Isnin, Jun 02, 2008

PAGI YANG CERAH

Aku hampir tidak kenal Man bila dia menegur aku di Masjid, selepas usai solat Jumaat. Badan Man sekarang tidak ubah macam ahli gusti. Kenapa boleh jadi begini? Setahu aku Man seorang yang aktif bermain bola keranjang. Aku mula berkawan dengan dia pun kerana sesi bola keranjang setiap pagi Ahad.

Man ajak aku bermain semula. Maka, pagi Ahad berikutnya kasut sukan aku menjenguk dunia setelah hampir tiga tahun bertapa dalam rak kasut. 7.00 pagi. Sebelum sarapan, aku sudah tercongok di gelanggang. Seseorang demi seorang pemain datang. Cukup 10 pemain untuk main gelanggang penuh.

Teknik dan gaya aku masih ada macam biasa. Dribble. No look pass. Lay up. Shooting. Sky hook. Defense. Cuma masalahnya adalah ketepatan lontaran sudah mengurang. Bola keranjang bukan jimnastik di mana gaya dan pakaian ada markah. Ha! ha! ha! Lantaklah. Yang penting adalah peluh keluar macam hujan pagi itu.

Habis sesi aku berlenggeng terbaring melepaskan lelah atas konkrit gelanggang sambil memandang awan berarak melintas langit biru. Titik-titik peluh macam embun di atas tubuh aku yang cokelat. Terasa bibit-bibit sengal mula meraba otot bahu dan pinggang. Peluh meleleh dari badan ke lantai. Buku lali kiri aku yang terseliuh juga mula menyengat. Peluh mula membasahkan lantai konkrit. Kasut aku pula menghadiahkan dendam cagu. No pain, no gain. Terperanjat agaknya tubuh ini bila liang-liang peluh berfungsi. Bintil-bintil peluh membias cahaya mentari membuat tubuh ini berkilat-kilat. Kalau aku istiqamah, tidak lama lagi, abdomen aku akan menampakkan ketak-ketak semula. Seksi tu. (Nota kepada pembaca wanita: Lap air liur selepas selesai baca perenggan ini.)

10 pagi, perut pun dah keroncong campur dangdut. Kami pun ke Restoran Ayub dan mula buat pesanan. Roti keju. Roti bom. Ayam Goreng. Roti Telur. Roti tampal. Roti planta. Roti tisu. Roti sardin. Roti pisang. Ha! Ha! Ha! Masuk kandang kambing, mengembek. Kandang harimau, mengaum. Kandang ahli gusti? Baham je lah. Hilang satu kilo, tambah dua kilo. Dan aku cuci tekak aku dengan milo ais kow-kow dua gelas. (Nota kepada pembaca lelaki: Lap air liur selepas selesai baca perenggan ini.)

Khamis, Mei 29, 2008

GEZEK JE LEBIH

Engkau tahu tak? (Jangan jawab soalan ini. Ini soalan retorik.)

Matlamat gezek adalah menarik minat penonton untuk datang ke panggung dan membayar tiket.

Gezek yang baik menumpukan kepada tiga perkara utama.
Satu. Menyatakan narratif tayangan tanpa mendedahkan penyudah kepada cerita. Penonton akan datang untuk menikmati penceritaan dan penyudah kepada cerita.
Dua. Memaparkan wajah pemegang-pemegang peranan yang popular lagi glamer. Penonton yang meminati artis tertentu akan datang tanpa banyak soal.
Tiga. Menjelaskan genre (cintan/komedi/drama/aksi) cerita. Ini memudahkan pasangan yang bercinta memilih filem mana harus mereka tonton.

Untuk mencapai matlamatnya, gezek yang seminit memaparkan sedutan babak-babak menarik dari keseluruhan cerita 120 minit. Biasa kita dengar komen, gezek je lebih tetapi ceritanya mengecewakan. Biasalah. Masalah filem di Malaysia- gezek pun kurang, cerita sebenar apatah lagi.

Lagi. Engkau tahu tak? Blog hanya gezek kepada petualangan penulisnya.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Apa terjadi bila otak kiri dan kanan bertembung. Klik SINI.

Rabu, Mei 28, 2008

BUAT AYAT DARI 10 PERKATAAN

Blog hibudidik (edutainment) ini mahu mengajar kalian satu petua meningkatkan hits blog secara keji. Buat ayat dari 10 perkataan yang tersenarai seperti di bawah.

Jawatan kosong
Lebih ramai orang dapat kerja melalui kenalan berbanding dari iklan jawatan kosong di akhbar.

Resepi
Mak aku suka menyalin resepi dalam buku catatan dalam tulisan jawi.

Akademi Fantasia
Lufya dari akademi fantasia boleh memulihkan imejnya yang tercemar lewat insiden ketiak basah dengan cara menjadi model untuk produk deodoran.

Mat Rempit
Penunggang-penunggang basikal nyamuk adalah mat rempit masa hadapan.

Cuti-cuti Malaysia
Aku suka bawa minah aku cuti-cuti malaysia di pulau-pulau kecil kerana di sana tiada pusat membeli belah.

Kamus
Tag boleh diterjemahkan ke perkataan 'sep' tetapi perkataan itu tiada dalam kamus hijau.

Lagu
Apa pun lagu yang aku nyanyikan, orang akan ketawa.

Lirik
Hampir semua lirik lagu berkisah tentang cinta.

Portal Pendidikan
Portal pendidikan mestilah memberi petua kepada pelayar untuk mendidik diri sendiri.

Cerita
Masalah filem Malaysia bukanlah tentang cerita tetapi tentang penceritaan.

............
Menurut laporan Google yang dikeluarkan pada Januari 2008, perkataan-perkataan yang ditonjolkan di atas adalah perkataan Melayu yang sering digoogle pada 2007. Sekian.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Cerita Hindustan di sebalik perkataan Inggeris/Melayu
The Star-Popular Readers Choice Awards 2008.

Selasa, Mei 27, 2008

TAG: MESIN MASA

Sebenarnya aku bahagia berada pada usia ini. Aku hargai ketenteraman dan kebijaksanaan yang aku ada. Tersepuh dari pahit getir dan masam manis pengalaman yang ditepuh. Biar pun dimamah usia, masih ramai yang sayangkan aku. Malah ada yang gilakan aku. Ha! Ha! Ha!

Pun begitu, Cik Daun meletakkan syarat tidak mahu berkawan dengan aku kalau aku tidak layan tag The Age That I Wish To Go Back To. Rapuh betul setia kawan Cik Daun ni. Siap ada pra-syarat.

Layan! Buat penalaan mesin masa ke usia 12 tahun. Aku telah dilanggar sipi oleh sebuah keenderaan tentera berat 2 tan. Salah aku. Sebenarnya, secara teknikal, aku yang langgar sisi kederaan itu. Aku yang merempuh sisi keenderaan yang sedang bergerak itu.

Aku jeling Kherol dihujung mata. Dia leka di garisan. Aku pun berlari dan sep dia. Kena! Aku khayal main belon acah (Galah Panjang) sehingga aku berlari terlajak ke jalanraya tanpa melihat kiri dan kanan. Aku nak kata macam ayam tetapi setahu aku mata ayam memang sebelah kiri dan kanan kepala. Semua species burung begitu, kecuali burung hantu yang mata ke depan macam manusia.

Prakkk! Tayar kenderaan tentera langgar kaki aku. Bunyi sahaja lebih tapi tidak sakit. Sungguh. Aku tidak nangis pun. Aku jatuh. Aku cuba bangun tetapi aku rasa bumi tenggelam. Aku jatuh lagi. Aku raba jalanraya. Okay je. Tak ada rosak. Kherol dokong aku naik basikal dan boncengkan aku pulang.

Apa pun, kaki kiri aku patah. Dua bulan bersimen. Jika aku boleh kembali ke masa itu, aku akan mengelak kenderaan tentera itu. Dan team aku boleh sorak menang. Kalau kaki aku tidak patah, mungkin aku dah jadi wakil Malaysia dalam Olimpik musim panas. dalam sukan belon acah.


Lain-lain cerita:
Emila wish to go back to the age of 7 to live that precious moments again .
Rizal wish to go back to the age of 7 - 7 super wonders of my world .
Mangosteenskin wish to back to age 7 to chase back Macik Piut's geese and dogs. haha!
cikdaun wish to back to Age 12 - to stronger and Age 22 - to correct my path
Tok Rimau wish to go back to Age 12 - to avoid an accident

...........
Aku tag lima blogga ini:
:: Lan Rasso ::
:: Liyana ::
:: Radio::
:: Azie ::
::Nina Pop::

Instructions :Title: The Age That I Wish To Go Back To
Requirement: Write about the one age that you wish to go back to and why?
Tag Mode: 5 bloggers
1st - You leave their blog and post link and add to the list below.
2nd - Let the blogger you want to tag know they been tagged by comment in their blog or etc.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Bantu Amir senaraikan 50 Buku Malaysia Yang Kamu Mesti Baca

Isnin, Mei 26, 2008

GUA BOSAN MASUK TV

Gua masuk TV beb! Habis dah kuota 15 minutes of fame yang Andy Warhol bagi kat gua. Jones perli, "Muka lu tidak cukup hensem untuk masuk TV. Muka lu lebih layak untuk radio. Naga lagi hensem."

Cheh! Misai Magnum P.I. tu dah tak musim gua cakap lu. Lagi pun, apa guna hensem kalau tak masuk TV?!

Op kutuk gua gak, "Setakat masuk TV jadi tukang pegang payung buat apa?!" Scene gua enter frame menunjukkan gua pakai kopiah dan pegang payung purple. Media memang penipu beb. Gua dipotray sebijik cam bomoh hujan untuk produksi. Biar gua cerita sikit. Gua pakai kopiah sebab kehendak watak.

Gua berlakon sebagai extra sebagai pakcik kampung. Apa! Watak extra je? Memang la extra je, takkan la gua nak buat semua kerja jadi hero, jadi heroin. Gua dah jadi penulis skrip, tukang pegang clap board, pembantu pengarah dan pemayung kamera, agar kamera tak kena demam panas. Seniman serba boleh tu. Tapi extra pun, watak gua la yang steal the show. Gua cakap lu.

Apasal Soljah lain tak komen. Diorang sabotaj gua ke? Tak. Gua tak SMS diorang suruh tengok cenel Prima Astro. Diorang bukan ada Astro. Gua tak mau menyusahkan diorang pergi ke mamak semata-mata nak tengok muka rakan kombat masuk TV.

Sebenarnya Apa Cerita Nabil ada interview gua tapi bab gua bercakap tak masuk final cut, gua cakap lu. Malaysia belum ready untuk mulut ikhlas gua. Gua syak satu perkara yang menyebabkan gua kena gam:

Q: Apa nasihat tuan kepada Nabil?
A: Jangan ambik job yang tiada kenabilan dari penerbit filem lawak-lawak bodoh.

Sensitif tu, nanti Nabil tidak dapat job pulak.

Lepas ni gua nak low profile. Jangan pujuk gua masuk TV ke, masuk radio ke, masuk video ke. Gua dah merajuk.



SIARAN ULANGAN
Nabil berlakon dalam filem pendek Mengait Bintang terbitan UTM. Apa Cerita Nabil Episod 4: Part 1 dan Part 2. (Siaran tergendala kerana hujan atas kuali Astro)

Jumaat, Mei 23, 2008

KIPAS PENGAPIT



Masa Mimah di wad, aku tidak sempat melawatnya. Tentu dia kata aku tidak peduli. Mak Long kata Mimah merayu-rayu dengan doktor agar dibenarkan keluar dari hospital.

"Kakak saya kahwin. Kalau saya tidak ada, siapa nak teman kakak saya khatam Quran? Baca berzanji?" rayu Mimah.

Dah seminggu dia di wad. Demam denggi yang dihidapi semakin kebah tetapi belum pulih sepenuhnya. Apa pun, doktor tutup mata sebelah dan benarkan Mimah pulang jadi pengapit kakaknya

::

Di Selatan, menjadi tugas pengapit pengantin adalah untuk membayar tol ke atas sekatan-sekatan perjalanan menuju ke pelamin. Duit boleh menyelesaikan banyak perkara. Perkataan tol itu cuma euphemism kepada perkataan rasuah.

Adat zaman dulu lebih pelik. Ada orang cerita, pengapit lelaki kena ikut temankan pengantin lelaki di rumah mentuanya. Sebelum subuh, pengantin lelaki kena cabut lari keluar ikut tingkap dan pulang ke rumah sendiri. Tugas pengapit adalah membantu pengantin cabut lari. Dan tunggulah giliran kenduri kahwin di rumah pengantin lelaki pula.

Di rumah pengantin lelaki, tugas pengapit perempuan adalah temankan pengantin perempuan tidur di bilik pengantin selama tiga malam. Pengantin lelaki kena ikhtiar untuk tidur dengan isterinya. Di sinilah amalan rasuah diraikan lagi. Mengikut cerita, pengantin akan bagi duit kepada pengapit untuk main jauh-jauh. (Aku tahu ada alternatif lain selain rasuah tapi aku tidak mahu layan fantasi liar kalian. Ha! Ha! Ha!)

::

Masa Mimah di wad, aku tidak sempat melawatnya. Tentu dia kata aku tidak peduli. Aku kena tunjuk aku peduli.

"Mak Long, mana Mimah?"

"Tuuuu! Tengah nyanyi karaoke."

Di Selatan, kenduri kahwin tanpa karaoke macam tidak sah. Pakkal je aku tidak tahu nyanyi.


............

SELAMAT PENGANTIN BARU


Jangan lupa malam ini: Saluran Astro Prima. Jumaat. 10 malam. Apa Cerita Nabil. Kalau tidak keluar juga gambar aku, aku akan keluar dari UMNO. Let's Gone!*


*(Ungrammatical)
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Buku berrak-rak. Rak buku.

Rabu, Mei 21, 2008

ITU BARU GEZEK

Ini bukan hujung minggu atau cuti am. Maka, bipedal primates dari species homosapien yang berbaris depan box office tidaklah panjang sangat.

"Sempat lagi ni. Baru pukul 3.10 (p.m.). Mesti dia main iklan dulu sebelum tayang filem," Syafiq cuba meyakinkan Mobius.

"Gua bukan nak tengok wayang je. Gua nak tengok gezek juga," Mobius menegaskan tertib kepertontonannya.

"Gezek tu apa?"

::

Orang-orang macam Syafiq tidak tahu perkataan 'gezek.' Ia sangat jarang digunakan dewasa ini. Kalau dia cuba cari dalam kamus tebal hijau pun tidak jumpa. Hairan.


Gezek (kata nama) : Tayangan promosi wayang yang akan datang ke pawagam. Biasanya, ia disunting dari sedutan-sedutan menarik filem dan dihiasi dengan muzik dan kesan bunyi khas. Gezek kini merupakan gabungan satu seni persembahan dan taktik pemasaran. (Definisi Ghazali Bunari).

Perkataan Bahasa Inggeris untuk gezek adalah trailer. Hollywood purba (Sejak 1919) mempromosi tayangan mendatang selepas tayangan filem. Dalam kata lain iklan itu mengekori (trail) tayangan, maka disebutlah sebagai trailer.

Bila amalan promosi wayang bertukar, ditunjukkan promosi sebelum tayangan bermula, tidak pula perkataan trailer itu bertukar kepada header. Masih lagi iklan promosi itu diterima pakai sebagai trailer. Kekallah ia sebagai trailer hingga sekarang.

::

"Julia habis kerja jam berapa?" tanya Mobius kepada gadis penjual tiket yang memakai tag nama Julia.

"Box office tutup jam 12.00," kata Julia yang memakai tag nama Julia.

"Jam 12 nanti, I tunggu you kat depan ni ya?"

Julia membalas dengan jelingan dan senyuman sahaja, sambil menggulung hujung rambutnya yang perang dengan jari telunjuk.

::

Sebaik sahaja mengutip tiket dan meninggalkan kaunter box office, Syafiq pun menegur, "Power ayat lu!"

"Itu baru gezek," sahut Mobius.

Selasa, Mei 20, 2008

MENONTON PENONTON

Aku hantar skrip filem ini awal tetapi tiada siapa yang peduli mahu menapisnya. Bukan kerja mereka. Sehari dua sebelum tayangan, mereka yang rapat dengan bos mula cuak. Bagaimana kalau cerita ini keterlaluan? Bagaimana kalau cerita ini menyindir bos? Bagaimana kalau cerita ini menyentuh isu sensitif? Siapa yang mesti pastikan bos tidak marah? Hah! Itu kerja mereka.

Sudah terlambat. Filem ini ditayangkan juga. Aku tidak peduli.

Salah satu nasihat Covey dalam bukunya The Seven Habits of Highly Effective People, Begin with the End In Mind. Ini buku teks wajib bagi pentadbir tetapi dari sudut amalannya, aku nampak falsafah mereka lebih kepada Begin with the Boss In Mind.

Apa yang bos kata adalah betul. Bos sentiasa betul. Letak tepi pengalaman, kajian, konsep dan creative brief yang dipersetujui awal dulu. Kalau bos kata tidak suka, tidak sukalah. Buat apa yang bos suka.

Aku duduk di tingkat dua menonton 800 pasang mata menonton filem pendek yang aku tulis. Sangat seru melihat reaksi penonton terhadap hasil kerja sendiri. Ada tempat ramai yang ketawa. Ada tempat sedikit yang ketawa. Di tempat yang aku fikirkan tidak ada jenaka pun, ada penonton ketawa. Ada tempat yang aku fikir lawak gila, tiada pula orang ketawa. Aku lihat lapisan-lapisan makna yang tersirat- ada yang dikutip dan ada yang tertinggal.

Kredit keluar. Perkataan akhir sekali adalah Tamat. Lampu dewan dinyalakan semula.

Bos? Bos tidak tunjuk tanda suka atau tanda benci. Mereka yang rapat dengan bos menarik nafas lega. Kira okay la tu. Aku? Aku biasa sahaja. Aku dah sedia seribu helah bela diri dalam saku.

Jumaat, Mei 16, 2008

TAYANGAN PERDANA



"Wong, orang itu mahu pergi tandas la. Bukan mahu amik hadiah," kata aku sambil menunjukkan ke arah kiri.

"Soli! Soli! Wa mana tau," jawab Wong sambil mengalih cahaya ke arah kiri seperti telunjuk aku.

15 Mei 2008. Skudaiville. Ini adalah gambar sekitar Tayangan Perdana filem MENGAIT BINTANG di Dewan Sultan Iskandar. Ha! Ha! Ha! Sebenarnya majlis lain ni, majlis penyampaian hadiah. Filem ini cuma selingan untuk mengurangkan kebosanan majlis yang maha skema tersebut.

Aku? Aku memberi sinaran kepada majlis itu. Mestilah. Aku penata cahaya. Ha Ha Ha! Sebenarnya kerja aku arahkan Wong nak suluh lampu ke mana. Itu je.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Foto MAJLIS CITRA KARISMA

Rabu, Mei 14, 2008

PROTOKOL

"Apakah tujuan protokol?" tanya Sham.

Kalau aku jadi Menteri Perdana, aku haramkan jawatankuasa Protokol dalam setiap majlis. Pastinya banyak penjimatan boleh berlaku. Tidak perlu kerusi berkerawang. Tidak perlu lauk berhidang. Tidak perlu penyambut tetamu. Tidak perlu bunga atas meja. Tidak perlu bunga manggar. Tidak perlu bunga atas dada. Tidak perlu kompang. Tidak perlu parking VVIP. Banyak lagilah yang tidak perlu jika protokol dibuang. Radikal sangat ke? Sebab itu aku bukan Menteri Perdana.

"Protokol membesarkan orang besar," jawab aku. "Dan mengecilkan orang kecil."

Selasa, Mei 13, 2008

JUMAAT 10 PM ASTRO PRIMA

"Begini cara buat lawak yang betul," kata gua.

Tonton liputan projek filem MENGAIT BINTANG di siri Apa Cerita Nabil, Astro Prima, Jumaat 10 p.m. Kepada sesiapa yang tidak punya Astro, gua tak salahkan lu kerana tidak mampu pasang Astro. Banyak sangat tengok TV pun tak baik juga. Lagho. Oleh itu, pergilah ke kedai mamak berdekatan. Kapal terbang lagi dirampas, inikan pula remote control Astro mamak.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
MENGAIT BINTANG: Photo Pekun dari Jurugambar Profesional.

Isnin, Mei 12, 2008

SEMUA LELAKI SAMA

Panjang pula khutbah nikah Tok Kadi. Aku tidak mahu kacau majlis, maka aku duduk sahaja di tangga sambil memerhatikan para perewang menyusun dulang lauk di bawah balai.

Selepas tujuh puntung rokok, baru Tok Kadi turun bersama keluarga tuan rumah. Mereka menuju ke arah hidangan yang disediakan. Aku memintas.

"Ada perkara yang saya nak cakap dengan tuan."

"Tunggulah ana makan dulu."

"Saya sudah lama tunggu."

"Ha! Ha! Ha! Kita bincang sambil makan. Tidak lari gunung dikejar. Ha! Ha!"

Tok Kadi buat kenyataan umum. Sepertinya semua lelaki sama. Semua lelaki, kalau diberi peluang mahu berpoligami. Tidak diberi peluang pun mahu juga. Tentang protokol, tanya kepada yang arif, tanya Tok Kadi.

"Bukan begitu."

"Habis?"

"Kereta Tok Kadi menghalang kereta saya. Saya nak keluar."

"Oh! Maafkan ana. Ana akan alihkan kereta."

Aku menutup kepala dengan tapak tangan. Tok Kadi tidak menutup kepala, sepertinya dia kalis air. Dia berserban, tidak perlu tutup kepala. Kami berlari meredah gerimis menuju ke arah jalan, tempat kereta bersusun padat.

Jumaat, Mei 09, 2008

JADILAH SEORANG LELAKI

Dia telefon aku dan mencabar, "Kalau engkau betul anak lelaki, jom kita jumpa!" Aku diam. Aku matikan panggilan. Tidak perlu melayan orang gila.

Menjadi lelaki sejati bukanlah semudah lahir dengan organ pembiakan terjulur. Lelaki yang betul-betul lelaki mestilah mempunyai 5 kemahiran berikut:-

1. Boleh mengelakkan pergaduhan dengan cara berdiam diri. Lelaki sebenar menganggap, tumbukannya amat mulia, justeru tidak semua musuh layak bertumbuk dengan dia.

2. Boleh membuat seorang wanita tidak berhenti tersenyum. Dan kadang-kadang ketawa. (Dan aku tahu membaca ayat ini sahaja, ramai yang sudah tersenyum.)

3. Boleh melipat baju-baju yang baru diangkat dari jemuran sebelum bahang mentari hilang hangatnya dari kain.

4. Boleh dengan nekadnya membakar jambatan antara dia dan perempuan yang menghinanya. Tidak kira secantik mana pun perempuan itu. Isi lebih penting dari kulit.

5. Boleh membaca dan suka blook Gangguan Teksual dan Soljah 3. Dan jika dia terlibat secara langsung sebagai penulis, markah bonus 1 hun lagi.

Pembaca yang dihormati sekalian, silalah kemaskini azam 2008 kalian dengan memasukkan kemahiran di atas sebagai perkara yang mesti dimahiri. Dan kepada para wanita, merajuklah sepuasnya jika lelaki anda tidak punya ciri-ciri di atas.

Kemudian, dia SMS aku bertalu-talu. Aku diam sahaja. SMS terakhirnya berbunyi,

"Baiklah. Hari ini hari engkau. Engkau menang. Tapi ingat, esok lusa akan adalah hari aku."

Sampai sekarang. Esok lusa yang dijanjikan tidak datang-datang.




LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Blogger Widget: Ketahuilah peminat nombor satu anda.

Sindiket Sol-Jah datang lagi! Dengan mainan percuma, Sabotaj 3!

Pergi ke BLOG SOLJAH untuk mainan PERCUMA!

....................

Kesinambungan dari blook Sabotaj 1 & 2 yang sold-out pada tahun 2006. Jika korang terlepas peluang untuk mendapatkan Sabotaj 1 & 2, sila rasa menyesal sekarang.

Sabotaj 3 berharga RM15 senaskah. Termasuk harga pos (Semenanjung Malaysia sahaja). Untuk penghantaran luar Semenanjung Malaysia, harga pos tambahan akan dikenakan.


PRA-TONTON

Usaha-usaha Sol-Jahs menelanjangi diri sendiri dalam Sabotaj 3;

"Aaaaaa..aku gay! Gay tak pandang perempuan. EeeeiiiuoooOOoOooo!" - Naga

"Sekarang, termasuk aku, lengkaplah 10 budak hitam dalam pejabat itu mengazet bukit-bukit bekalan zat dan lurah-lurah pembiakan sebagai kawasan hitam." - Tok Rimau

"Esok kita pergi beli spender baru ya!" - Op

"Seram sejuk aku. Horror. Pukul 4 pagi, apa budak ni buat tengah-tengah jalan besar?" - Amir Mukhriz

"Adakah kau fasis? Tanyanya sambil menanggalkan butang-butang bajunya" - Vovin

"Aku. Model pakaian gay." - Mat Jan

"Bodohnya perempuan ni. Tak nak balik hostel sebab nak tidur rumah jantan jalang tu." - Jigo

"Aku suspect kakak ini yang hantar SMS pagi tadik. Walaupun aku seorang lelaki yang handsome dan bekerjaya, tapi aku bukan gay." - Samurai

"Kaki panjang, body model figure.. heheh.. taste aku." - Spyz

"Gua mengamuk. Malam itu gua tak pergi mengaji." - Pipiyapong


3 LANGKAH YANG PERLU KORANG INGAT

Macam mana cara nak order blook yang sangat menerujakan & menggiurkan ini?


LANGKAH 1

Buat pembayaran secara atas talian (online) kepada kami.

Nama: FAIZUL B. MD ASPAN
Akaun: 1143 4806 1626 (Maybank)


Tarikh akhir membuat pembayaran adalah pada 18 Mei 2008, pukul 11.59 pm.


LANGKAH 2

Scan, print screen atau copy-paste resit pembayaran. Email-kan kepada kami sebagai bukti pembelian.

To: sindiketsoljah@gmail.com
Subject: Saya mahu blook SABOTAJ 3


Sila nyatakan juga butiran berikut;

i. Nama penuh (seperti di Kad Pengenalan)
ii. Nama samaran
iii. URL blog (jika ada)
iv. Nombor telefon
v. Jumlah buku yang ingin dipesan
vi. Alamat surat menyurat yang lengkap
vii. Tarikh pembayaran
viii. Jumlah pembayaran


Kami akan email status pesanan korang selepas verifikasi tentang maklumat pembayaran dilakukan.

Segala maklumat yang diberikan tidak akan didedahkan kepada umum. Kecuali atas perintah mahkamah.


LANGKAH 3

Periksa peti surat korang.

Kami menggunakan Sistem Pesanan Berpusat untuk pengedaran buku Sabotaj 3. Oleh itu, penghantaran buku hanya akan dibuat selepas kami berjaya mengumpulkan semua pesanan.

Dijangkakan, buku korang akan sampai dalam masa 3 hari selepas tarikh tutup pembayaran. Itupun kalau posmen tak sesat atau tak bikin mogok mintak naik gaji.


Mengikut rekod terdahulu, ramai orang yang terlepas peluang memiliki buku-buku terbitan kami kerana terlewat membuat pesanan. Jangan biarkan perasaan menyesal menghantui diri. Tempah blook Sabotaj 3 sekarang!

Untuk sebarang pertanyaan, sila email kepada kami.

Sekian, terima kasih.


Ps: Blook = Buku Blog (http://en.wikipedia.org/wiki/Blook).


--

http://sol-jah.blogspot.com

Khamis, Mei 08, 2008

USAHA UNTUK KURUS

Wad 13. Katil 13. Rima berbaring dengan kaki kanan berplaster. Tergantung 1/2 meter tinggi.

Ajan: Macam mana boleh berlaku?

Rima: I tengah jogging. Tiba-tiba je mat rempit tu meluru langgar I.

Ajan: Buta agaknya mat rempit. Sebesar-besar orang pun tak nampak.

Suasana sarat dengan sunyi yang berdentum. Ajan tersengih.

Ajan: Sori. I tak bermaksud...

Rima: Jahat.

Kaki Rima bertambah sakit. Hatinya lagi la sakit.

Rabu, Mei 07, 2008

EMAK ENGKAU!

Aku tahu kenapa engkau tidak sambut Hari Kekasih. Engkau jelaskan bahawa ia berasal dari keraian Kristian terhadap St. Valentine. Kau tidak mahu ikut orang kafir.

Untuk infotainmen engkau, Hari Ibu juga berasal dari festival orang kafir. Greek Kuno meraikan Cybele, ibu kepada dewa-dewa dan Roman Kuno pula meraikan dewa Juno, mak kepada Juventas, Mars dan Vulcan (Bukan kelab bola sepak, jenama cokelat atau sejenis motorsikal).

Nah! Kenapa engkau sambut Hari Ibu?


PUISI SEBARIS
Maaf, aku bukan pemaaf.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Webby Award 2008 Results.

Selasa, Mei 06, 2008

SIDANG VIDEO

Dari Blog Jonni:
Gua baru lepas mengawan dengan Lassie. Gua pun lepak di depan pagar jiran sebelah. Melepaskan lelah. Penat wooo. Sakit pinggang. Kemudian, gua terhidu jiran gua keluar. Sah, dia. 80% bau peluh. 10% bau nasi goreng. 10% bau nikotin. Dia dail henpon. Dia cakap sikit-sikit lepas tu dia point henpon tu kat gua. Kaget gua!

Gua jerit kuat-kuat, "Sial! Celaka! Lahabau! Lu nak rakam gua apahal pulak?!" Kawan-kawan gua pun join sama jerit. Bersahut-sahut. Dia lari masuk rumah semula.

Dari Blog Tok Rimau:
Liputan 3G cuma sampai luar pagar rumah aku sahaja. Dalam rumah tiada 3G. Isyarat biasa maxis pun dalam 1-2 bar sahaja.

Untuk mendapat laporan secara Video Call tentang acara Maskara dari Spyz, aku pun keluar dari pagar. 12 tengah malam tu. Atas skrin, aku nampak muka Spyz dan di belakangnya ada Cik Sal dan Cik Daun melambai-lambai. Jerit nama aku, "I love Tok Rimau." (Fitnah ni aku tambah biar sedap sikit cerita)

Bayu malam berpuput lembut mendinginkan. Aku rasa kesunyian, sedangkan kawan-kawan aku bersuka ria makan roti canai di Rumah Pena.

Untuk membuktikan, aku tidak keseorangan, aku pun menyuakan telefon ke arah anjing Jiran aku, Jonni. Spyz, aku ditemani oleh Jonni di luar pagar ini.

Jonni yang biasanya buat tidak peduli dengan aku jadi kaget. Dia menyalak-nyalak. Anjing-anjing dari pagar rumah Cina lain pun ikut menyalakkan aku. Bingit gila.

Aku terus lari masuk rumah, liputan 3G terputus. Video call pun terputus. Aku kira mereka masih berfoya-foya mabuk roti canai di Maskara.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Audio lagi Isyu oleh Ebiet G. Ade.
Lirik lagu Isyu oleh Ebiet G. Ade.

PUISI SEBARIS
Cerita aku ditangkap khalwat adalah fitnah untuk memburukkan imej aku. :-(

Jumaat, Mei 02, 2008

API DALAM DADA

Ringgggggggggggggggg! Tiba-tiba suasana jadi sangat bingit. Aku pun telefon bahagian keselamatan.

"Bahagian keselamatan. Boleh saya bantu?"

"Penggera kecemasan berbunyi depan pejabat saya."

"Nanti jam 2.30 petang saya hantar orang."

"Kenapa tidak sekarang? Kalau ada api betul bagaimana?"

"Sekarang pukul 1.00. Waktu makan. Semua orang pergi makan pada waktu makan."

"Mmm. Okay la kalau begitu. Saya pun nak pergi makan. Bye."

"Bye."

Aku pun letak telefon.

..................
PUISI SEBARIS
Bara dalam dada ini perlu minyak. Bukan air.

...............
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
1. Nabil mempromosi Blook Sol-jah
2. Behance: Creative portfolio and projects.

Rabu, April 30, 2008

MOBIUS DEPAN SURAU

"Lu nak curi kasut ke?" tegur aku.

"Cheh! Mentang-mentang la wa jahat, wa lalu depan surau pun lu anggap wa ada niat serong," keluh Mobius.

"Sori la. Wa gurau je."

Sebenarnya dalam hati aku tercetus prasangka yang lebih buruk. Mungkinkah Mobius sedang recce tempat untuk buang anak? Mmmm.

........................
MESTI PERGI
Mesti diingat kenapa engkau sanggup duduk KL mengharung kesesakan lalu lintas saban hari. Engkau duduk KL sebab kau mahu jadi hip dan kool dan boleh pergi ke acara berikut:

Selasa, April 29, 2008

POI POKAN



"Roll camera! Action!" jerit tuan pengarah, Dean Sham.

Ini bukan petikan filem pendek Mengait Bintang tetapi parodi TV realiti bertajuk Mencari Jalel (Mencari Menantu + Malaysian Idol). Kami cuma main-main depan kamera untuk menghabiskan tape video. Video penuh parodi ini adalah 15 minit. Tetapi untuk kalian, 1 minit dipersembahkan di atas.

Konsepnya hampir improv di mana banyak ruang kosong dalam skrip bagi membolehkan pelakon berspontan. Terlalu senang untuk terlajak lidah dalam format ini. Masa kamera merakam, kru semua menahan mulut agar tak berderai gelak.

3 watak juri, 4 watak peserta. Dan aku memegang watak hos program. Nabil memegang dua watak, juri dan peserta. Untuk bahagian Nabil sebagai peserta, dia diberi kata kunci "loghat nogori" dan "monyet."

Dalam topi juri, Nabil memuji gaya, mutu dan keunggulannya sendiri sebagai peserta. Kemudian dia kutuk kow-kow, "Kenapa kau terloncat-loncat macam monyet?! Aku sumpit bontot kau nanti." Tersentak dengan dialog spontannya sendiri, dia tersengih dan menoleh ke arah tuan pengarah. Dia tanya, "Eh! Boleh cakap bontot ke?"

Nabil tahu setiap penerbitan ada garis panduan moralnya sendiri. Tertumpah juga gelak yang diempang oleh bibir dan gigi kami. Kami tahu garis panduan moral kami pun ke laut. Dan kamera masih rolling kerana pengarah belum jerit cut lagi.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Pangea Day (May 10): Pangea Day is a global event bringing the world together through film.

Isnin, April 28, 2008

PERTAMA KALI AFIMON KE KEDAI GUNTING


:: Before


:: After

Aku tahu kalian nak tulis, "Comelnya Afimon, mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?!" Kan? Aku tahu la.

Supaya aku tidak riak, ujub, takbur dan bangga diri, Untuk entri ini, ruangan komen ditapis.

Khamis, April 24, 2008

TOK RIMAU AKHIRNYA SUDI BERGAMBAR DENGAN NABIL

Memerang Dari Kayangan

Filem akan datang kami adalah Bigfoot Ulu Sedili


Sesuka hati lu je tukar skrip wa.

Hari ketiga pengambaran MENGAIT BINTANG tamat. Setelah
merapek-meraban di Kuala Lumpur selama tiga hari tiga malam, kami pun pulang ke
Selatan.

Bergegas lekas mendekat rapat mencari hati yang ditinggal
tunggal.

Lawatan Sambil Belajar: Gambar-gambar produksi



EVENTS
1. ARTS 4 GRABS, Sat 3 & Sun 4, May 2008 12pm - 6pm:: The Annexe Gallery, Central Market Annexe, KL
2. KITA untuk Semua: akustik Session. Legaran Seget, Plaza Seni. JB. 27 April 2008. 1pm-til end.

Rabu, April 23, 2008

WA MALAS NAK PIKIR LAGI



Short Film: Mengait Bintang
Penulis: Tok Rimau
Pengarah: Dean Sham
Starring: Nabil Amat (Raja Lawak) & Abdullah Nawi
Hari Kedua Shooting.
Lokasi: Jalan Semarak, KL.

Isnin, April 21, 2008

LU PIKIRRRR LA SENDIRI



Short Film: Mengait Bintang
Penulis: Tok Rimau
Pengarah: Dean Sham
Starring: Nabil Amat (Raja Lawak) & Abdullah Nawi
Hari Pertama Shooting. Lokasi: Jalan Semarak, KL.

LAGI

"Nama Tok masuk Berita Minggu 20 April," lapor SMS itu kepada aku di pagi Ahad.

"Penat dah Tok kembang hidung :-8 ) masuk paper. Yang Tok teringin sekarang nak masuk URTV dengan gambar pose seksi," balas aku.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
"Ketika majoriti masyarakat masih buta mengenai blog, katanya blogger seperti Tok Rimau dan Bluehikari merintis minat terhadap blog. "
Ziauddin Sharuddin, Penangan Blog. Sisipan Dimensi, Berita Minggu 20 April.

Khamis, April 17, 2008

UJANG


"Saya rajin jugak melawat blog Tok Rimau," kata Ujang

.................................................

"Engkau kenal Ujang?" tanya aku memulakan perbualan.

"Ujang kartunis tu?" Din menjawab pertanyaan dengan pertanyaan.

"Yup. Ujang kartunis tu la."

"Siapa tidak kenal Ujang. Dia adalah hero aku. Aku Budak Minang dan Aca adalah naskah jiwa berontak anak muda berdarah panas lewat 80-an. Selepas karya Ujang itu, tiada lagi karya bersiri atau novel grafik yang punya jiwa. Semuanya selepas itu ketandusan dan lohong bagai ruas-ruas buluh. Ujang adalah lagenda. Ikon zaman kita. Karyanya wajib diangkat menjadi buku teks atau filem!"

"Aku setuju dengan kata engkau."

"Mmm... kenapa engkau tanya aku sama ada aku kenal Ujang atau tidak."

"Saja tanya. Sebenarnya aku nak bagitau engkau, Ujang tu kenal aku."

"Cheh! Engkau tidak tahukah riak takbur itu satu dosa?"


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Blog Ujang: Jibam

Rabu, April 16, 2008

WANGI

Ciumlah aku. Aku berbau seperti lelaki yang hendak solat Jumaat. Semuanya kerana secalit minyak attar dari Mekah setiap pagi.

Dulu, pensyarahku meminta 100 jenis serangga untuk tugasan biologi. Aku masuk belukar dan bawa keluar 100 jenis serangga. Aku cucuk mereka dengan peniti pada kepingan polisterine putih. Dua hari kemudian serangga itu membusuk. Aku sembur serangga yang 100 itu dengan minyak wangi (yang dihadiahkan oleh buah hati aku ketika harijadiku yang ke-20.)

Sejak hari itu aku tidak pakai minyak wangi lagi, kerana bauan itu mengingatkan aku kepada belalang dan cengkerik yang membusuk.

Semut mula menghurung. Aku nak cucuk semut-semut itu tetapi aku sudah ada semut dalam koleksi. Aku hantar juga tugasan bila sampai masa. Dan aku dapat "F" untuk biologi.

Helaian kalendar dicarik sehelai demi sehelai sebagai tanda masa berlalu pantas. Sehinggalah suatu hari ada yang menitipkan kepada aku sebotol minyak attar dari Mekah.

Kenapa kau tidak mahu cium aku? Takut wudhu Jumaat aku batal? Atau kau mahu tunggu aku mewangi seperti lelaki yang hendak tidur di malam Jumaat? Ha! Ha! Ha! Nakal sekali.

Isnin, April 14, 2008

BIRO ADUAN

Kalau tak dengar, kata aku tak prihatin pulak. Tapi, stamina telinga aku ni memang dah tak ada.

"Dulu, kalau gaduh boyfriend girlfriend, bolehlah pulangkan hadiah-hadiah cintan tu. Pulangkan foto, kalung, t-shirt dan teddy bear. Kad-kad Hallmark segala.

Helloooo! Sekarang zaman dah berubah. Semuanya digital. Kitaorang jumpa pun dulu kat online forum. Cintan pun guna instant messenger. Hadiah pun digital. Digital card. Tukar-tukar gambar pun guna dot.jpg.

Delete je gambar tu. Tak da maknanya dia MMSkan semula gambar I yang I MMS kat dia dulu. Ishhh. Sooo tak savvy langsung."


Kau curah Red Bull ke, minyak kuda ke, Tongkat Ali Power Root ke ... dalam lubang telinga ni- tetap aku dah tak larat nak dengar. I am a bad listener. Sorry la. Cerita benda lain pulak boleh tak?

Ahad, April 13, 2008

PENERBITAN

Prof: Idea simpan dalam kepala je pun tak guna. Tak manfaat. Mesti mahu kongsi sama manusia sejagat.

Nabil: Maksudnya, wa mesti bagi idea wa tersebar lalu suratkhabar dan majalah. Kan?

Prof: Mesti kasik published. Saya tulis kertas kerja, hantar ke jurnal antarabangsa. Tulis buku untuk kongsi ilmu yang saya ada. (Tunjuk buku-buku kat rak dan atas meja)

Nabil: Banyaknya buku. Nak hantar ke mana ni?

Prof: Buku tu dah lama kat situ. Tak laku.

Nabil: Tulis buku bagai nak rak. Penuh satu rak. Penuh meja. Tapi tak laku. Kenapa?

Nabil angkat satu buku yang bertajuk "Socioengineering of Tecnocrats." Belek dan kedut kening. (Pregnant silence here)

Prof: Lu fikir la sendiri.

Jumaat, April 11, 2008

KALAH TERHORMAT

Kini Chekov dan Yamoto sahaja tinggal di meja itu. Mereka meneruskan perjuangan dalam final saingan piala, "Isteri Siapa Call Dulu, Dia Kalah."

Sudah masuk extra time. Sudden death. Ayam jantan sudah berkokok, tiada tanda-tanda game ini akan tamat.

Tiba-tiba nada sms masuk berdendang dari telefon Yamoto. Yamoto dan Chekov saling berpandangan. Chekov tersengih menunjukkan dia bakal menang.

Anti-climax. SMS itu hanya iklan Maxis mempromosi Top-up Reward. Yamoto tersenyum lega.

Lima minit kemudian masuk lagi satu SMS. Masing-masing berdebar. Mungkinkah ini hanya iklan Maxis lagi?

Yamoto membaca SMS itu. Dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia kemudian mempamerkan skrin telefon kepada Chekov.

"I mengidam mi goreng panas." Singkat teks SMS itu.

Ya Yamoto kalah tetapi kalah dengan maruah. Mereka bersalaman. Masa untuk pulang.

"Apa pun, gua respek bini lu. Ayat dia halus," kata Chekov.

"Dia memang genius. Sumpah seranah tidak jalan dengan gua. Dia tahu lebih mudah melembutkan hati gua dengan kata-kata halus," jawab Yamoto.

Budak McD mengemas dan mengelap meja mereka. Kerusi yang ditinggal kosong dimasukkan ke bawah meja.

Khamis, April 10, 2008

AKAN DATANG

(Klik gambar untuk saiz bagak)
Sila kumpul wang anda sekarang. Jangan biarkan buku laris ini habis dan hati anda terhiris.

Isnin, April 07, 2008

LELAKI EMBUN JANTAN

Embun jantan mula menitis di atas bumbung kereta. Tiga lelaki duduk di meja bahagian luar McD 24 jam sambil menghembus asap rokok. Henpon masing-masing berbaring di atas meja.

Cawan Coke saiz besar mereka sudah tiga kali refill. Mereka sudah lama di situ. Bekas sos mereka pun sudah penuh dengan puntung rokok. McD sekarang tidak macam dulu, McD sekarang tidak menyediakan tempat habuk rokok.

Tiba-tiba, intro lagu Hotel California berdendang, itu nada dering henpon Antonio. Antonio menjawab telefon. Mukanya serius. Chekov dan Yamoto girang memberi tepukan tangan sebelah, high five.

Chekov dan Yamoto masuk final. Antonia kecundang. Antonio membayar harga makanan untuk mereka bertiga dan minta diri untuk pulang secara bermaruah. Chekov dan Yamoto memberi tabik hormat kepada Antonio sepertinya Antonio itu komrad yang tumbang.

Kini dua lelaki sahaja tinggal di meja itu. Mereka meneruskan perjuangan dalam final saingan piala, "Isteri Siapa Call Dulu, Dia Kalah."

Mereka pesan dua burger Big Mac lagi.

Jumaat, April 04, 2008

GERAN PENYELIDIKAN

Nabil bosan menunggu. Dia lihat Prof. terlalu khusyuk mengisi borang. Justeru, Nabil pun cuba mengisi masanya dengan menyusun kertas-kertas yang bertabur atas meja Prof.

Prof: Jangan! nanti saya tidak tahu mana nak cari barang-barang saya. Walaupun serabut, saya tahu saya letak barang.

Nabil: Borang apa tu Prof.?

Prof: Borang permohonan ke bengkel.

Nabil: Bengkel apa Prof.?

Prof: Bengkel Mengisi Borang Permohonan Geran Penyelidikan.

Nabil: Nak dapat geran, kena isi borang. Nak isi borang kena pergi bengkel. Nak pergi bengkel, kena isi borang lagi. Patut la banyak sangat kertas atas meja Prof.

Prof: Susah buat penyelidikan ni. Lu fikir la sendiri.

.................

TAYANGAN & FORUM FILEM PENDEK
Bumbung Aku Lantai Orang
Dewan IBS, UTM Semarak, Kuala Lumpur
1 pm. 5 April 2008.
(Masuk Percuma)

...............
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Konkritjaya: Peneroka Felda Diperlukan

Rabu, April 02, 2008

PARTI DI ATAS AWAN




Romlah berkemban keluar dari bilik air. Dia mendapati Mobius sudah berbaju, berbedak dan berminyak wangi. Mobius kelihatan sudah bersedia untuk ke parti.

Romlah bertanya, "You tak mahu mandi dulu ke?"

Mobius menjawab, "Sejuk."

"Ada hot water la. Rugi la ambil bilik hotel mahal-mahal tapi tak guna air dia."

"Balik dari parti nanti I mandilah. I mandi dua kali." Senyap sebentar. Kemudian, Mobius sambung lagi seperti ayat sebelum ini adalah ayat ralat. "Kita. Kita mandi dua kali."

"Nakal!" balas Romlah sambil mengukir senyuman.



...............
MAJLIS
Bicara Karya Sastera
a) Di Benua Buta oleh Mana Sikana
b) Cetusan Kalbu seorang Penyair oleh Peter agustine goh
c) Di Sebalik Mentari Jingga oleh W.B. Rendra

5 April 2008 (Sabtu). DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana.

Selasa, April 01, 2008

DUET AJAN & RIMA

Foto: Nina Pop berduet dengan Tok Rimau membaca entri Ajan dan Rima dari buku Ayah Kita Bos.

Aku terima jemputan dari KITA untuk baca naskah sempena gig anti-dadah, Kami Tidak Lalai. Aku tahu ini bukan khalayak biasa untuk bacaan naskah. Jauh dari sasaran tetapi aku adalah aku. Tidak sekarang, bila lagi?

Aku pun baca entri dari buku Ayah Kita Bos secara solo dengan diiringi petikan gitar tong seorang sukarelawan (Madey). Entri yang aku pilih sudah diuji sebelum ini di rumah Pena dalam acara Maskara. Entri ini mengigit di Maskara tetapi belum diujikan dengan khalayak lain.

Mata khalayak ini macam mata kucing disuluh lampu kereta dalam gelap malam. Bersinar tanpa ekspressi. Mereka tidak tahu sama ada mahu tepuk tangan atau mahu baling botol. Seperti yang dijangka, mereka tidak faham aku.

Aku tidak salahkan mereka. Mereka datang untuk muzik indie. Baca naskah adalah seni yang asing bagi mereka. Malah, baca naskah juga seni yang asing bagi Malaysia.

Aku tukar strategi. Aku cari seorang sukarelawati membantu aku. Aku pecat pemain gitar dan panggil pemain drum pula (Tak ingat nama dia). Aku pesan dengan dia untuk bagi kami drum roll dengan cymbal setiap kali sampai punchline. Dan itulah yang dia laksanakan.

Aku dan Nina Pop berduet. Kami baca entri Ajan dan Rima dari buku yang sama. Kali ini lebih seru. Nina Pop menghayati watak dengan cermelang. Ada reaksi positif dari khalayak.
Perlu awek cun juga naik pentas untuk menghangatkan suasana. Alahai!

Usai aku baca naskah, 14 band indie pun membuat persembahan. Dengan riuh-riuh bingit muzik, tenggelam vokal. Butir-butir lirik lagu-lagu indie yang kelemasan dalam muzik pun bukan khalayak faham sangat. Apalah salah jika disajikan baca naskah, lagi satu perkara yang mereka tidak faham. Kan?


Glossari:
1. PENA : Persatuan Penulis Nasional
2. MASKARA: Malam baca naskah sindiket sol-jah dan kawan-kawan yang kita suka



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Senarai laman web untuk penulis yang serius.

Isnin, Mac 31, 2008

KARPET MERAH

Gambar: Penonton Menunggu Artis di Anugerah Bintang Popular Berita Harian

Tidak baik kalian menuduh mereka tidak solat. Dosa tau.

Seperti majlis anugerah hiburan lain, acara karpet merah berlangsung ketika azan maghrib berkumandang. Jangan curiga. Dalam dewan Arena All Stars itu ada surau. Sungguh.

Pun begitu, aku dapati majoriti artis dan penonton yang ramai itu sedang uzur atau sedang bermusafir.

Kita mesti bersangka baik.

Jumaat, Mac 28, 2008

MONYET MEMANG NAKAL

Ahli sidang meja petak ketawa. Ada yang berdekah. Ada yang tebahak. Ada juga terkekeh. Akulah yang ketawa kuat sekali macam Raja Monyet memandang cermin.

"Saya umuq dah 33. Masih solo lagi," keluh Sani sambil mengedarkan cebisan murtabak ke pinggan ahli.

"Mana pergi awek Itali hang?" tanya aku sambil memotong daging steak lada hitam.

"Susah mahu layan dia. Asyik dok dengaq masalah dia saja,"

"Biasa la. Awek mahukan dahaga perhatian."

"Dia melampau. Dia gila sakit jiwa. Penat mahu layan masalah dia."

"Kalau awek tu tak sakit jiwa, tak ada dia mahukan hang."

Ahli sidang meja petak ketawa. Ada yang berdekah. Ada yang tebahak. Ada juga terkekeh. Akulah yang ketawa kuat sekali macam Raja Monyet memandang cermin.


.........


Klik untuk saiz besar.

Khamis, Mac 27, 2008

SORGA RAJA MONYET

"Asap keluar dari lubang aircond lor. Takut I," adu Leng Loi kepada aku.

Aku tengok ke arah Leng Loi. Seluar jeans biru bercawat sejengkal. Baju tee hijau singkat mempamer pusat. Rambutnya kerinting berwarna keperang-perangan.

"Kereta tu panas. You are just too hot for the car," kata aku.

Leng Loi tersenyum. Dia tahu dia cantik.

"Asap keluar macam dalam syurga," kata Leng Loi lagi.

Mungkin dia membayangkan babak syurga dalam Odisi Sun Wukong (Raja Monyet.)

"Bukan syurga la. Asap hangit itu macam neraka la."

"Choi!"

Rabu, Mac 26, 2008

KEJUTAN DEMI KEJUTAN

Tahun lepas, aku amat benci kepada iklan kopi Lasinda yang menaja Akademi Fantasia. Tidak disangka-sangka tahun ini ada iklan yang lebih bangsat. Iklan Mayfirst yang menaja Akademi Fantasia. Dah sebulan dia menceroboh ruang udara aku, masih aku tidak tahu apa yang dia jual sebenarnya.

Inilah kejutan terbesar dalam Akademi Fantasia 6.

Dalam iklan Mayfirst, AC Mizal dan Jalaluddin Hassan menumbuk angin di atas pentas sambil menerajui ribuan pengikut untuk menyanyikan lagu motivasi. Motivasi apa entah. Tidak jelas liriknya. Sekali pandang macam himpunan pengikut cult kerajaan langit sedang bermantra.

Nasib baik ada Lufya dalam Akademi Fantasia, terubat juga sakit mata aku setelah disembur oleh iklan Mayfirst.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Rejim baru Geng Jurnal menurunkan harga barang.

Selasa, Mac 25, 2008

DI BELAKANG TABIR KALASHNIKOV



Buku Kalashnikov terbitan Sol-jah sudah habis dijual. Sumbangan aku kepada buku ini adalah dua cerita BELERANG PERANG dan MENGEJAR PEMBUNUH. Sebenarnya Belerang Perang merupakan prequel, manakala Mengejar Pembunuh adalah sequel kepada filem pendek Kiri yang aku tulis sebelum ini.

Aku terlalu jatuh cinta dengan watak Bidadari Kirina (bukan pelakonnya) dan ingin terus menulis epik perjalanan pertualangannya. Memahami watak ini, dia seorang anak yang periang sehinggalah menerima trauma tatkala menyaksikan sendiri pembunuhan ayahnya, seorang pesara gerila, di tangan Wan Sulong. Dendam semalam Bidadari Kirina tidak padam sehinggalah dia membunuh pembunuh ayahnya. Petualangan dendam bersiri ini berterusan kerana dia kini diburu oleh kaum keluarga arwah Wan Sulong. Sekarang Bidadari ini dalam pelarian.

Filem sudah. Novel pun sudah. Odisi berikutnya adalah grafik novel Kiri pula. Tunggu.

...
Bagi mereka yang tidak ada duit untuk membeli Kalashnikov, atau tidak berkesempatan atau kedekut ya amat untuk membeli buku, terimalah petikan pra-penerbitan Kalashnikov. Gratis.

.....................


BELERANG PERANG

1
Suara ungka dan lontong bersahut-sahutan mencari pasangan untuk mengawan menguasai hutan rimba. Bunyi binatang yang memecahkan sunyi rimba itu sudah biasa bagi Rodhi dan Wan Sulong. Sedikit pun tidak mengganggu sesi perkongsian ilmu mereka. Rodhi bersungguh-sungguh menjadi guru dan Wan Sulong bersungguh-sungguh menjadi murid.

Sebelum Rodhi masuk hutan, dia berkerja di lombong arang batu Sungai Lembing. Di situlah dia menimba ilmu menggunakan bahan letupan. Dulu, tugasnya meletupkan bukit membuat terowong bawah tanah untuk laluan pelombong. Sekarang, tugasnya meletupkan jambatan keretapi dan balai polis. Sudah lama Wan Sulong mengecek ilmu membacuh bahan letupan dari Rodhi. Kesempatan ditinggalkan berdua untuk mengawal markas, tidak dilepaskan begitu sahaja. Hendak jadi pejuang, mesti ada ilmu.

“Engkau kena masukkan belerang ke dalam kelongsong ini perlahan-lahan. Jangan sampai ada geseran kuat. Bahaya.”

“Berapa kali engkau nak ulang. Aku faham dah.”

Ahli rejimen yang lain ke Kampung Lanjut untuk memenuhkan hajat Tok Penghulu ingin menjamu mereka makan. Tidak sia-sia mereka menghantar Salman ke Kampung Lanjut untuk program propaganda. Dalam masa satu bulan, massa Kampung Lanjut sudah berlapang dada menerima baik perjuangan mereka. Tok Penghulu berjanji akan memberi sokongan padu. Mereka pun telah bersetuju untuk menukar bekalan makanan dengan hasil hutan. Jika ada maklumat tentang gerakan tentera Inggeris, mereka akan segera memberi maklum.

Tok Penghulu sangat percayakan mereka. Malah, anak gadis Tok Penghulu juga akan dikahwinkan dengan Salman. Kemungkinan besar dia juga bakal mengangkat senjata menjadi serikandi pembela bangsa mengikut suaminya.

“Itu pun Salman dan Kasmon dah pulang,” kata Rodhi kepada Wan Sulong.

“Engkau bawa apa tu?” Tanya Wan Sulong.

“Ubi! Tok Penghulu yang bagi,” Salman menunjukkan guni jerami yang dipikul. Kasmon diam sahaja. Dia memang pendiam.

“Untung juga jadi bakal menantu Tok Penghulu,” gurau Rodhi.

“Esok. Engkau rebuskan untuk kami,” Wan Sulong memberi perintah.

“Kalian bersiaplah. Tok Penghulu menunggu kalian untuk makan kenduri. Kami dah makan awal tadi kerana kami tolong rewang. Lagi pun sekarang giliran kami mengawal markas,” nasihat Salman.

Kasmon masih diam dari tadi. Dia meletakkan guni ubinya sebelah meja kerja Rodhi, tempat bahan letupan dibancuh.

