Rabu, Jun 03, 2026

101 YONG & DIJIRUS 2

Aku dan kawan-kawan kembali ke Sungai Yong pada 29 hingga 31 Mei 2026. Padahal, baru bulan lepas, pada 18 April 2026, kami datang ke sini. Seperti yang aku katakan dahulu, setakat dua hari satu malam di dalam hutan memang tidak cukup untuk menyembuhkan diri. Rombongan aku kali ini terdiri daripada 10 orang, semuanya berbasikal.

Setibanya di sana, kami dapati ada lapan orang Renjer Komuniti yang sudah berkhemah di situ. Kami berbasa-basi ala kadar dan mendirikan khemah pada jarak yang selesa. Renjer Komuniti ialah barisan hadapan tempatan yang dilantik oleh kerajaan untuk melindungi khazanah sumber asli dan hidupan liar Malaysia daripada pencerobohan serta pembalakan haram. Mereka terdiri daripada komuniti Orang Asli, veteran tentera dan penduduk setempat. Program ini dijalankan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti.

Dari jauh, aku mengagumi pondok mereka. Tiang-tiangnya dipacak ke bumi sedalam sekaki. Mereka menggantung hammock pada tiang, bukan pada pokok. Pun begitu, hayunan mereka kelihatan teguh dan tidak bergoyang. Esoknya, apabila mereka sudah beredar pulang, aku mengkaji kayu-kayan yang mereka gunakan. Tiang dan gelagar pondok bertemu dalam sambungan tanggam. Patutlah kukuh.

Hutan ini kini milik kumpulan kami. Sunyi dan menenangkan.

Dari sudut psikologi dan sosial, menjaga jarak fizikal membantu mengurangkan tekanan, keresahan dan rasa terancam, sekali gus membolehkan individu berinteraksi dengan lebih tenang dan rasional. Oleh itu, menghormati jarak fizikal bukanlah tanda menjauhkan diri secara sosial, sebaliknya merupakan satu amalan beradab demi keharmonian hidup bermasyarakat.

Sekitar pukul 2 petang, datang kira-kira 15 buah kenderaan pacuan empat roda. Mereka membawa peralatan perkhemahan yang besar dan mewah, siap dengan perabot. Mereka mampu berbuat begitu kerana datang dengan kereta.

Mereka segera membangunkan khemah dan memasang lampu yang menerangi kawasan hutan.

Hutan ini kini milik mereka. Riuh dan kecoh. 

Aku tidak selesa dengan sikap mereka yang meletakkan kereta begitu hampir dengan tempat kami berkhemah. Kereta mereka cuma sedepa dari kami. Dalam hutan yang luas ini, kenapa hendak parkir di situ?

Mors mengangkat khemahnya dan berpindah sedikit lebih dekat dengan sungai. Aku tidak berpindah kerana berhampiran sungai tiada pokok yang sesuai untuk menggantung hayunan. Aku hadapi juga perangai mereka. Mereka membuka meja dan meletakkan dapur memasak begitu hampir denganku.

Aku tiada mood untuk konflik terbuka. Aku cuma membalas dengan menyidai seluar dalam pada tali hayunan, sedepa dari dapur memasak mereka.

Esoknya, mereka berkemas dan pulang lebih awal daripada kami. Mereka meninggalkan sampah di dalam hutan walaupun ada ruang untuk membawanya pulang di dalam kereta mereka. 

Mereka orang berduit, namun duit mereka tidak mampu membeli adab.

Tiada ulasan:

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...