Jumaat, Oktober 22, 2004

TEmubual Tok Rimau dengan Fajar

1. Apa perasaan saudara bila diiktiraf sebagai pemenang weblog terbaik?
Perasaan saya bercampur-baur. Memang ada rasa gembira, tapi dalam masa yang sama rasa segan sebab saya merasakan weblog saya bukanlah yang terbaik. Ada banyak lagi weblog yang mempunyai kriteria sebagai weblog yang bagus baik dari segi penulisan, peminat dan persembahan. Namun, saya menerimanya sebagai satu penghargaan daripada kalangan rakan-rakan Geng Jurnal, baik dari penulis mahupun pembaca.

2. Apakah yang membezakan penulisan saudara dengan pemenang yang dua lagi?
Rudy menulis tentang catatan kehidupannya yang sarat dengan pelbagai kisah. Penulisannya seakan mewujudkan satu ikatan bersama pembaca. Ia mencipta satu gaya yang tersendiri untuk pembaca terus menerus mengikuti penulisannya dari hari ke sehari. Pengalaman yang dituliskan oleh Rudy cukup menarik lebih-lebih lagi ianya ditulis dari bentuk yang mudah dan jelas bahasanya.
Mat Jan? Saya memang salah seorang peminat weblognya sejak dulu lagi. Penulisannya selamba, humor dan membuatkan kita terhibur walaupun kita dihidangkan isu-isu yang hangat dan kontroversi. Pernah satu ketika, saya 'down', kemudian saya baca e-book yang ditulis Mat Jan. Secara automatik, emosi saya ke paras normal. Hati saya terusik dan ketawa bersama jenaka yang ditulis oleh Mat Jan. Percayalah, saya tidak mampu untuk menulis seperti dia. Mat Jan memiliki pemikiran kritis yang bagus.
Saya menulis penuh dengan bahasa yang tersendiri. Saya sedia maklum, ada yang mengatakan penulisan saya jiwang, berbunga bahasa, melankolik dan bermacam-macam lagi. Walau apapun gelaran, itulah cara penulisan saya. Saya tidak boleh menulis dengan gaya orang lain. Apa yang ada di dalam hati saya, yang bermain di fikiran saya, itulah yang diterjemahkan di dalam weblog saya. Baik dalam bentuk cerita mahupun puisi. Saya suka bermain dengan bahasa sebab ia memberikan semacam keindahan dan kepuasan di samping memberi banyak intepretasi kepada pembaca.

3. Apakah tema yang gemar saudara ketengahkan dalam penulisan-penulisan weblog saudara?
Saya banyak menulis tentang pandangan saya tentang hidup. Saya suka berkongsi pengalaman hidup saya bersama orang lain. Adakalanya, sesuatu tulisan itu bersifat peribadi, namun saya merasakan ianya adalah sesuatu untuk saya ingati. Sesetengah entri cukup peribadi untuk diri saya. Sebagai contoh, entri 'Sup Kaki Ayam' itu saya tuliskan berkenaan hubungan saya dengan keluarga saya. Semasa saya menulis, saya sendiri berasa dalam emosi yang sedih. Dan, hingga kini apabila membacanya semula, saya masih lagi di dalam keharuan mengenangkan peristiwa berkenaan. Begitu juga dengan entri 'Nostalgia' yang menceritakan tentang zaman kanak-kanak saya. Ianya amat berharga. Kadangkala, sesuatu perkara yang hadir dalam hidup kita bagaikan satu sejarah ataupun hikayat. Jika dibiarkan, kita mungkin terlupa. Tapi, jika dituliskan, ianya mencipta satu ruangan ingatan yang lebih istimewa.

4. Apakah masadepan halatuju hobi penulisan weblog saudara?
Selagi saya mempunyai masa dan kudrat untuk menulis, maka saya akan jadikan ianya sebagai satu medan untuk saya berkongsi rasa bersama teman-teman dan pembaca. Semuanya masih belum dapat dipastikan ke mana ia akan pergi

5. Apakah peristiwa paling besar yang memberi kesan mendalam hidup saudara sepanjang 2004?
Banyak. Tapi, yang lebih memberi perubahan di dalam kehidupan saya adalah berkahwin pada bulan Ogos yang lepas. Ia bagaikan satu proses metamorfosis ke alam yang baru.

6. Bagaimanakah Geng Jurnal memberi impak kepada hidup saudara?
Rakan Geng Jurnal banyak memberi semangat kepada saya secara tidak langsung lebih-lebih lagi semasa saya bertungkus lumus menyiapkan projek master saya suatu ketika dulu. Ia mengajar kepada diri saya untuk lebih menghormati hidup orang lain. Dan yang menariknya, melalui Geng Jurnal saya memperolehi ramai sahabat-sahabat baru. Tidak lupa juga, melalui Geng Jurnal jugalah saya dapat menjejaki penulis yang sekian lama saya cari iaitu Ahmad Patria Abdullah hingga tertubuhnya artakus.net.
Geng Jurnal menyimpan banyak kenangan dalam hidup saya. (Teringat zaman sewaktu bersuka ria dan ronggeng di sekitar KL, Genting Highlands dan Johor bersama beberapa Geng Jurnal yang lain.)

7. Cadangan satu aktiviti yang belum pernah Geng Jurnal jalankan untuk dipertimbangkan dalam 2005.
Diskusi ilmiah tentang penulisan blog, tujuan, kesedaran tentang hak cipta penulisan di internet dan sebagainya. Cadangan saja bukan?
Saya cadangkan untuk Geng Jurnal anjurkan lawatan ke luar negara, mungkin ke tempat penulis-penulis Jurnal yang berada di negara orang, seperti Muring di Vienna atau yang paling dekat sedikit Rafthah di Singapura. Boleh juga berseronok sambil melancong. Macam mustahil saja bukan? Hahaha.

8. Apakah harapan saudara akan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2004?
Sudah tentu mengharapkan agar ianya akan lebih baik dan bagus dari yang sebelumnya. Saya menjangkakan ramai penulis dan pembaca akan turut serta. Maka, saya cadangkan kalau di tempat berkenaan disediakan satu ruangan pameran untuk setiap mereka meletakkan frontpage weblog mereka dan beberapa screen capture weblog untuk tatapan. Nampak sedikit kemeriahan. Sekurang-kurangnya ianya memberi gambaran awal bagi mereka yang baru atau tidak pernah berkunjung ke weblog mereka. Ataupun, minta setiap penulis blog memberi helaian brosur tentang weblog mereka.

9. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?
Apabila ada orang yang menghargai penulisan kita. Dan yang lebih menyeronokkan pembaca memberi maklumbalas menerusi buku tamu atau terus melalui e-mel. Tapi, yang menariknya ialah melalui weblog ini kita bertemu dengan kawan yang lama terputus hubungan.

10. Calonkan 3 url weblog untuk dipertimbangkan dalam Anugerah Weblog Terbaik 2004.
Saya mahukan Kak Max (http://maxolon.tripod.com) atau Saharil (http://saharil.com). Tapi mereka sudah berada di dalam keadaan 'idle' sekian lama di dalam penulisan blog. Saya sukakan tulisan mereka. Sudah tentu tidak boleh dicalonkan bukan?
Calon yang lain? Sultanmuzaffar pun bagus. Melalui dia jugalah saya terkena juga demam AF sedikit. Sera, Nettbiru, Meer, Encik Khairul dan Tok Rimau pun bagus. (Saya kira pihak penganjur sudah mempunyai calon-calon tertentu bukan?)

Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...