Rabu, Jun 24, 2026

104 KEBAS 2

Aku sudah siap mengumpulkan artikel untuk Kebas 2. Setelah semuanya selesai, aku cetak sebanyak 100 naskhah. Rasa puas juga apabila melihat hasil yang selama ini hanya berada dalam fail dan komputer akhirnya menjadi sebuah zine yang boleh dipegang.

Beberapa naskhah sudah terjual. Selebihnya masih tersimpan kemas di dalam kotak.

Di sinilah masalahnya. Aku bukan jurujual yang baik.

Aku boleh menulis, menyunting, mengumpulkan artikel dan mencetak zine. Tetapi apabila sampai kepada bab menjualnya, aku jadi serba salah. Hendak mempromosikan pun rasa kekok. Hendak memujuk orang membeli, jauh sekali.

Akhirnya, 100 naskhah yang aku cetak itu lebih banyak duduk diam di dalam kotak daripada berpindah ke tangan pembaca.

Mungkin begitulah nasib sesuatu yang dibuat kerana minat. Kita ghairah menghasilkan sesuatu, tetapi tidak semestinya pandai menjualnya.


103 BLACK WATER BIKECAMP


Black Water Bikecamp dianjurkan oleh Yem, adik aku sendiri. Aku cuma bantu buatkan poster promosi. Acara kecil-kecilan ini berlangsung sempena Awal Muharam, pada 16 hingga 17 Jun 2026, di Black Water Orchard, sebidang dusun durian di kawasan Air Hitam, Johor.

Kami cuma 15 orang, jadi suasananya memang santai dan mesra. Tidak perlu acara besar-besar. Cukup dengan kawan-kawan, basikal, khemah dan dusun durian.

Kebetulan pula ketika itu musim durian. Memang rezeki kami. Durian gugur, kami kutip dan terus makan. Durian dibawa ke tempat berkumpul untuk dikongsi bersama. Selain makan durian, kami juga masak-masak. Bila sudah berkumpul ramai-ramai, makanan biasa pun terasa lebih sedap.

Sudah tentu, kami tidak hanya duduk di kebun. Kami juga keluar berkayuh dan melawat beberapa tempat di sekitar kawasan tersebut, antaranya Olak Batu, Sungai Biuh, Sawah Sagil dan Tasik Biru.

Dua hari itu berlalu dengan cukup santai. Berkayuh, berkhemah, memasak dan makan durian bersama-sama. Tidak perlu acara yang terlalu besar atau jadual yang terlalu padat.

Kadang-kadang, yang kita perlukan hanyalah sebuah tempat yang tenang, beberapa orang kawan dan basikal untuk membawa kita ke tempat-tempat yang belum pernah kita lihat. Memang seronok dapat berkayuh dan berkhemah bersama kawan-kawan. Lebih-lebih lagi apabila berkhemah di tengah kebun durian pada musim durian. Itu memang bonus.

102 RIMBASIKAL BIKECAMP

Rimbasikal Bikecamp sulung telah berlangsung pada 6 hingga 7 Jun 2026 di Chekgu Mary Campsite.

Perkhemahan menghimpunkan sekitar 120 peserta. Acara ini dianjurkan bersama oleh Bikedaily, Uda Trasher, Wild Boar 26 dan Puak Pelampau.

Aku sendiri ambil tugas sebagai setiausaha, manakala Akak Kau menguruskan bahagian kewangan sebagai bendahari.

Seronok juga apabila dapat beramah mesra dengan kawan-kawan basikal dari pelbagai tempat. Ada yang datang dari jauh, termasuk dari Terengganu dan Kuala Lumpur. Ada juga yang datang dari Singapura, merentas sempadan semata-mata untuk berkhemah dan berbasikal bersama.

Sepanjang dua hari acara berlangsung, pelbagai aktiviti berkaitan perkhemahan dan basikal diadakan. Ada sukaneka, perlumbaan dan persembahan. Namun, aktiviti yang paling mendapat sambutan ialah perlumbaan dengan pakaian beragam atau kostum.

