog mereka.

9. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?
Apabila ada orang yang menghargai penulisan kita. Dan yang lebih menyeronokkan pembaca memberi maklumbalas menerusi buku tamu atau terus melalui e-mel. Tapi, yang menariknya ialah melalui weblog ini kita bertemu dengan kawan yang lama terputus hubungan.

10. Calonkan 3 url weblog untuk dipertimbangkan dalam Anugerah Weblog Terbaik 2004.
Saya mahukan Kak Max (http://maxolon.tripod.com) atau Saharil (http://saharil.com). Tapi mereka sudah berada di dalam keadaan 'idle' sekian lama di dalam penulisan blog. Saya sukakan tulisan mereka. Sudah tentu tidak boleh dicalonkan bukan?
Calon yang lain? Sultanmuzaffar pun bagus. Melalui dia jugalah saya terkena juga demam AF sedikit. Sera, Nettbiru, Meer, Encik Khairul dan Tok Rimau pun bagus. (Saya kira pihak penganjur sudah mempunyai calon-calon tertentu bukan?)
Temubual Tok Rimau dgn Rudy Bluehikari
1. Apa perasaan saudara bila diiktiraf sebagai pemenang weblog terbaik?

Tahun 2001 tahun pertama anugerah diperkenalkan. Jadi, saya teruja sekejap. Rasa macam tidak layak kerana ada lagi penulis lebih baik pada masa itu. Kalau tak silap, jongkang-jongket milik Mat Jan cuma beberapa undi di belakang Bluehikari. Saya sendiri mengundi Mat Jan pada masa itu.

2. Apakah yang membezakan penulisan saudara dengan pemenang yang dua lagi?

Bluehikari banyak berkisar dengan pelbagai pengalaman suka duka hidup saya. Ada juga berdasarkan pemerhatian kepada manusia sekeliling. Bahasa digunakan bervariasi. Tak terlalu berbunga tak terlalu lawak. Sederhana rasanya?

Fajar menggunakan bahasa yang saya rasa sangat tinggi. Saya pun tak boleh buat penulisan macam dia. Banyak yang tersirat. Sekali baca takkan faham kalau tidak direnung dengan baik.

Mat Jan pula menulis gaya kuak lentang humor, selamba dan sinis. Kadang-kadang saya pelik, baru baca patah pertama tulisannya saya sudah ketawa. Kalau tak percaya cuba bandingkan jawapan interview ini dengan interviewnya. Agaknya kalau saya jawab macam Mat Jan, persepsi pembaca akan berubah. Saya mungkin dicop mahu berlagak, riak dan sekebun dengannya! (Ketawa)


3. Apakah tema yang gemar saudara ketengahkan dalam penulisan-penulisan weblog saudara?

Kalau gaya menulis saya macam Mat Jan, saya akan jawab untuk RAIH SIMPATI! (Ketawa). Kalau siapa kenal hati budi saya, mereka tahu saya jenis yang macam mana. Kongsi pengalaman hidup dan tingkahlaku manusia antara yang saya suka ketengahkan dalam penulisan.


4. Apakah masa depan halatuju hobi penulisan weblog saudara?

Saya sudah berhenti menulis di Bluehikari. Rasanya cukup setakat itu cerita-ceriti dalam kelambu hidup saya. Walau bagaimanapun, saya pegang kata-kata Tokrimau dulu masa saya mahu berhenti menulis di Bluehikari. Katanya, dia tak percaya saya akan berhenti menulis seratus peratus. Ketagihan saya kepada weblog sangat serius dan berada di tahap boleh mencederakan minda sesiapa! (Ketawa).

Sekarang saya banyak tumpukan kepada penulisan sajak, cerpen dan novel. Setakat ini saya sudah ada 2 antologi sajak bersama dan 1 antologi novel bersama yang diterbitkan. Selain itu beberapa sajak di media cetak perdana. Nak beli? Beli di esastera.com (Promote nih!).

5. Apakah peristiwa paling besar yang memberi kesan mendalam hidup saudara sepanjang 2004?

2004? Alhamdulillah, saya dah nikah! Mat Jan! Saya dan Fajar dah lepas. Anda bila lagi? (Pressure nih!)

6. Bagaimanakah Geng Jurnal memberi impak kepada hidup saudara?

Saya tak bersendirian melawan dugaan hidup. Saya akui, salah satu faktor mengapa saya boleh sembuh (walaupun tak 100% sembuh) dari sakit dulu adalah kerana bantuan semua sahabat di Geng Jurnal. Tak kira bantuan dari segi apapun! Terima Kasih kepada semua GJ! Terima Kasih kepada Tuhan.

7. Cadangan satu aktiviti yang belum pernah Geng Jurnal jalankan untuk dipertimbangkan dalam 2005.

Masih ingat tulisan saya tentang MENCARI SESUAP NASI? Saya teringin GJ buat khidmat masyarakat bersama anak-anak yatim atau di rumah orang-orang tua. Kalau jenis aktiviti mahu disematkan dalam The Book of Record Malaysia, baik tak payah. [BACA: Aktiviti untuk dapat title DATUK] (ketawa)

8. Apakah harapan saudara akan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2004?

Untuk AWET kalau boleh kategori anugerah biarlah tetap setiap tahun dan tidak terlalu banyak. Nanti bila dah banyak jadilah macam kes penganugerahan Datuk. Tak mahulah jadi satu humor yang pernah saya baca. Kalau dibaling batu di khalayak ramai, paling tidak dua tiga orang Datuk boleh kena juga.Wah! Silap-silap juri boleh kena beli! Lelong-lelong anugerah AWET untuk dijual! (Ahahahaha!)

Untuk Perhimpunan GJ 2004, harapnya berjalan dengan lancar dan penuh ukhwah. Saya percaya Wak Din selaku Kepala bagi projek terbesar ini akan berjaya melaksanakannya. Bekerja secara jemaah lebih baik dari bekerja sendiri-sendiri. Renung-renung pengalaman lalu.

9. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?

Macam Kak Max pernah kata, kita bebas menulis. Censorship semuanya di tangan kita pemilik dan penulis blog. Tapi sekarang macam sukar pula. Lihat sahaja apa yang terjadi dengan kes melibatkan seorang penyanyi terkenal. Komen sikit kena Report Polis. Kemudian kena saman. Lama-lama nanti, media tanpa sempadan ini akan terpasung jua dengan undang-undang. Kalau setakat dijentik dengan kritikan takkan tak boleh? Lainlah kalau ia fitnah. Mat Jan mungkin boleh beri ulasan sedikit perihal Undang-undang Siber Malaysia. Silap-silap jawapan saya inipun boleh kena! Ha!ha!

10. Calonkan 3 url weblog untuk dipertimbangkan dalam Anugerah Weblog Terbaik 2004.

Saya tidak mahu menjawab soalan ini. Sementalah saya antara juri dilantik untuk AWET 2004. Dalam kepala sudah ada dua tiga weblog. Biarlah ia dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) saya dahulu. Anda calonkanlah mana-mana weblog yang anda rasakan layak.

Selamat berhimpun warga GJ!

Khamis, Oktober 21, 2004

Temubual TokR dgn Mat Jan

Assalamulaikum,

GJ memerlukan suara dari saudara untuk tujuan promosi Gath 2004 dan AWET 2004. Sudilah apa kiranya menjawab soalan-soalan berikut:

Rudy (2001), Fajar (2002) dan Mat Jan (2003) adalah nama yang tidak asing lagi dalam arena weblog tanahair. Mereka merupakan pemenang Anugerah Weblog Terbaik (AWET) Geng Jurnal. Berikut adalah temubual Presiden GJ 2004, Tok Rimau dengan penulis-penulis maya yang hebat ini.

1. Apa perasaan saudara bila diiktiraf sebagai pemenang weblog terbaik?

Riyak dan takabbur.

2. Apakah yang membezakan penulisan saudara dengan pemenang yang dua lagi?

Saya masih bujang, yang dua lagi sudah berkahwin. Oh, beza penulisan? Saya menulis dengan gaya humor dan bahasa santai, yang dua lagi menulis dengan gaya sentimental-melankolik-romantika d'amor dan bahasa sastera berbunga-bunga. Rudy kurang sikit unsur jiwangya. Fajar hmm... kalau Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan, maka Fajarlah Bapa Kejiwangan.

3. Apakah tema yang gemar saudara ketengahkan dalam penulisan-penulisan weblog saudara?

Saya gemar tema "Keranamu Malaysia" dan "Patriotisme Asas Perpaduan".

4. Apakah masadepan halatuju hobi penulisan weblog saudara?

Saya ingin jadikan penulisan blog sebagai kerja sepenuh masa. Kerja lain tu hobi saja.

5. Apakah peristiwa paling besar yang memberi kesan mendalam hidup saudara sepanjang 2004?

Graduation.

6. Bagaimanakah Geng Jurnal memberi impak kepada hidup saudara?

Tanpa Geng Jurnal, saya mungkin berkawan dengan penulis-penulis blog lain secara maya sahaja. Tapi dengan Geng Jurnal, saya dapat berkawan dengan mereka secara nyata. Kawan-kawan yang ramai satu Malaya. Terima kasih Mie kerana mengasaskan Geng Jurnal!

7. Cadangan satu aktiviti yang belum pernah Geng Jurnal jalankan untuk dipertimbangkan dalam 2005.

Satu saja? Saya boleh cadangkan empat. Mendaki Gunung Everest, berlayar solo keliling dunia, berenang Selat Inggeris dan membuat keropok lekor terpanjang.

8. Apakah harapan saudara akan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2004?

Pertama, AWET.

Banyakkan kategori anugerah yang dipertandingkan. Saya cadangkan:

1) Kategori "Weblog Cap Ibu & Anak Terbaik" untuk blog keibubapaan seperti Kak Pnut, Mak Andeh, dan Kak Zar. (Ubat batuk Cap Ibu & Anak tentu berminat menaja kategori ini.)

2) Kategori "Weblog Seni/Hiburan Terbaik" untuk blog yang review filem/album/teater/reality-tv seperti Sultanmuzaffar, Spiral (Skrin), Fadz (Tonton Filem).

3) Kategori "Weblog Sosio-politik Terbaik" untuk blogger seperti Pakdi dan lain-lain.

4) Kategori "Best-kept-secret Weblog" (tiru Bloggies) untuk blog yang content-nya bagus tapi kurang popular (dari segi jumlah hits, jumlah comments dan jumlah blog yang link-kannya) untuk blogger seperti Encik Khairul, D'arkampo dan Nazmi (bukunota).

Kedua, Perhimpunan (Gathering).

Berdasarkan rekod, gathering semakin tahun semakin grand. Saya percaya gathering tahun ini akan lebih grand daripada tahun sudah. Itu harapan semua orang saya rasa.

9. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?

Tak ada deadline: Kita boleh tulis bila-bila masa kita suka.

Self-censorship: Kita berhak tentukan apa yang kita nak tulis dan apa yang kita tak nak. Tak ada editor nak sunting itu ini atau arah itu ini.

Komen pembaca: Kalau menulis weblog itu sexual intercourse, maka inilah orgasm-nya. Kepuasan maksimum melihat komen pembaca, baik positif mahupun negatif. Kita dapat berkongsi idea dan bertukar fikiran dengan orang lain.

10. Calonkan 3 url weblog untuk dipertimbangkan dalam Anugerah Weblog Terbaik 2004.

Sultanmuzaffar (http://sultanmuzaffar.blogspot.com/) untuk Weblog Terbaik. Mungkin ada yang tak suka isi kandungannya (mostly on Akademi Fantasia), tapi hargailah KUALITI PENULISANNYA dan KOMITMEN YANG DICURAHKAN. Dia review every single details of that reality show. Dia cuma PENULIS HOBI tapi tulisannya lebih berkualiti daripada PENULIS PROFESIONAL. Hinggakan ada wartawan hiburan yang menciplak tulisannya! Plus, dia guna Bahasa Melayu yang proper. Pengaruh blog-nya juga kuat hingga ASTRO mengundangnya untuk di-interview oleh Aznil dalam rancangan Diari Akademi Fantasia. Begitu juga ulasan beliau untuk seni teater, seni layar dan seni muzik. Blog-nya juga mendapat hits dan comments yang banyak. Blog ini berdiri sama tinggi dengan media hiburan arus perdana. Kalau ini bukan weblog terbaik, beritahu saya apakah dianya? Taip GEJUNDI SM dan hantar ke 388088 :)

Mana-mana entry D'arkampo (http://darekampo.blogspot.com/) untuk Catatan Weblog Terbaik. Tokei Pajak (http://pajakgadai.blogspot.com/) untuk Weblog Baru Terbaik. Dan Khalil (http://www.idlanzakaria.com/khalilur/) untuk Weblog Bahasa Inggeris Terbaik.

Sorry Tok... Tok mintak tiga, saya bagi empat :)

NOTA:
Jawapan nombor 10 tidak menjawab soalan. Tok cuma mahu 3 Weblog Terbaik sahaja. Bukan Catatan Terbaik, Weblog BI etc . --------- Tok Rimau

Khamis, Ogos 19, 2004

merdeka


merdeka
Originally uploaded by Jali.

Selamat menyambut merdeka. Jangan jadi burung dalam sangkar terbuka tidak mahu terbang.

Rabu, Jun 09, 2004

http://www.lasso.com.my/didiz/didiz/lsp02.jpg

http://www.lasso.com.my/lspseminar/#

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin