Rabu, April 30, 2008

MOBIUS DEPAN SURAU

"Lu nak curi kasut ke?" tegur aku.

"Cheh! Mentang-mentang la wa jahat, wa lalu depan surau pun lu anggap wa ada niat serong," keluh Mobius.

"Sori la. Wa gurau je."

Sebenarnya dalam hati aku tercetus prasangka yang lebih buruk. Mungkinkah Mobius sedang recce tempat untuk buang anak? Mmmm.

........................
MESTI PERGI
Mesti diingat kenapa engkau sanggup duduk KL mengharung kesesakan lalu lintas saban hari. Engkau duduk KL sebab kau mahu jadi hip dan kool dan boleh pergi ke acara berikut:

Selasa, April 29, 2008

POI POKAN



"Roll camera! Action!" jerit tuan pengarah, Dean Sham.

Ini bukan petikan filem pendek Mengait Bintang tetapi parodi TV realiti bertajuk Mencari Jalel (Mencari Menantu + Malaysian Idol). Kami cuma main-main depan kamera untuk menghabiskan tape video. Video penuh parodi ini adalah 15 minit. Tetapi untuk kalian, 1 minit dipersembahkan di atas.

Konsepnya hampir improv di mana banyak ruang kosong dalam skrip bagi membolehkan pelakon berspontan. Terlalu senang untuk terlajak lidah dalam format ini. Masa kamera merakam, kru semua menahan mulut agar tak berderai gelak.

3 watak juri, 4 watak peserta. Dan aku memegang watak hos program. Nabil memegang dua watak, juri dan peserta. Untuk bahagian Nabil sebagai peserta, dia diberi kata kunci "loghat nogori" dan "monyet."

Dalam topi juri, Nabil memuji gaya, mutu dan keunggulannya sendiri sebagai peserta. Kemudian dia kutuk kow-kow, "Kenapa kau terloncat-loncat macam monyet?! Aku sumpit bontot kau nanti." Tersentak dengan dialog spontannya sendiri, dia tersengih dan menoleh ke arah tuan pengarah. Dia tanya, "Eh! Boleh cakap bontot ke?"

Nabil tahu setiap penerbitan ada garis panduan moralnya sendiri. Tertumpah juga gelak yang diempang oleh bibir dan gigi kami. Kami tahu garis panduan moral kami pun ke laut. Dan kamera masih rolling kerana pengarah belum jerit cut lagi.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Pangea Day (May 10): Pangea Day is a global event bringing the world together through film.

Isnin, April 28, 2008

PERTAMA KALI AFIMON KE KEDAI GUNTING


:: Before


:: After

Aku tahu kalian nak tulis, "Comelnya Afimon, mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?!" Kan? Aku tahu la.

Supaya aku tidak riak, ujub, takbur dan bangga diri, Untuk entri ini, ruangan komen ditapis.

Khamis, April 24, 2008

TOK RIMAU AKHIRNYA SUDI BERGAMBAR DENGAN NABIL

Memerang Dari Kayangan

Filem akan datang kami adalah Bigfoot Ulu Sedili


Sesuka hati lu je tukar skrip wa.

Hari ketiga pengambaran MENGAIT BINTANG tamat. Setelah
merapek-meraban di Kuala Lumpur selama tiga hari tiga malam, kami pun pulang ke
Selatan.

Bergegas lekas mendekat rapat mencari hati yang ditinggal
tunggal.

Lawatan Sambil Belajar: Gambar-gambar produksi



EVENTS
1. ARTS 4 GRABS, Sat 3 & Sun 4, May 2008 12pm - 6pm:: The Annexe Gallery, Central Market Annexe, KL
2. KITA untuk Semua: akustik Session. Legaran Seget, Plaza Seni. JB. 27 April 2008. 1pm-til end.

Rabu, April 23, 2008

WA MALAS NAK PIKIR LAGI



Short Film: Mengait Bintang
Penulis: Tok Rimau
Pengarah: Dean Sham
Starring: Nabil Amat (Raja Lawak) & Abdullah Nawi
Hari Kedua Shooting.
Lokasi: Jalan Semarak, KL.

Isnin, April 21, 2008

LU PIKIRRRR LA SENDIRI



Short Film: Mengait Bintang
Penulis: Tok Rimau
Pengarah: Dean Sham
Starring: Nabil Amat (Raja Lawak) & Abdullah Nawi
Hari Pertama Shooting. Lokasi: Jalan Semarak, KL.

LAGI

"Nama Tok masuk Berita Minggu 20 April," lapor SMS itu kepada aku di pagi Ahad.

"Penat dah Tok kembang hidung :-8 ) masuk paper. Yang Tok teringin sekarang nak masuk URTV dengan gambar pose seksi," balas aku.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
"Ketika majoriti masyarakat masih buta mengenai blog, katanya blogger seperti Tok Rimau dan Bluehikari merintis minat terhadap blog. "
Ziauddin Sharuddin, Penangan Blog. Sisipan Dimensi, Berita Minggu 20 April.

Khamis, April 17, 2008

UJANG


"Saya rajin jugak melawat blog Tok Rimau," kata Ujang

.................................................

"Engkau kenal Ujang?" tanya aku memulakan perbualan.

"Ujang kartunis tu?" Din menjawab pertanyaan dengan pertanyaan.

"Yup. Ujang kartunis tu la."

"Siapa tidak kenal Ujang. Dia adalah hero aku. Aku Budak Minang dan Aca adalah naskah jiwa berontak anak muda berdarah panas lewat 80-an. Selepas karya Ujang itu, tiada lagi karya bersiri atau novel grafik yang punya jiwa. Semuanya selepas itu ketandusan dan lohong bagai ruas-ruas buluh. Ujang adalah lagenda. Ikon zaman kita. Karyanya wajib diangkat menjadi buku teks atau filem!"

"Aku setuju dengan kata engkau."

"Mmm... kenapa engkau tanya aku sama ada aku kenal Ujang atau tidak."

"Saja tanya. Sebenarnya aku nak bagitau engkau, Ujang tu kenal aku."

"Cheh! Engkau tidak tahukah riak takbur itu satu dosa?"


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Blog Ujang: Jibam

Rabu, April 16, 2008

WANGI

Ciumlah aku. Aku berbau seperti lelaki yang hendak solat Jumaat. Semuanya kerana secalit minyak attar dari Mekah setiap pagi.

Dulu, pensyarahku meminta 100 jenis serangga untuk tugasan biologi. Aku masuk belukar dan bawa keluar 100 jenis serangga. Aku cucuk mereka dengan peniti pada kepingan polisterine putih. Dua hari kemudian serangga itu membusuk. Aku sembur serangga yang 100 itu dengan minyak wangi (yang dihadiahkan oleh buah hati aku ketika harijadiku yang ke-20.)

Sejak hari itu aku tidak pakai minyak wangi lagi, kerana bauan itu mengingatkan aku kepada belalang dan cengkerik yang membusuk.

Semut mula menghurung. Aku nak cucuk semut-semut itu tetapi aku sudah ada semut dalam koleksi. Aku hantar juga tugasan bila sampai masa. Dan aku dapat "F" untuk biologi.

Helaian kalendar dicarik sehelai demi sehelai sebagai tanda masa berlalu pantas. Sehinggalah suatu hari ada yang menitipkan kepada aku sebotol minyak attar dari Mekah.

Kenapa kau tidak mahu cium aku? Takut wudhu Jumaat aku batal? Atau kau mahu tunggu aku mewangi seperti lelaki yang hendak tidur di malam Jumaat? Ha! Ha! Ha! Nakal sekali.

Isnin, April 14, 2008

BIRO ADUAN

Kalau tak dengar, kata aku tak prihatin pulak. Tapi, stamina telinga aku ni memang dah tak ada.

"Dulu, kalau gaduh boyfriend girlfriend, bolehlah pulangkan hadiah-hadiah cintan tu. Pulangkan foto, kalung, t-shirt dan teddy bear. Kad-kad Hallmark segala.

Helloooo! Sekarang zaman dah berubah. Semuanya digital. Kitaorang jumpa pun dulu kat online forum. Cintan pun guna instant messenger. Hadiah pun digital. Digital card. Tukar-tukar gambar pun guna dot.jpg.

Delete je gambar tu. Tak da maknanya dia MMSkan semula gambar I yang I MMS kat dia dulu. Ishhh. Sooo tak savvy langsung."


Kau curah Red Bull ke, minyak kuda ke, Tongkat Ali Power Root ke ... dalam lubang telinga ni- tetap aku dah tak larat nak dengar. I am a bad listener. Sorry la. Cerita benda lain pulak boleh tak?