Sebelum acara bermula, aku sebenarnya agak risau. Menguruskan acara yang melibatkan seramai 120 peserta bukan perkara kecil. Macam-macam perkara bermain dalam kepala. Takut ada yang tidak menjadi, takut peserta tidak seronok dan takut usaha kami tidak seperti yang diharapkan.

Namun, semua kerisauan itu perlahan-lahan hilang apabila melihat peserta bergembira. Ada yang ketawa, ada yang bersaing dan ada yang datang berlumba dengan kostum yang lucu-lucu. Itulah sebenarnya yang kami mahu.

Akhirnya, apabila semua orang pulang dengan senyuman, rasa penat pun macam hilang sedikit.

Rimbasikal Bikecamp bukan sekadar acara berbasikal. Ia tentang berkumpul, berkhemah, berkawan dan meraikan budaya basikal dengan cara kami sendiri.

Rabu, Jun 03, 2026

101 YONG & DIJIRUS 2

Aku dan kawan-kawan kembali ke Sungai Yong pada 29 hingga 31 Mei 2026. Padahal, baru bulan lepas, pada 18 April 2026, kami datang ke sini. Seperti yang aku katakan dahulu, setakat dua hari satu malam di dalam hutan memang tidak cukup untuk menyembuhkan diri. Rombongan aku kali ini terdiri daripada 10 orang, semuanya berbasikal.

Setibanya di sana, kami dapati ada lapan orang Renjer Komuniti yang sudah berkhemah di situ. Kami berbasa-basi ala kadar dan mendirikan khemah pada jarak yang selesa. Renjer Komuniti ialah barisan hadapan tempatan yang dilantik oleh kerajaan untuk melindungi khazanah sumber asli dan hidupan liar Malaysia daripada pencerobohan serta pembalakan haram. Mereka terdiri daripada komuniti Orang Asli, veteran tentera dan penduduk setempat. Program ini dijalankan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti.

Dari jauh, aku mengagumi pondok mereka. Tiang-tiangnya dipacak ke bumi sedalam sekaki. Mereka menggantung hammock pada tiang, bukan pada pokok. Pun begitu, hayunan mereka kelihatan teguh dan tidak bergoyang. Esoknya, apabila mereka sudah beredar pulang, aku mengkaji kayu-kayan yang mereka gunakan. Tiang dan gelagar pondok bertemu dalam sambungan tanggam. Patutlah kukuh.

Hutan ini kini milik kumpulan kami. Sunyi dan menenangkan.

Dari sudut psikologi dan sosial, menjaga jarak fizikal membantu mengurangkan tekanan, keresahan dan rasa terancam, sekali gus membolehkan individu berinteraksi dengan lebih tenang dan rasional. Oleh itu, menghormati jarak fizikal bukanlah tanda menjauhkan diri secara sosial, sebaliknya merupakan satu amalan beradab demi keharmonian hidup bermasyarakat.

Sekitar pukul 2 petang, datang kira-kira 15 buah kenderaan pacuan empat roda. Mereka membawa peralatan perkhemahan yang besar dan mewah, siap dengan perabot. Mereka mampu berbuat begitu kerana datang dengan kereta.

Mereka segera membangunkan khemah dan memasang lampu yang menerangi kawasan hutan.

Hutan ini kini milik mereka. Riuh dan kecoh. 

Aku tidak selesa dengan sikap mereka yang meletakkan kereta begitu hampir dengan tempat kami berkhemah. Kereta mereka cuma sedepa dari kami. Dalam hutan yang luas ini, kenapa hendak parkir di situ?

Mors mengangkat khemahnya dan berpindah sedikit lebih dekat dengan sungai. Aku tidak berpindah kerana berhampiran sungai tiada pokok yang sesuai untuk menggantung hayunan. Aku hadapi juga perangai mereka. Mereka membuka meja dan meletakkan dapur memasak begitu hampir denganku.

Aku tiada mood untuk konflik terbuka. Aku cuma membalas dengan menyidai seluar dalam pada tali hayunan, sedepa dari dapur memasak mereka.

Esoknya, mereka berkemas dan pulang lebih awal daripada kami. Mereka meninggalkan sampah di dalam hutan walaupun ada ruang untuk membawanya pulang di dalam kereta mereka. 

Mereka orang berduit, namun duit mereka tidak mampu membeli adab.

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...