Menjelang malam, Faqeh muncul membawa satu jag air kopi, sos cili dan sebesen cucur udang. Mak mentua yang goreng katanya. Kami pun menyatakan kasih sayang kami kepada beliau dan ramai-ramai mendoakan mak mentuanya dimurahkan rezeki.
Sedang aku menulis nukilan ini, perut aku berbunyi terkenang cucur udang tersebut. Masih terngiang-ngiang cucur itu memanggil nama aku.
Cuaca baik sepanjang acara. Jelas kelihatan bulan mengambang di dada langit.
8.30 malam, kami dihidangkan nasi goreng, ayam dan kambing BBQ. Bahaya juga dimanjakan sebegini — boleh lupa diri. Biasalah, sudah diberi betis, mahu paha pula. Sudah diberi kambing panggang, hendak disuap pula. Untuk yuran secubit, macam tidak adil dimewahkan begini. Kalau berniaga boleh rugi. Mungkin ini bukan perniagaan, ini sedekah namanya. Semoga kru Smogath2025 dimurahkan rezeki dan dikurniakan keberkatan yang melimpah-ruah selepas ini. Aku tidak menang lucky draw pun tidak mengapa, bertemu kalian dan kawan-kawan sudah rezeki yang banyak.
Malam semakin larut. Di atas pantai ada kain rentang acara berbingkai buluh dengan imej ayam jantan sedang merokok. Ini mengingatkan aku kepada pantun lama, “Ayam berkokok atas batang, ada rokok bak sebatang.” Imej yang sama juga ada atas t-shirt acara. Kain rentang ini dihias dengan lampu. Di hadapannya ada set dram, gitar dan alat siaraya. Peserta mula dihiburkan dengan muzik dari artis-artis tempatan berselang-seli dengan wacana. Onen bertindak sebagai hos rancangan dan juga juruteknik audio.
Persembahan paling comel jatuh kepada Ali dan Fyda yang bersila sambil berduet nyanyi lagu tema Kluang Man.
Kecuali lagu dangdut Yang Penting Hepi, aku tidak pandai ikut bernyanyi sama. Mereka banyak mendendangkan lagu yang bukan zaman aku. Mereka anak-anak era rock alternatif dan grunge. Tidak mengapalah, nanti sepanjang jalan pulang ke rumah, aku bakal pasang klasik FM.
Onen sebagai juruacara majlis dengan sangat cekap mengawal suasana. Aku juga dipanggil ke depan untuk berkongsi pengalaman berbasikal.
Awal-awal aku bagi amaran kepada Onen agar jangan tanya soalan teknikal. Untuk nisbah bilangan gigi gear depan dan belakang kena tanya Cabi Bikedaily.
Aku cuma berkongsi serba sedikit benda yang aku baru belajar. Intinya:- Rasulullah telah bersabda:
“Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang teraniaya, doa musafir dan doa ibu bapa untuk anaknya.” – Riwayat Tirmidzi
Maka jika kita bermusafir, contohnya berbasikal lebih dua marhalah, banyakkanlah berdoa.
Lewat malam Megat tiba dengan basikal dan baju kerja basah dengan keringat. Dia kayuh ikut jalur siang kami Penawar-Sungai Rengit-Pengerang sendirian di malam buta. Dia ni antara orang terpaling kayuh yang aku kenal.
Menjelang dinihari embun jantan pun turun. Faqeh pun bergegas pulang ke rumah, dia tidak tidur di kem. Dia tertinggal sos cili dan jag kopi. Akak Kau, Lia dan Cikgu Nazry sudah tidur dalam pondok. Megat tidur dalam hammock yang diikat antara tiang pondok dan pokok rhu.
Aku masih terkebil-kebil. Selalunya waktu begini, Tony akan layan aku berbual sambil menjerang teh longan. Tapi kali ini Tony tidak turut serta.
Baan yang berbaring atas katil kanvas sebelah Rahimi di beranda pondok menegur, “Tak tidur lagi Tok?”
Aku jawab, “Aku tidur berdengkur.”
“Dan?”
“Kalau aku tidur, orang lain akan terjaga.”
“Takpe Tok. Biasa tu.”
Selepas Baan memujuk, barulah aku sedap hati masuk tidur sebelah Akak Kau beralas tilam angin nipis. Sekejap sudah lena. Maklum la, siangnya penat bermain macam budak-budak.
3.30 pagi.
Tiba-tiba ada bunyi bising orang bergaduh di luar pondok. Aku abaikan sahaja. Kemudian, bunyi bising itu bertukar kepada ketukan kuat bertalu-talu atas lantai. Aku bangkit dan jenguk ke luar jendela pondok.
Rahimi melaporkan, “Baan disengat lipan.” Ketukan tadi rupa-rupanya Rahimi membunuh lipan dengan botol sos cili. Lipan itu panjang sejengkal. Ia terlentang di lantai dengan kaki masih bergoyang (Bukan Rahimi, lipan).
Baan tanya siapa bawa asam jawa untuk meredakan bisa sengatan. Aku tidak boleh membantu kerana kelopak mata terlalu berat. Terpaksalah Baan tanya ChatGPT tentang rawatan bila digigit lipan.
ChatGPT menjawab, “Langkah pertama merawat gigitan lipan ialah segera membersihkan kawasan gigitan dengan air bagi mengelak jangkitan. Seterusnya, rendam bahagian yang digigit dalam air suam selama 15 minit untuk mengurangkan bisa, kemudian tuam ais bagi menyejukkan dan mengurangkan bengkak. Mahukah saya beri versi yang lebih puitis?”
Awal pagi aku bangun, Baan tiada di atas katilnya. Dia sudah pindah tidur ke dalam kereta. Cikgu Nazry dan isteri juga tiada. Mereka pasang khemah dan tidur dalam khemah.
Cikgu menjelaskan, “Aku tidak tahan nyamuk.” Aku harap itu bukan alasan kepada tidak tahan bunyi dengkur.
Rahimi ada di katil kanvasnya di beranda, masih nyenyak sambil memeluk trofi raja bukit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan