Jumaat, Oktober 22, 2004

Temubual Tok Rimau dgn Rudy Bluehikari
1. Apa perasaan saudara bila diiktiraf sebagai pemenang weblog terbaik?

Tahun 2001 tahun pertama anugerah diperkenalkan. Jadi, saya teruja sekejap. Rasa macam tidak layak kerana ada lagi penulis lebih baik pada masa itu. Kalau tak silap, jongkang-jongket milik Mat Jan cuma beberapa undi di belakang Bluehikari. Saya sendiri mengundi Mat Jan pada masa itu.

2. Apakah yang membezakan penulisan saudara dengan pemenang yang dua lagi?

Bluehikari banyak berkisar dengan pelbagai pengalaman suka duka hidup saya. Ada juga berdasarkan pemerhatian kepada manusia sekeliling. Bahasa digunakan bervariasi. Tak terlalu berbunga tak terlalu lawak. Sederhana rasanya?

Fajar menggunakan bahasa yang saya rasa sangat tinggi. Saya pun tak boleh buat penulisan macam dia. Banyak yang tersirat. Sekali baca takkan faham kalau tidak direnung dengan baik.

Mat Jan pula menulis gaya kuak lentang humor, selamba dan sinis. Kadang-kadang saya pelik, baru baca patah pertama tulisannya saya sudah ketawa. Kalau tak percaya cuba bandingkan jawapan interview ini dengan interviewnya. Agaknya kalau saya jawab macam Mat Jan, persepsi pembaca akan berubah. Saya mungkin dicop mahu berlagak, riak dan sekebun dengannya! (Ketawa)


3. Apakah tema yang gemar saudara ketengahkan dalam penulisan-penulisan weblog saudara?

Kalau gaya menulis saya macam Mat Jan, saya akan jawab untuk RAIH SIMPATI! (Ketawa). Kalau siapa kenal hati budi saya, mereka tahu saya jenis yang macam mana. Kongsi pengalaman hidup dan tingkahlaku manusia antara yang saya suka ketengahkan dalam penulisan.


4. Apakah masa depan halatuju hobi penulisan weblog saudara?

Saya sudah berhenti menulis di Bluehikari. Rasanya cukup setakat itu cerita-ceriti dalam kelambu hidup saya. Walau bagaimanapun, saya pegang kata-kata Tokrimau dulu masa saya mahu berhenti menulis di Bluehikari. Katanya, dia tak percaya saya akan berhenti menulis seratus peratus. Ketagihan saya kepada weblog sangat serius dan berada di tahap boleh mencederakan minda sesiapa! (Ketawa).

Sekarang saya banyak tumpukan kepada penulisan sajak, cerpen dan novel. Setakat ini saya sudah ada 2 antologi sajak bersama dan 1 antologi novel bersama yang diterbitkan. Selain itu beberapa sajak di media cetak perdana. Nak beli? Beli di esastera.com (Promote nih!).

5. Apakah peristiwa paling besar yang memberi kesan mendalam hidup saudara sepanjang 2004?

2004? Alhamdulillah, saya dah nikah! Mat Jan! Saya dan Fajar dah lepas. Anda bila lagi? (Pressure nih!)

6. Bagaimanakah Geng Jurnal memberi impak kepada hidup saudara?

Saya tak bersendirian melawan dugaan hidup. Saya akui, salah satu faktor mengapa saya boleh sembuh (walaupun tak 100% sembuh) dari sakit dulu adalah kerana bantuan semua sahabat di Geng Jurnal. Tak kira bantuan dari segi apapun! Terima Kasih kepada semua GJ! Terima Kasih kepada Tuhan.

7. Cadangan satu aktiviti yang belum pernah Geng Jurnal jalankan untuk dipertimbangkan dalam 2005.

Masih ingat tulisan saya tentang MENCARI SESUAP NASI? Saya teringin GJ buat khidmat masyarakat bersama anak-anak yatim atau di rumah orang-orang tua. Kalau jenis aktiviti mahu disematkan dalam The Book of Record Malaysia, baik tak payah. [BACA: Aktiviti untuk dapat title DATUK] (ketawa)

8. Apakah harapan saudara akan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2004?

Untuk AWET kalau boleh kategori anugerah biarlah tetap setiap tahun dan tidak terlalu banyak. Nanti bila dah banyak jadilah macam kes penganugerahan Datuk. Tak mahulah jadi satu humor yang pernah saya baca. Kalau dibaling batu di khalayak ramai, paling tidak dua tiga orang Datuk boleh kena juga.Wah! Silap-silap juri boleh kena beli! Lelong-lelong anugerah AWET untuk dijual! (Ahahahaha!)

Untuk Perhimpunan GJ 2004, harapnya berjalan dengan lancar dan penuh ukhwah. Saya percaya Wak Din selaku Kepala bagi projek terbesar ini akan berjaya melaksanakannya. Bekerja secara jemaah lebih baik dari bekerja sendiri-sendiri. Renung-renung pengalaman lalu.

9. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?

Macam Kak Max pernah kata, kita bebas menulis. Censorship semuanya di tangan kita pemilik dan penulis blog. Tapi sekarang macam sukar pula. Lihat sahaja apa yang terjadi dengan kes melibatkan seorang penyanyi terkenal. Komen sikit kena Report Polis. Kemudian kena saman. Lama-lama nanti, media tanpa sempadan ini akan terpasung jua dengan undang-undang. Kalau setakat dijentik dengan kritikan takkan tak boleh? Lainlah kalau ia fitnah. Mat Jan mungkin boleh beri ulasan sedikit perihal Undang-undang Siber Malaysia. Silap-silap jawapan saya inipun boleh kena! Ha!ha!

10. Calonkan 3 url weblog untuk dipertimbangkan dalam Anugerah Weblog Terbaik 2004.

Saya tidak mahu menjawab soalan ini. Sementalah saya antara juri dilantik untuk AWET 2004. Dalam kepala sudah ada dua tiga weblog. Biarlah ia dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) saya dahulu. Anda calonkanlah mana-mana weblog yang anda rasakan layak.

Selamat berhimpun warga GJ!

Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...