“Jom Sulong. Aku pun dah lapar ni,” ajak Rodhi sambil tangannya mengemas peralatan di atas meja kerja.

“Ayuh!” Wan Sulong menyelitkan pistol di pinggang seluarnya. Mereka berjalan menyusur denai ke arah kampung Lanjut sambil menghisap rokok daun. Sudah tiga jam mereka tidak merokok.

2

Tiada orang di laman rumah Tok Penghulu. Dari celah-celah tingkap kelihatan kelibat manusia. Agak ramai juga tetapi tidak kedengaran pula mereka bertahlil.

“Kenduri apa ni? Macam ada orang mati sahaja senyapnya,” Rodhi berseloroh

“Lain kampung, lain adatnya.”

Wan Sulong dan Rodhi mendaki tangga.

“Assalamulaikum,” Wan Sulong menyapa.

Semua orang di dalam rumah memandang ke muka pintu. Mereka seolah-olah terperanjat melihat Wan Sulong dan Rodhi tercegat di muka pintu.

Wan Sulong dan Rodhi juga terperanjat.

Mata Wan Sulong mengimbas ruang tamu rumah . Tubuh-tubuh sahabatnya yang datang kenduri lebih awal bergelimpangan di lantai. Hidangan kenduri berkecah. Nasi berterabur di lantai. Kuah tumpah di atas tikar. Ada lebih kurang tiga puluh orang berpakaian orang kampung. Kain pelikat. Beberapa orang kampung sedang memapah tubuh-tubuh yang longlai. Ada lebih kurang lima soldadu. Berpakaian seragam tentera Inggeris. Mereka berdiri di depan pintu dapur.

Wan Sulong bingkas mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan membabi buta.

“Undur Rodhi! Kawan-kawan kita diracun!” Jerit Wan Sulong.

Rodhi lari sekuat hati ke arah hutan. Di belakangnya, Wan Sulong mengekori. Wan Sulong cuba menembak ke arah musuh yang mengejar tetapi dia sudah kehabisan peluru. Nasib mereka agak baik bila pokok-pokok hutan melidungi mereka apabila hujan peluru dari musuh menjadi lebat.

3
Rodhi dan Sulong sampai ke markas. Mereka termengah-mengah kepenatan.

“Cepat Salman. Kita mesti tinggalkan tempat ini. Soldadu Inggeris menghampiri kita,” jerit Wan Sulong.

“Kita sudah kena tipu dengan orang kampung. Mereka belot. Orang kita habis diracun,” jelas Rodhi.

Salman mencapai guni ubinya. Kasmon diam sahaja. Dia memang pendiam.

“Tinggalkan ubi itu. Kita bawa senjata sebanyak mana yang kita mampu sahaja,” arah Wan Sulong.

Salman mengeluarkan selaras senapang dari guni ubinya. Jenis yang sama seperti yang dipakai oleh soldadu Inggeris. Dia mengacukan senjatanya ke arah Rodhi. Kasmon pula mengacukan senjatanya kea rah Wan Sulong.

“Campak pistol engkau!”

“Engkau juga Salman?” Wan Sulong melepaskan pistolnya ke tanah. Mukanya penuh hampa.

“Ya Rodhi. Ya Wan Sulong. Aku juga. Meredah hutan dan melaungkan perkataan merdeka tidak mengisi periuk di dapur aku. Mereka sudah menjanjikan aku kerja sebagai kerani di pejabat Estet Tuan Watson.”

“Pembelot!”

“Katalah apa yang kita kalian kata. Sesungguhnya bila kalian mati, kepala kalian bernilai sepuluh ribu.”

“Celaka kau Salman,” marah Rodhi.


Yang pastinya Salman dan Kasmon mengawal keadaan. Senjata di tangan mereka. Pistol Wan Sulong sudah di tanah. Kalau ada di tangan pun tidak berguna kerana sudah kehabisan peluru.

“Kalian ada permintaan sebelum kalian mati?”

“Berikan aku masa untuk menghisap rokok aku yang terakhir.”

“Silakan.”

Rodhi mengeluarkan tembakau dan daun rokok. Perlahan-lahan dia mengapankan tembakau dengan daun rokok. Matanya tajam menenung Salman. Rodhi kemudiannya perlahan-lahan mengeluarkan mancis. Dia menggores mancis dan menyalakan rokoknya. Dihelanya asap rokok dan melepaskannya perlahan. Mancis di tangannya masih menyala.

Rodhi menjeling tong belerang di bawah meja kerjanya. Ada beberapa kelongsong bom separuh siap di dalam tong itu. Rodhi menjentik kayu mancis yang masih menyala ke arah meja kerjanya. Mancis itu mendarat tepat atas timbunan belerang di dalam tong.

Dan. Satu ledakan bebola api yang kuat menggegarkan rimba. Daun-daun pokok gugur terperanjat. Asap kelabu merebak menyelimutkan hijau dedaunan. Seusai ini semua, rimba itu menjadi senyap. Sesunyi kawasan perkuburan

4
Tok Penghulu, tentera Inggeris dan orang-orang kampung sampai ke markas gerila. Mereka mencarinya mengikut arah ledakan. Kedengaran tepuk sayap unggas kembali ke sarang mereka. Mungkin mahu memeriksa telur atau anak mereka. Asap tadi sudah reda.

Seorang soldadu Inggeris memandang ke arah Tok Penghulu, “Tiada bukti Wan Sulong dan Rodhi sudah mati. Tiada hadiah untuk kamu.”

Tok Penghulu hanya bermasam muka. Dahinya berkerut. Lima orang kampung mati dan satu soldadu Inggeris berasal dari India juga mati ditembak. Semuanya angkara Wan Sulong. Dia juga berjaya. Lima belas gerila militan juga mati diracun tetapi matlamat utamanya memerangkap Wan Sulong dan Rodhi tidak tercapai.

Tiada mayat ditemui. Hanya kemburan tanah berlubang, tiga depa lebar, dua depa dalam. Ungka dan lontong kembali bersahut-sahutan memecahkan sunyi rimba. Bunyi mereka mencari pasangan untuk mengawan terus menguasai hutan.
.................


MENGEJAR PEMBUNUH

Sotchai nampak pembunuh yang mereka cari berjalan menuju ke stesen bas. Dia segera menelefon sahabatnya yang tiga lagi. Mereka berkumpul semula di pekan. Sotchai memaklumkan bahawa pembunuh itu berbaju kurung kuning, bertudung putih dan membawa beg. Kawan-kawannya tiba agak lewat. Pembunuh itu sudah menaiki bas dan bas itu telah bertolak menuju ke Selatan. Celaka.

“Sotchai, cepat masuk kereta. Kita kejar bas itu.”

Tidak sampai lima minit memandu, mereka sudah nampak bas itu. Bas itu tidak laju. Ia sarat dengan manusia. Penuh macam tin sardin. Dengan segera kereta mereka memintas ke hadapan bas itu. Menyekat perjalanannya.

Sotchai dan kawan-kawannya yang tiga lagi naik ke dalam bas. Penumpang-penumpang yang tadinya bising kerana bas tidak bergerak senyap serta merta apabila melihat pistol di tangan Sotchai dan kawan-kawannya.

Sotchai mengarahkan penumpang yang berdiri mengosongkan bas dengan segera. Seorang demi seorang turun dari bas. Setelah keluar dari bas, mereka terus lari sekuat hati jauh dari bas itu. Pemandu dan konduktor bas juga turut lari.

Tiga suku isi bas telah turun, barulah Sotchai dan kawan-kawanya sedar bahawa pembunuh yang mereka cari telah lolos. Pintu kecemasan di bahagian belakang bas terbuka. Pemburuan mereka menemukan jalan buntu lagi. Licik sungguh pembunuh itu. Celaka.

Sotchai menjerit di pintu kecemasan di belakang bas, “Pengecut!”

Ting! Ting! Ting! Tiba-tiba lonceng bas berbunyi. Sotchai dan kawan-kawannya menoleh ke hadapan bas. Pembunuh yang mereka cari berdiri di sebelah kerusi pemandu. Dia berbaju kurung kuning, bertudung putih dan membawa beg. Dia mengacukan pistol dengan tangan kiri sambil tangan kanannya menekan-nekan punat lonceng bas. Celaka.

Rupanya pembunuh itu sedar dengan kehadiran Sotchai dan kawan-kawannya. Dia turun ikut pintu kecemasan di belakang bas, lari ke hadapan dan naik pula ikut pintu depan.

Bang! Bang! Bang! Bang! Penumpang yang masih berada di dalam bas menjerit-jerit ketakutan bila tembakan mula dilepaskan. Mereka berselindung di belakang kerusi. Kemudian suasana menjadi sunyi. Lima minit kemudia baru mereka berani angkat kepala. Didapati tiga tubuh terkujur di lantai bas. Darah bagai lecak sepenuh lantai bas.

Sotchai juga terbaring tetapi dia belum mati. Belum lagi. Matanya tidak nampak apa-apa. Gelap segelap-gelapnya. Dia merasakan darah keluar memancut dari dadanya walaupun dia sudah menekap dengan tapak tangan. Telinga mendengar sepasang kasut melangkah keluar dari bas. Kemudian enjin kereta berbunyi meninggalkan tempat kejadian. Dia tahu itu kereta kawannya. Pembunuh itu telah mencuri kereta kawannya. Celaka.

SEMUA ORANG MENGANALISA POLITIK DEWASA INI

Sebelum pilihanraya, amat memualkan menonton Buletin Utama. Selepas pilihanraya, agak seronok menonton Buletin Utama.

Kenapa?

Apa yang membuat TV BN hilang kredibiliti adalah laporan senget sebelah mereka. Rakyat tidak bodoh lagi, rakyat mahu dengar laporan dari dua pihak bagi membuat keputusan. Laporan terlampau sebelah pihak sahaja menunjukkan ada yang disembunyikan. Ada udang sebalik batu.

Apa pun media, yang melapor sebelah pihak sahaja amat memualkan. Itu pasal, tidak menjadi tabiat bagi aku mendakyah diri sendiri dengan media politik yang senget sebelah. Aliran. Harakah. RTM. Kurang kredibiliti.

Adalah naif bagi semua jika mengharap TV BN mengutuk BN. Tiada media yang tidak memihak. TV BN mestilah berpihak kepada BN. Blog Tok Rimau mestilah memihak kepada Tok Rimau. Tetapi ada masanya, blog ini kutuk diri sendiri.

BBC, milik U.K. yang pro-perang Iraq, tetapi mereka masih memberi ruang untuk suara rakyat Iraq mengeluh tentang perang yang tidak berkesudahan. Inilah yang menambah kredibiliti sesuatu media.

Awani Astro lebih matang dalam melapor dan mengulas walaupun usianya baru setahun jagung. Aku suka ulasan PRU 2008 Awani. Laporannya lebih professional walaupun kita tahu di mana mereka berpihak. Kadang-kadang orang tua kena belajar dari orang muda.

In the big picture, you might win the war. But you must be able to sacrifice some battles. Mahu untung besar, kena keluar modal sedikit. Apa guna perang saraf ini jika tiada langsung yang mahu mendengar gorengan engkau?

Sebelum pilihanraya, amat memualkan menonton Buletin Utama. Selepas pilihanraya, agak seronok menonton Buletin Utama.

TV BN itu mempunyai lebih kredibiliti kerana dia melaporkan bengkak terkehel yang perlu diurut oleh BN.


p.s.
Aku tidak enjoy tulis entri ini. Kosong. Lohong. Jiwa aku. Tapi aku tulis juga.

