Rabu, September 30, 2009

RECYCLE A BICYCLE

DSCN0790.JPG

Basikal kuning Sarahmon sudah kecil. Mmm... Sarahmon yang sudah besar sebenarnya. Bila dia kayuh, lutut dia sangkut di handle. Sudah dua tahun basikal itu mengarat di dinding. Dua-dua tayarnya pun dah pancit.

Datang sekumpulan kanak-kanak beraya. Salah seorang itu datang dengan basikal bercat hitam. Cat sendiri. Pandai budak ni bela basikal. Aku pun tanya, "adik nak basikal?"

"Tidak mahu. Saya dah ada, tapi adik saya nak."
....

Semalam sekumpulan ibu-ibu datang bertandang. Maklum la hari raya. Rupanya ibu kepada budak yang dapat basikal itu. Justeru, dia bercerita tentang kasih sayangnya anaknya kepada basikal buruk itu. Basikal itu sekarang dah dibela elok. Tayarnya pun dah kembong. Dah jauh pun budak itu mengayuh.

...

Petang-petang, aku nampak budak itu wheelie basikal. Basikal itu gembira sekarang dapat tuan yang bawa dia berjalan dan bermain.

Selasa, September 29, 2009

SALUN EKSOTIKATA - Baby baru Sindiket Sol-Jah

Image Hosted by ImageShack.us

Seperti selalu-selalu, buku selonggok sajak Salun Eksotikata ini dicetak dalam jumlah yang sedikit. Makanya, sila beli naskhah anda dengan segera! Hubungi sindiketsoljah at gmail dot com dan katakan “NAK BELI SALUN EKSOTIKATA, JOHN! [Ya, kami dah hired eksekutif perniagaan kami yang baharu. Nama dia John.]

Atau anda boleh juga beli dengan penulis-penulis kesayangan anda -

Yang Mimi Morticia, Hafiz Hamzah, Iputempe, Elle H. Afandi, Amaluddin Zhafir, Imran Abdul Jabar, Danielle Corleone, Le Disordre, Ili Syazwani, Waterlily, Wahyudi MY, Abu aka D.A.R.A, Alina Abdullah

Details: Facebook Event Salun Eksotikata.

p.s.
Aku ada hantar puisi cinta untuk buku ni. Tak tau la, masuk ke idak.

Rabu, September 23, 2009

SEPUPU AKU BERNIAGA



Teruja benar untuk sampai ke Parit Mahang, Senggarang. Hari raya pertama lagi aku dah memandu ke sana. Teringin sekali jumpa Jamal, sepupu aku. Kata Pak Long, Jamal sekarang sudah bisnes drum. Perghhh! Macam Abdul Wahub Ismet Ulam Raja. Dia pun niaga alat muzik.

Sesampainya, di rumah Jamal, aku lihat ada satu gudang papan besar sebelah rumahnya. Atas dinding gudang itu ada papan tanda niaga, "Jamal Deram" dan gambar kuih deram. Cheh! Pak Long ni, kenakan aku lagi.

Sabtu, September 19, 2009

JALAN-JALAN CUCI MATA



Fasa satu Senai-Desaru Expressway (E22) sudah dirasmikan pada 10 Sept. 2009. Fasa satu menghubungkan Senai-Ulu Tiram-Cahaya Baru-Pasir Gudang (50Km). Dengan kelajuan 110km, Senai-Pasir Gudang (23 minit).

Memilih lorong tol mana nak masuk macam berjudi nasib. Macam loteri. Kalau bertuah, awek yang jaga satu pondok tol Ulu Tiram gila cun. Murah senyum pula tu. Sungguh!

Tapi ingat abang oiiii, judi itu haram.

Lawatan sambil Belajar
SENAI DESARU EXPRESSWAY

Khamis, September 17, 2009

SERIBU SATU MALAM


Malam itu bukan malam 10 terakhir Ramadhan. Tidak mungkin itu malam Lailatulqada.

Aku pulang dari berfoya-foya bersama kawan-kawan yang aku suka. Dari ibu negeri Malaysia menuju ke bandar diraja Selangor. Jarum jam sudah menunjukkan angka 3. 3 pagi. Masa berfoya-foya tadi lupa solat. Apa nak jadi entah. Maka aku pun ambil keputusan singgah di R&R Awan Besar untuk Isyak.

Ada beberapa orang lain sedang solat. Musafir barangkali. Aku pun tidak ambil pot sangat, teruslah tunaikan kewajiban.

Usai solat, aku pun nak keluar. Aku perasan ada satu pintu menuju ke satu ruang di bahagian belakang surau. Terang ruangnya. Terperanjat aku bila melihat orang-orang dalam ruang itu solat membelakangkan kiblat. Apa nak jadi ni? Aku pun menghampiri. Tiba-tiba, aku lihat seorang manusia yang sebiji macam aku. Tingginya. Parasnya. Gaya dirinya.

Pap! Aku tepuk dahi. Orang itu pun buat benda yang sama. Cheh! Mana punya penghias dalaman la yang dah letak cermin sebesar pintu kat belakang surau ni. Buat orang kaget sahaja.

Malam itu bukan malam 10 terakhir Ramadhan. Tidak mungkin itu malam Lailatulqada.

Rabu, September 16, 2009

MENGENAL DIRI


Aku kata dengan cikgu aku, aku bercita-cita mahu jadi pilot atau pelukis komik. Tetapi aku tidak pernah hantar lukisan aku kepada mana-mana penerbit. Aku buat suka-suka je.

Lukisan pertama yang dipuji orang adalah ketika aku darjah dua. Aku lukis pokok dengan ranting-ranting tanpa daun depan rumah aku. Aku tidak ingat siapa yang puji tetapi dia macam tidak percaya aku yang lukis pokok itu.

Masa kecil dulu aku gemar meniarap sambil melukis. Jika aku lukis kereta kebal dan jet pejuang, mulut aku juga mengeluarkan kesan bunyi. Dush! Dush! Kaboom!

Setiap kali cuti hujung tahun, aku akan gunting buang helaian-helaian dari buku latihan sekolah yang sudah tertulis. Baki halaman yang belum tertulis akan aku lukis komik. Komik itu aku seorang sahaja yang baca. Cuma sekali, adik aku bosan-bosan dan dia pun baca komik aku. Dia ketawa-ketawa.

Ketika remaja aku gemar menulis surat. Biasanya rakan pena aku adalah alamat-alamat yang aku kutip dari surat pembaca kepada majalah Gila-gila. Purata 3-4 pucuk seminggu. Kadang-kadang, surat pun tak macam surat. Cerita harian aku yang aku lukis dalam bentuk komik. Dapat la dua-tiga awek dengan cara ini. Hi! Hi! Hi!

Aku kira blogging dan bikin filem ini adalah evolusi dari tabiat lama aku bercerita dalam komik dan surat. Ya, aku tidak fikir akan kaya kerananya. Aku buat suka-suka je.

HENDAK GUGUR, GUGURLAH NANGKA



Aku dah cukup sengsara tetapi kenapa aku masih tidak pandai bikin sajak.

Gelisah aku gelisah. Aku nak telefon dia, aku tidak ada nombornya. Aku nak hantar e-mel, aku tiada alamatnya. Aku nak tinggalkan komen di status EFFBIE, aku bukan friend dia. Biar sahaja begini. Biar keinginnan ini terpasung. A poet needs needs pain and suffering.

Betullah kata orang tua, kalau berkasih jangan hadiahkan baju, kain dan stokin.

Aku dah cukup sengsara tetapi kenapa aku masih tidak pandai bikin sajak.

~Nota untuk sebuah skrip filem tanpa tajuk.

Selasa, September 15, 2009

CINTA TANPA DESTINASI


Semuanya mula dengan sebatang pensil patah. Entah apa simboliknya imej ini, aku pun tak tahu. Aku ada konsep tapi belum ada cerita.

Aku nak buat cerita cinta yang juga sebuah road movie. Cerita cinta tanpa destinasi. Ada babak trafik jem. Babak sesat. Babak isi minyak. Bab servis kereta. Babak tukar kereta. Babak tukar giliran memandu. Macam trafik hari-hari. Semua biasa-biasa je, tiada cliche rempit. Aku nak bila audien memandu pulang dari menonton, mereka akan ingat cerita aku.

Mungkin yang perempuan akan berkata kepada lelaki, "ini (berkereta berdua) lebih bagus dari menonton wayang (cerita aku)."

Aku nak heroin tu tak cantik macam cantik-cantik biasa. Aku nak dia cantik personaliti. Cantik hati. Cantik dalaman. cantik yang hanya boleh rasa dengan jiwa tapi tak boleh sentuh secara fizikal. Huh! Susah gila nak cari bakat. Tapi itulah kehendak sang sutradara.

Sepanjang cerita, couple tu berbual kemudian diam. Mostly, sembang tentang apa yang mereka lihat sepanjang perjalanan. Berbual lagi, kemudian diam. Tapi mereka tidak pernah gaduh. Sweet kan?

Heronya pula aku nak seorang anti-hero. Tidak sempurna.  Muka tak siap. Perangai pun tak mithali. Sinikal tapi budiman. Sepanjang jalan asyik kutuk orang itu, orang ini. Yang paling dia suka kutuk adalah kerajaan. Bukan semua orang pun begitu kan?

Tapi dia tak pernah kutuk orang sebelah dia.

"Sampai bila mesti begini?"  Begini itu maksudnya tanpa destinasi.

Mmm.. aku sudah ada watak. Aku dah ada setting. Konflik aku tidak ada. Setiap cerita perlu konflik. Aku tak ada konflik lagi. Bukan senang jadi tukang cerita.

Babak ending dia. Ada dua buah kereta atas lebuhraya. Kemudian, satu belok ke kiri dan satu lagi belok ke kanan. Mata hero akan ekori kereta lagi satu itu sehingga ia hilang dari pandangan.

