Selasa, Disember 26, 2006

BAH TERUK

Aku menulis entri ini menggunakan laptop dengan bateri tinggal separuh. Aku gunakan kad 3G untuk terbitkan entri blog ini ke Internet. Teknologi memungkinkan komunikasi ini.

Gerobok tempat aku bertenggek mula kembang dan membengkak permukaannya kerana menyerap air. Apalah hendak diharap sangat dari perabot chipboard murah D.I.Y. dari Giant ini Kini dia mula bergoyang-goyang hilang keseimbangan.

Aku terjaga sekitar jam 4.00 pagi kerana terasa tilam aku basah. Aku sangkakan aku mendapat mimpi basah tetapi ternyata aku salah sangka. Aku memang tidak suka apabila mendapat mimpi basah tetapi tidak ingat langsung butir-butir dalam mimpi itu. Rugi. Apa pun, ini bukan mimpi basah. Tilam aku basah benar-benar oleh air, H20 bercampur lumpur dan sampah. Tilam aku basah kerana air hujan turun tidak henti-henti hingga menyebabkan banjir. Air dari gunung turun dengan banyaknya. Manakala, di baruh pula pasang keling. Sekarang pukul 5.00 pagi, air sudah sampai paras dada.

Aku sepatutnya keluar dari rumah semasa air paras pinggang tadi, tetapi semasa aku mahu keluar dari bilik, aku terampak beberapa kelibat sedang selongkar almari pinggan Correl mak aku. Aku syak itu anak jantan Mak Limah dan kuncu-kuncunya sedang menaguk di air keruh. Dia baru keluar dari Serenti tapi masih tidak hilang giannya. Aku nak lawan tapi takut sebab mereka ramai dan aku seorang. Aku masuk semula dalam bilik dan kunci pintu.

Sekitar 4.30 pagi aku dengar kecoh di ruang tamu. Aku dengar mat gian-mat gian itu menjerit. Mahu kata mereka jumpa emas, bunyi jeritannya macam menakutkan. Aku terdengar juga bunyi debus-debus percik air macam budak-budak main di kolam taman KLCC. Tapi sekejap sahaja bunyinya, kemudian sunyi.

Aku nampak air banjir yang keruh kekuning-kuningan bertukar menjadi merah. Warna itu masuk ikut celah pintu bilik yang berkunci. Aku mahu keluar ikut tingkap tapi tingkap rumah ini kukuh berjeriji besi. Aku panjat gerobok pakaian dan bertenggek di atas. Nasib baik laptop ini ada atas gerobok, boleh aku berkomunikasi dengan dunia meminta pertolongan.

Renyai hujan di luar bergendang atas bumbung zing seperti kumpulan speed metal. Aku bertenggek atas gerobok mengigil-gigil. Apa tidaknya. Sedang aku khusyuk memerhatikan pintu bilik, satu rempuhan yang dasyat memecahkan pintu bilik. Bukan pasukan penyelamat yang masuk tetapi seekor buaya 10 kaki panjang kini terapung di muka pintu. Di mulutnya ada tangan manusia yang masih segar. Bilik aku dah jadi kolam darah.

Kemudian bilik aku menjadi gelap. Aku tidak pasti samada litar terputus di suis utama rumah atau di pencawang TNB kampung aku. Aku tidak nampak buaya itu lagi kerana bilik aku gelap. Namun, aku pasti buaya itu nampak aku kerana skrin laptop ini mengeluarkan cahaya menerangkan muka aku.

Ini pasti buaya Stephen Poo Kee. Di ladangnya di hujung kampung, ada buaya, biawak, kancil, beruang dan musang. Dia bukan tauke zoo tetapi dia pembekal binatang-binatang eksotik untuk restoran-restoran di pekan. Dulu, aku nak melapor kepada polis tetapi Pak Ngah aku menghalang. Nanti siapa nak beli tenggiling-tenggiling yang Pak Ngah tangkap di ladang kelapa sawitnya? Pak Ngah memang usahawan tulin.

Alamak gerobok aku bergoyang lagi. Hampir roboh. Kritikal ni. Bila-bila masa sahaja aku boleh jatuh. Kalau kamu baca blog ini, sila telefon polis, bomba atau apa-apa pasukan penyelamat berdekatan. Minta mereka segera selamatkan aku di alamat...

