Rabu, Jun 24, 2026

102 RIMBASIKAL BIKECAMP

Rimbasikal Bikecamp sulung telah berlangsung pada 6 hingga 7 Jun 2026 di Chekgu Mary Campsite.

Perkhemahan menghimpunkan sekitar 120 peserta. Acara ini dianjurkan bersama oleh Bikedaily, Uda Trasher, Wild Boar 26 dan Puak Pelampau.

Aku sendiri ambil tugas sebagai setiausaha, manakala Akak Kau menguruskan bahagian kewangan sebagai bendahari.

Seronok juga apabila dapat beramah mesra dengan kawan-kawan basikal dari pelbagai tempat. Ada yang datang dari jauh, termasuk dari Terengganu dan Kuala Lumpur. Ada juga yang datang dari Singapura, merentas sempadan semata-mata untuk berkhemah dan berbasikal bersama.

Sepanjang dua hari acara berlangsung, pelbagai aktiviti berkaitan perkhemahan dan basikal diadakan. Ada sukaneka, perlumbaan dan persembahan. Namun, aktiviti yang paling mendapat sambutan ialah perlumbaan dengan pakaian beragam atau kostum.

Sebelum acara bermula, aku sebenarnya agak risau. Menguruskan acara yang melibatkan seramai 120 peserta bukan perkara kecil. Macam-macam perkara bermain dalam kepala. Takut ada yang tidak menjadi, takut peserta tidak seronok dan takut usaha kami tidak seperti yang diharapkan.

Namun, semua kerisauan itu perlahan-lahan hilang apabila melihat peserta bergembira. Ada yang ketawa, ada yang bersaing dan ada yang datang berlumba dengan kostum yang lucu-lucu. Itulah sebenarnya yang kami mahu.

Akhirnya, apabila semua orang pulang dengan senyuman, rasa penat pun macam hilang sedikit.

Rimbasikal Bikecamp bukan sekadar acara berbasikal. Ia tentang berkumpul, berkhemah, berkawan dan meraikan budaya basikal dengan cara kami sendiri.

Tiada ulasan:

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...