Isnin, September 14, 2009

KU PETIK BINTANG-BINTANG


DSCN0767.JPG Originally uploaded by Jali.

Pergola with poly shading at the driveway complete. 90% of the paint job done. I added 6 star lanterns bought at Likedeco.com. More photos at Flickr. :-)

KU PETIK BINTANG-BINTANG (KENNY RENNY MARTIN)

Kupetik bintang-bintang
Biarpun banyak halangan
Rela tempuhi segalanya
Onak yang kupijak bagai tak rasa

Kusedar sejak mula
Tiada jalan yang mudah
Tapi kuyakini di dalam hati
Akhir terkota jua sumpah dan janji

Walau sukarnya bagi mu sayang
Perjalanan menyakitkan
Tapi hadapilah dengan kesabaran
Kan tiba kebahagiaan

Tiada batasannya
Usia ataupun rupa
Kita bersama memulakannya
Sehingga ke akhir kita terus berdua

Jumaat, September 11, 2009

PRA-TONTON

Buaya Darat sedang berjemur.


"Ini filem kau yang terbaik," komen Vovin. Aku yang minta dia komen masa sesi pra-tonton. Aku bagi kawan-kawan (Vovin, Stradust dan Faz) tengok first cut filem pendek Pemburu Buaya Darat semasa berada di Kuala Lumpur, ibu negeri Malaysia.

Orang kata, kalau belajar tanpa guru, itu belajar dengan syaitan. Siapa punya fatwa, aku pun tidak tahu. Zaman sekarang ni, kadang-kadang kita tidak mampu berguru kerana guru caj mahal sangat.

Ada tidak ada, belajar la dari pengalaman. Banyak sutradara memberi nasihat, cara terbaik untuk belajar bikin filem adalah dengan bikin filem. Tidak dapat tidak, mesti ada kesilapan. Yang penting belajar dari kesilapan itu. Bila jumpa dengan kawan-kawan dengan minat yang sama, tukar-tukar fikiran. Belajar dari kesilapan dan pengalaman mereka.

Walaupun Vovin kata ini filem aku yang terbaik, tidaklah boleh bangga sangat. Campur Pemburu Buaya Darat, aku cuma pernah direct dua filem. Dan kepada yang asyik cakap nak bikin filem tapi tak bikin-bikin, aku nasihatkan buat la segera. Aku pasti filem pertama itu akan jadi filem terbaik (kalau kalian ada satu filem je).

Khamis, September 10, 2009

KECANTIKAN HAK MILIK SETIAP INSAN

Untuk gambar rajah 1 ( Pipiyapong ) dan 2 ( Mail ) , jurumekap sedaya upaya mencantikkan artis. Biar muda dan segar.

Untuk gambar rajah 3, jurumekap sedaya upaya menghodohkan artis. Biar tua dan kerepot. Inilah pengorbanan seorang seniman.

Isnin, September 07, 2009

HANGUS

Baru pulang dari KL. Trip kali ni macam masuk sekolah filem. Banyak yang aku pelajari dari:

Deansham, Shiro, Sameer, Pipi, Mail, Anip, Faz, An, Vovin, Razaisyam dan Rozinor.

Sesi kongsi pengalaman kami macam terasa macam berada di cafe sebuah sekolah filem. Rasa macam bagus.

Sebelum pulang, kami sempat berbuka puasa dengan master film maker. Dia belanja. Dalam dua jam duduk dengan dia kepala mula ting tong. Perghhhh! Ilmu dia punya la banyak, tak muat nak masuk kepala aku. Aku tidak boleh cerita di sini sebab ilmu itu tinggi sangat. Rasa macam kerdil sangat.

Tapi aku ingin memetik kata-katanya tentang mencari  lokasi filem sebagai penutup entri ini.
"I have paid my dues. Katakan mana ceruk nusantara yang aku belum pergi. Aku susur sungai-sungai di Kalimantan. Lepak dengan dayak telinga sampai pinggang. Aku jumpa buaya kuning. Aku jumpa beruk sebesar engkau (tunjuk ke arah Shiro)."

Khamis, September 03, 2009

PEMBURU BUAYA DARAT

Sinopsis: Mengisahkan seorang pengembara masa merentas dari 2109 ke 2009 untuk membuat kajian tentang buaya darat. Tanpa disedari, bahaya sedang menunggu dia. Jeng jeng jeng.

Pengarah: Tok Rimau
Durasi: 10 minit


Kalau Johor Bahru masih ada panggung Rex dan Lido, pasti aku tayangkan cerita ini di sana. Tetapi sekarang yang ada cuma lantai konkrit dan tiang-tiang dengan cerucuk besi menjulur. They paved paradise and put up a parkin' lot.

Maka kita tunggu Maskara Shorties, Rumah Pena Oktober 3 nanti.

Foto dan poster oleh HakimHH.Com

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...