Isnin, Mac 24, 2008

SHABERY CHEEK MAHU JUMPA PENULIS BLOG

"Orang nak jumpa menteri nak mengadu. Menteri kata dia sibuk," kata emak aku sambil menyiang taugeh. "Engkau pulak, menteri yang nak jumpa. Hebat anak emak."

"Apa yang emak cakap ni?" sahut aku yang sedang melayan Astro Awani.

"Ini hah. Surat khabar ni tulis, "Menteri Penerangan mahu jumpa blogger."

::
......................


Shabery Cheek mahu jumpa penulis blog
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan mengadakan pertemuan dengan penulis blog dalam tempoh terdekat bagi mendengar pandangan dan persepsi mereka mengenai pelbagai isu semasa...
(Berita Harian, 22 Mac 2008)

...........

Kalau mahu tahu pandangan dan persepsi penulis blog, bacalah blog mereka. Jika tidak jelas, tanya soalan lanjut dalam ruang komen. Pak Menteri kena savvy. Tak gitu?

Pak Menteri Mahu panggil mereka bercakap, tidak semua pandai bercakap depan mikrofon. Gugup. Mereka bukannya menteri yang pandai bercakap. Tak gitu?

Dulu, BN berkempen agar rakyat tidak membaca blog. Polisi propaganda dulu melabel penulis blog ini penipu, penghasut dan penabur fitnah. Selepas piliharaya 2008, BN tersedar bahawa rakyat tidak percayakan mereka lagi. Rakyat terus membaca blog. Tak gitu?

Maaf Pak Menteri jika saya berbunyi sinis. Inilah masa untuk saya pulang paku buah keras setelah bertahun-tahun di pandang serong oleh pihak kementerian. Tak gitu?

Syukorlah Pak Menteri telah sedar bahawa blog ini bukan medium picisan. Pun begitu, berhenti di takat blog sahaja adalah rabun jauh bagi pihak kementerian. Pak Menteri perlu memahami keseluruhan Web 2.0 itu sendiri. Pak Menteri mesti mahu RTM dan Jabatan Penerangan sentiasa terkehadapan dalam psy-war. Tak gitu?


Web 2.0 is a trend in World Wide Web technology, and web design, a second generation of web-based communities and hosted services such as social-networking sites, wikis, blogs, and folksonomies, which aim to facilitate creativity, information sharing, collaboration, and sharing among users.


Pak Menteri kena faham kuasa Youtube, Friendster, Facebook, Myspace, Web Forum, mailinglist dan seumpamanya. Google kata kunci "Web 2.0, " pastinya Pak Menteri akan dapat banyak maklumat yang boleh memberi penerangan kepada kementerian penerangan yang kegelapan terhadap kuasa Internet. Tak gitu?

Pun begitu, saya ingin mencadangan cara untuk Pak Menteri memahami penulis blog. Kementerian perlu menganjurkan:

1. Persidangan Blogger - Jemput pemain-pemain penting dari blogsphere untuk berucap. Bukan blogger politik sahaja (saya tahu menteri tahu url mereka semua), jemput juga blogger pendidikan, sastera, hiburan, dan lain-lain. Rujuk juga senarai pemenang-pemenang anugerah blog terbaik Geng Jurnal untuk tahu siapa adalah siapa. Dan bila penulis blog ini berucap, suruh orang kementerian dengar dan belajar. Kita bertukar-tukar pendapat secara ilmiah dan objektif. Tak gitu?

2. Anugerah Blog - Kementerian boleh habiskan wang untuk anugerah mengarut seri itu-ini, maka tibalah masanya untuk anugerah untuk penulis blog. Bagi kami anugerah kerana kami pandai mengarut? Ha ha ha ha! Bukan begitu. Anugerah seperti ini menunjukkan keikhlasan Kementerian menghargai blog yang menyumbang kepada pembangunan aktivis media akar umbi yang bebas lagi non-partisan. Cover la sikit motif politik kementerian. Tak gitu?

Saya sebenarnya banyak idea lagi tetapi saya masih meragui keikhlasan pihak kementerian. Al maklumlah, orang politik, cakapnya mestilah bermotifkan politik. Tak gitu?

::

Aku bangun dan berjalan ke gerobok. Aku buka gerobok. Jari telunjuk aku mengetuk dagu. Berfikir.

"Apa kau buat buka gerobok abah engkau tu?" tanya emak.

"Orang nak cari baju batik abah. Nanti kat angkasapuri masuk TV. Orang nampak hensem sikit," balas aku. "Dan penonton akan kata, anak siapa yang hensem tu?"

"Ye la tu. Jangan kembor gerobok tu. Mak baru je lipat kain."



ISU YANG SAMA
Siasah daily
Rocky Bru
Maria Samad
Tarmizi Mohd jam
Chan Lilian
Iskandar Zulkarnain
Roslan SMS


.........................
IKLAN:
Tok Rimau akan buat persembahan di:

Konsert KAMI TAK LALAI
11 Pagi:: 29 Mac 2008
Plaza Larkin, Johor Bahru

Masuk PERCUMA. Maklumat Lanjut>>

Rabu, Mac 19, 2008

PENGLIBATAN DALAM KULIAH

Aku angkat tangan.

Pensyarah tengok aku sekejap. Kemudian dia angkat kepala dan pandang kepada pelajar-pelajar lain pula.

"I want other people to participate in the discussion. I don't want the same people to talk," kata pensyarah.

Pelajar-pelajar lain senyap. Bunyi cengkerik bermain di runut bunyi. Lama juga cengkerik berbunyi.

Pensyarah memandang kepada aku semula. Aku tersengih.

"Okay la. What do you want to say?"


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Tuan Pengarah Dean Sham
Postsecret Bahasa Melayu


................
BUKAN CERAMAH POLITIK
Topik : Penulis dan Blog - Trend Masa Kini
Panel : 1. Nisah Haron 2. Jiwarasa
22 Mac 2008 (Sabtu), 9.00 pagi,
Dewan Seminar, Aras 2, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, KL.

Selasa, Mac 18, 2008

HANYA DI RADIO

Lampu trafik merah. Aku tekan brek. Kemudian aku menyanyikan lagu keroncong Bengawan Solo bagi membuang bosan menunggu lampu untuk hijau.

Bengawan Solo
Riwayatmu ini
Sedari dulu jadi...
Perhatian insani

"Bang! Buka radio bang," kata gadis manis.

Apabila aku mula menyanyi sahaja, mesti penumpang mahukan radio. Tidak hormat langsung pada bakat dan kesungguhan aku.

"Radio rosak. Masuk virus kot. Tak pun kerasukan," kata aku.

Dia memuncung. Boleh sidai baju atas muncungnya. Barangkali. Seeloknya aku kucup sahaja muncung itu tetapi malu ah dengan penumpang-penumpang bas Transit Link yang berhenti di sebelah kereta aku. Justeru, aku tidak buat perkara yang seeloknya itu.

"Tak percaya? Dengar ni," aku tekan punat menghidupkan radio kereta.

Bunyi radio meloncat-loncat dari stesen ke stesen. Tidak mahu duduk diam.


94.6 Lite FM

To all the girls I've loved before
Who travelled in and out my door (Willie Nelson)

88.9 BBC

...Chinese Premier Wen Jiabao says exiled Tibetan leader, the Dalai Lama, organised recent unrest in Lhasa...

90.1 Hot FM

Kamu ketahuan pacaran lagi
Dengan dirinya, teman baikku (Matta)

87.8 ERA

Kini anda boleh mengetahui lokasi Skuad ERA Avanza ... (Iklan. Biasa la ERA.)

"Ya lah bang. Saya percaya," kata dia mengaku kalah. Dia tekan punat mematikan radio.

Aku tersenyum dan berdendang semula.

Musim kemarau, tak seberapa airmu ...
Di musim hujan air meluap sampai jauh...

Isnin, Mac 17, 2008

MEMOTONG KEK

"Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely. Great men are almost always bad men," - John Emerich Edward Dalberg Acton, (1834–1902)

Aku rakyat non-partisan. Sesiapa perjuangkan aku maka itulah yang aku suka.

Aku suka keadaan keputusan Pilihanraya 2008 kerana tiada kuasa yang mutlak. Semua parti mesti membodek rakyat. Semua parti mesti memastikan yang terbaik untuk rakyat sebab yang memotong kek untuk dibahagi-bahagikan adalah rakyat. Dan kali ini rakyat memotongnya dengan baik.

Memetik kata V dari filem V for Vendetta, "People should not be afraid of their governments. Governments should be afraid of their people."

Rabu, Mac 12, 2008

ISI DOMPET



Jarang aku kena tag. Orang takut mahu tag aku. Takut kena gigit.

Rekrut baru Soljah, Si Pipiyapong Hilang Punca, tag aku. Berani betul dia tag aku. Tidak sayang tangan la tu. Aku gigit terus kudung nanti. Ketuk dram sebelah tangan je lepas ni.

Apa pun, nak jadi Soljah mesti berani. Aku kena layan juga budak Pipi ni. Dia sudah tunjuk berani. Mahu bagi pingat Hang Tuah, tidak mampu la pula. Layankan sahaja.

Aku bawa keluar dompet aku. Bonia. Awek aku bagi. Masa dia bagi tidak ada duit dalam dompet ini. Aku mengeluh. Aku syak dia beli dompet ini dengan duit aku juga.

Tag: Apa ada dalam dompet anda? (Memang soalan kepoh jaga tepi kain orang la ni)

1. RM22.45 sahaja. Semalam ada ratus-ratus tetapi aku sudah bagi awek buat dia joli-joli beli kasut atau coli (aku pilih perkataan coli sebab rhyme dengan joli). Kertas-kertas yang ada gambar sultan inilah tangkal mengorat yang dikatakan oleh Pipi.

2. Kad Diskaun Badan Bookstore dan Popular. Aku belum jadi ahli MPH.

3. Lesen memandu terkini. Dua keping lesen memandu yang dah mati. Kenapa aku simpan sampah ini? Entah.

4. Kad nama: Tauke Ujanailmu.com.my, jurnalis majalah Nur (Karangkraf), pensyarah UTM dan Corporate Affair BMW. Kata orang tua, dari kad nama yang seseorang itu simpan dalam dompet ketahuanlah peribadi seseorang. Chewahh! Aku la orang tua yang berkata-kata itu.

5. Gambar awek. Cun. Kalau tidak cun, bukan awek aku la.

6. Secebis kertas dengan semua nombor akaun simpanan, akaun semasa dan akaun hutang. Aku takut lupa nombor-nombor ini. Aku juga letak tandatangan atas kertas yang sama, takut lupa rupa tandatangan aku. Nanti tidak percaya kerani bank kepada aku kerana tandatangan berubah-ubah. Maklumlah orang kreatif.

7. Resit ATM. Keluar duit RM1K. Biasalah. Orang berada belanja awek. Kalian tidak biasa? Aku tahu kalian bukan orang berada.

8. Resit mesin deposit tunai. Bayar hutang kereta.

9. Dua keping resit beli buku. Resit pertama, Popular bookstore RM151.30. Mahalnya buku. Aku baru sempat baca kulit depan sahaja. Sebenarnya aku beli buku untuk hias rak aku agar aku kelihatan pandai di mata pelawat. Keji. Resit berikutnya, Badan Cermelang bookstore. Tajuk: Studi Ilmu-ilmu Quran. Rm31.50. Ishhh... macamana resit ini boleh masuk dompet aku? Misteri. Ada isyarat dari langit ni.