Ahad, April 13, 2008

PENERBITAN

Prof: Idea simpan dalam kepala je pun tak guna. Tak manfaat. Mesti mahu kongsi sama manusia sejagat.

Nabil: Maksudnya, wa mesti bagi idea wa tersebar lalu suratkhabar dan majalah. Kan?

Prof: Mesti kasik published. Saya tulis kertas kerja, hantar ke jurnal antarabangsa. Tulis buku untuk kongsi ilmu yang saya ada. (Tunjuk buku-buku kat rak dan atas meja)

Nabil: Banyaknya buku. Nak hantar ke mana ni?

Prof: Buku tu dah lama kat situ. Tak laku.

Nabil: Tulis buku bagai nak rak. Penuh satu rak. Penuh meja. Tapi tak laku. Kenapa?

Nabil angkat satu buku yang bertajuk "Socioengineering of Tecnocrats." Belek dan kedut kening. (Pregnant silence here)

Prof: Lu fikir la sendiri.

Jumaat, April 11, 2008

KALAH TERHORMAT

Kini Chekov dan Yamoto sahaja tinggal di meja itu. Mereka meneruskan perjuangan dalam final saingan piala, "Isteri Siapa Call Dulu, Dia Kalah."

Sudah masuk extra time. Sudden death. Ayam jantan sudah berkokok, tiada tanda-tanda game ini akan tamat.

Tiba-tiba nada sms masuk berdendang dari telefon Yamoto. Yamoto dan Chekov saling berpandangan. Chekov tersengih menunjukkan dia bakal menang.

Anti-climax. SMS itu hanya iklan Maxis mempromosi Top-up Reward. Yamoto tersenyum lega.

Lima minit kemudian masuk lagi satu SMS. Masing-masing berdebar. Mungkinkah ini hanya iklan Maxis lagi?

Yamoto membaca SMS itu. Dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia kemudian mempamerkan skrin telefon kepada Chekov.

"I mengidam mi goreng panas." Singkat teks SMS itu.

Ya Yamoto kalah tetapi kalah dengan maruah. Mereka bersalaman. Masa untuk pulang.

"Apa pun, gua respek bini lu. Ayat dia halus," kata Chekov.

"Dia memang genius. Sumpah seranah tidak jalan dengan gua. Dia tahu lebih mudah melembutkan hati gua dengan kata-kata halus," jawab Yamoto.

Budak McD mengemas dan mengelap meja mereka. Kerusi yang ditinggal kosong dimasukkan ke bawah meja.

Khamis, April 10, 2008

AKAN DATANG

(Klik gambar untuk saiz bagak)
Sila kumpul wang anda sekarang. Jangan biarkan buku laris ini habis dan hati anda terhiris.

Isnin, April 07, 2008

LELAKI EMBUN JANTAN

Embun jantan mula menitis di atas bumbung kereta. Tiga lelaki duduk di meja bahagian luar McD 24 jam sambil menghembus asap rokok. Henpon masing-masing berbaring di atas meja.

Cawan Coke saiz besar mereka sudah tiga kali refill. Mereka sudah lama di situ. Bekas sos mereka pun sudah penuh dengan puntung rokok. McD sekarang tidak macam dulu, McD sekarang tidak menyediakan tempat habuk rokok.

Tiba-tiba, intro lagu Hotel California berdendang, itu nada dering henpon Antonio. Antonio menjawab telefon. Mukanya serius. Chekov dan Yamoto girang memberi tepukan tangan sebelah, high five.

Chekov dan Yamoto masuk final. Antonia kecundang. Antonio membayar harga makanan untuk mereka bertiga dan minta diri untuk pulang secara bermaruah. Chekov dan Yamoto memberi tabik hormat kepada Antonio sepertinya Antonio itu komrad yang tumbang.

Kini dua lelaki sahaja tinggal di meja itu. Mereka meneruskan perjuangan dalam final saingan piala, "Isteri Siapa Call Dulu, Dia Kalah."

Mereka pesan dua burger Big Mac lagi.

Jumaat, April 04, 2008

GERAN PENYELIDIKAN

Nabil bosan menunggu. Dia lihat Prof. terlalu khusyuk mengisi borang. Justeru, Nabil pun cuba mengisi masanya dengan menyusun kertas-kertas yang bertabur atas meja Prof.

Prof: Jangan! nanti saya tidak tahu mana nak cari barang-barang saya. Walaupun serabut, saya tahu saya letak barang.

Nabil: Borang apa tu Prof.?

Prof: Borang permohonan ke bengkel.

Nabil: Bengkel apa Prof.?

Prof: Bengkel Mengisi Borang Permohonan Geran Penyelidikan.

Nabil: Nak dapat geran, kena isi borang. Nak isi borang kena pergi bengkel. Nak pergi bengkel, kena isi borang lagi. Patut la banyak sangat kertas atas meja Prof.

Prof: Susah buat penyelidikan ni. Lu fikir la sendiri.

.................

TAYANGAN & FORUM FILEM PENDEK
Bumbung Aku Lantai Orang
Dewan IBS, UTM Semarak, Kuala Lumpur
1 pm. 5 April 2008.
(Masuk Percuma)

...............
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Konkritjaya: Peneroka Felda Diperlukan

Rabu, April 02, 2008

PARTI DI ATAS AWAN




Romlah berkemban keluar dari bilik air. Dia mendapati Mobius sudah berbaju, berbedak dan berminyak wangi. Mobius kelihatan sudah bersedia untuk ke parti.

Romlah bertanya, "You tak mahu mandi dulu ke?"

Mobius menjawab, "Sejuk."

"Ada hot water la. Rugi la ambil bilik hotel mahal-mahal tapi tak guna air dia."

"Balik dari parti nanti I mandilah. I mandi dua kali." Senyap sebentar. Kemudian, Mobius sambung lagi seperti ayat sebelum ini adalah ayat ralat. "Kita. Kita mandi dua kali."

"Nakal!" balas Romlah sambil mengukir senyuman.



...............
MAJLIS
Bicara Karya Sastera
a) Di Benua Buta oleh Mana Sikana
b) Cetusan Kalbu seorang Penyair oleh Peter agustine goh
c) Di Sebalik Mentari Jingga oleh W.B. Rendra

5 April 2008 (Sabtu). DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana.

Selasa, April 01, 2008

DUET AJAN & RIMA

Foto: Nina Pop berduet dengan Tok Rimau membaca entri Ajan dan Rima dari buku Ayah Kita Bos.

Aku terima jemputan dari KITA untuk baca naskah sempena gig anti-dadah, Kami Tidak Lalai. Aku tahu ini bukan khalayak biasa untuk bacaan naskah. Jauh dari sasaran tetapi aku adalah aku. Tidak sekarang, bila lagi?

Aku pun baca entri dari buku Ayah Kita Bos secara solo dengan diiringi petikan gitar tong seorang sukarelawan (Madey). Entri yang aku pilih sudah diuji sebelum ini di rumah Pena dalam acara Maskara. Entri ini mengigit di Maskara tetapi belum diujikan dengan khalayak lain.

Mata khalayak ini macam mata kucing disuluh lampu kereta dalam gelap malam. Bersinar tanpa ekspressi. Mereka tidak tahu sama ada mahu tepuk tangan atau mahu baling botol. Seperti yang dijangka, mereka tidak faham aku.

Aku tidak salahkan mereka. Mereka datang untuk muzik indie. Baca naskah adalah seni yang asing bagi mereka. Malah, baca naskah juga seni yang asing bagi Malaysia.

Aku tukar strategi. Aku cari seorang sukarelawati membantu aku. Aku pecat pemain gitar dan panggil pemain drum pula (Tak ingat nama dia). Aku pesan dengan dia untuk bagi kami drum roll dengan cymbal setiap kali sampai punchline. Dan itulah yang dia laksanakan.

Aku dan Nina Pop berduet. Kami baca entri Ajan dan Rima dari buku yang sama. Kali ini lebih seru. Nina Pop menghayati watak dengan cermelang. Ada reaksi positif dari khalayak.
Perlu awek cun juga naik pentas untuk menghangatkan suasana. Alahai!

Usai aku baca naskah, 14 band indie pun membuat persembahan. Dengan riuh-riuh bingit muzik, tenggelam vokal. Butir-butir lirik lagu-lagu indie yang kelemasan dalam muzik pun bukan khalayak faham sangat. Apalah salah jika disajikan baca naskah, lagi satu perkara yang mereka tidak faham. Kan?


Glossari:
1. PENA : Persatuan Penulis Nasional
2. MASKARA: Malam baca naskah sindiket sol-jah dan kawan-kawan yang kita suka



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Senarai laman web untuk penulis yang serius.

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...