[Fade to black]

.............
Nota: Sebenarnya penulis dalam keadaan dukacita bila bah di Johor amat teruk. 65000 orang yang menjadi mangsa. Untuk meluahkan kesedihannya, dia menulis fiksyen ini. Sementara menunggu orang yang menamakan hurricane di U.S sebagai Katrina dan taufan di Filipina sebagai Durian mendapat ilham sambil membelek Buku Nama-nama Anak, penulis menamakan banjir besar ini sebagai BAH TERUK. Semoga kita semua lulus ujian yang satu ini.

(Sumbangan dan bantuan : sila salurkan melalui PBSM, MERCY, Yayasan Salam atau Tabung Mangsa Banjir TV3)

18 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya sangkakan real...

Takziah untuk semua mangsa banjir. Adik saya di Kuantan juga menerima nasib yang sama.

dugongsenyum berkata...

ni boleh ke tidak aku nak datang ni? atau nak kena pinjam jaket dari kem kak G? hehehehe

rasso berkata...

Hujan dan Banjir..
kadangkala menghalang untuk ke kuliah :P

Aku Bukan Bidadari berkata...

BUkankah ujian ini atas kesilapan dan dosa kita semua? jangan salahkan takdir, jangan salahkan gomen, jangan salahkan buaya, jangan salahkan gobok yang tidak kukuh..

tuan tanah berkata...

Lhoh! Fiksyen ke?

Apapun, takziah kepada semua mangsa banjir.

Pakdi berkata...

salam tok,

tempoh hari, abang ipar ku + 3 anak-anak terperangkap di Segamat. Kakak ku kursus di Shah Alam.

Adakah ini bincana, atau satu peredaran alam yang berlaku 100 tahun sekali?

salam dari pakdi
http://www.pakdi.net

Unknown berkata...

hari ni hujan lagi. tak henti2..

Tanpa Nama berkata...

hampir terpedaya.. cissssssss

tapi agak ragu2 juga bila tokR takut untok keluar dari tempat persembunyian.. heheh itu bukan tokR la hai...

moga bah cepat kebah!

Tanpa Nama berkata...

tok, semoga tok dan sekeluarga selamat hendaknya.

saudara mara saya di kluang juga tidak terkecuali. ayahanda saya turun ke sana sudah 4 hari rasanya. selalu dia menghantar berita. terbaru, pakcik saya yang kene kencing manis kene stroke sewaktu banjir. makcik saya pula kene ragut. saya amat berharap buaya buaya itu membaham mamat ragut itu!

abdullahjones berkata...

saya membayangkn fiksyen ini sebagai sebuah filim/drama dan saya dapati ianya amat bagus.

June berkata...

Tok, part buaya gigit tangan tu BEST.


Rasanya, kat Malaysia, orang belum buat.

blackpurple @ jowopinter berkata...

Rakyat Johor diuji dan diduga......Takziah dan simpati buat mangsa ..

Mujur di perbukitan Bkt Mor selamat. Alhamdulillah.

Rie berkata...

rumah baru tok tenggelam juga kah???

katanya perabot baru IKEA kebal bencana..

takziah.

-esis-

Tanpa Nama berkata...

cerita perompak di kala banjir, lakonan morgan freeman, hard rain. tahun lepas 3kali main kat tv3 dari oktober hingga disember.

Tanpa Nama berkata...

sungguh berjaya fiksyen tok rimau itu, teruja dan tersuspend saya membacanya. apapapun..ya moga kita lulus menghadapi ujian yang satu ini.

Tanpa Nama berkata...

Sehingga kini banjir di Johor belum pulih. Harap pemustautin Johor banyak bersabar. Mujur tahun ini di Pantai Timur tidak seperti tahun sudah.

Menurut orang tua yang tinggal di kampung saya, banjir tahun lalu (2005) di Terengganu adalah paling besar dalam tempuh usianya lebih 80 tahun.

Tanpa Nama berkata...

Teruk ya tok. Ibu saya senang hati saya dah habis belajar di sekolah tu tok. Tapi air takkan sampai tingkat 4 Melana Apartment yer tak?

wénkt berkata...

bro, camner nak join bloglah.org tu?? link kat sana cam rosak je??

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...