10. Simkad nombor rahsia. Aku guna nombor ini bila mahu buat peras ugut atau panggilan-panggilan yang menyalahi undang-undang negara. Kalau engkau dapat SMS, "sunyi, hubungi saya." Mungkin itu dari aku.

11. Kepingan kad sim 3G maxis nombor sekarang. Ada tercatat nombor PUK*. Penting ni. Aku malas mahu hafal nombor. Apa ke jadah PUK* pun ada nombor?

12. Kad Mesra Petronas. Entah bila mahu kena Supercar. Petronas dah kaya raya makan duit aku. Nanti bila kena, lelaki-lelaki muda akan nyanyi lagu Jamal Abdillah:


"teman baru mu lulusan luar negeri,
berkereta sana-sini,
diri ku tak kau hiraukan,
mudahnya kau lupa pada janji."


13. Habuk warna kelabu. 5 mg.

14. ATM Bumiputra Bank. Masih laku walaupun tidak ada logo CIMB.

15. MyKad. Alamat rumah lama. Kalau hilang, orang mahu pulang mesti sesat ke rumah lama.

16. Kad diskaun kedai alat tulis Rainbow.

17. Kain lap cermin mata. Digunakan bila nampak awek jogging kat padang dan untuk membaca skrin elektronik waktu-waktu solat di masjid.

18. Dawai hitam sejengkal. Dawai ikat kabel ni. Kenapa aku simpan dawai ni dalam dompet. Misteri betul.

19. Resit pengajian. Bukti aku sudah bayar universiti.

18. Resit cermin mata Merlin.

19. Kad kredit. Master Card. Satu lagi tangkal mengorat.

Dan aku kena tag entri berantai ini kepada lima orang lagi. Kalau tidak jam aku akan mati dalam masa 24 jam. Oleh itu, aku tag orang yang selalu komen di blog ini. Aku tag awek-awek sahaja. Mereka ini semua mangsa tangkal Pengasih Dawai Kabel Hitam nan Sejengkal. Itu pasal mereka selalu datang blog ini.

1. http://atiqahnasir.blogspot.com/
2. http://princessliyana1706.blogspot.com/
3. http://miszazie.blogspot.com/
4. http://psittacula.wordpress.com/
5. http://madulebah.blogspot.com/

Aku tahu kalian baca blog ini, sila buat apa yang patut. Jawab soalan: Apa ada dalam dompet/purse/beg tangan. Jika tidak jawab, sumpahan entri berantai akan terjadi. Jam kalian akan mati dalam masa 24 jam.

Selasa, Mac 11, 2008

SAMSON

ENGKAU GEMUK NORKIAH

Aku sudah malu untuk kelihatan bersama engkau. Engkau tidak trendy seperti dulu. Malah, engkau terlalu gemuk untuk aku.

Rajuk mu semakin kerap. Aku bosan.

Padam kenangan manis kita. Padam gambar-gambar kita. Padam lagu-lagu kita. Padam sms-sms kita. Biar kosong memori engkau.

Aku mahu jual engkau kepada Cina untuk diperdagangkan.

Jodoh kita tidak panjang. Tata Norkiah.
.
.
.

Hi, Kay.
.......................


Lawatan sambil belajar
Dec, 2004. Saat aku bertemu Norkiah.

Isnin, Mac 10, 2008

PENGUNDI WANITA BUKAN MELAYU

Perempuan Cina itu mengaku kepada aku, "I pilih PAS."

Aku tanya, "Kenapa?"

"Negeri PAS tiada pusat hiburan."

"So?"

"Husband I balik rumah cepat. Spend masa dengan I lo."

Dia balik mengundi di kampungnya di Kedah. Pas menang di Kedah.

Rabu, Mac 05, 2008

PLATFORM 11

Ajan: Ramai awek dalam bas tu. Ada rombongan ratu cantik melawat Johor agaknya.

Rima: You duduk sebelah awek la?

Ajan: Doa tidak makbul. Yang duduk sebelah I bukan awek.

Rima: Kejinya you doa begitu.

Ajan: Apa pulak keji?! Bukan doa I yang tidak makbul. Tetapi doa awek-awek yang mahu duduk sebelah I yang tidak makbul. Ha! Ha! Ha!

Rima: Jahat.

Selasa, Mac 04, 2008

GOYANG

Mula-mula Jeslina nyanyi The Power of Love. Mobius cool. Boleh tahan juga suara Jeslina.

Kemudian Jeslina pilih Goyang Inul. Mobius mula pandang ke kiri dan pandang ke kanan. Malu. Nanti orang kata dia kencan dengan awek Indon. Bibik sendiri.
Para Penonton

Bapak-bapak, Ibu-ibu

Semuanya, Jangan Heran

Kalau Inul Sedang Goyang

Rada Panas Agak Seksi

Maafkanlah...

Tetapi Jeslina bawa lagu itu bagus sekali.
Semua Yang Ada Di Sini Goyang Yuu.k.. Ahh!

Mobius terasa ingin bangun dan goyang di situ juga. Dangdut pun dangdut la.

Lepas itu giliran Mobius pula nyanyi. Dia cari tekan-tekan dial mesin karaoke mencari lagu M. Daud Kilau.
OOohoiiiiiii hoi
Kalau dah mata bertentang mata
Hati didalam bagai nak
gila

Heiii……..

Isnin, Mac 03, 2008

AIR KEROH




"1 missed call," kata telefon aku yang sudah tidak trendy lagi itu.

Ini mesti dia. Dia mesti mahu bercakap dengan aku sebelum dia masuk kawasan kampung. Di sana, katanya, signal cuma satu bar. Line tidak jelas.

Aku hantar SMS.

"X bleh jwb. Td jmakasar kat RnR Air Keroh."

Dia balas SMS.

"Jimak kasar? U jimak kasar or lembut, jgn cerita dgn I."

Aku hantar SMS lagi.

"Solat jamak qasar la bodoh."

Dia balas.

"Mana I nak faham. Lain kali tulis la lengkap."

Orang lain semua faham. Dia sahaja yang tidak faham.

Aku balas balik SMS.

"SMS = SHORT messages sytem. Bodoh"

Dia tidak balas SMS aku lagi. Merajuk la tu agaknya.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
  1. Gambar hiasan oleh MangosteenSkin.
  2. Sol-jah masuk hutan.


p.s.
Jawapan kuiz nanti dulu ya.

Khamis, Februari 28, 2008

TO SIR, WITH LOVE

Berikut adalah pepatah cinta dari merata tempat di bumi. Isikan tempat kosong dengan perkataan yang sesuai. Jawab semua soalan.

  1. Orang yang kamu cinta akan juga membuat kamu ........................ (Argentina)
  2. Cinta membuat seseorang buta dan .........................(Arab)
  3. Memberi kebahagian kepada seseorang itu sesuatu yang mulia, ia tidak boleh diangkat hatta oleh seekor .........................(Bhutan)
  4. Cinta itu buta, oleh itu kamu perlu ........................ mencari jalan. (Brazil)
  5. Hidup dengan cinta adalah kebahagiaan, hidup untuk cinta adalah ........................ (China)
  6. Lebih ........................ si pemain biola, lebih manis muziknya. ( English )
  7. Cinta buat masa berlalu, ........................ buat cinta berlalu ( France )
  8. Hati yang menyintai adalah sentiasa ........................ (China)
  9. Cinta dan ........................ tidak boleh disembunyikan. ( Latin )
  10. Menyintai wanita yang membenci engkau adalah seperti ........................ madu dari duri. ( Welsh )

Cikgu akan bagi jawapan minggu depan.

FIGURA AKSI SOLJAH





Sarahmon jerit, "Mama! tengok Papa!"

Sabrinamon jerit juga, "Mama! Papa muntah!"

Afimon mahu jerit juga, "Eeeeeeeeeeeeee!"

Mamamon pun datang ke ruang tamu tengok Papamon.

"Itu la abang! Saya sudah pesan. Lepas makan jangan tengok Buletin Perdana."


Ya bapak-bapak dan ibu-ibu, tuan-tuan dan puan-puan, sekelian. Sejak berita tentang pilihanraya diuar-uarkan, berita TV jadi makin mengarut.

Retorik-retorik politik dijerit. Udara ditumbuk-tumbuk. Hujah-hujah senget sebelah.

Uwekkkkkkkk! Memualkan. Membolehkan kalian muntah.

Sebagai alternatif, keluarlah dari rumah. Mahu ke mana? Dinner di Hotel Good Hope bersama gadis-gadis comel? Ceramah politik Dacing, bulan, roket, mata atau kunci? Pening membuat pilihan? Apa kata kalian hadir ke:

MASKARA VII
Planet Pena
8.30 malam. 1 Mac 2008. Sabtu.


Majlis bapak segala alternatif ini diusahakan oleh Sindiket Sol-jah dan kawan-kawan yang kita suka.

Sementara stok masih ada! Bawa pulang Soljah kegemaran anda.


PERCUMA! Tanpa perlu beli hepi meal.


Pengunjung akan diberi figura aksi (action figure) seorang Soljah.


Apa tunggu lagi? Pergilah ke Maskara.


Ini satu perintah am!

Selasa, Februari 26, 2008

DOA DI PUDURAYA




Puduraya. Baunya masih sama seperti dahulu. Aku sumpah, orang-orang di situ hampir sama dengan orang-orang yang pernah aku jumpa 10 tahun dahulu. Masing-masing muka berminyak dan tangan menjinjing beg besar.

Aku cari tempat duduk berhampiran dengan platform 15. Aku ternampak Mobius sedang duduk atas bangku konkrit sambil tangan menadah ke atas.

"Engkau dah pandai berdoa? Doa naik kenderaan ya?" sapa aku sambil melabuhkan punggung.

"Aku berdoa agar dapat duduk sebelah awek cun dalam bas nanti. Rambut karat dan baju senteng nampak pusat adalah satu bonus," jelas Mobius kepada aku.

"Setahu aku, doa orang yang banyak dosa besar macam engkau tidak makbul."

"Aku tahu siapa aku. Selalu sangat doa aku tidak makbul. Oleh itu, dalam lafaz doa aku, aku minta dapat duduk sebelah lelaki agar jauh dari fitnah wanita."

"Suka hati engkaulah."

Waktu yang ditunggu telah pun sampai. Kami naik bas mencari tempat duduk.

Mobius naik cepat dan duduk dahulu sebab dia nak pastikan dapat duduk sebelah tingkap. Tempat duduknya nombor 20. Tempat duduk aku nombor 21. Kami ditakdirkan duduk bersebelahan.

"Mobius, reverse psychology tidak menjadi dalam doa," kata aku sambil menunjukkan nombor 21 atas tiket aku.

"Damn!" Mobius menumbuk dinding bas sambil menambah dosanya lagi.

Isnin, Februari 25, 2008

SAYA CALON P160 JOHOR BAHRU

Ini ada spam yang aku terima dalam e-mel aku.

...........


Undilah saya untuk kawasan Johor Bahru, P160.

Janji manis saya:
1. Saya akan buat tiga lagi koridor pembangunan di kawasan Johor.
a) koridor Tampoi.
b) koridor jalan Wong Ah Fook
c) koridor Flat Bukit Chagar

2. Jika saya menang, saya akan memimpin secara Anarki Terpimpin.

3. DVD Skandal yang melibatkan saya boleh dimuatturun dari Youtube. Sila scan for virus sebelum menonton.



Yang Berkhidmat,
Datok Harimau

Lampiran:
1. Politik-politik Pembohongan Sistematik
2. Ibu Pejabat Parti Pundak

105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...